17 Disember 2022

Warden Baru

 Alhamdulillah. Allah telah makbulkan doaku dan orang sekelilingku untuk berpindah tugas ke negeri sendiri. Tahun ini dikira tahun ke-13 tugasku sebagai seorang guru. Bukan mudah, namun perjalanannya penuh pengalaman baharu. Yang pasti Allah tangguhkan aku kembali ke negeri sendiri setelah melalui pelbagai pengalaman yang sangat berharga. Dari tugasan guru biasa, guru perpustakaan media, guru disiplin merangkap guru pengawas, ketua bidang, jurulatih utama dan ketua pentaksir. Pengalaman yang bukan mudah, bahkan sangat mencabar.

Aku reposting semula pada 1 Ogos 2022. Hari pertama, aku lapor diri di Cyberjaya. Ramai rakan seguru yang bakal diposting semula. Bukan aku seorang. Bahkan semua orang tertunggu-tunggu penuh debaran. Pada hari itu, surat akan diberikan. Surat yang akan ditulis nama sekolah yang bakal ditugaskan. Ya penuh debaran. Semua orang disekelilingku adalah orang yang pertama kali bersua muka walaupun dalam group selalu bertanya pelbagai soalan. Mereka sangat ramah dan ceria. Aku adalah salah seorang yang memilih tiga negeri.

Apabila namaku dipanggil untuk menerima surat reposting, terasa bimbang kerana aku banyak fikir. Adakah aku akan berada jauh lagi? Adakah aku bakal mencari rumah sewa baharu di tempat baru? Aku berjalan ke depan, penuh debaran. Aku sambut surat yang bersampul dan pegawai berkenaan kata, "Tahniah cikgu. Selamat bertugas di tempat baru". Aku belum tengok lagi nama sekolah yang bakal aku pergi bertugas. Aku duduk dahulu. Orang sekeliling dah tunggu. Aku buka surat. Mata aku dah pedih, mengalir laju air mata. Aku tak mampu jawab pertanyaan mereka, hanya tanganku hulurkan surat berkenaan. Semua orang terkejut. Aku antara yang boleh masuk negeri kebal. Alhamdulillah. Aku hanya dengar suara, Ilmu apa awak pakai ni?. Apa amalan awak? Semua aku tak mampu jawab. Aku senyum sahaja sebab masih terkejut dan tak mampu bersembang. Aku ambil telefon dan snap. Aku hantar gambar itu dalam group keluarga. 

Setelah urusan di Cyberjaya selesai, aku berkejar ke tempat aku belajar untuk jumpa penyelia sebab penyelia mesej minta aku ke officenya. Walaupun aku sedikit kecewa kerana disertasi aku masih belum disemak. Ya. Aku seboleh mungkin untuk siapkan semua tugasanku sebelum reposting ke sekolah baharu, namun sebaliknya berlaku. Aku masih bersabar kerana aku dimudahkan pada bahagian lain dan diuji pada bahagian lain. Tak mudah menjaga emosi terutama apabila usahaku seolah-olah sia-sia.

Sebenarnya barang-barang di bilik sewaku telah aku masukkan dalam kereta. Penuh. Aku rancang balik pada keesokan hari. Setelah solat subuh, aku serahkan kunci bilik sewa kepada menantu tuan rumah. Aku pulang ke kampung dalam keadaan hujan yang sangat lebat. Aku dapat keluar dari KL pada pukul 9.00 pagi sebab aku sesat jalan dan tersilap masuk exit. Aku seorang diri dengan bantuan google maps.

Sebelum itu aku telah telefon ke sekolah baharu untuk aku lapor diri pada 2hb tetapi perjalananku terasa lambat. Pukul 5 petang aku masih di lebuh raya. Aku minta penangguhan lapor diri ke 3hb. 

Secara ringkasnya, 3 bulan pertama tiada tugasan berat. Hanya tugasan hantar pelajar yang dah biasa aku buat di sekolah lama. Jadual kelas apada asalnya mengajar tingkatan 5. Setelah pertukaran jadual baru, aku diberi kelas tingkatan 3 sahaja. Masuk bulan ke-4, aku dilantik menjadi warden baharu bersama guru-guru 'one off' dan guru reposting sepertiku. 

