Memaparkan catatan dengan label motivasi. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label motivasi. Papar semua catatan

10 April 2014

Adab dengan guru.

Keberkatan tiada andai tidak beradab dengan guru. Bijak dan pangkat besar tiada jaminan bahagia andai tiada adab.



'syair Bahasa Arab tingkatan 1'

Rujuk entri  lama

1. Kisah Murid vs Guru SINI 

2. Kisah Musa Berguru SINI

3. Kisah Sultan Muhammad Al-Fateh dirotan SINI

28 Februari 2014

Doa Tidak Makbul

Seorang penduduk pernah bertanya kepada Ibrahim Adham mengenai kenapa doa beliau tidak dimakbulkan.
Dengan penuh tawadhuk Ibrahim Adham menjawab,'Hati kamu buta. sebabnya kerana sepuluh perkara'

(1)Kamu mengenal Allah tetapi kamu tidak menunaikan hakNya.

(2)Kamu sangka cinta kepada Rasulullah s.a.w. tapi kalian tinggalkan sunnahnya.

(3)Kalian membaca Al Quran, tetapi tidak beramal dengannya.

(4)Kamu menerima nikmat-nikmat Allah s.w.t. tetapi tidak pernah bersyukur.

(5)Kamu berkata syaitan itu musuh kamu, tetapi tidak menentangnya

(6)Kamu berkata syurga itu benar, tetapi tidak beramal untuknya.

(7)Kamu berkata neraka itu benar, tetapi tidak lari daripadanya.

(8)Kamu berkata mati itu benar, tetapi tidak bersedia untuknya.

(9)Kamu bangun tidur, ceritakan keaiban manusia, tetapi lupa keaiban

(10)Kamu kebumikan mayat saudaramu, tetapi tidak mengambil iktibar darinya.

Siapa Ibrahim Adham ini?

Ibrahim bin Adham atau nama asalnya ialah Abu Ishak Ibrahim bin Adham dilahirkan daripada keluarga bangsawan Arab yang kaya raya. Beliau terkenal sebagai seorang raja Balkh yang sangat luas wilayah kekuasaannya. Ke mana saja pergi, beliau akan diiringi empat puluh bilah pedang emas dan empat batang tongkat kebesaran emas diusung di depan dan belakangnya. Nama beliau berada dalam tinta sejarah daripada seorang raja yang masyhur kepada ahli sufi yang terkenal.

Bermulanya perubahan kehidupan Ibrahim bin Adham apabila pada suatu malam ketika baginda tertidur di bilik istananya, langit-langit di biliknya bergerak seolah-olah ada seseorang yang sedang berjalan di atas atap. Ibrahim terjaga dan berseru: “Siapakah itu?”

“Saya adalah seorang sahabat, untaku hilang, aku sedang mencarinya di atas atap ini.” Terdengar sahutan dari atas.

“Bodoh, tidak ada orang mencari unta di atas atap!” Ibrahim menengkingnya.

“Wahai manusia yang lalai, apakah engkau hendak mencari Allah Subhanahu wata’ala dengan berpakaian sutera dan tidur di alas tilam emas?” Jawab suara itu penuh simbolik.

Kata-kata ini sangat menggetarkan hati Ibrahim. Ia sangat gelisah dan tidak dapat meneruskan tidurnya sehingga pagi. Seperti kebiasaannya, di sebelah siang Ibrahim berada di atas singgahsananya untuk mendengar pengaduan dan masalah rakyat jelata. Tetapi hari itu keadaannya berlainan, dirinya gelisah dan banyak termenung.

Para menteri, pembesar istana dan rakyat yang hadir merasa hairan melihat perubahan yang terjadi dengan tiba-tiba kepada raja mereka.

Tiba-tiba masuk seorang lelaki berwajah menakutkan ke dalam ruangan perjumpaan itu. Tidak seorangpun di antara askar dan pengawal istana yang berani menanyakan sesuatu dan menghalangnya masuk. Kejadian berlaku begitu pantas, semua lidah menjadi kelu. Lelaki itu melangkah ke depan Ibrahim Adham.

“Aku baru sahaja sampai, bagilah aku rehat dulu”, jawab lelaki itu.

“Ini bukan tempat persinggahan kafilah. Ini istanaku. Lagak engkau seperti orang gila saja!” Ibrahim menengking.

“Ayahku!” Jawab Ibrahim pendek.

“Sebelum ayahmu?”

“Datuk kepada datuk-datukku!”

“Ke manakah mereka sekarang ini?“ Tanya lelaki itu.

“Mereka telah meninggalkan dunia ini”, jawab Ibrahim.

“Jika demikian, tidakkah ini sebuah persinggahan yang diduduki oleh seseorang kemudian ditinggalkannya dan diganti oleh yang lain pula?” Kata lelaki itu.

Tersentak juga hati Ibrahim mendengar kata-kata lelaki itu. Belum sempat Ibrahim menjawab, lelaki itu mengundur ke belakang dan tiba-tiba ghaib di tengah orang ramai. Banyak para alim ulama membuat tafsiran sesungguhnya lelaki itu adalah Nabi Khidhir ‘Alaihissalam yang sengaja datang mengetuk hati raja Ibrahim bin Adham yang semakin lalai dengan tipu daya dunia.

Kegelisahan Ibrahim semakin menjadi-jadi sejak kejadian tersebut. Ia dihantui oleh bayangan dan suara lelaki itu sejak peristiwa di istananya. Akhirnya kerana tidak tahan lagi Ibrahim memerintah pengawalnya: “Persiapkan kudaku yang terbaik! Aku hendak pergi berburu. Ya, Allah! Bilakah semua ini akan berakhir?”

Ibrahim bin Adham dan rombongan terus merentasi padang pasir yang luas saujana mata memandangnya. Baginda memacu kudanya begitu laju sehingga akhirnya terpisah dengan rombongan tersebut. Dalam mencari jalan keluar baginda terlihat seekor rusa. Tiba-tiba Ibrahim ghairah hendak memburu rusa itu. Belum sempat berbuat apa-apa rusa itu berkata kepadanya: “Wahai manusia yang lalai, aku disuruh oleh Allah Subhanahu wata’ala memburumu. Engkau tidak dapat menangkapku. Bertaubatlah, untuk inikah engkau diciptakanNya?”

Ibrahim yang di dalam ketakutan itu tiba-tiba terkejut dengan kata-kata itu. Baginda langsung tidak terfikir selama ini untuk apa baginda dicipta ke dunia. Sekarang keyakinan serta keimanannya telah tertanam di dalam dadanya. Seluruh pakaian dan tubuh kudanya basah oleh cucuran air mata penyesalannya selama ini. Dengan sepenuh hati Ibrahim bertaubat kepada Allah Subhanahu wata’ala. Dalam keadaan panas terik itu, baginda meninggalkan kudanya dengan berjalan kaki yang akhirnya baginda bertemu dengan seorang penggembala yang sedang menjaga sekumpulan kambing-kambingnya.

Tiba-tiba Ibrahim meminta keizinan untuk menyerahkan bajunya yang bersulam emas serta topinya yang bertatahkan batu-batu permata yang sangat mahal harganya. Sebaliknya baginda mengenakan pakaian dan topi gembala itu yang diperbuat daripada kulit dan bulu kambing. Gembala kambing itu melihat kelakuan Ibrahim itu dengan penuh kehairanan. Semua malaikat menyaksikan perbuatan Ibrahim itu dengan penuh kekaguman sehingga salah satu malaikat berkata: “Lihat, betapa megahnya kerajaan yang diterima putera Adham sebelum ini, akhirnya telah mencampakkan pakaian dunia yang kotor dan menggantinya dengan jubah kesedaran.”

