24 Julai 2021

Istihsan

Apabila sebut istihsan, apa yang tergambar difikiran? Dengan pemikiran dhaif aku, istihsan yang aku faham adalah apa-apa yang bawa kebaikan dan manfaat itu adalah istihsan. 

Istihsan ini istilah dalam ilmu Usul Fiqh. Ilmu yang bagi aku perlukan pemahaman mendalam sebab ia bukan seperti fiqh yang kita belajar dalam fardu ain berkaitan taharah, solat, puasa, zakat, haji, riba dan banyak lagi. 

Istihsan ini adalah kaedah nak mengenalpasti hukum selepas qiyas. Yang paling mudah ia adalah ilmu alat atau wasilah (jalan) nak keluarkan hukum bagi seorang mujtahid. Sudah tentu aku bukan seorang mujtahid. Yang paling sesuai adalah muqallid sahaja sebab banyak kekurangan teritama kelemahan dalam bahasa Arab, tafsir Quran dan hadis. 

Sumber hukum atau dalil mengikut tertib adalah Al-Quran, al-Sunnah (hadis), Ijma', Qiyas. Kedudukan istihsan ini adalah selepas qiyas. Ada juga ulama' mengatakan ia sebahagian qiyas. Selepas istihsan adalah mashah al-mursalah.

Merujuk kepada kitab Dr Abdul Karim Zaidan bertajuk Al-Wajiz fi Usul Fiqh hlm 231 adalah sebagaimana berikut;

Definisi Istihsan

Dari segi bahasa: menganggap sesuatu baik. Ia boleh digunakan untuk mengungkapkan apa yang dikehendaki oleh manusia walaupun dianggap buruk oleh manusia lain.

Dari segi istilah banyak sebenarnya. jadi aku senaraikan ikut pendapat Imam-imam dikalangan usuliyyun;

  1. Al-Bazdawi: Pengkhususan qiyas dengan dalil yang lebih kuat daripadanya. 
  2. Al-Halwani al-Hanafi: meninggalkan qiyas kerana ada dalil yang lebih kuat darinya seperti al-Quran, sunah atau ijma'.
  3. Imam Karhiy al-Hanafi: seseorang tidak menetapkan hukum dalam sebuah masalah dengan hukum yang ditetapkannya pada masalah yang sama dengan beralih keapda sebaliknya kerana adanya tuntutan untuk beralih.
  4. Ibnu al-Arabi al-Maliki: Meninggalkan suatu dalil dengan cara pengecualian dan memberi keringanan pada suatu masalah yang sudah ditetapkan hukumnya
  5. Sebahagian ulama' hanabilah: Meninggalkan hukum atau sesuatu peristiwa yang telah ditetapkan berdasarkan dalil syara', kerana adanya dalil lain yang lebih khusus
Zaidan (1993) menyimpulkan bahawa maksud istihsan adalah meninggalkan qiyas jali menuju qiyas khafi, atau mengecualikan satu masalah yang bersifat juz'i atau cabang dari masalah yang bersifat kulliy kerana ada dalil yang lebih kuat pada pandangan mujtahid.

Beliau mendatangkan satu contoh. Jika seorang mujtahid berhadapan dengan satu masalah yang terdapat didalamnya dua qiyas; qiyas jali yang menuntut hukum tertentu dan qiyas khafi yang menuntut hukum yang lain. Kemudian dia memiliki dalil yang menuntutnya menyokong qiyas khafi, maka ia dinamakan istihsan. Adapun dalil yang menuntut adanya peralihan dari qiyas jali ke qiyas khafi, disebut dengan sandaran istihsan, sedangkan hukum yang berlaku dengan istihsan adalah hukum yang dianggap baik atau hukum istihsan yang bertentangan dengan qiyas jali.

Begitu juga apabila seorang mujtahid berhadapan dengan masalah yang berkaitan kaedah umum atau maslah bersifat kulli, lalu dia menemui dalil yang khusus yang membuatkan masalah yang bersifat juz'i dikecualikan dari masalah yang bersifat kulli. Kemudian dia beralih dari hukum yang telah berlaku kerana sesuai dengan hukum-hukum masalah yang sama dengannya, menuju hukum lain kerana ada dalil khusus yang ditemui, maka peralihan tersebut dipanggil istihsan. Dalil yang ditemui tersebut bersandarkan kepada istihsan dan hukum al-mustahsin iaitu yang bertentangan dengan qiyas jali.

Begitu juga apabila mujtahid berhadapan dengan maslalah berkaitan dengan kaedah umum atau diambil dari asas yang umum, mujtahida dapati ada dalil khusus bagi mengecualikan juz'i ini dari asal kulli. ia mengambil hukum yang berkaitan dengan penelitiannya kepada hukum yang lain kerana dalil khusus itu terbina sendiri, maka keputusan pengecualian ini ialah istihsan dan dalil yang dihukumkannya adalah dalam bentuk istihsan iaitu sandarannya. Hukum yang dikaitkannya adalah hukum istihsan iaitu bertentangan dengan qiyas. Qiyas di sini adalah asal dari kulii atau kaedah umum.