1hb Nov 2022, walaupun tiada surat hitam putih, aku mula tinggal di bilik warden. Kejutan demi kejutan aku terima termasuk pelajar-pelajar menerima kejutan daripada kami. Ya. Mereka tidak suka warden baru dan minta warden lama dikekalkan. Mereka tidak sedar warden lama, hantar surat letak jawatan. Mana mungkin mereka ingin kembali menjadi warden. Sebaik sahaja ada guru baharu  masuk, cepat-cepat mereka hantar surat letak jawatan. Mungkin aura guru disiplin di sekolah lama masih ada, ketegasan dalam melaksanakan tugas masih tersisa walaupun merasakan diri ini baru posting.

Insya Allah 2023, mereka bakal menerima perubahan baharu secara berperingkat. Setakat ini dahulu coretanku. 

11 Disember 2022

Sesat di Tempat Sendiri.

Telah lama aku tidak mencoret apa-apa catatan berkaitan diri sendiri. Kali ini aku nak tulis juga. 

Alkisah ini baru sahaja berlaku. Kawan aku dan juga rakan sejawat di sekolah lama datang ke negeriku di pantai timur. Tak sangka perkara ini berlaku.

Aku nak ke mana-mana tempat yang jarang aku pergi perlu gunakan google maps. Aku dan google maps berpisah tiada. Inilah teman akrabku apabila berada dalam perjalanan yng boleh menyebabkan aku sesat jalan.

Hari ini bukan sahaja aku sesat jalan, malah aku tak jumpa kereta yang telah aku parking. Aku sangka parking itu terletak sebelum pasar. Aku berjalan dua, tiga kali dalam hujan yang kurang lebat. Aku dah tak peduli orang pandang aku. Macam hilang anak. Aku terfikir dan ingat lagi, aku parking di tepi dinding biru yang menutup tempat pembinaan sedang dijalankan. Ya, aku yakin.

Malangnya aku tak jumpa dinding biru itu. Puas aku fikir tempat itu. Aku berhenti sejenak. Aku terus fikir. 

Alhamdulillah. Allah bagi idea untuk aku kembali ke gerai 177 mek comey. Tempat jual kain pasang kaftan, batik atau crepe vip. Bermula dari tempat ini, aku cari tempat laluan masukku. Sesak. Ramai orang. Pakaianku pula memang dah basah. Akhirnya, aku jumpa kereta. 

Paling membimbangkan aku,flight kawan aku jam 1.30 petang. 12.30 tengahari aku masih dalam kereta. Bila dah guna masa kecemasan, aku terpaksa langgar peraturan jalan raya. huhuhu. 12.50 tengahari waktu boarding. Semuanya dipermudahkan. 

Terima kasih atas kenangan yang tak dapat dilupakan termasuk yang tidak ditulis. 

19 November 2022

Tempat Baharu

Assalamualaikum. 

Tanggal 1 Ogos 2022, di Cyberjaya, aku sangat menunggu keputusan 'reposting'. Reposting ini berlaku setelah aku tamat bercuti selama 2 tahun. 2 tahun itu aku menjadi pelajar yang melalui proses pdpr era PKP kerana wabak Covid 19.

Ketika nama aku dipanggil untuk menerima surat reposting itu, aku tertanya-tanya adakah aku perlu melalui perjalanan jauh lagi? 

Debaran berakhir setelah aku buka surat berkenaan. Air mata turun disebalik 'mask'. Rakan-rakan yang lain tanya, aku tidak mampu menjawab. Hanya tangan yang memegang surat berkenaan dihulurkan.

Alhamdulillah. Aku orang pertama yang diketahui oleh mereka yang dapat memasuki negeri kebal di pantai timur. 

Jarak antara sekolah berkenaan dan rumahku hanya 30 minit.