Dengan berjalan kaki Ibrahim mengembara merentasi gunung dan menyusuri padang pasir yang luas sambil menginsafi dosa-dosa yang pernah dilakukannya. Akhirnya sampailah baginda di sebuah gua. Ibrahim yang dulunya seorang raja yang hebat akhirnya menyendiri dan berkhalwat di dalam gua selama sembilan tahun. Selama di dalam gua itulah Ibrahim betul-betul mengabdikan dirinya kepada Allah Subhanahu wata’ala. Setiap hari Khamis baginda ke pekan bernama Nishapun untuk menjual kayu api. Setelah sembahyang Jumaat baginda pergi membeli roti dengan wang yang diperolehinya. Roti itu separuh diberikan kepada pengemis dan separuh lagi untuk berbuka puasa. Demikianlah yang dilakukannya setiap minggu.

Akhirnya baginda mengambil keputusan keluar dari gua tersebut untuk merantau lagi merentasi padang pasir yang terbentang luas itu. Baginda tidak tahu lagi ke mana hendak ditujui. Setiap kali baginda berhenti di sebuah perkampungan, baginda kumpulkan orang-orang setempat untuk memberitahu betapa kebesaran Allah terhadap hambaNya dan azab yang akan diterima oleh sesiapa yang mengingkarinya. Justeru itu banyaklah orang yang akrab dengannya dan ada yang menjadi muridnya. Baginda mengharungi padang pasir itu empat belas tahun lamanya. Selama itu pula baginda berdoa dan merendahkan dirinya serta tawaddhu’ kepada Allah Subhanahu wata’ala. Nama Ibrahim pula mula disebut-sebut orang; dari seorang raja berubah menjadi seorang ahli sufi yang merendah diri.

Pernah dalam perjalanannya baginda diuji. Disebabkan kewara’an baginda itu ada seorang kaya datang menemuinya untuk mengambil tabarruk ke atas baginda dengan memberi wang yang sangat banyak kepada Ibrahim. “Terimalah wang ini, semoga berkah”, katanya kepada Ibrahim.

“Aku tidak mahu menerima sesuatupun daripada pengemis”, jawab Ibrahim.

“Tetapi aku adalah seorang yang kaya”, pintas orang kaya orang itu.

“Apakah engkau masih menginginkan kekayaan yang lebih besar daripada apa yang telah engkau miliki sekarang ini?” tanya Ibrahim.

“Ya, kenapa tidak?” Jawabnya ringkas.

“Simpanlah wang ini kembali, bagi aku, engkau adalah ketua para pengemis di sini. Bahkan engkau bukan seorang pengemis lagi tetapi seorang yang sangat miskin dan meminta-minta.” Tegur Ibrahim.

Kata-kata Ibrahim itu membuatkan orang kaya itu tersentak seketika. Penolakan pemberiannya oleh Ibrahim disertai dengan kata-kata yang sinis lagi pedas itu turut meninggalkan kesan yang mendalam kepada dirinya. Dengan peristiwa tersebut orang kaya itu bersyukur kepada Allah kerana pertemuan dengan Ibrahim itu membuatkan dirinya sedar akan tipu daya dunia ini. Beliau lalai dengan nafsu yang tidak pernah cukup daripada apa yang perolehinya selama ini.

Suatu ketika sedang Ibrahim bin Adham menjahit jubah buruknya di tepi sungai Tirgis baginda ditanya oleh sahabatnya: “Engkau telah meninggalkan kemewahan kerajaan yang besar. Tetapi apakah yang engkau telah perolehi sebagai imbalannya?”

Disebabkan soalan yang tidak disangka-sangka itu keluar dari mulut sahabatnya sendiri maka dengan tiba-tiba jarum di tangannya terjatuh ke dalam sungai itu.

Sambil menunjukkan jarinya ke sungai itu Ibrahim berkata, “Kembalikanlah jarumku!”

Tiba-tiba seribu ekor ikan mendongakkan kepalanya ke permukaan air. Masing-masing ikan itu membawa sebatang jarum emas di mulutnya.

Ibrahim berkata: “Aku inginkan jarumku sendiri.”

Seekor ikan kecil yang lemah datang menghantarkan jarum besi kepunyaan Ibrahim di mulutnya.

“Jarum ini adalah salah satu di antara imbalan-imbalan yang ku perolehi, kerana meninggalkan kerajaan Balkh. Sedangkan yang lainnya belum tentu untuk kita, semoga engkau mengerti.” Kata Ibrahim Adham dengan penuh kiasan.

Begitulah kehidupan seorang raja Balkh yang bernama Ibrahim bin Adham yang luas pemerintahannya dan hidup di dalam kemewahan, tetapi akhirnya berkelana menjadi ahli sufi yang terkenal. Baginda menemui Allah Subhanahu wata’ala pada tahun 165H/782M di negeri Persia. Taubat Ibrahim itu merupakan sebuah kisah yang sangat unik bagi umat Islam yang merintis kehidupan yang penuh dengan tipu daya di dunia ini. Wallahu ‘alam.

SUMBER

1. cahayamukmin

2.arkibislam

16 Mei 2013

Kisah Solat Dhuha.

Hadiah hari guru sangat bermakna buat saya adalah buku novel Demi Dhuha. (cuba guna 'saya')

Ada banyak lagi hadiah lain, saya sangat menghargai pemberian anda semua terutama nasi lemak. Kenyang. Hadiah yang adil kerana semua guru dapat nasi lemak.

Terima kasih ayyuhattolabah!

Moga kalian mudah dapat ilmu dari semua guru. Allah pasti memberi kebaikan atas keikhlasan anda mengendalikan program sambutan hari guru 2013. Saya sangat terhibur. Hehe...

Kembali kepada Kisah dhuha. Teringin berkongsi. Aku harap kita semua dapat pengajarannya.

Jom layan...


Dalam Al-Quran, surah Ad-Dhuha:


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
وَالضُّحَىٰ [٩٣:١
Demi waktu dhuha,

وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَىٰ [٩٣:٢]
Dan malam apabila ia sunyi-sepi - 

مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَىٰ [٩٣:٣]
(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).

وَلَلْآخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ الْأُولَىٰ [٩٣:٤]
Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. 

وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَىٰ [٩٣:٥]
Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati.

أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَىٰ [٩٣:٦]
Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?

وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَىٰ [٩٣:٧]
Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - Al-Quran)?

وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَىٰ [٩٣:٨]
Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?

فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ [٩٣:٩]
Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,

وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ [٩٣:١٠]
Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ [٩٣:١١]
Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya. 

***********


Pak Cik Hamdal, seorang pengutip barang terbuang sentiasa menunaikan solat dhuha. Solat ini bermula selepas matahari naik sepenggalah. Mengikut ilmu falak syarie, matahari naik 20 darjah dari ufuk bumi. Ketika itu dinamakan waktu Dhuha sehingga matahari berada di atas kepala.

Pakcik Hamda diujil dengan kemiskinan. Ketika mencari barang buangan, dia dicari oleh puak samseng yang menjadi pencuri, peragut dan sebagainya untuk mendapatkan wang dengan mudah. Dia dipukul, wang hasil jualan barang buangan diambil. Sedangkan wang itu untuk digunakan untuk keperluan hari esok dan yuran persekolahan anaknya.

Anaknya menjumpai dompet yang dicari oleh samseng itu. Ketika ini anak dan isterinya meminta Pakcik Hamdal menggunakan wang dalam dompet itu untuk kegunaan makanan mereka. Dengan keimanan, Pak Cik Hamdal tetap tidak akan menggunakan duit itu dan akan memulangkan kepada tuan punya dompet.

