21 Januari 2020

Generasi 2020

Alhamdulillah. Diri ini masih boleh merasai suasana tahun 2020. Popular dengan Wawasan 2020. Tak sangka orang yang mencetuskan wawasan ini masih panjang umur dan kembali menjadi pemerintah. 

Moden mengikut gaya pandang ke Timur! 

Inilah yang aku faham. Ada yang faham, kereta boleh terbang. Tiada dah jalan raya. Kereta boleh simpan macam capsul. Teringat komik Dragon Ball. Itula hidup di zamanku. Berkawan dengan abang-abang yang mencintai komik Jepun seperti Pedang Setiawan, Alam Perwira, Raja Rimba dan banyak lagi. 

Mak ayah melarang kami membaca komik ini. Kami tetap degil. Terus baca berulang kali. Tidak jemu. Walaupun aku tidak pernah beli komik ini, aku tetap suka novel triller seperti novel Ramlee Awang Murshid. Rupanya, ramai adik beradik lelaki sama ada abang atau adik suka novel ini. Jalan cerita suspen dan mendebarkan. Seperti satu visual di depan mata. 

Tahun 2020, aku sangka orangnya moden. Sangkaanku salah. Generasi tingkatan 1 tahun ini sukar menjaga adab. Adab ke laut. Adab ke bulan. Adab ke bintang. Tiada adab!

Hidup semakin mencabar. Dunia semakin mencabar. Generasi yang kian sakit kerana hilangnya kasih sayang dalam keluarga sendiri.

Aku sebagai guru terasa bagaikan semakin 'bodoh'. Mereka semakin tidak fokus. Mereka sukakan permainan. Mereka hilang nikmat membaca. Mereka suka akan 'gajet'. Dunia mereka makin malas. Malas berfikir. Malas menyelesaikan masalah. Malas. Malas. Malas!

Aku perlu 'upgrade' diri. Aku perlu hadir ke bengkel yang berbentuk interakif. Bengel pemudahcaraan. Bengkel bagaimana mendidik generasi ini fokus dan suka belajar. Aku semakin ketandusan idea. 

Aku cuba memohon untuk sambung belajar dengan biasiswa. Adakah aku berjaya? Adakah aku gagal? Aku perlu ambil peluang yang terbuka luas ini. Jadikan ini pengalaman yang tiada tolak bandingnya. Walau apa pun keputusan, aku perlu gerakkan jariku menulis dan mengisi borang ini. Tidak rugi. 

Ramai yang bagi sokongan. Keluarga, sahabat, rakan-rakan. Mereka sentiasa membantu secara langsung atau tidak langsung. Kata-kata ransangan ke arah positif cuba aku hadamkan supaya semangat mereka mengalir dalam jiwaku. 

Ayuh! berjuanglah! Jangan putus asa! Allah pasti menolong hambaNya yang berusaha. 

28 Disember 2019

Tidur lewat

Lama berzikir. Mata tertutup rapat sambil mulut berkumat kamit melafazkan zikir. 

" Kak, lambat lagi ke orang azan," kata adik sambil tengok jam. 

Kakak kehairanan. Bukankah adik telah solat subuh?

"Hei!!! dah nak pukul 7.00 pagi. 10 minit lagi. Mana ada orang azan lagi!" Jerit Kakak. 

"Eh...bukankah baru nak pukul 6 pagi," cepat-cepat adik solat subuh. 

Selesai solat subuh. Kakak datang.

"Tadi aku dah kejutkan kau pukul 5.00. Bila kau dah sedar, aku tinggallah," terang kakak.

" La...ye ke? Ambe tak sedar pun," ujar adik.

"Nasib kau tanya. Kalau tak memang dah habis waktu," ujar Kakak.

Pesanan: Jangan tidur lambat sangat. Bila dikejut waktu subuh, terus bangun. Jangan tidur semula.

04 Disember 2019

Jangan Berhenti Kerja

Sejak kebelakangan ini, aku baca banyak isu rumahtangga yang negatif diperkatakan. Ada juga selebriti agama terlibat seorang PU dan seorang Daei. Adakah ini dikatakan dunia akhir zaman? Bagi aku, ini adalah perangai manusia akhir zaman bertopengkan agama. Tolonglah! jangan jadikan 'agama' sandaran kepada perbuatan dan imej kita.

Seorang ibu menasihati anaknya yang bakal menjadi isteri orang. 