Segala anggapan yang mengatakan sukar menembusi negeri berkenaan adalah meleset. Itulah perancangan Allah yang tidak aku ketahui disamping doa mak, ayah dan semua orang disekeliling aku. Doa salah seorang dari mereka dimakbulkan Allah.

Doakan aku dapat menyesuaikan diri di tempat baharu ini.

12 Julai 2022

Trading Forex- Jurnal

FOREX dan Aplikasinya Berbanding dengan Prinsipal Perundangan Islam.  SINI

1- Pasaran Tukaran Asing (FOREX) : sejarah, fungsi, jumlah transaksi dan peserta FOREX serta perbezaannya dengan pasaran kewangan lain akan dipertimbangkan . Seterusnya ciri-ciri urus niaga dalam FOREX serta kesan ekonomi daripada perubahan dalam kadar mata wang ke atas keadaan ekonomi. 

2- Justifikasi FOREX secara Islam dengan pertimbangan prinsip fiqh. Pertama, kesahihan mekanisme dan instrumen urus niaga FOREX mengikut syariah dan perundangan Islam akan dianalisis. Kemudian mengambil kira instrumen semasa FOREX 

3- Memperkenalkan beberapa pendekatan yang mungkin untuk institusi kewangan Islam mengambil bahagian dalam pasaran ini termasuk beberapa penyelesaian pengganti Islam untuk melindung nilai risiko pertukaran asing oleh institusi kewangan Islam diperkenalkan. 

*******

Perdagangan Mata Wang Dalam Bank Islam Semasa Di Malaysia (SINI)

Dagangan forex adalah salah satu daripada banyak isu yang ditangani di bawah undang-undang perbankan Islam. Dagangan tukaran mata wang asing atau forex pada satu ketika diketahui sebagai sesuatu yang dilakukan oleh orang ramai ketika mereka melancong ke luar negara. Mereka akan menukar mata wang negara asal mereka dengan mata wang lain dan mengalami kadar pertukaran mata wang semasa. Pada masa kini, peniaga boleh membuat spekulasi mengenai nilai mata wang yang berbeza-beza yang melibatkan dua negara. Ia dijalankan untuk keuntungan dan sukan. Pertikaian mengenai wang kertas diselesaikan semasa sesi ke-3 Akademi Fiqh Islam Pertubuhan Kerjasama Islam ('OIC') pada Oktober 1986. Dalam Resolusi No. 21, wang kertas mempunyai kesan yang sama seperti emas dan perak, dan dengan itu semua ketetapan kerana emas dan perak hendaklah terpakai pada wang kertas. Ini sebenarnya menjadikan wang kertas sebagai barang ribawi, di mana pertukaran mata wang hanya boleh dilakukan di tempat kejadian. Walau bagaimanapun, perbincangan mengenai Bay' al-Sarf, iaitu kontrak pertukaran wang dengan wang, telah ditangguhkan kerana kekurangan kajian terperinci. Artikel ini membincangkan amalan semasa pertukaran mata wang di bank Islam Malaysia yang selaras dengan prinsip perundangan Syariah. 

********

Pematuhan Syariah dalam Urus Niaga Pertukaran Wang Asing di Institusi Perbankan Islam. (SINI)