Encik Salleh pula adalah usahawan yang berjaya. Ketika senang dia solat Dhuha. Jika sibuk dengan urusan kerja, dia tinggalkan. Apabila ditanya tentang kejayaannya, dia kata:

"Saya sentiasa membangunkan keyakinan diri dengan mendirikan solat dhuha. Dengan mendirikan solat dhuha fikiran jadi jernuh dan hati akan tenang. Seseorang yang mengerjakan sesuatu dengan fikiran yang jernih dan hati tenang dapat meraih hasil sebanyak mungkin."

"Rasulullah pernah berpesan bahawa sesiapa yang mengerjakan solat dhuha enam rakaat pada hari itu, seluruh keperluannya akan dicukupkan oleh Allah. Oleh itu saya yakin jika seseorang melakukan solat dhuha, Allah akan memberikan rezeki kepadanya." kata Encik Salleh penuh yakin.

"Solat yang dilaksanakan ketika orang sedang sibuk  pada waktu matahari naik sepenggalah ialah solat dhuha. Ketika itu, ramai orang lupa dan lalai. Dalam keadaan seperti ini, jika seseorang melaksanakan solat dua rakaat atau lebih, maka dia akan dapat mengawal nafsunya. Seseorang yang tiada pekerjaan pula biasanya mengamalkan solat ini kerana mengharapkan sesuatu atau hajatnya termakbul, termasuk dimurakan rezeki," kata Encik Salleh semasa berbincang dengan Pakcik Hamdal.

"Adakah niat seperti itu salah?" tanya Encik Salleh.

"Menurut pemahaman saya, tidak. Lakukanlah solat dhuha agar mendapat rezeki, mendapat pekerjaan, dan dibentangkan jalan menuju kemudahan kerana solat dhuha memang rohnya rezeki. Apabila seseorang ditimpa kesusahan, dilanda kebingungan, maka jika dia melaksanakan solat sunat dhuha dengan benar dan khusyuk, insya Allah apa yang diingini akan dimakbulkan." Pakcik Hamdal berhenti seketika sebelum menyambung penjelasannya.

"Tetapi ia mesti berlandaskan usaha secara zahir, bukan hanya meminta dalam solat dhuha atau menunggu keajaiban dari langit," jelas Pakcik Hamdal.

Encik Salleh diuji dengan kejahatan anak perempuan tunggalnya. Ketika Encik Salleh dan isteri pergi menunaikan haji, gadis jahat ini membuat fitnah sehingga memenjarakan Pakcik Hamdal. Walaupun berada dalam penjara, Pakcik Hamdal tetap solat tahajut dan solat sunat Dhuha. Dia berusaha redha dan sabar.

Terlalu banyak kisah menjadi pengajaran. Begitu juga dengan kisah dua anak Pak Cik Hamdal. Mereka berdua merupakan anak yang taat, soleh dan solehah. Tidak pernah tinggalkan solat dhuha dan tahajut. Yang menakjubkan anak lelakinya yang menduduki peperiksaan menjawab soalan dengan betul da tepat. Hal ini mengejutkan gurunya. 

Nak perempuan Pakcik Hamdal pula, sanggup dipukul dan dicabuk dengan pintalan akar-akar kayu oleh anak Encik Salleh ketika sedang solat dhuha. Paling menakjubkan, dia tidak rasa sakit. Sebaliknya yang memukulnya keletihan kerana terlalu lama memukul.

Anda boleh membacanya dalam buku novel islami dari Indonesia yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

SUMBER: DEMU DHUHA oleh Muhammad Makhdlori. PTS2011.

15 Mei 2013

Siapa larikan Cheese saya?

Watak tikus sebagai Sniff dan Scurry. Watak manusia kerdil dengan nama Hem dan Haw. Empat watak ini mewakili perangai manusia.

Keju merupakan metafora bagi perkara yang dimahukan dalam hidup seperti pekerjaan, perhubungan, wang,  rumah banglo, kebebasan , kesihatan, pengiktirafan, ketenangan dan segala aktiviti mereka.

Daerah 'Maze' adalah organisasi tempat kerja, komuniti tempat tinggal dan hubungan yang dimiliki.

Tikus akan mencari keju keras supaya mudah digigit dan manakala manusia kerdil mencari keju 'K'. Manusia ini mempunyai pemikiran kompleks dan mempunyai kepercayaan  serta mengikut perasaan.

gambar: pak google link

Setiap pagi, mereka akan memakai pakaian joging dan kasut sukan. Mereka akan keluar dari rumah menuju ke Daerah 'Maze'. Mereka mula mencari keju kegemaran masing-masing.

Daerah 'Maze' adalah sebuah tempat yang berliku dan berselirat. Keju yang lazat tersembunyi disebalik liku-liku ini. Namun, ada juga ceruk yang gelap serta jalan mati. Jika kita berada di sini, kita akan mudah sesat.

Bagi yang menemui jalannya, daerah ini memiliki rahsia yang membantu mereka menikmati kehidupan lebih baik.

Tikus-tikus ini menggunakan kaedah cuba-cuba ketika mencari keju. Mereka pergi ke satu lorong ke satu lorong. Jika mereka tidak menjumpai keju disitu, mereka akan mencari keju di lorong lain. Jika tiada juga, mereka akan mencari di daerah lain.

Sniff menghidu arah yang membawa kepada bau dengan menggunakan hidungnya yang peka. Manakala Scurry pula akan bergegas ke situ. Oleh itu, mereka kadang-kadang sesat  atau terlanggar dinding. Tidak lama kemudian mereka menemui jalan yang betul.

Manusia kerdil Hem dan Haw menggunakan kemahiran berfikir dan belajar dari peristiwa yang lalu. Walau bagaimanapun,  mereka bergantung kepada akal yang kompleks seterusnya menggunakan kaedah lebih canggih bagi mencari keju.

Kadang-kadang mereka berjaya tetapi pada masa lain, kepercayaan dan emosi kuat mempengaruhi pandangan mereka. Hal ini bertambah rumit dan mencabar.

Keempat-empat watak ini menemui keju idaman menerusi cara mereka yang tersendiri. Mereka menemui keju itu di Stesen Keju C.

Selepas menemui stesen keju ini, mereka bersiap setiap pagi untuk ke situ. Kemudian kehidupan itu menjadi rutin harian mereka.

Sniff dan Scurry tetap bangun pagi berkejaran di laluan yang sama dalam Daerah Maze.

Sampai di destinasi, mereka menanggalkan kasut. Kemudian mengikat kasut masing-masing ke leher mereka supaya mereka tidak perlu mencari-cari kasut itu di tempat lain. Selepas itu , baru mereka menikmati keju mereka.

Pada awalnya, Hem dan Haw turut berlari ke stesen itu setiap pagi bagi menikmati potongan-potongan keju yang baru mereka temui.

Tidak lama kemudian, rutin manusia berubah sedikit demi sedikit.

Hem dan Haw bangun semakin lewat setiap pagi. Mereka mengambil masa yang lama untuk bersiap dan berjalan menuju ke stesen keju itu.

Mereka sudah tahu tempat itu tanpa mengetahui dari mana keju itu datang. Mereka mengandaikan keju itu pasti berada di situ.

Sebaik sahaja mereka sampai ke Stesen Keju C, Hem dan Haw akan menanggalkan pakaian joging dan menyimpan  kasut mereka. Mereka hanya memakai selipar. Hem dan Haw merasa selesa selepas menemui keju.

"Hebat sungguh hidup ini. Keju ini tidak akan habis," kata Hem. Mereka menyangka hidup mereka dijamin selamat.

Mereka menyangka keju itu hak milik mereka. Mereka membina rumah dan hidup dalam masyarakat itu. Bagi meningkatkan keselesaan mereka, mereka menghiasi dinding dengan kata-kata dan gambar keju.