" Mak dulu bekerja. Bila bekerja mak rasa di office tempat berehat. Di rumah, kerja tak pernah siap. Anak nangis. Nak itu. Nak ini. Ayah senang sahaja. Anak tak bergayut padanya", kata mak. Anak gadis ini tekun mendengar. 

"Kau nanti, bila dah kahwin kerjalah. Biar kita ada pendapatan sendiri. Jangan jadi macam mak dahulu. Masa mak kerja, kawan mak kata. Kau tak minta nafkah dari laki engkau? Mak kata tak apa la. Kan aku kerja. Bila mak berhenti kerja, mak tak pernah dapat duit untuk belanja diri sendiri. Banyak duit beli makanan dapur. Kadang nak makan pun tak cukup," cerita mak lagi dengan perasaan sayu.

"Mak tak minta ke duit nafkah dengan ayah?" Tanya anak gadis ini.

"Mak faham pendapatan ayah.Sedikit. Boleh makan pun mak dah bersyukur," kata kakak si gadis ini.

" Mak ada dengar seorang ustazah cerita. Ada seorang imam ini. Semua orang puji. Dia baik. Suara merdu. Calon suami soleh dan macam-macam lagi. Isteri dia suri rumah. Suami isteri ini tinggal di kawasan perumahan. Orang sekitar sangat hormat imam ini. Konon tinggi agama. Suatu malam dalam pukul 3 pagi, isteri imam lari ke rumah jiran yang macam makcik-makcik. Ketuk pintu belakang rumah jiran ini. Malam kan. Jadi lama juga makcik ni nak buka pintu. Bila makcik ini buka pintu, alangkah terkejut tengok muka isteri imam ini. Lebam-lebam. Tak lama selepas itu, si isteri mohon cerai. Sekarang si imam dah dipecat dan dikatakan tidak siuman setelah berpisah dengan isterinya," mak menoktahkan cerita ini.

"Mak berusaha untuk dapat pendapatan sendiri. Mak buka kedai runcit depan rumah. Mak cabar ayah. Ayah kan selalu pergi usrah. Mak kata kalau kawan usrah ayah baik, cuba pinjam duit sedikit untuk modal kedai runcit. Mak bagi panduan. Cuba pinjam dengan Wan Omar RM500. Hj Hashim RM500. Mak pula pinjam dengan kawan mak, Ton RM500. Mak juga ada pinjam dengan Cik Lah RM300. Tapi ayah larang guna. Sebab Cik Lah kerja di LHDN. Duit tak berkat. Katanya. Mak tak guna pun duit itu. Adik mak yang pinjam duit itu", ujar mak lagi.

"Dulu mak kerja sebagi penjawat awam dah. Kenapa mak berhenti?" tanya si kakak gadis. 

"Dah takdir Allah," kata mak.

"Eh! sama ayat dengan Daei tu. Takdir Allah saya bertemu dia di hadapan Kaabah," celah si kakak. Kakak ini ikut perkembangan Daei itu. 

"Selepas mak berhenti kerja, mak termimpi-mimpi mak tengah buat kerja di office. Kerja mak dulu berada depan mesin taip. Tak la kerja seberat kerja jadi suri rumah. Mak 'packing' gettah sampai tertidur. Ayah selepas berhenti kerja LLN, ayah buat macam-macam kerja termasuk buat gettah. Buat gettah ni mak ayah buat sama-sama. Sambil kawal anak-anak. Bila selesai sira gettah, ayah akan berehat dan tidur. Mak pula tidak akan berehat selagi gettah tidak selesai di 'packing'..Kalau tak, gettah akan liut (lemau). Mak akan teruskan walaupun pukul 2 pagi. Kedai atau orang lain tak nak beli kalau kita jual gettah yang tidak berkualiti" mak sambung cerita lagi.

Si kakak rasa letihnya kehidupan mak membesarkan anak-anaknya yang ramai ini. Sebab itu, mak buka cerita ini depan si gadis ini. Alhamdulillah, sekarang anak-anak mak semuanya berjaya dalam pelajaran.

Kesimpulan yang aku nak buat ikut pendapat peribadiku adalah;

Jika dah kerja, jangan berhenti kerja. Pertahankan kerja. Kekallah bekerja. Kuatkan semangat untuk terus kerja. Bila dah kerja, kerja rumah sama-sama pikul. Bukan kerja orang perempuan sahaja. Jangan ikut budaya melayu. Ikutlah apa yang ajaran Islam suruh. Si suami, jangan jadikan 'sunnah Rasulullah sebagai alasan'. Banyak lagi sunnah yang boleh dilaksanakan.