Subjek urusniaga pertukaran asing dalam institusi perbankan Islam dengan tumpuan khusus kepada pematuhan syariah merupakan tema utama kajian ini. Isu patuh syariah sering menjadi topik perbincangan dalam wacana akademik dan intelektual dalam bidang kewangan dan perbankan Islam. Pada asasnya, tata urus pertukaran asing dalam perbankan konvensional dan institusi perbankan Islam tampak serupa. Urusniaga pertukaran asing dalam perbankan Islam adalah berbeza daripada urusniaga pertukaran asing konvensional dan ia tidak bercanggah dengan undang-undang Islam. Kajian ini bertujuan menentukan keharusan urusniaga pertukaran asing dari perspektif syariah. Seterusnya, kajian ini meneliti perbezaan fatwa bagi urusniaga pertukaran asing dalam perbankan Islam di Malaysia berbanding fatwa yang dikeluarkan oleh negara-negara lain; mengukur tahap keseragaman fatwa yang dikeluarkan pihak berkuasa di Malaysia berbandingnegara-negara Majlis Kerjasama Teluk (GCC). Kajian ini juga bertujuan mengharmonikan sebarang perbezaan bagi menyeragamkan kaedah urusniaga pertukaran asing supaya tata cara Islam dalam transaksi pertukaran asing boleh diinstitusikan untuk menjadi satu sistem yang universal, boleh digunapakai, dan memenuhi keperluan pelaku industri. Menggunakan kaedah analisis perbandingan fatwa yang digunakan oleh Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa (ISRA), penyelidik meneliti prinsip-prinsip Islam yang berkaitan dengan urusniagapertukaran asing untuk menentukan sumber dan bukti yang ada. Setelah itu fatwa daripada berbagai pihak berkuasa dibandingkan bagi menentukan persamaan dan perbezaan yang wujud. Kajian mendapati bahawa prinsip syariah yang diterima sebulat suara oleh pihak berautoriti dalam bidang kewangan Islam di Malaysia dan Negara-Negara Teluk ialah Bai' al-Sarf, manakala prinsip syariah yang berkaitan dengan Wa’ad dan Tawarruq adalah untuk memudahkan pelaksanaan Bai' al-Sarf pada tempoh akhir urusniaga berkenaan. Kajian ini telah menyumbang kepada penulisan berkaitan perbankan Islam, terutamanya mengenai subjek urusniaga pertukaran asing; bahawa urusniaga pertukaran asing seperti yang diamalkan oleh institusi perbankan Islam di Malaysia dan negara-negara lain adalah urusniaga yang sah menurut perspektif syariah. Sebuah sistem kewangan Islam yang bebas dan berwibawa memang sangat dikehendaki. Justeru, penyeragaman prosedur dan penubuhan rangka kerja perundangan yang bebas untuk urusniaga pertukaran asing dalam perbankan Islam adalah amat perlu dan tepat pada masanya.

************

p/s: ini untuk rujukan pemilik blog sahaja. Hanya copy dan tiada ulasan.




30 Mei 2022

Najmuddin al-Tufi

 Al-Tufi merupakan ulama' yang mendahulukan maslahah berbanding dalil al-Quran dan hadis. Perkara ini bertentangan dengan para ulama' lain. Pendapat beliau banyak digunakan oleh Liberal. Ini sahaja pengetahuan sedia ada aku. Sejauhmana kebenarannya, aku sendiri tidak tahu. Oleh kerana aku terjumpa beberapa penulisan berkaitan beliau, aku cuba kumpulkan dalam blog ini, untuk aku jadikan rujukan atau menambah pengetahuan sedia ada.

Nama sebenar beliau ialah Abi al-Rabi' Sulaiman bin Abd al-Qawi bin Abdul Karim bin Sa'id. Dipanggil al-Tufi kerana disandarkan kepada nama tempat Thufa di wilayah Sharshar di Baghdad, iaitu tempat kelahiran beliau. Tahun kelahiran yang ditulis oleh al-Hafiz Ibn Hajar adalah pada tahun 657H. Ibn Rejab dan Ibn Imad meletakkan tahun 670H sebagai tahun kelahiran al-Tufi. Ada juga sumber lain mengatakan al-Tufi hidupa antara tahun 657-716 bersamaa 1259-1316M

Dalam proses pembelajrannya, beliau terkenal sebagai seorang murid yang pintar, memiliki kecerdasan intelektual yang tinggi, dan ingatan yang kuat. Beliau belajar semua disiplin ilmu dari ulama' yang terkenal sezaman dengannya.