Pada suatu hari, Sniff dan Scurry mendapati keju tidak ditemui di Stesen Keju C. Mereka sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Kenyataan keju hilang atau tiada tidak mengejutkan mereka. Mereka tidak mengalisis persekitaran secara mendalam kerana mereka adalah dua ekor tikus. Oleh kerana Stesen Keju C telah berubah, mereka membuat keputusan untuk keluar dari stesen itu untuk mencari keju baru.

Tidak lama kemudian, Hem dan Haw sampai ke Stesen Keju C. Mereka masih lambat kerana memikirkan kedudukan mereka yang selamat. Mereka sangat terkejut. Haw hanya mendiamkan diri. Hem menjerit-jerit seolah-olah ada seseorang yang akan memberikan keju yang telah dicuri. Semua pekikan mereka sia-sia.

Hem dan Haw cuba mencari keju itu disekeliling Stesen Keju C. Usaha mereka tidak membuahkan hasil. Bahkan mereka bertambah penat kerana kelaparan. Jika sebelum ini, mereka pulang terkedek-kedek akibat kekenyangan tetapi kali ini mereka bertambah kusut dan hampir putus asa.

Mereka berulang alik dari rumah ke Stesen Keju C. Akhirnya pada suatu hari Haw mentertawakan diri sendiri kerana kebodohannya yang takut untuk berubah. Dia berusaha memujuk Hem untuk keluar ke Daerah Maze. Dia beranggapan biar berusaha daripada tidak bertindak langsung. Hem enggan mengikutinya dan menunggu sahaja Keju itu muncul.

Haw meninggalkan jejaknya dengan melakar kata-kata di dinding tempat yang dilalui. Tujuannya supaya Hem dapat menjumpai jejaknya dan tidak tersesat di Daerah Maze yang mencabar itu. Haw hanya menjumpai baki-baki keju dilaluan yang dilaluinya. Dia menyimpan dalam poket untuk dijadikan bekalan dalam perjalanan.

Haw menjumpai beberapa Stesen Keju. Stesen itu kosong. Haw meneruskan perjalanan dan akhirnya menemui Stesen Keju N. Usahanya tanpa jemu dan sentiasa  berfikiran positif membawanya ke tempat yang mempunyai timbunan keju yang banyak. Di situ, dia menjumpai Sniff dan Scurry. Mereka mengalu-alukan kedatangannya.

Kata-kata yang ditulis oleh Haw:

Perubahan Sentiasa Berlaku
Perubahan menyebabkan Keju beralih

Menjangka Perubahan Berlaku
Bersedia apabila Keju beralih

Memantau Perubahan
Jikalau kita sering menghidu Keju, kita tahu bila ia rosak

Beradaptasi dengan Perubahan Secepatnya.
Semakin cepat kita melepaskan Keju lama, semakin cepat juga kita menemukan Keju baru.

Berubah
Beralih seiring dengan Keju

Menikmati Perubahan
Nikmat proses perubahan dan rasa Keju baru

Bersedia untuk Berubah Secepatnya dan Nikmati Perubahan Tanpa Henti
Perubahan menyebabkan Keju beralih.

SUMBER: Who Moved My Cheese Edisi Melayu. Dr Spencer Johnson.

NOTA: Untuk semua rakan guru...Selamat Hari Guru...Guru Malaysia 1Aspirasi 1Agenda! Moga Allah membalas usaha anda dengan pahala yang berlipat kali ganda. Sedekahkan Al-Fatihah untuk guru masing-masing termasuk ibubapa kita.

02 Februari 2013

Ibu Kepada Bakal Doktor

Kelihatan pasangan suami isteri yang menaiki kapal terbang. Mereka berdua dalam perjalanan ke timur tengah untuk melawat anaknya. Anak mereka kebanyakannya doktor dan bakal seorang doktor. Aku terbayang Prof Dr Muhaya.

Berbalik kepada kisah pasangan suami isteri ini, ,mereka duduk bersebelahan dengan mahasiswi Universiti Al-Azhar. Dalam tempoh perjalanan yang panjang, banyak perkara yang dikongsi bersama Mak Cik dan Pak Cik ini. Daripada pakaian mereka, mereka dikira orang berada dan kaya. Aku lebih senang memandang pasangan ini bahagia.

"Keraja** nak target A untuk pelajar. Apabila guru ini mengajar dan tak dapat  target A...guru-guru ini akan dimarahi. Mak cik ni guru matematik,"  Mahasiswi ini tersenyum. Tanpa disangka  makcik yang bertudung labuh ini seorang guru matematik. Manakala suaminya sentiasa berkopiah putih dan berwajah tenang. Tentera laut.

"Dah berpuluh tahun makcik mengajar. Mak cik tahu la semua otak pelajar ini tidak sama. Mak cik tak tekankan pelajar makcik dengan target A. Mak cik selitkan dalam pengajaran tentang perkara fardu ain dan tentang agama dalam kelas,"sambung mak cik ini.

"Mak cik didik anak mak cik sama dengan didik pelajar mak cik. Mak cik nak mereka kuat jati diri dan mampu hadapi hidup pada masa akan datang. Tak kisah mereka kerja apa pun,"

" Andai kamu suatu hari nanti jadi guru, jangan kerana minat sahaja tapi kewajipan kita mendidik pelajar ini supaya sempurna agama mereka," pesan mak cik.

"Mak cik tak pernah kisah pasal target. Yang paling penting, pelajar-pelajar ini tidak tinggal solat, ingat rukun iman dan rukun Islam sebab perkara itulah yang pertama akan mak cik tanya dalam kelas," terasa keikhlasan dalam pesanannya ini.

Besarnya pengorbanan guru ini. Alangkah sia-sianya pengorbanan ini andai tidak mengaitkan dengan Allah. Tujuan belajar adalah kenal Allah. Melalui matapelajaran apa pun, akhirnya akan menemui...

"ini semua ciptaan Allah"

"hebat ilmu Allah ini yang diberikan melalui hambanya, guru"


Tak kira kita pelajar sekolah agama atau sekolah kebangsaan atau sekolah apa pun...yang pasti anda memegang amanah sebagai orang Islam. Semua orang Islam wajib memberi contoh yang baik. Contoh yang baik dan diikut orang lain, tetap akan diberi pahala berterusan selagi yang mengikut itu membuat kebaikan.

Dari Ibnu Abbas R.A bahawa Nabi S.A.W yang berkata: "Barangsiapa yang berpegang dengan sunnahku, ketika merata kerosakkan pada umatku, maka baginya pahala seratus orang yang mati syahid". (Riwayat Baihaqi)

Sabda Rasulullah S.A.W. yang bermaksud:"Sesiapa yang menunjukkan suatu kebaikan kepada orang lain, maka baginya pahala yang sama seperti yang diperoleh oleh orang yang membuat kebaikan itu"(Riwayat Imam Muslim)


30 Disember 2012

Topeng

Ada orang merasakan dia telah menolong orang itu. Dia ingin merasakan orang itu terhutang budi kerana dia telah menolong orang itu. Dia nak orang itu merasakan 'kemudahan' yang diberikan hasil pertolongannya. Dia nak semua kelebihan atau kekuatan adalah kerana perbuatan dan hasil usahanya. Dia nak orang memuji atas hasil yang disebut-sebut itu.


Tahukah kita, semua yang terjadi terhadap diri kita ini dari siapa?

Aku bukan nak memandang sebelah mata terhadap dirinya. Hakikatnya bukan atas usahanya tapi usaha orang lain. Dia hanya mendapat nama. Nama yang membuatkan dia bangga tapi kemurkaan Allah tidak dipedulikan. 'Topeng' ini sedikit demi sedikit akan terungkap dengan sendiri walaupun tiada siapa yang membukanya.

Bila aku melihat dari sudut lain, aku melihat Allah sentiasa menguji hambanya. Sama ada dia sedang senang atau susah. Semuanya Allah mampu melakukannya. Perancangan Allah. Tapi manusia sentiasa lupa.

