Assalamualaikum wbt...
Tahun 2025 telah melabuhkan tirai. Muncul 2026 Masihi yang semakin mencabar seiring dengan peningkatan umur 42 tahun. Tua. Veteran. Pencen. Semua menjadi satu.
Ada satu pesanan yang mungkin kita boleh jadi pedoman dan ingatan kepada diriku dari Buku Ayyuha al-Walad...Duhai Anak! oleh Imam al-Ghazali.
PESANAN PENTING:
1) Tidak sia-siakan waktu.
Salah satu tanda Allah menjauhkan diri daripada hambaNya ialah kesibukannya dalam perkara yang tidak ada kena mengena dengan dirinya, dan seseorang itu jika berlalu walaupun sejam daripda umurnya dalam selain dari apa yang diciptakan untuknya daripada ibadat, maka sudah memadai untuk dipanjangkan pemyesalannya. Dan barangsiapa yang melepasi umur 40 tahun, sedangkan kebaikannya belum menjangkau keburukannya, maka bersedialah untuk ke Neraka.
2) Ilmu tanpa amal.
Azab pedih kepada orang berilmu yang tidak mengamalkan ilmunya dan tidak memanfaatkan di jalan Allah. Hal ini disebut oleh Abdul Wahid bin Zaid: Barangsiapa yang mengamalkan ilmunya, maka Allah akan membuka baginya ilmu yang belum dikethaui sebelumnya. Ada pepatah mengatakan " Ilmu tanpa amal seperti pokok tanpa buah"
3) Tidak beramal, tiada pahala.
Tanpa amalan, seorang hamba Allah tidak akan menadapat pahala sebagai persediaan akhirat dan mendapat syurga Allah. Hal ini sesuai dengan hadis yang mengatakan bahawa apabila matinya seorang anak Adam, terputus semua amalannya kecuali sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan doa anak yang soleh.
4) Niat beribadat hanya kepada Allah.
Walaupun amal ibadat banyak bukan jaminan masuk ke syurga. Bahkan masuk syurga dengan rahmat Allah yang dapat diperoleh dari mentaati perintah Allah dan menjauhi larangannya.
Nasihat Imam al-Ghazali supaya kita semua bangun sebahagian waktu malam untuk bertahajud kerana ini perintah dalam Surah Az-zariyat 51: 18.
Nabi SAW bersabda: TIGA suara yang disukai Allah; Suara ayam jantan, suara orang membaca Al-Quran dan suara orang beristighfar ketika waktu sahur.
5) Balasan kepada hambaNya yang taat
Mereka akan mendapat kecukupan dan diberi kekuatan untuk mempertahankan diri dari kejahatan dan hawa nafsunya.
6) Orang cergas adalah yang beramal untuk akhirat.
Orang bodoh adalah orang yang mengikut hawa nafsu dan berangan-angan . Siang malam sibuk dnegan harta sedangkan harta dikumpulkan bukan miliknya selainkan milik warisnya. Harta sepatutnya dibelanjakan ke jalan Allah.
Ada pepatah mengatakan "dari begitu banyak sahabat, dan tidak ditemui sahabat yang lebih baik daripada MENJAGA LIDAH. Aku memikirkan tentang semua pakaian, tetapi tidak ditemui pakaian lebih baik kecuali daripada TAKWA. Aku merenung terhadap semua jenis amal, namun tidak ditemui yang lebih baik daripada memberi NASIHAT BAIK. Aku mencari segala bentuk rezeki, tetapi tidak temui rezeki yang lebih baik daripada SABAR"
7) Menghindari kesenangan dunia.
Apabila waktu malam seseorang menghabiskan masa dengan membaca buku untuk dunia sahaja, perkara ini adalah sia-sia. Sebaliknya apabila kita habiskan masa menuntut ilmu dengan niat kerana Allah, maka kerja itu menadi mulia dan termasuk ibadat.
Banyak lagi nasihat ringkas. Semuanya terkena kepada diri sendiri. Moga Allah berikan kemanisan melaksanakannya sebelum ajal menjemputku.
Buku terjemahan ini aku beli dari ZRA strim. Memang terpikat dengan cerita Tuan Haji Zainal. Sekian
SUMBER:
1. (PDF) Kajian Intertekstual Nasihat dalam Kitab Ayyuhal Walad Imam Al-Ghazzali
2. Al-Ghazali. 2024. Terj : Muhammad Yusra Hulaimi. Duhai Anak. Cetakan ke-12. The Biblio Press, Selangor.