Qadi al-Qudhat mengatakan bahawa al-Tufi sentiasa bekerja, membaca hadith, belajar, mengarang, hadir belajar bersama-samanya sedangkan beliau berjalan dari Qus ke Hijaz. al-Tufi memiliki banyak karangan yang dikatakan banyak menulis dari hafalannya, antaranya;

  1. Mukhtasar al-Tirmizi
  2. Ringkasan kitab "al-Raudhah fi Usul al-Fiqh" karya al-Sheikh al-Muwaffiq
  3. Syarahnya " Sharh al-Arba'in al-Nawawiyyah"
  4. Sharh al-Tibrazi fi Mazhab al-Shafii,
  5. Kitab-kitab Maqamat
Al-Shafadi berkata bahawa al-Tufi seorang ahli fiqh Mazhab Hanbali, sangat mengetahui masalah-masalah furu' Mazhab Hanbali, seorang penyair dan sasterawan, seorang yang pandai dan cerdik, memiliki Majlis Usul al-Fiqh. Dari Majlis ini dia melahirkan banyak karya. Beliau juga sangat menghargai ilmu Nahu, bahasa, sejarah dan sebagainya.

Beliau lahir dalam fasa kemunduran Islam khususnya berkaitan hukum Islam yang menuntut pembaharuan. Beliau lahir dalam masyarakat yang kritis dan tidak menentu setelah jatuhnya Baghdad kepada pasukan tentera Monggol. Jatuhnya Baghdad di tanngan Mongol merupakan tragedi yang menyedihkan dalam sejarah umat Islam. Secara tidak langsung menjadi titik awal kemunduran dan kehancuran umat Islam sama ada dalam politik, sosial dan ilmu pengetahuan.

Kamaruddin Khan mengemukakan bahawa pada waktu terjadi pembakaran karya-karya yang sangat berharga sehingga banyak kitab-kitab tidak dapat diselamatkan. Inilah bermulanya umat Islam kehilangan ilmu pengetahuan dari warisan intelektual sebelumnya. Tragedi ini memberi kesan negatif kepada dunia Islam kerana politik pemerintahan tidak stabil serta bidang pemikiran dan pemahaman hukum Islam mengalami kemunduran yang cukup lama. Fenomena ini memberi pengaruh kepada pemikiran al-Tufi yang dilihat sangat liberal. Salah satu konsep al-Tufi yang menjadi kontroversi adalah konsep maslahah kerana berbeza dengan ulama' lain. Maslahah al-Tufi lebih liberal dari al-Shatibi. 

Eh! al-Shatibi liberal juga ke? bukankah beliau adalah tokoh pembaharuan selepas berlaku kejumudan dalam hukum Islam. Beliau menulis kitab al-Muwafaqat yang mengandungi 4 jilid. Bagi aku kitab ini adalah kitab Usul Fiqh pada jilid pertama. Jilid kedua banyak garapan berkaitan Maqasid al-Shariah. Beliau orang mula menulis berkaitan Maqasi al-Shariah secara lengkap dan tersusun kerana Bahasa Arab yang dikuasainya sangat hebat. Beliau bermazhab Maliki yang diambil dari Imam Malik yang merupakan Tabiin. Sumber yang diambilnya banyak dari Khalifah Umar al-Khattab. Cara al-Shatibi ini lebih mirip dengan cara Umar al-Khattab dalam berijtihad. Daripada penulisan al-Shatibi dalam al-Muwafaqat yang membawa pembaharuan Muhammad Abduh di Mesir.  

Wallahu a'lam

SUMBER: 

1- Maslahah al-Tufi

29 Mei 2022

Qadi al-Baidawiy

Nama ulama' ini banyak aku jumpa dalam beberapa kitab yang aku jadikan rujukan terutama kitab aliran Mazhab Shafii dan Mausu'ah. Asalnya aku ingatkan ulama' ini adalah aliran Mazhab Hanafi. Rupanya salah! beliau aliran Mazhab Shafii. 

Dalam rumah yang mak ayah aku diami ini, banyak pula kitab-kitab turath. Kira kitab klasik dalam bidang syariah. Tak ada siapa nak tengok-tengokkan kecuali ada beberapa orang yang sambung belajar, pinjam dan hantar. Ada juga hilang terutama jilid awal. Ada juga kena tenggelam banjir sebab abang aku bawa ke rumahnya.