Ya Allah, jadikan diriku sentiasa ingat Mu sama ada senang atau susah. Hanya kepadaMu aku berserah. Aku minta perlindungan dari makhlukMu yang sentiasa mengejar keduaniaan. Jauhi diriku dilalaikan oleh makhlukMu. Aku hanya insan lemah yang sentiasa mendambakan keredhaanMu. Dekatkanlah diriku denganMu. Allah Allah Allah!

Maafkan diriku andai blog ini banyak mengguriskan banyak pihak. Aku hanya insan kerdil yang hidup sebagai orang biasa.

08 Oktober 2012

Semangat Tidak Cukup Kecuali Redha Allah.

Menjelang peperiksaan PMR esok, aku terasa debarannya. Seolah-olah aku yang menghadapi peperiksaan ini. Walaupun lebih 10 tahun yang lalu aku pernah laluinya, kali ini aku tetap terasa bahangnya. 

Aku pernah membaca menggunakan lampu kalimantan yang berada di koridor asrama. Ya. Ketika itu aku berada di asrama. Masih aku ingat katilku menghadap pintu masuk ke bilikku. Melalui celah-celah jaring itu, aku cuba membaca. Semua ahlibait(ahli bilik) tidur. Inilah peluang aku untuk membaca dan menghadam fakta dari buku sejarah. Hakikatnya aku tidak minat sejarah.

Aku susun jadual pembelajaran. Subjek paling aku lemah adalah subjek yang paling kerap aku ulangkaji kecuali Bahasa Inggeris. Entah kenapa aku tidak dapat cari jalan cara untuk belajar Bahasa Inggeris. Ditambah dengan cara pengajaran guru yang cukup menghampakan. Tidak perlu aku jelaskan sesuatu negatif tentang guru ini. Dia tetap guruku.

Sekarang aku mengajar. Dalam masa yang sama aku turut belajar berdasarkan tingkah laku pelajar aku sendiri. Tidak terlepas pada pemerhatianku berkaitan dengan pengajaran rakan sejawatan. Cara mereka mengajar dan sebagainya. Pelbagai karenah mereka setiap tahun. Mereka tetap berbeza. Aku cuba belajar dari mereka.

Tahun ini ada kelainan dalam diri pelajar tingkatan tiga. Aku tidak melihat semangat mereka terutama lelaki. Merekalah bakal mentadbir negara dan generasi pelapis untuk generasi masa kini. Adakah aku tidak nampak semangat mereka? Adakah aku terlalu marah kepada mereka sehingga aku tidak nampak kegigihan mereka?


Yang masih gigih bertanya soalan adalah pelajar perempuan. Terutama matematik. Subjek aku? Mungkin bagai mereka Bahasa Arab tidak penting. Tidak penting untuk masa depan mereka. Apa kerjaya masa depan untuk subjek aku. Semuanya materialistik. Semua nampak duit. Semua nampak dunia. Ya! Dunia penuh dengan syurga. Di mana akhirat mereka? Terutama bacaan dalam solat. Semuanya dalam Bahasa Arab. Jika bacaan tidak betul, maksud lain..adakah doa mereka diterima? jika solat tidak cuba disempurnakan sampai bila mereka akan ikut sebutan yang salah? Mungkin anggapan aku salah. Mungkin anggapan mereka betul.

Bagi aku Bahasa Syurga ini telah di anak tirikan. Sebab tiada MBA. Sedangkan MBI & MBM diperkenalkan. Sebut sahaja sekolah agama. Tapi apa yang mereka pentingkan? Guru agama berapa orang di sekolah itu? Seorang guru mengajar satu subjek untuk semua tingkatan. Guru agama wajib terlibat dalam semua program. Tetapi guru biasa tidak boleh terlibat dalam subjek Pendidikan Islam atau Bahasa Arab. Perlu tauliah? Cuba fikir dengan fikiran yang waras. Di mana kedudukan agamawan sekarang? Aku tidak tahu di mana puncanya. Adakah dasar pendidikan kita tidak berlandaskan Al-Quran dan Sunnah? Adakah kita masih menggunakan sistem pengajaran penjajah?

Aku hanya perlu meninggalkan persoalan di sini tanpa huraian. Semoga Calon PMR akan terus berusaha dengan doa sebagai senjata terakhir. Buatlah semuanya kerana Allah. Jika kerana manusia, kita akan rugi. Mulakan sebarang pekerjaan dengan Basmalah ( Bismillahirahmanirrahim)

~SELAMAT BERJUANG CALON PMR 2012~

20 September 2012

Resipi Ibadah Melahirkan Pelajar Cemerlang


PMR hampir tiba. Kepanasan global telah berlaku dalam diri setiap pelajar yang inginkan kejayaan dalam peperiksaan. Harus diingatkan jika tiada niat belajar kerana Allah, maka kita sama dengan orang bukan Islam. Dalam Islam, setiap umat Islam perlu memulai sesuatu perbuatan bermula daripada niat.

Dikesempatan yang ada ini, aku ingin kongsi kejayaan rakan-rakan atau adik-adik yang telah mencapai kejayaan cemerlang. Bahkan mereka kuat beribadat menjelang hari peperiksaan. Peperiksaan ini tidak mengira UPSR, PMR, SPM atau peperiksaan di Universiti. Kita kongsi resipi kejayaan mereka.
Seorang pelajar lelaki yang pernah menyertai program motivasi anjuran Dr Tengku Hasmadi di Kuantan yang mendapat 10A1 dalam SPM berkongsi cerita.

Dia merupakan pelajar yang  malas dan leka. Baginya berada di tingkatan 4 adalah masa untuk bersuka ria. Semasa berada di tingkatan 5, dia merasakan dirinya sudah terlambat dan tidak mempunyai peluang kerana terlalu banyak ketinggalan dalam pelajaran.

Dalam tempoh 3 bulan sebelum menjelang peperiksaan SPM, baru dia terfikir akan kepentingan peperiksaan ini. Dalam tempoh itu, dia sentiasa berjaga malam jam 3 pagi. Dia bangun solat tahajut dan solat hajat serta berdoa memhon kejayaan daripada Allah. Kemudian dia mula menelaah pelajaran. Malangnya, apa yang di baca, tidak faham. Namun dia memaksa diri untuk membaca. Begitulah rutinnya selama sebulan.

Pada bulan kedua, keajaiban berlaku. Otaknya selama ini susah nak faham dan sentiasa lupa, terus  jadi mudah dan ingatannya bertambah kuat. Apa yang dibacanya terus difahami dan terus ingat apa yang dibaca. Hatinya tenang, yakin dan terus bersemangat untuk terus belajar. Dia terus istiqamah mengerjakan solat malam dan mengulangkaji pelajaran.

Masuk bulan ketiga, keajaiban terus berlaku. Setiap kali dia membuka buku, hatinya terdetik sendiri. "Bab ini keluar dalam peperiksaan. Kau hafal formula ini, formula ini masuk peperiksaan. Kau ingat rajah ini, rajah ini masuk peperiksaan,"


Dia terus ikut gerak hatinya terhadap fakta-fakta yang dirasakan penting. Apa yang berlaku, sebahagian besar jangkaannya keluar dalam peperiksaan SPM. Hal ini memudahkan dia menjawab peperiksaan. Dia berjaya mendapat keputusan yang memeranjatkan iaitu 10A1.

Ia bermula dengan kesedaran 3 bulan terakhir sebelum menjelang peperiksaan. Qiamullail di isi dengan solat tahajut, solat hajat dan doa. Tidak dilupakan juga mengulangkaji pelajaran selepas berdoa.
Apa yang menyedihkan, hampir 80% pelajar tidak cukup solat  lima waktu sehari semalam. Jika kita tidak ikut suruhan Allah, bagaimana Allah akan menolong kita. Fikir2kanlah.

