31 Januari 2019

Cuti lagi.

Bagi orang yang bekerja, cuti adalah masa yang dinantikan. Apatah lagi aku. Berada di sini umpama berada di asrama. Cuti terus balik kampung. Ada kampung, boleh pulang. Sama juga kita sebagai hamba Allah bakal kembali kepadaNya.

Tak sabar rasanya untuk sampai ke kampung. Moga Allah pertemukan aku dengan orang baik, pemandangan yang baik, suasana yang baik dan dipermudahkan urusan dalam permusafiran ini. Ada juga berpendapat musafirku ini, diharamkan. Moga Allah beri pengampunan kepada diriku. Aku anggap ini perjalanan yang diharuskan.

Bulan februari, menjadi bulan yang ditunggu-tunggu. Tunggu untuk mengisi borang pertukaran online. Tiada siapa tahu rezekiku dimana termasuk diriku. Itulah rahsia Allah yang tidak diketahui.

Sejak bekerja hampir 10 tahun ini, banyak pengalaman yang boleh diambil. Tidak perlu disebut satu persatu. Apa yang aku dapat gambarkan....

Apabila aku rasa lemah, Allah kuatkan aku dengan peristiwa yang mengembirakan.

Apabila aku rasa susah, datang pertolongan Allah melalui bisikan hati hambaNya.

Apabila aku diberi tugasan yang dirasakan berat, Allah ringankan dengan bantuan senior yang berpengalaman walaupun baru kenal.

Apabila aku persoalkan 'kenapa aku dipilih?', rupanya Allah beri ilmu baharu, pengalaman baru. Tiada siapa menduga, aku berada di tahap ini.

Hanya Allah Maha Mengetahui.

27 Januari 2019

Dimana idola kita?

Idola anak-anak remaja lebih kepada apa yang berada di depan mata. Artis? ibu? bapa? guru? kawan? Jutawan? Siapa idola mereka.

Sejak kecil, anak-anak dibekalkan dengan segala kemewahan dan alat teknologi terkini. Kita menyangka mereka hebat. Mereka boleh belajar sendiri. Mereka boleh menilai baik buruk sesuatu perkara. Malangnya, semua ini jarang berlaku tanpa didikan ibubapa di rumah.

Apabila seorang guru bertanya kepada murid-murid , " Siapakah idola kamu?". Ada yang menyebut beberapa nama artis.  Ada yang menyebut nama hartawan. Ada juga yang menyebut ibubapa mereka.

Andai guru bertanya," Siapakah Muhammad bin Abdullah yang mengemparkan dunia sehingga sekarang?". Tergagap mereka menjawab. Apatah lagi tokoh lain. Cuba tanya lagi siapa Amru bin Ash? Siapa Thoriq bin Ziad? Siapa Solahuddin Al-Ayubi?.

Dimana budaya membaca anak remaja sekarang? Membaca buku ilmiah bukan buku novel picisan di pasaran. Kurangnya membaca membawa kepada kurangnya adab dalam percakapan dan penulisan di media sosial.

Nilai Kemampuan.

Yang capik datang bertongkat,
Yang buta meraba-raba,
Yang tuli leka bertanya,
Yang kecil terambin lintang,
Yang jarak tolak-tolakan,
Yang pendek tinjau- meninjau,
Yang kurap mengekor angin.

Pernah dengar puisi ini?

Ini kali pertama aku dengar dari penceramah jemputan. Apa yang disampaikan adalah, kita perlu saling tolong menolong mengikut keupayaan dan kemampuan kita. Jika menurut penulis 'macam-macam ada' , ia menggambarkan kesetiaan rakyat kepada raja atau pemerintah iaitu saling tolong menolong dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Rupa-rupanya hikayat dahulu kala mempunyai isi yang tersirat dan tersurat yang sukar untuk diterjemahkan. Hebat generasi dahulu melalui pengalaman yang luar biasa. Di mana hikayat-hikayat hebat ini boleh diperolehi? Semangat nak membaca  membuak-buak semula.

SUMBER:

1. Hikayat Awang Sulung Merah Muda

14 Januari 2019

Korban Undian

Abdullah bin Abdul Mutalib hampir menjadi korban sebagaimana kisah Nabi Ismail yang hampir disembelih oleh bapanya,Nabi Ibrahim. Abdullah merupakan anak kesayangan kepada Abdul Mutholib. Abdullah merupakan anak bongsu dan adik beradik seibu sebapa dengan Abu Tholib.