Nukilan 2007- Adik.

Adik, 
Dirimu umpama sinar hidup bagiku,
Kaulah gambaran silamku,
Semasa diriku sebaya denganmu,
Meniti hari melihat duniaku.

Adik,
Tidak tergambar kasih sayangku kepadamu,
Tidak dapat diungkapkan dengan kata-kataku,
Tidak tergambar di mata mu,
Kerana itulah kurniaan Allah kepadaku.

Adik,
Waspadalah dengan permainan duniamu,
Waspadalah terhadap musuhmu,
Andai kau kejar dunia, dunia akan menjauhimu,
Andai kau kejar akhirat, dunia akhirat milikmu.

Adik,
Berusahalah mengejar akhiratmu,
Supaya dunia tidak dikejar olehmu,
Andai kau mencintai Allah, Allah tidak akan mensia-siakanmu,
Tidak bagi cinta manusia, dia pasti akan meninggalkanmu.

Nota: terjumpa dalam diari 2007. Zaman belajar di Mesir. Disunting sedikit mengikut kesesuaian.

03 Disember 2019

Hujan dan musimnya

Alhamdulillah. Kelas STT1 berjaya habiskan walaupun banyak kekangan yang melanda. Hari sabtu, hari yang aku akan cuba kosongkan. Kebanyakan hari sabtu, tidak diganggu kecuali hari terakhir. Aku pasti mendahului kelas. 

Hari jumaat hari terakhir sekolah biasa akudah balik kampung. Kali ini, aku lewatkan sedikit kerana ada kelas STT1 dan 'Family Day' warga sekolah pada hari sabtu. Permainan bowling tidak dapat aki hadiri kerana ada peperiksaan syafawi bagi kelas STT1. Rindu nak ke kelas ini. Harap tahun depan boleh sambung siri ke-2.

Selepas subuh hari ahad, lebih kurang 7.00 pagi aku bertolak pulang ke kampung. Aku singgah sekejap di rumah baharu abangku yang ke-2 dan ziarah abang yang ke-3. Kurang sikit penat memandu 5 jam secara berterusan. Terima kasih abang2ku.

Jam 6.00 petang, aku sampai di kampung. Banyak tempat aku berhenti apabila masuk negeri sendiri ini. Termasuk beli jagung.

Balik kampung, niat dihati nak masuk kelas menjahit express. Rupanya aku balik jadi tukang jahit si pengantin. Buruk pula rupa baju aku buat. Bila dipakai pada si pengantin, cantik. Masya Allah!

Sibuk buat persiapan adik menyebabkan masaku penuh terisi dengan perkara berfaedah. Kali ini aku sangat berlapang dada hasil nasihat sahabatku, Ecah. 1 Disember 2019 tarikh majlis walimahtul urusnya. Aku tak dapat hadiri. Semoga kekal bahagia hingga ke syurga. Terima kasih Ecah. Rasa macam jumpa kaunselor dari Jabatan Agama pula. 

Majlis adikku bakal berlangsung tak lama lagi. Apa yang aku harapkan adalah majlis dapat berlangsung dengan lancar. Ini kali pertama majlis walimah di rumah ibu bapaku. Kali pertama kenduri sebelah perempuan. Harap mak bertenang terutama musim hujan. 

Air dalam rumah tingkat bawah dah masuk setinggi betis orang dewasa. Mencabar juga hujan kali ini. Allahumma soyyiban nafi'an, warizqan wasi'an waamalan mutaqabbalan.

21 November 2019

Sehari Lagi

Muka tidak bersalah. 
Muka 'slamber'.

Aku tidak  baca air muka mereka. Tipu atau sebaliknya, aku tidak tahu. 

Entah kali ke berapa aku tak tahu mereka buat hal. Geram. Sukar dan berat untuk aku buat tindakan. Esok sehari lagi sekolah.

'mereka adalah baik tetapi ada sebab mereka buat hal' 

Kenyataan ini sukar nak percayai. 

Aku pernah buat prinsip, lebih baik tersalah ampun dari tersalah hukum. 

Hari ini aku masih bersabar kerana bukan aku yang menjumpai dan bukan aku yang menghidu. Aku masih jahil tentang bau vape. Kadang aku rasa, itu pewangi. Perisa itu meragui. Bukan bau rokok. Sukar aku mengesyaki mereka. Mereka kelihatan baik. Tegur guru. Mengikut arahan guru dalam keterpaksaan. Semua itu dapat dilihat pada wajah mereka.

