22 Februari 2015

Angin Syurga Sebuah Komentar.

Kali pertama aku melihat tajuk ini pada iklan tv2. Teruja sangat nak tonton. Setiap kali nak mengadap tv,  asyik terlupa. Kali ini aku dapat tonton drama ini dari episod 1 hingga 12.

Cantik sangat Jue Aziz pakai tudung labuh. Bentuk tudung juga cantik. Kemas. Lipatan pada bahagian muka 'menjadi'. Kita doakan semoga suatu hari ini,  kakak ini akan menjadi muslimah solehah. Menutup aurat dengan sempurna. Aminnn.

Cuma aku ada beberapa kemusykilan berkaitan drama ini. Ada DUA perkara aku dapat simpulkan sebagai penonton.

PERTAMA
Perut Kak Long membesar sehingga menimbulkan fitnah bahawa dia sedang mengandung. Oleh sebab mengandung anak haram,  dia pakai tudung labuh dan jubah. Justeru itu,  penonton akan mengandaikan orang bertudung labuh dan berjubah adalah untuk menyembunyikan perut dari pandangan orang ramai.

KEDUA
Keluarga ini ada jurang yang sangat jauh. Adik perempuan,  Amiera tidak mengenakan tudung kecuali dalam beberapa hal sahaja.

Amiera cakap, "Kak Long tak perlu pakai baju longgar-longgar lagi selepas ini". Perbualan ini berlaku selepas Kak Long membuat pembedahan membuang fibroid dalam perutnya. Apakah maksud perbualan ini?

14 Februari 2015

Pergi Tiada Ganti Bersama Ilmunya.

Malam jumaat 12 Feb 2015. Ulama' yang disegani kawan dan musuh bertemu Arrahman. Pencipta kita semua. Kita semua akan kembali ke sana. Tiada siapa yang tahu bila masanya akan tiba. Sungguh mulia akhir kehidupan Tok Guru Nik Aziz. Nama yang ayah pernah sebut sejak aku masih kanak-kanak. Pernah dibawa ke Pulau Melaka untuk mendengar mutiara kata dari beliau.

Kehadiran selautan manusia membanjiri perkarangan masjid dan rumah beliau. Ada yang mengatakan mereka semua berjalan kaki untuk menziarahi hamba Allah yang mulia ini. Ada juga video yang menunjukkan awan berkumpul melindungi dan membentuk kalimah ALLAH. Petanda apakah ini? Mulianya hamba Allah ini.

Kehilangan beliau amat dirasai terutama dalam era fitnah. Tiada siapa yang berani pertahankan Islam seperti beliau. Walau dihina,  difitnah, beliau tetap memaafkan kesalahan mereka.

Kepimpinan yang adil dan saksama menjadikan beliau tokoh paling berpengaruh di dunia. Di Masjidil Haran juga diumumkan kematian beliau. Bayangkan seramai mana umat manusia solat ghaib atau solat jenazah untuk beliau serta memohon keampunan atas segala kesilapannya.

Bagaimana kita nanti?

Cara hidup kita akan menunjukkan cara kematian kita.

10 Februari 2015

Rumah

Keberanian yang ada ini,  aku buat pinjaman untuk buat rumah. Bajet rumah semi-D 200k dengan keluasan 20 x 50. Sekarang tambah 22x50. Sangat menakutkan apabila hanya 30% proses, duit mengalir hampir 25k. Proses ini bermula bulan Disember 2014. Walaupun hujan,  proses ini tetap diteruskan.

10 Feb 2015-Selasa.

Sekarang tinggal 55k tinggal untuk proses seterusnya. wayering Elektrik 10k. Air 10k. Syiling dan mozek tidak termasuk lagi. Aku sudah tidak nampak ikhtiar lain lagi. Duit kutu aku dapat paling awal RM1200. Duit itu akan habis bila buat pembayaran kepada Pak Din.

Aku sangat berharap semua ini akan berakhir. Sekarang aku dikatakan sangat berjimat cermat. Teringin beli sesuatu,  tangguh dulu. Kesabaran sangat diperlukan. Aku nak pinjam duit siapa untuk buat pembayaran. Hanya seorang yang aku nampak. Tetapi hatiku menghalang kerana anaknya sakit dan memerlukan perbelanjaan yang banyak.