SUMBER: Majalah Anis edisi Julai 2012 oleh Dr Tengku Hasmadi Tengku Mohamad.

23 Ogos 2012

Pesanan Imam Malik.

1. Ilmu agama adalah ilmu agama. Oleh itu, hendaklah kamu perhatikan dari siapa kamu pelajarinya.

2. Tidak ada kebaikan bagi sesiapa yang melihat kelebihan dirinya di dalam suatu hal, tetapi manusia lain tidak melihat perkara itu dalam dirinya.

3. Ilmu itu cahaya. Ia tidak akan lembut melainkan kepada hati yang bertakwa dan khusyuk.

4. Apabila seseorang yang zuhud (tidak mementingkan keduniaan), Allah akan memberi hikmah kepa danya.

5. Sebaik-baik perkara ialah yang terang dan nyata. Jika engkau syak antara kedua-duanya, ambillah yang dipercayai.

6. Sesiapa yang ingin menyelesaikan sesuatu masalah, terlebih dahulu hendaklah membentangkan dirinya kepada syurga dan neraka dan bagaimana dia akan terlepas di akhirat kelak.

7. Perumpamaan orang munafik ketika mereka berada dalam masjid seumpama burung-burung berada dalam sangkar. Apanila pintu sangkar itu terbuka, mereka terus terbang keluar.

8. Mengikut apa yang diketahui ulama' akan ditanyadi hari kiamat seperti para anbiya'.

9. Apabila seseorang memuji diri sendiri, hilanglah kebijaksanaannya.

10. Ilmu itu tidak mengikut riwayatnya, tetapi merupakan cahaya yang dimasukkan ke dalam hatinya.

11. Menuntut ilmu adalah perkara baik, tetapi hendaklah kamu perhatikan apa yang pasti kamu lakukan mulai dari pagi hingga petang dan lakukanlah perkara itu.

12. Orang yang menuntut ilmu akan menjadi seorang yang warak, tenang dan takut kepada Allah.

13. Tidak sepatutnya orang yang alim bercakap sesuatu ilmu yang tidak layak  dan berkuasa kerana ia akan membawa kepada kehinaan dan kekjian kepada ilmu itu.

14. Dinasihatkan Qadi, jangan meninggalkan ulama' ketika adanya masalah sebaliknya hendaklah berbincang bersama-sama.

15. Apabila engkau ditanya tentang sesuatu perkara, hendaklah engkau kaji dan fahami pendapat engkau dengan orang lain kerana pertimbangan yang waras menghilangkan kekosongan fikiran seperti api menhilangkan kotoran emas.

16. Allah tidak kasih kepada hamba-hambanya yang diberikan nikmat melainkan setelah hamba itu menunjukkan kesan nikmat yang diberi kepadanya. Leboh-lebih lagi orang yang berilmu.


17. Tawadduk adalah pada taqwa dan agama. Bukan pada pakaian. Sesungguhnya kami tawadduk didalam taqwa dan agama bukan pakaian.

18. Sesiapa yang mengetahui percakapannya mengikat kadar perbuatan, kurangkan percakapannya.

19. Apabila manusia tidak baik pada dirinya, disisi manusia lain pun, ia tidak baik.

20. Seseorang itu tidak akan menjadi baik kecuali dia menunggalkan sesuatu yang tida kaitan dengannya dan bekerja dengan apa yang dia dipertanggungjawabkan.

SUMBER: Siri Tokoh Islam 2/ IMAM MALIK Pengasas Mazhab Malik. Oleh: Dr Zulkifli bin Mohamad Al-Bakri. Diterbitkan oleh MAIDAM.

05 Ogos 2012

Kisah Thaha

"Thaha!" kata seorang pelajar.

"Thaha tu kelab Thaha yea," kata pelajar lain. Alangkah jahilnya mereka ini. Adakah surah ini tidak pernah dibaca oleh mereka? Sedangkan mereka mengatakan mereka telah khatam Al-Quran. Allahurabbi!

Inilah hakikat yang berlaku dihadapan mataku sendiri. Moga dengan catatan ku yang sedikit ini membuka minda mereka. Moga bermanfaat.


Surah Thaha. Surah ini dikatakan sebagai pelembut hati seseorang. Bagi seorang ibubapa yang mempunyai anak yang nakal, mereka digalakkan membacakan ayat 1-5 surah Thaha. Kemudian dihembuskan ke ubun-ubun anak ketika mereka tidur.

Hal ini juga berlaku kepada Saidina Umar Al-Khattab. Umar dalam perjalanan berjumpa Rasulullah dengan tujuan untuk membunuh baginda SAW. Dalam perjalanan itu, Umar berjumpa Na'im bin Abdullah. Na'im menasihatkan Umar menyelesaikan hal keluarganya dahulu.

"Adik iparmu, Sa'id bin Zaid dan adik perempuanmu, Fatimah binti Al-Khattab telah menjadi pengikut Muhammad," kata Na'im.

Umar menuju ke rumah adiknya. Dia terdengar suara seorang lelaki sedang mengalunkan bacaan Al-Quran. Surah yang dibacakan adalah surah Thaha. Orang yang membacanya adalah Khabbab bin Al-Aratti.

Umar menyerbu masuk ke rumah adiknya tanpa salam. Dengan serta merta Khabbab mencari tempat persenbunyian. Dia terlalu takut dengan Umar yang terkenal dengan sikap bengisnya.

"Apa bacaan yang aku dengar dari luar tadi?' tanya Umar sambil melihat ada helaian yang berkemungkinan itulah yang dibaca tadi.

"Serahkan kepadaku," minta Umar.

"Tiada apa-apa bacaan yang kami baca," kata suami isteri itu serentak.

"Aku dengar kamu berdua telah menjadi pengikut Muhammad," kata Umar dengan tegas. Lalu Umar memukul Said bin Said. Melihat suaminya dipukul, Fatimah terus menjadi benteng mempertahankan suaminya dari dipukul untuk kali kedua. Fatimah dipukul sehingga tersungkur.

"Memang kami telah menjadi pengikut Muhammad. Kami beriman kepada Allah dan RasulNya. Buatlah sesuka hati kamu terhadap kami," kata Fatimah sambil menyapu darah yang keluar dari bibir dan hidungnya.

Umar melihat darah yang mengalir pada wajah Fatimah, timbul perasaan menyesal terhadap perbuatannya tadi. Lalu dipegangnya muka adiknya dan meminta secara lembut," Serahkan catatan itu. Aku ingin mengetahui isi kandungan yang diajar oleh Muhammad,"

"Kami takut kamu apa-apakan catatan itu," kata Fatimah Al-Khattab.

"Janganlah kamu takut. Aku bersumpah dengan Tuhan Al-Latta dan Uzza, selepas aku baca catatan ini akan aku segera menyerahkan kepada kamu smeula," kata Umar.

Mendengar kata-kata itu, timbul harapan Fatimah bahawa Umar Al-Kattab akan masuk Islam. Lalu dia berkata," Wahai saudara kandungku, Engkau ini masih najis kerana masih musyrik. Sedangkan catatan ini tidak boleh disentuh kecuali oleh orang yang suci."

Mendengar kata adiknya, umar segera mandi. Selesai mandi, catatan itu diserahkan kepadanya. lalu dibaca ayat pertama yang dimulai dengan THAHA. Setelah Umar membaca beberapa ayat, terkeluar kata-kata dari mulutnya secara spontan," Alangkah bagusnya perkataan ini dan alangkah mulianya!"