Jenis-jenis Istihsan.

  1. Istihsan dengan nas: Terdapat nas khusus dari permasalahan juz'i dari Allah yang memerlukan hukumnya bertentangan dengan hukum yang berlaku dengan permsalahan yang sama jika dilihat pada kaedah umum. Oleh itu nas mengecualikan masalah yang bersifat juz'i dari hukum masalah yang sama dengan tuntutan masalah bersifat kulli. kaedah kulli menetapkan bahawa tidak sah jual beli barangan yang tidak wujud. tetapi ada pengecualian iaitu salm (menjual barang yang tidak ada ketika akad jual beli berlangsung dengan nas yang khusus). Nas tersebut berdasarkan riwayat dari Rasulullah SAW: "barangsiapa yang melekaukan salm di antara kamj, maka hendaklah dia melakukannya dalm pertimbangan yang diketahui dan waktu yang diketahui juga". Yang aku faham macam ba'i salam seperti upah menjahit. Pakaian yang dijahit belum ada, tetapi penjual memberitahu upah dan waktu boleh disiapkan. Ia menjadi hukum harus. 
  2. Istihsan dengan ijma': Mengambil upah dari orang yang masuk tandas. secara umum, seseorang tidak boleh mengambil upah tersebut kerana tidak boleh memberi kepastian berapa lama orang berkenaan akan masuk tandas berkenaan dan berapa banyak dia gunakan air. tetapi berdasarka istihsan, petugas tadi boleh mengambil upah dari pengguna tandas kerana telah membantu menghilangkan kesulitan orang tersebut dan menjadi kebiasaan dan tiada penolakan dari mana-mana orang sehingga menjadi ijma' (persepakatan yang dipersetujui bersama)
  3. Istihsan dengan uruf: Sebahagian ulama' membolehkan wakaf harta alih seperti mewakafkan buku, kenderaan dan barang lain. menurut kaedah umum, wakaf harus pada harta tak alih seperti tanah atau bangunan. kemudian ulama' membolehkan wakaf dengan harta alih kerana sudah menjadi adat (kebiasaan orang di negeri itu) membuat perkara sedemikian.
  4. Istihsan bi darurat: Membersihakan air telaga yang ada najis dengan mengambil sebahagian airnya sahaja. Jika ikut qiyas, air telag berkenaan tidak boleh dibersihkan lagi kerana alat untuk membersihkan telaga itu sudah terjena najis dan tidak mungkin dibersihkan. Tetapi menurut istihsan, air itu akan bersih lagi dengan hanya mengelaurkan sebahgaian airnya sahaja. Hal ini kerana mengeluarkan sebahagian air itu tidak mempengaruhi kesucian baki air telaga berkenaan. I ilah dinamakan darurat yang bertujuan memudahkan urusan manusia.
  5. Istihsan bi al-maslahah: contoh yang diberi adalah jaminan upah digabungkan dengan semua barang orang lain yang rosak sebab dirinya kecuali jika kerosakan terjadi dengan kekuatan yang tidak boleh dielakkan. Kaedah umum mengatakan bahawa dia tidak dikenakan ganti rugi kecuali dia bertindak kerana kelalaian kerana dia telah diberi kepercayaan. Tetapi kebanyakan ulama' berfatwa bahawa dia wajib memberi ganti rugi dilihat dari sudut istihsan kerana melindungi maslahah manusia dan harta benda mereka terutama banyak pengkhianatan berlaku dan kurang kesedaran agama.
  6. Istihsan dengan qiyas khafi: penetapan sucinya air baki minuman binatang buas seperti helang. Menurut qiyas jali, sisa minuman binatang buas adalah najis tetapi mereka mengatakan bahawa kesuciannya diqiyaskan dengan sisa minuman manusia. Hal ini kerana burung helang minum dengan paruhnya yang termasuk tulang yang bersih. Hukum ini terhasil dari istihsan.
Pentarjihan Istihsan (kesahan Istihsan)

Sebahgaian besar ulama' yang berpegang keapda istihsan dan menganggapnya sebagai salah satu dalil hukum. Ada juga ulama' tidak menganggapnya sebagai hukum seperti ulama' Shafiiyyah. Ada yang meriwayatkan bahawa Imam Shafii mengatakan :"istihsan termasuk sikap yang berfokus keapda kesenangan dan pandangan dasar hawa nafsu". Bahkan ada sebuah riwayat lain mengatakan Imam Shafii berkata: "barangsiap yang berhujjah dengan istihsan bererti dia telah menetapkan sendiri hukum syarak". Namun para ulama' Hanafiyyah menyebut istilah istihsan tidak bertentangan dengan istilah istihsan itu sendiri. 

SUMBER:

Zaidan, Abd al-Karim. 1993. Al-Wajiz fi Usul al-Fiqh. al-Qaherah: Dar al-Tauzi' wa al-Nusyr al-Islamiyyah. Halaman 231-235


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Rakan Sejawat Toksik

Ahlan...ahlan Ya Ramadan.  Alhamdulillah masih diberi peluang merasai hidup dalam Islam tetapi umat Islam Palestin masih bergelut dengan kes...