*********
Rumah ini telah siap sepenuhnya pada bulan Ogos 2015. Bulan Februari 2016, rumh semi-D ini telh disewa. Alhamdulillah atas anugerahmu. Hasil ni juga hasil kerja keras ibubapaku. Mereka penguat semangatku untuk siapkan sepenuhnya dari A to Z. 

09 Januari 2015

Imbas Sejarah Andalusia.

1 April 1492. April Fool. Tarikh inilah menyaksikan pembunuhan umat Islam Andalusia atau Sepanyol beramai-ramai. Mereka ditipu untuk memberi kebebasan pergi ke negara yang mereka inginkan. Sebaliknya mereka dikumpulkan dan dibunuh tanpa belas kasihan. Kapal-kapal dibakar ditengah lautan.
Kejatuhan Islam Andalusia bukan disebabkan kekuatan tentera Ratu Isabella dan Raja Ferdinand, sebaliknya angkara pemimpin-pemimpin yang diberikan amanah sudah jatuh cinta kepada dunia dan takutkan mati.
Perebutan kuasa antara bapa, Raja Abu Al- Hassan dan anaknya Raja Abu Abdullah atau Raja Muhammad XII memburukkan keadaan. Bertambah buruk perjanjian sulit yang termaterai antara Raja Muhammad XII dan Raja Ferdinand. Kerabatnya Putera Cid Hiaya atau gelatan kristian, Don Pedro de Granada murtad dan berkhidmat dengan kerajaan Kristian dan menggunakan muslihat ke atas gabenor2 untuk menyerahkan wilayah tanpa pertumpahan darah.

Kita tidak pernah belajar sejarah kejatuhan Andalusia. Perpecahan pemimpin Islam, memberi peluang kepada musuh untuk menguasai beberapa daerah sehingga dapat menguasai keseluruhan wilayah itu. Bantuan tetapi ada muslihat. Bijak mengambil peluang ke atas kelemahan dan perpecahan sesama Islam. Sejarah pasti berulang jika kita tidak bersatu.

Bacalah 2 buku ini supaya sejarah tidak berulang. Taktik musuh Islam tetap sama dulu, kini dan selamanya. Sekian.

05 Januari 2015

Pedih???!

Muka pedih.Bengkak.Mengelupas. Merah-merah dan gatal. Ahli farmasi Melaka cadangkan aku guna pencuci muka cosmoderm. Farmasi di PD cadang guna krim vegesorb sorleben. Farmasi di Trg tidak cadangkan produk kosmetik tetapi guna krim CB. Bertambah pedih. Aku guna minyak zaiton safi. Alhamdulillah ok.

Aku order beli c**** g***. Hanya pencuci muka digunakan. Mukaku kembali pedih,  kering dan gatal. Berhenti terus dari pakai sebarang produk kecuali sabun zaiton, keluaran Minsyam.

Muka masih gatal. Tangan sudah mula menggaru. Luka dan pedih. Cari alternatif lain. Bekam muka.
8 titik pada muka. Sekejap sangat. Cara rawatan yang tidak memuaskan berbanding rawatan bekam di negeri sendiri. Perbandingan untuk diriku yang kurang ilmu berkaitan bekam.

Antara perkara tidak memuaskan;
1. Aurat si perawat tidak dijaga.
2. Rawatan untuk lelaki dan perempuan di bilik yang sama.
3. Tiada privacy untuk pesakit perempuan kerana pintu tidak ditutup,  hanya langsir menjadi pemisah. Secara tidak disedari,  aurat wanita akan terdedah.
4. Tiada pertanyaan tentang latar belakang pesakit untuk memisahkan pesakit berisiko atau tidak berisiko untuk jangkitan aids atau hepatitis B. Ini paling  dibimbangi oleh aku sendiri. Moga dijauhi. Nauzubillahi min zalik.

Alternatif lain adalah mencari alat bekam sendiri dan masuk kursus bekam walaupun aku pernah masuk kursus asas bekam. Untuk diri sendiri sudah mencukupi.