Mendengar kata-kata Umar Al-Khattab itu, Khabbab meluru keluar dari tempat persembunyiannya lalu berkata," Wahai Umar! Demi Allah, sesungguhnya besarlah harapanku bahawa Allah telah memilih engkau masuk Islam. Sesungguhnya aku mendengar Muhammad telah berdoa. Ya Allah, kukuhkan Islam dengan Abil Hakam Ibnu Hisyam (gelaran Abu Jahal) atau dengan Umar Al-Khattab,"

"Tunjukkan tempat Muhammad Wahai Khabbab. Aku ingin mendatanginya dan mengucap syahadah dihadapannya," kata Umar Al-Khattab.

Hati Umar yang keras dapat dilembutkan dengan ayat dari surah Thaha ini. Inilah Mukjizat Al-Quran yang tidak sama dengan bacaan lain.

p/s: aku pernah terdengar seorang berkata bahawa ustaz di sekolahku membacakan surah yang berkaitan kewajipan puasa kepada pelajar yang ponteng puasa. Surah ini ustaz baca kemudian diikuti oleh pelajar ini. Ia dibaca secara berulang-ulang. Permulaan surahnya seperti dibawah iaitu Surah Al-Baqarah ayat 183:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ 
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa. 

Surah ini dibacakan secara berulang-ulang sehingga pelajar ini menangis. Aku masih tidak tahu bagaimana perasaan pelajar ini sehingga mereka boleh menangis.

"Apa perasaan kamu selepas jumpa ustaz?" tanyaku.

"Saya dah insaf dan tidak akan ponteng puasa lagi," kata salah seorang daripada mereka.

"Saya rasa rugi tak puasa," kata pelajar lain yang turut sama bersama ustaz.

Aku teringin sangat mengetahui apa yang dilakukan oleh ustaz selain dari membaca ayat di atas. Ada pelajar-pelajar yang boleh tolongku? Harap  boleh bagitau dalam ruangan komen yea. terima kasih ^_^

03 Ogos 2012

Perkhemahan Dalam Kem.

Ya Allah, Berikanlah aku kesabaran yang tinggi dalam menghadapi mereka ini.

Arahan menjadi guru pengiring. Nama aku di 'minitkan'. Ish...ini bukan bawah aku! Kenapa minitkan nama aku pula ni? Kemudian diminta membawa 2 pelajar. Seorang lelaki dan seorang perempuan. Tingkatan 4 sahaja dan SMK sahaja. Aku bukan buta untuk membaca arahan itu. Bagi aku ini arahan yang tak masuk akal kerana dua kriteria itu tidak memenuhi kehendak pelajarku ini.

Arahan diterima walaupun hatiku kuat memberontak. Dua pelajar tingkatan 2 dipilih. Seorang lelaki  dan seorang perempuan. Pelajar ini dari sekolah agama bukan SMK. YMP menjadi aku akur untuk meninggalkan pelajarku yang bakal menduduki Pra Percubaan PMR minggu depan.

Apabila berkumpul di PPD, hanya aku seorang yang jadi guru pengiring. Seorang lagi entah di mana. Semua pelajar yang aku iring 12 dari 15 orang. Kebanyakan kanselor sekolah yang menghantar pelajar2 ini ke PPD. Mereka semua tingkatan 4. Aku cuba kuatkan diri dengan keadaan aku ini. Bulan puasa. Bulan berlakunya Perang Badar. Ya! aku mesti kuat walau apa pun terjadi.

Sampai di kem, kami guru pengiring perempuan hanya 4 orang. Kami diberi taklimat bahawa kami guru pengiring dan juga urusetia. Tak lupa juga, kena sentri. Jaga waktu malam di khemah pelajar-pelajar perempuan. 12 tengah malam hingga 2 pagi. 2 pagi- 4 pagi. Kami berjaga secara bergilir-gilir.

Kebanyakan program dikendalikan oleh seorang ustaz. Fasilitator yang datang semua tidak tahu atas urusan apa dan tidak diberi jadual. Hanya diberikan tarikh untuk hadir ke kem. Bukan salah mereka. Tapi salah pengurusan. Itu kataku. Bagiku ini program yang dikira hancur. Makanan ada tak cukup semasa waktu berbuka puasa. Yang memalukan ada guru pengiring lelaki dikejutkan oleh pelajar untuk bersahur.

Bilik guru pengiring juga ada masalah. Bagi sesetengah orang memang itu hal biasa. Air yang keluar dari paip adalah anak berudu dan ugat-ugat. Ini mesti air dari tangki yang tidak bersih. Kami guna bilik mandi pelajar. Kami dipindah ke bilik tetamu. Semua kerja dibuat di situ. Hal dalaman dalam kem itu tidak aku peduli. Seolah-olah mereka tidak ada kesatuan dan tiada keputusan yang jitu. Banyak kepala yang handle program ini. Jadual perjalanan program juga bertukar-tukar.

4 hari 3 malam, terlalu santai untuk program perkhemahan. Kem komandan yang hanya muncul apsa awal dan akhir program sahaja. 'Sleeping bag' untuk pelajar perempuan tidak diberikan walaupun telah dinberitahu akan dibekalkan 'sleeping bag' itu.

Timbul kes pelajar-pelajar masuk kolah. Aku kira itu perkara biasa. Yang luar biasanya, pelajar ini kena 2 jahitan pada kepala. Kalau ada pelajar terlibat nak cerita, letak di ruang komen yea.

'gambar hiasan'

Ada satu cerita yang memberi pengajaran kepada seorang pelajar ini. Mungkin dia tidak membawa selipar.

"Ini selipar kamu kah?" tanya ustaz.

"ini memang selipar saya." jawab pelajar ini.

"Saya nak pakai selipar ini sekejap," pelajar ini membenarkan ustaz memakai selipar.

"Selipar ini muat tak dengan ustaz? Dah lama saya pakai selipar ini. Dah lusuh. Tak sangka ada orang suka pakai," ujar ustaz itu.

"Adakah ini selipar kamu? Wallahi...baik kamu cakap betul," kata ustaz sambil gosok belakang pelajar ini. Pelajar ini senyap. Serba salah. Dia mengeleng kepala menandakan selipar itu bukan miliknya. Ustaz telah pergi ke pasar malam dan membelikan sepasang selipar untuk pelajar ini.

"Ini selipar ustaz nak hadiahkan untuk kamu," pelajar ini malu nak mengambil hadiah ustaz ini. Lalu meminta meminta maaf dengan ustaz dan berjanji tidak akan ulangi lagi perbuatan ini. Inilah kejahatan dibalas dengan kebaikan. Dalam ramai-ramai ustaz ada ustaz yang berhati mulia. Moga pahala berganda untuk ustaz ini.

*****ini sahaja kisah yang aku nak kongsi*****

*****selamat menjawab soalan pra percubaan PMR dan soalan ujian bermula selasa- isnin*****

29 Julai 2012

Sulaiman, Semut Dan Ratu Saba'

Aku baca Surah An-Naml ini sempena Ramadhan. Aku cuba untuk memahami kisah yang diceritakan dalam AL-Quran. Insya Allah, aku akan cuba cari tafsir mengenai kisah ini. Oleh itu, hayati kisah dari Al-Quran ini. Bismillahi Rahmani Rahim :)

Nabi Sulaiman mewarisi kelebihan bapanya, Nabi Daud Alaihissalam. Mereka dikurniakan Allah Ilmu pengetahuan yang tidak ada pada manusia lain. Oleh itu mereka bersyukur atas nikmat kurnian Allah ini dan berkata, "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurniaNya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hambaNya yang beriman".

Nabi Sulaiman mewarisi pangkat kenabian dan kerajaan daripada Nabi Daud. Nabi Sulaiman menyeru umatnya dengan berkata, "Wahai umat manusia, kami telah diajar memahami bahasa pertuturan burung, dan kami telah diberikan serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu yang diperlukan. Sesungguhnya yang demikian ini adalah limpah kurnia dari Allah yang jelas nyata".