Sejak aku doa supaya aku tidak melihat keaiban orang lain, aku menjadi sukar berburuk sangka terhadap orang lain. Aku hanya diberitahu itu ini berkaitan seseorang. Ya ke? itu terluah dari dua bibirku. 

Itu juga antara sebab suaraku sukar menggunakan key suara tinggi. Terlalu lama aku tidak jerit. Apabila kemarahan menguasai diri, aku sukar mengawalnya. Itulah perangai aku dahulu. Kesabaran ada hadnya. Ketakat ini, aku masih boleh bersabar. Doakan aku menjadi orang yang sabar dan tabah.

17 November 2019

Skytrex

Alhamdulillah. 

Aku tidak pernah menyangka akan mengikuti program sedikit mencabar fizikal yang dimamah usia ini. Keputusan mengikuti atau menjadi guru pengiring ini adalah keputusan tiba-tiba dan mendadak. 

Mungkin keletihan yang menguasai diri setelah membuat tugasan terakhir sebelum cuti sekolah. Dorongan diri yang tidak mahu datang sekolah bertukar menjadi guru pengiring. Alhamdulillah tempat kosong telahku isi. Ini juga penghilang 'stress' diri ini. 

Skytrex yang terletak di Ayer Keroh Melaka menjadi tempat kunjungan kami kali ini. Pakej Pahlawan. Pakej untuk pelajar menengah bawah yang tidak terlalu mudah dan tidak terlalu susah. Sesuai dengan keperluan pelajar sekolahku.

Kasut yang aku pakai tidak sesuai untuk aktiviti ini. Aktiviti ini memerlukan kekuatan tangan dan kaki serta keseimbangan badan. Oleh itu kasut yang aku pakai menyebabkan kakiku sakit sebelum mula aktiviti. 'Glove' ada dijual dengan harga RM10. Kemudahan 'loker' disediakan dengan bayaran RM5. 

25 halangan yang perlu dilalui. Ada 3 'exit chicken'. Alhamdulillah semua pelajar dapat tempuhi 25 halangan ini. Seorang guru, terpaksa keluar ikut laluan 'exit chicken' kerana masalah kesihatan. 3 Tahun lagi menjangkau umur 50 tahun dan sempat melalui 6 halangan. Tahniah untuk semua peserta.

Ada sesuatu yang janggal bagi diriku terhadap pelajar sekolah agama, terutama pelajar perempuan. Mulut atau percakapan mereka tidak terkawal. Sehingga ada yang menjatuhkan maruah kawan di hadapan 'fasi'. Menganggap 'fasi' seperti kawannya. Ketawa sekuat hati. Jerit aku tidak salahkan mereka kerana terkejut dan takut. Aku begitu 'ortodok' kan? Ya. Mungkin. Aku tak salahkan mereka kerana itulah kefahamanku tentang agama. 

Zaman moden, zaman minda terbuka. Sangat terbuka bagiku terlalu bebas. Sedangkan Islam datang sebagai satu batasan supaya tidak melangkaui batas. Batas pergaulan. Batas percakapan. Batas bergurau. Inilah zaman yang tidak mementingkan adab sebelum ilmu. Teknologi telah mengambil alih dan mereka menjadi robot arahan teknologi.

Semakin lama, anak-anak generasi mutakhir ini telah mengenepikan adab. Aku sendiri tidak tahu nak salahkan siapa. Yang aku tahu, kita semua bersalah. Ibu bapa, guru, pemimpin... Bagiku sebagai guru, mereka perlu ditegur. Tetapi pendekatan perlu berbeza. Aku masih lemah dalam bab ini kerana aku jenis yaag tegur secara 'direct' atau ikut suka hati. 

Masa. Penjagaan masa sangat lemah. Hampir semua program yang dilaksanakan tidak dapat dijalankan mengikut masa yang dirancang. Aku sendiri akui kelemahan ini sukar dibendung tetapi bagaimana caranya?

Akhir kata, semua manusia mempunyai kelemahan masing-masing. Berlapang dada dan tidak mudah melenting iaitu sabar adalah elemen yang paling penting untuk dunia akhir zaman ini. Jangan berhenti mendidik. Suatu hari nanti, Allah akan menjentik hidayah buat kita semua dan sama-sama bertemu di syurga firdaus. Aminn.

Imam Malik

 Dalam dunia Islam, aku sangat jahil berkaitan mazhab-mazhab yang ada. Jika melihat latar belakang pengajian aku sehingga pengajian sarjana,...