30 Mei 2022

Najmuddin al-Tufi

 Al-Tufi merupakan ulama' yang mendahulukan maslahah berbanding dalil al-Quran dan hadis. Perkara ini bertentangan dengan para ulama' lain. Pendapat beliau banyak digunakan oleh Liberal. Ini sahaja pengetahuan sedia ada aku. Sejauhmana kebenarannya, aku sendiri tidak tahu. Oleh kerana aku terjumpa beberapa penulisan berkaitan beliau, aku cuba kumpulkan dalam blog ini, untuk aku jadikan rujukan atau menambah pengetahuan sedia ada.

Nama sebenar beliau ialah Abi al-Rabi' Sulaiman bin Abd al-Qawi bin Abdul Karim bin Sa'id. Dipanggil al-Tufi kerana disandarkan kepada nama tempat Thufa di wilayah Sharshar di Baghdad, iaitu tempat kelahiran beliau. Tahun kelahiran yang ditulis oleh al-Hafiz Ibn Hajar adalah pada tahun 657H. Ibn Rejab dan Ibn Imad meletakkan tahun 670H sebagai tahun kelahiran al-Tufi. Ada juga sumber lain mengatakan al-Tufi hidupa antara tahun 657-716 bersamaa 1259-1316M

Dalam proses pembelajrannya, beliau terkenal sebagai seorang murid yang pintar, memiliki kecerdasan intelektual yang tinggi, dan ingatan yang kuat. Beliau belajar semua disiplin ilmu dari ulama' yang terkenal sezaman dengannya.

Qadi al-Qudhat mengatakan bahawa al-Tufi sentiasa bekerja, membaca hadith, belajar, mengarang, hadir belajar bersama-samanya sedangkan beliau berjalan dari Qus ke Hijaz. al-Tufi memiliki banyak karangan yang dikatakan banyak menulis dari hafalannya, antaranya;

  1. Mukhtasar al-Tirmizi
  2. Ringkasan kitab "al-Raudhah fi Usul al-Fiqh" karya al-Sheikh al-Muwaffiq
  3. Syarahnya " Sharh al-Arba'in al-Nawawiyyah"
  4. Sharh al-Tibrazi fi Mazhab al-Shafii,
  5. Kitab-kitab Maqamat
Al-Shafadi berkata bahawa al-Tufi seorang ahli fiqh Mazhab Hanbali, sangat mengetahui masalah-masalah furu' Mazhab Hanbali, seorang penyair dan sasterawan, seorang yang pandai dan cerdik, memiliki Majlis Usul al-Fiqh. Dari Majlis ini dia melahirkan banyak karya. Beliau juga sangat menghargai ilmu Nahu, bahasa, sejarah dan sebagainya.

Beliau lahir dalam fasa kemunduran Islam khususnya berkaitan hukum Islam yang menuntut pembaharuan. Beliau lahir dalam masyarakat yang kritis dan tidak menentu setelah jatuhnya Baghdad kepada pasukan tentera Monggol. Jatuhnya Baghdad di tanngan Mongol merupakan tragedi yang menyedihkan dalam sejarah umat Islam. Secara tidak langsung menjadi titik awal kemunduran dan kehancuran umat Islam sama ada dalam politik, sosial dan ilmu pengetahuan.

Kamaruddin Khan mengemukakan bahawa pada waktu terjadi pembakaran karya-karya yang sangat berharga sehingga banyak kitab-kitab tidak dapat diselamatkan. Inilah bermulanya umat Islam kehilangan ilmu pengetahuan dari warisan intelektual sebelumnya. Tragedi ini memberi kesan negatif kepada dunia Islam kerana politik pemerintahan tidak stabil serta bidang pemikiran dan pemahaman hukum Islam mengalami kemunduran yang cukup lama. Fenomena ini memberi pengaruh kepada pemikiran al-Tufi yang dilihat sangat liberal. Salah satu konsep al-Tufi yang menjadi kontroversi adalah konsep maslahah kerana berbeza dengan ulama' lain. Maslahah al-Tufi lebih liberal dari al-Shatibi. 

Eh! al-Shatibi liberal juga ke? bukankah beliau adalah tokoh pembaharuan selepas berlaku kejumudan dalam hukum Islam. Beliau menulis kitab al-Muwafaqat yang mengandungi 4 jilid. Bagi aku kitab ini adalah kitab Usul Fiqh pada jilid pertama. Jilid kedua banyak garapan berkaitan Maqasid al-Shariah. Beliau orang mula menulis berkaitan Maqasi al-Shariah secara lengkap dan tersusun kerana Bahasa Arab yang dikuasainya sangat hebat. Beliau bermazhab Maliki yang diambil dari Imam Malik yang merupakan Tabiin. Sumber yang diambilnya banyak dari Khalifah Umar al-Khattab. Cara al-Shatibi ini lebih mirip dengan cara Umar al-Khattab dalam berijtihad. Daripada penulisan al-Shatibi dalam al-Muwafaqat yang membawa pembaharuan Muhammad Abduh di Mesir.  