Kisah Abdullah bermula dengan kisah Abdul Mutolib yang berjaya menggali telaga Zamzam bersendirian. Tiada siapa percaya ada Zamzam kecuali Abdul Mutolib. Abdul Mutolib bernazar, jika dia mempunyai 10 orang anak, dia akan korbankan seorang anaknya. Hasil undian menunjukkan Abdullah yang perlu dikorbankan. Seorang sahabat Abdul Mutholib menasihatinya supaya meminta pandangan tukang tilik. Tukang tilik ini dianggap perterjemah kepada kehendak berhala-berhala disekeliling Kaabah.

Hasil pertemuan dengan tukang tilik, Abdul Mutholib perlu membawa 10 ekor unta ketika membuat undian. Ditakdirkan Allah, setiap undian jatuh kepada anaknya, Abdullah. Genap 100 ekor unta, undian seterusnya jatuh kepada unta. Abdul Mutholib sangat gembira dan memerintahkan unta-unta itu disembelih dan diagihkan kepada penduduk Mekah. Inilah tanda kesyukuran Abdul Mutholib kerana Abdullah terselamat dari korban.

Abdul Mutholib memimpin tangan Abdullah sambil berjalan pulang ke rumah. Dalam perjalanan itu, seorang perempuan jelita dan berpakaian mewah menegur Abdullah. Abdullah hanya menjawab secara bersahaja kerana masih memikirkan peristiwa yang hampir meragut nyawanya sendiri. Abdul Mutholib yang melihat peristiwa itu, terus menarik tangan Abdullah dengan tergesa-gesa. Abdul Mutholib telah merancang untuk jodohkan Abdullah dengan Aminah, anak kepada kawan baiknya, Abdul Wahab Bin Abdul Manaf.

Setelah Abdullah berkahwin, Abdullah bertemu semula dengan perempuan ini. Malangnya, perempuan ini tidak mempedulikanya.

Abdullah bertanya," Kenapa kamu tidak seperti ketika kita bertemu kali pertama?".

Perempuan ini menjawab ," aku tidak melihat cahaya lagi pada dirimu"

Cahaya ini telah berpindah ke rahim Aminah. Cahaya ini ada pada anaknya, Muhammad yang bakal lahir untuk menerangi seluruh alam dari kegelapan.

p/s: olahan semula ikut kefahamanku.

SUMBER:
Buku : DIA محمد رسول الله صلى الله عليه وسلم oleh MUHD LABIB AHMAD. Cetakan kedua 1979. Terbitan SYARIKAT DIAN. SDN BHD. Ketua pengarang syarikat ketika ini Yusoff Zaky Yacob penterjemah Tafsir Fi Zilalil Quran oleh Sayyid Qutb.

13 Januari 2019

Siapakah Al-Mutawakkil?

Pemerintahan Islam bermula di Madinah.

1. Zaman Nabi Muhammad Bin Abdullah. Rasulullah SAW

2. Zaman Khulafa' Ar-Rasyidin
  • Abu Bakar As-Siddiq
  • Umar Al-Khattab
  • Uthman Bin Affan
  • Ali Bin Abi Tholib

Setelah Saidina Ali dibunuh, Saidina Hassan dilantik menjadi Khalifah selama 6 bulan.

3. Zaman Islam Beraja
  • Kerajaan Bani Umaiyyah
  • Kerajaan Bani Abbasiyyah : Zaman Ilmu
  • Empayar Turki Uthmaniyyah : Zaman kejatuhan Islam

4. Zaman sekarang.

*****************
Al-Mutawakkil

Beliau merupakan anak khalifah Al-Mu'tashim. Selepas Khalifah Al-mu'tashim meninggal dunia, Al-Watsiq dilantik menjadi khalifah. Setelah abang beliau meninggal dunia, Al-Mutawakkil dilantik menjadi khalifah.

Pemerintahan sebelum Al-Mutawakkil cenderung kepada fahaman Al-Mu'tazilah. Setelah Al-Mutawakkil menjadi khalifah, beliau menyokong fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Banyak perubahan yang dilakukan oleh beliau termasuk melantik Al-Harith Bin Miskin menjadi Hakim Mesir menggantikan Abu Bakar Al-Laith yang merupakan pemimpin Jahmiyyah yang sesat.

Nama sebenar: Al-Mutawakkil Alallah, Jaafar, Abu Fadhal Bin Mu'tasyim Bin Ar-Rasyid.
Nama ibu: Syuja' iaitu bekas hamba.
Dilahirkan pada tahun 205 Hijrah.
Dilantik menjadi khalifah pada 24 Zulhijjah tahun 232 hijrah.



SUMBER: 



Rakan Sejawat Toksik

Ahlan...ahlan Ya Ramadan.  Alhamdulillah masih diberi peluang merasai hidup dalam Islam tetapi umat Islam Palestin masih bergelut dengan kes...