Resdung. Hama. Itu hanya jangkaan. Mukaku jadi pedih dan panas. Air sangat diperlukan. Aku gunakan spray perfume. Setiap kali kulit muka kering,  aku akan spray air ke muka. Sangat tidak selesa.

Pernah aku spray air garam. Pedih yang amat. Tak lama aku gunakan air garam. Kembali menggunakan spray air. Muka masih mengelupas,  pedih dan jadi hitam di beberapa bahagian di pipi. Panas dan pedih tak tahan. Macam kena asid.

Kemudian aku cuba gunakan madu asli hpa yang masih berbaki. Beli yogurt asli tambah madu. Setiap kali muka kering,  spray muka guna yogurt+madu. Muka lebih lembab dan sejuk. Apabila dah habis,  campur yogurt+madu+minyak zaiton. Spray muka. Pergi sekolah pun masih spray muka dulu. Macam- macam cara aku buat untuk kembali kulit seperti biasa.

Baru 2 hari aku cuba serum seaweed diuji SIRIM dan kelulusan kkm. Sapu sekali sehari sebelum tidur. Alhamdulillah. Semoga kulit mukaku kembali seperti biasa. Insya Allah.

23 Disember 2014

PT3 2014.

Assalamualaikum wbt.

Apa khabar semua? Harapanku semua dalam keadaan sihat dan mendapat lindungan Allah. Banjir di kawasan pantai timur semakin merebak. Terengganu merupakan tanah kelahiranku. Bercuti di kampung pada akhir tahun begitu mencabar. Hujan tidak menentu. Angin kuat gepe! Itulah situasi semalam.Ya Allah, ampunkanlah dosa kami. Jauhilah kami dari musibah dan berilah kami kesabaran dalam menghadapi situasi di luar jangkaan ini. Aminn...

Apa khabar perasaan anak-anak PT3? Bagaimana respon anda semua apabila mendapat keputusan PT3. Sebelum bercuti sebelum ini, ada antara anak-anak ini melihat markah mereka sendiri. Kelihatan semuanya gembira. Jika sembunyikan kesedihan dengan gelak ketawa, hanya Allah yang tahu.

Peperiksaan bukan ukuran sama ada kita berjaya atau tidak. Kejayaan kita membuatkan kedua ibubapa bahagia. Jangan lupa, mereka sentiasa mendoakan kejayaan kita semua. Dorongan dan perhatian mereka cukup tinggi sehingga kalian dihantar ke pusat tusyen dan dibayar dengan hasil titik peluh mereka.

Usaha dan usaha berterusan. Teruskan belajar dan sambung belajar. Cari ilmu. Gali ilmu sebanyak yang mungkin kerana cabaran dunia hari ini sangat menakutkan terutama bagi pelajar sekolah agama. Akhlak dan maruah anda adalah percaturan kepada cerminan sekolah yang pernah anda belajar. Hormati guru-guru anda di mana sahaja mereka berada. Cukuplah doakan mereka dalam doa selepas solat.

Kami para guru telah berusaha sebaik yang boleh untuk anak-anak ini. Oleh itu, kejayaan hari ini merupakan usaha mereka setelah belajar dan memahami pengetahuan yang diberikan. Bertanya dan bersoal jawab memantapkan lagi pengetahuan sedia ada. Ulangkaji dan sentiasa membaca perkara baharu penyumbang kepada kejayaan ini. Allah dan rasul tidak dilupakan. Carilah kebenaran berdasarkan ilmu pengetahuan yang diperolehi. Buatlah pemerhatian keadaan disekeliling kita. Apa punca dan penyelesaian yang patut kita lakukan untuk kebaikan Islam secara khususnya.

Tahniah!
Sangkaanku gred diturunkan. Rupa-rupanya gred yang standard meletakkan kedudukan pada tempatnya. Hakikatnya, itulah kualiti anak PT3 ini. Buktikan kejayaan seterusnya dalam SPM 2016. Seterusnya ke peringkat lebih tinggi. Sekian.

Imam Malik

 Dalam dunia Islam, aku sangat jahil berkaitan mazhab-mazhab yang ada. Jika melihat latar belakang pengajian aku sehingga pengajian sarjana,...