Wallahu a'lam

SUMBER: 

1- Maslahah al-Tufi

29 Mei 2022

Qadi al-Baidawiy

Nama ulama' ini banyak aku jumpa dalam beberapa kitab yang aku jadikan rujukan terutama kitab aliran Mazhab Shafii dan Mausu'ah. Asalnya aku ingatkan ulama' ini adalah aliran Mazhab Hanafi. Rupanya salah! beliau aliran Mazhab Shafii. 

Dalam rumah yang mak ayah aku diami ini, banyak pula kitab-kitab turath. Kira kitab klasik dalam bidang syariah. Tak ada siapa nak tengok-tengokkan kecuali ada beberapa orang yang sambung belajar, pinjam dan hantar. Ada juga hilang terutama jilid awal. Ada juga kena tenggelam banjir sebab abang aku bawa ke rumahnya.

Dalam bidang Usul al-Fiqh ini, Qadi al-Baidawiy ini kira terkenal juga. Sebelum ini, aku tak tahu wujud nama ini. Sebab kurang membaca kitab klasik ini. Jadi dengan pengetahuan Bahasa Arab yang asas ini, aku cuba juga fahami tentang riwayat hidup Qadi al-Baidawiy.

al-Baidawiy ini menjadi Qadi pada zaman anak Hulagu Khan dan cicit kepada Genghis Khan. Kisah Hulagu Khan boleh baca di SINI. Ini dari pembacaan dari buku novel sejarah. 

Pernah tak kita dengar kata-kata ini "ANAK YANG SOLEH TERHASIL DARI KETURUNAN YANG BAIK-BAIK". Kalau di Malaysia pepatah "Bapa Borek Anak Rintik" boleh guna ke? Ada juga kata "IMAN TIDAK BOLEH DIWARISI". 

Nama sebenar beliau ialah Abdullah bin Umar bin Ahmad bin Ali. Beliau dilahirkan di Kota Baidha'  yang penduduk al-Shiraz ramai bekerja di sini yang terletak di Parsi. Beliau meninggal dunia di Tabriz iaitu kota yang terkenal di Azebaijan. Teringat cerita Bajrangi tentang kisah Orang India hantar anak perempuan comel ke Bajrangi. Nak tahu lebih, kena google la ye.

Nama al-Baidawiy ini di sandarkan kepada tempat al-Baidha'. Asalnya aku ingat maksudnya 'putih'. al-Shirazi pula di sandarkan kepada Kota al-Shiraz. al-Tibrazi pula disandarkan kepada nama Tibraz. Eh, macam nama tasik Tibraz la. Baidha' adalah kota tempat kelahiran beliau. Shirazi pula tempat beliau membesar. Tibraz pula tempat beliau meninggal dunia. Beliau bermazhab al-Shafii dan pegangan akidah al-Ash'ari. Gelarannya ialah Nasr al-Din. Ada juga dipanggil Abi al-Khair atau Abi Sa'id atau Abi Muhammad. Kebiasaannya dipanggil Abi al-Khair dan Sa'id dan Muhammad adalah anaknya. 

Tarikh kelahiran Qadi al-Baudhawiy tidak disebut dalam mana-mana kitab sebab negaranya dilanda peperangan pada pertengahan pertama Kurun ke-7 Hijrah selepas Tartar mengambil alih pemerintahan ketika itu. Ibnu Habib menganggarkan beliau lahir pada tahun 585H iaitu sebelum Kurun ke-7.

Qadi al-Baidhawiy ini terkenal terkenal kerana keluarganya terpengaruh dan di sinilah terbinanya sahsiah dan akhlak Qadi al-Baidhawiy. "Solehnya seorang anak kerana solehnya seorang bapa". Ini terjemahan hentam aku je. lebih kurang macam tu la maksudnya.