Dalam bidang Usul al-Fiqh ini, Qadi al-Baidawiy ini kira terkenal juga. Sebelum ini, aku tak tahu wujud nama ini. Sebab kurang membaca kitab klasik ini. Jadi dengan pengetahuan Bahasa Arab yang asas ini, aku cuba juga fahami tentang riwayat hidup Qadi al-Baidawiy.

al-Baidawiy ini menjadi Qadi pada zaman anak Hulagu Khan dan cicit kepada Genghis Khan. Kisah Hulagu Khan boleh baca di SINI. Ini dari pembacaan dari buku novel sejarah. 

Pernah tak kita dengar kata-kata ini "ANAK YANG SOLEH TERHASIL DARI KETURUNAN YANG BAIK-BAIK". Kalau di Malaysia pepatah "Bapa Borek Anak Rintik" boleh guna ke? Ada juga kata "IMAN TIDAK BOLEH DIWARISI". 

Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Umar bin Ahmad bin Ali. Beliau dilahirkan di Kota Baidha'  yang penduduk al-Shiraz ramai bekerja di sini yang terletak di Parsi. Beliau meninggal dunia di Tabriz iaitu kota yang terkenal di Azebaijan. Teringat cerita Bajrangi tentang kisah Orang India hantar anak perempuan comel ke Bajrangi. Nak tahu lebih, kena google la ye.

Nama al-Baidawiy ini di sandarkan kepada tempat al-Baidha'. Asalnya aku ingat maksudnya 'putih'. al-Shirazi pula di sandarkan kepada Kota al-Shiraz. al-Tibrazi pula disandarkan kepada nama Tibraz. Eh, macam nama tasik Tibraz la. Baidha' adalah kota tempat kelahiran beliau. Shirazi pula tempat beliau membesar. Tibraz pula tempat beliau meninggal dunia. Beliau bermazhab al-Shafii dan pegangan akidah al-Ash'ari. Gelarannya ialah Nasr al-Din. Ada juga dipanggil Abi al-Khair atau Abi Sa'id atau Abi Muhammad. Kebiasaannya dipanggil Abi al-Khair dan Sa'id dan Muhammad adalah anaknya. 

Tarikh kelahiran Qadi al-Baudhawiy tidak disebut dalam mana-mana kitab sebab negaranya dilanda peperangan pada pertengahan pertama Kurun ke-7 Hijrah selepas Tartar mengambil alih pemerintahan ketika itu. Ibnu Habib menganggarkan beliau lahir pada tahun 585H iaitu sebelum Kurun ke-7.

Qadi al-Baidhawiy ini terkenal terkenal kerana keluarganya terpengaruh dan di sinilah terbinanya sahsiah dan akhlak Qadi al-Baidhawiy. "Solehnya seorang anak kerana solehnya seorang bapa". Ini terjemahan hentam aku je. lebih kurang macam tu la maksudnya.

Qadi al-Baidhawiy ini membesar dalam rumah ilmu dan mempunyai banyak kelebihan. Ayahnya Umar bin Muhammad bin Ali al-Shirazi al-Baidhawiy atau dipanggil Abi Hafsin dan digelar sebagai Imam al-Din dan dilantik sebagai Qadi di Shiraz di Turki (asalnya al-Atabik). Datuknya pula Qadi Fakhru al-Din bin Muhammad adalah seorang yang berilmu dan banyak kelebihan, diddapati bahawa datuk kepada ayahnya Sadru al-Din Abu al-Hassan Ali al-Baidhawiy dahulu seorang ulama' yang terbaik (Khiaratu al-Ulama')

Kebiasaannya bapa menjadi idola dan tauladan kepada anak-anak. Jadi tidak hairanlah Qadi al-Baidawiy ini tenggelam dalam kesibukan menuntut ilmu Adab, Bahasa Arab, al-Fiqh, al-Usul, al-Tafsir, al-Hadith, al-Mantiq, al-Tarikh yang dipelajari dari bapanya dan beberapa ulama' sezaman dengannya sehingga menguasai ilmu-ilmu agama dan diikhtiraf oleh ulama' sezaman dengannya. Bukan senang diiktiraf sebagai ulama' sebab orang alim ini dahulu akan diuji oleh 60 atau lebih ulama' sezaman dengannya.  Qadi al-Baidhawiy ini dilantik menjadi Qadi di Tibraz sehingga wafat. Beliau meninggal dunia telah ber'uzlah selama 6 bulan. Beliau meninggalkan dunia Qadi 6 bulan sebelum meninggal dunia. Ini kerana beliau mengetahui seorang Qadi, jika salah menghukum mendaoat satu pahala dan jika betul mendapat dua pahala. malah beliau takut menjadi Qadi ini satu kaki masuk neraka.

Berkaitan dengan sifat dan akhlaknya, Imam al-Subkiy mengatakan bahawa al-Baidawiy adalah seorang Imam yang baik, soleh dan a'bid (banyak beribadat). Ibnu Shuhbah pula kata beliau banyak menulis kitab dan paling alim (berilmu) di Azebaijan. Kata Imam al-Sayuthi pula beliau adalah seorang alim yang sangat mengetahui tentang ilmu fiqh, tafsir, usul, bahasa Arab, mantiq, soleh, kuat beribadat dan mazhab Shafii.


Sumber google: Kota Tibraz di Iran.

Banyaknya Qadi al-Baidawiy menulis. Ada dalam bidang Usul al-Din seperti berikut:

  1. al-Idhah
  2. Tawali' al-Anwar fi Matali' al-Andhar
  3. Misbah al-Arwah
  4. Muntaha al-Manna fi sharh Asma' Allah al-Husnay
Penulisan dalam Bidang Usul al-Fiqh:
  1. Sharh al-Mahsul li Imam al-Razi
  2. Marshad al-Afham ila Mabadi' al-Ahkam
  3. Sharh al-Muntakhib min al-Mahsul
  4. Sharh al-Minhaj
  5. Minhaj al-Wusul ila Ilm al-Usul
Penulisan dalam bidang Tafsir:
  1. Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta'wil atau dikenali Tafsir al-Baidhawiy
Penulisan dalam bidanh Hadith:
  1. Tuhfah al-Abrar
Penulisan bidang Fiqh:
  1. Sharh al-Tanbih. Ini adalah kitab syarah bagi Kitab Tanbih Oleh Abi Ishaq al-Shirazi yang disyarahkan oleh al-Baidawit dalam 4 jilid
  2. al-Ghayah al-Qaswa fi Dirayah al-Fatwa. Ini merupakan ringkasan Kitab al-Wasit oleh Imam al-Ghazali dan ditulis dalam dua naskhah
Penulisan dalam bidang Nahu:
  1. Sharh al-Kafiyah
  2. Lub al-Albab fi Ilm al-I'rab
Penulisan dalam Bidang Tarikh (Sejarah Islam)
  1.  Nidham al-Tarikh
Penuliasan dalam bidang Tasawur:
  1. al-Tahzib wa al-Akhlak
Penulisan dalam bidang Falaq
  1. Sharh al-Fusul
  2. Mukhtasar fi al-Hai'ah
Penulisan dalam Bidang Mantiq:
  1. Sharh al-Mathali' fi Mantiq
  2. Risalah fi Maudu'at al-Ulum wa taarifiha.
Mohon maaf jika silap terjemah. Nanti boleh rujuk kitab di bawah. Terima kasih

SUMBER: Pentahqiq: Dr Abdul Fattah Ahmad Qutb al-Dukhmisiy, Pensyarah Usul al-Fiqh di Kuliyyah Syariah dan Undang-undang, Tanta, Mesir. Penulis asal: Qadi al-Baidhawiy ( meninggal pada 685H). 1996. Al-Tahqiq al-Ma'mul al-Manhaj al-Usul ala al-Minhaj

Rakan Sejawat Toksik

Ahlan...ahlan Ya Ramadan.  Alhamdulillah masih diberi peluang merasai hidup dalam Islam tetapi umat Islam Palestin masih bergelut dengan kes...