Qadi al-Baidhawiy ini membesar dalam rumah ilmu dan mempunyai banyak kelebihan. Ayahnya Umar bin Muhammad bin Ali al-Shirazi al-Baidhawiy atau dipanggil Abi Hafsin dan digelar sebagai Imam al-Din dan dilantik sebagai Qadi di Shiraz di Turki (asalnya al-Atabik). Datuknya pula Qadi Fakhru al-Din bin Muhammad adalah seorang yang berilmu dan banyak kelebihan, diddapati bahawa datuk kepada ayahnya Sadru al-Din Abu al-Hassan Ali al-Baidhawiy dahulu seorang ulama' yang terbaik (Khiaratu al-Ulama')

Kebiasaannya bapa menjadi idola dan tauladan kepada anak-anak. Jadi tidak hairanlah Qadi al-Baidawiy ini tenggelam dalam kesibukan menuntut ilmu Adab, Bahasa Arab, al-Fiqh, al-Usul, al-Tafsir, al-Hadith, al-Mantiq, al-Tarikh yang dipelajari dari bapanya dan beberapa ulama' sezaman dengannya sehingga menguasai ilmu-ilmu agama dan diikhtiraf oleh ulama' sezaman dengannya. Bukan senang diiktiraf sebagai ulama' sebab orang alim ini dahulu akan diuji oleh 60 atau lebih ulama' sezaman dengannya.  Qadi al-Baidhawiy ini dilantik menjadi Qadi di Tibraz sehingga wafat. Beliau meninggal dunia telah ber'uzlah selama 6 bulan. Beliau meninggalkan dunia Qadi 6 bulan sebelum meninggal dunia. Ini kerana beliau mengetahui seorang Qadi, jika salah menghukum mendaoat satu pahala dan jika betul mendapat dua pahala. malah beliau takut menjadi Qadi ini satu kaki masuk neraka.

Berkaitan dengan sifat dan akhlaknya, Imam al-Subkiy mengatakan bahawa al-Baidawiy adalah seorang Imam yang baik, soleh dan a'bid (banyak beribadat). Ibnu Shuhbah pula kata beliau banyak menulis kitab dan paling alim (berilmu) di Azebaijan. Kata Imam al-Sayuthi pula beliau adalah seorang alim yang sangat mengetahui tentang ilmu fiqh, tafsir, usul, bahasa Arab, mantiq, soleh, kuat beribadat dan mazhab Shafii.


Sumber google: Kota Tibraz di Iran.

Banyaknya Qadi al-Baidawiy menulis. Ada dalam bidang Usul al-Din seperti berikut:

  1. al-Idhah
  2. Tawali' al-Anwar fi Matali' al-Andhar
  3. Misbah al-Arwah
  4. Muntaha al-Manna fi sharh Asma' Allah al-Husnay
Penulisan dalam Bidang Usul al-Fiqh:
  1. Sharh al-Mahsul li Imam al-Razi
  2. Marshad al-Afham ila Mabadi' al-Ahkam
  3. Sharh al-Muntakhib min al-Mahsul
  4. Sharh al-Minhaj
  5. Minhaj al-Wusul ila Ilm al-Usul
Penulisan dalam bidang Tafsir:
  1. Anwar al-Tanzil wa Asrar al-Ta'wil atau dikenali Tafsir al-Baidhawiy
Penulisan dalam bidanh Hadith:
  1. Tuhfah al-Abrar
Penulisan bidang Fiqh:
  1. Sharh al-Tanbih. Ini adalah kitab syarah bagi Kitab Tanbih Oleh Abi Ishaq al-Shirazi yang disyarahkan oleh al-Baidawit dalam 4 jilid
  2. al-Ghayah al-Qaswa fi Dirayah al-Fatwa. Ini merupakan ringkasan Kitab al-Wasit oleh Imam al-Ghazali dan ditulis dalam dua naskhah
Penulisan dalam bidang Nahu:
  1. Sharh al-Kafiyah
  2. Lub al-Albab fi Ilm al-I'rab
Penulisan dalam Bidang Tarikh (Sejarah Islam)
  1.  Nidham al-Tarikh
Penuliasan dalam bidang Tasawur:
  1. al-Tahzib wa al-Akhlak
Penulisan dalam bidang Falaq
  1. Sharh al-Fusul
  2. Mukhtasar fi al-Hai'ah
Penulisan dalam Bidang Mantiq:
  1. Sharh al-Mathali' fi Mantiq
  2. Risalah fi Maudu'at al-Ulum wa taarifiha.
Mohon maaf jika silap terjemah. Nanti boleh rujuk kitab di bawah. Terima kasih

SUMBER: Pentahqiq: Dr Abdul Fattah Ahmad Qutb al-Dukhmisiy, Pensyarah Usul al-Fiqh di Kuliyyah Syariah dan Undang-undang, Tanta, Mesir. Penulis asal: Qadi al-Baidhawiy ( meninggal pada 685H). 1996. Al-Tahqiq al-Ma'mul al-Manhaj al-Usul ala al-Minhaj

Rakan Sejawat Toksik

Ahlan...ahlan Ya Ramadan.  Alhamdulillah masih diberi peluang merasai hidup dalam Islam tetapi umat Islam Palestin masih bergelut dengan kes...