Nabi Sulaiman menghimpunkan  bala tenteranya yang terdiri dari jin dan manusia serta burung; lalu mereka dijaga serta diatur keadaan dan perjalanan masing-masing.


Maralah angkatan itu hingga apabila mereka sampai ke "Waadin-Naml" atau 'wadi semut', berkatalah seekor semut: "Wahai sekalian semut, masuklah ke sarang kamu masing-masing, jangan biarkan Sulaiman dan tenteranya memijak serta membinasakan kamu, padahal mereka tidak sedar".

Nabi Sulaiman tersenyum mendengar kata-kata semut itu. Beliau berdoa dengan berkata:" Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai dan masukkanlah daku - dengan limpah rahmatMu - dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh".

 Kemudian Nabi Sulaiman memeriksa kumpulan burung yang turut serta dalam angkatan tenteranya lalu berkata: "Mengapa aku tidak melihat burung belatuk? Adakah ia dari mereka yang tidak hadir?
"Demi sesungguhnya! Aku akan menyeksanya dengan seksa yang seberat-beratnya, atau aku akan menyembelihnya, kecuali ia membawa kepadaku alasan yang terang nyata yang membuktikan sebab-sebab ia tidak hadir," Nabi Sulaiman bersuara dengan tegas.

Tidak lama selepas itu, Burung Hud-hud datang sambil berkata kepada Nabi Sulaiman, "Aku dapat mengetahui secara meliputi akan perkara yang engkau tidak cukup mengetahuinya, dan aku datang kepadamu dari negeri Saba' dengan membawa khabar berita yang diyakini kebenarannya.

"Sesungguhnya aku dapati seorang perempuan memerintah mereka dan ia telah diberikan kepadanya serba sedikit dari tiap-tiap sesuatu yang diperlukan dan ia pula mempunyai singgahsana yang besar," jelas hud-hud.

 "Aku dapati raja perempuan itu dan kaumnya sujud kepada matahari dengan meninggalkan ibadat menyembah Allah, dan Syaitan pula memperelokkan pada pandangan mereka perbuatan syirik itu, lalu menghalangi mereka dari jalan (yang benar). Oleh itu mereka tidak beroleh petunjuk, " ujar Hud-hud dengan lebih bersemangat.

"Mereka dihalangi oleh Syaitan supaya mereka tidak sujud menyembah Allah yang mengeluarkan benda yang tersembunyi di langit dan di bumi, dan yang mengetahui apa yang kamu rahsiakan serta apa yang kamu zahirkan,"

 "Allah! - Tiada Tuhan melainkan Dia, Tuhan yang mempunyai Arasy yang besar ".

Nabi Sulaiman berkata,"Kami akan fikirkan dengan sehalus-halusnya, adakah benar apa yang engkau katakan itu, ataupun engkau dari golongan yang berdusta?".

Setelah perbincangan dibuat, Nabi Sulaiman mengarahkan Hud-hud menghantar surat sebagai perutusan dakwah pertama kepada Kerajaan Saba'.

"Pergilah bawa suratku ini, serta campakkanlah kepada mereka, kemudian berundurlah dari mereka; dalam pada itu perhatikanlah apa tindak balas mereka" pesan Nabi Sulaiman kepada Hud-hud.

Setelah membaca surat itu, berkatalah raja perempuan negeri Saba': "Wahai ketua-ketua kamu! Sesungguhnya telah disampaikan kepadaku sepucuk surat yang mulia."

"Sesungguhnya surat itu dari Nabi Sulaiman, "

Kandungan surat itu:

 "Sesungguhnya dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Janganlah kamu meninggi diri terhadapku, dan datanglah kamu kepadaku dengan menyerah diri beriman dan mematuhi ajaran ugama Allah." 

Raja perempuan itu berkata lagi: "Wahai ketua-ketua kaum, berilah penjelasan kepadaku mengenai perkara yang aku hadapi ini; aku tidak pernah memutuskan sesuatu perkara sebelum kamu hadir memberi pendapat dan mempersetujuinya".

 Mereka menjawab,"Kita adalah orang-orang yang kuat gagah dan amat berani merempuh peperangan; dan perkara itu (walau bagaimanapun) terserahlah kepadamu; oleh itu fikirkanlah apa yang engkau hendak perintahkan."

Raja perempuan itu berkata, "Sesungguhnya raja-raja, apabila masuk ke sebuah negeri, mereka merosakkannya, dan mereka menjadikan penduduknya yang mulia hina-dina; dan sedemikian itulah mereka akan lakukan."

"Aku hendak menghantarkan hadiah kepada mereka, kemudian aku akan menunggu, apakah balasan yang akan dibawa balik oleh utusan-utusan kita," kata Balqis dengan memberi idea baru.

Apabila utusan pembawa hadiah itu datang mengadap Nabi Sulaiman, berkatalah Nabi Sulaiman kepada utusan itu, "Tidaklah patut kamu memberikan kepadaku pemberian harta-benda, kerana apa yang telah diberikan Allah kepadaku lebih baik dari apa yang telah diberikanNya kepada kamu. Aku bukan memandang kepada pemberian hadiah ini, bahkan kamulah yang bergembira dengan hanya kekayaan yang dihadiahkan kepada kamu atau yang kamu hadiahkan dengan perasaan megah."

"Kembalilah kepada mereka, jika mereka tidak juga mahu beriman maka sesungguhnya Kami akan mendatangi mereka dengan angkatan tentera yang kamu tidak terdaya menentangnya, dan kami akan mengeluarkan mereka dari negeri Saba' dengan keadaan hina dengan menjadi orang-orang tawanan."

Setelah utusan itu berangkat kembali ke negeri Saba'. Nabi Sulaiman berkata kepada golongan bijak pandainya, "Wahai pegawai-pegawaiku, siapakah di antara kamu yang dapat membawa kepadaku singgahsananya sebelum mereka datang mengadapku dalam keadaan berserah diri memeluk Islam?"

Berkatalah Ifrit dari golongan jin: "Aku akan membawakannya kepadamu sebelum engkau bangun dari tempat dudukmu, dan sesungguhnya aku amatlah kuat gagah untuk membawanya, lagi amanah".

 Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" 

Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah".

Nabi Sulaiman berkata pula kepada pembantu-pembantunya, "Ubahkanlah keadaan singgahsananya itu, supaya kita melihat adakah ia dapat mencapai pengetahuan yang sebenar mengenal singgahsananya itu atau ia termasuk dalam golongan yang tidak dapat mencapai pengetahuan yang demikian".

Ketika Balqis datang mengadap, Nabi Sulaiman bertanya kepadanya: Serupa inikah singahsanamu?" Ia menjawab: "Boleh jadi inilah dia dan kami telah diberikan ilmu pengetahuan sebelum berlakunya (mukjizat) ini, dan kami pula adalah tetap berserah diri (menjunjung perintah Allah)".

 Dan ia dihalangi (daripada memeluk Islam pada masa yang lalu): apa yang ia pernah menyembahnya (dari benda-benda) yang lain dari Allah; sesungguhnya adalah ia (pada masa itu) dari puak yang kafir.

(Setelah itu) dikatakan kepadanya: "Dipersilakan masuk ke dalam istana ini." Maka ketika ia melihatnya, disangkanya halaman istana itu sebuah kolam air, serta dia pun menyingsingkan pakaian dari dua betisnya. 

Nabi Sulaiman berkata: "Sebenarnya ini adalah sebuah istana yang diperbuat licin berkilat dari kaca". Mendengar yang demikian, Balqis berdoa: 

"رَبِّ إِنِّي ظَلَمْتُ نَفْسِي وَأَسْلَمْتُ مَعَ سُلَيْمَانَ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ "

"Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diri sendiri dan (sekarang aku menegaskan bahawa) aku berserah diri memeluk Islam bersama-sama Nabi Sulaiman, kepada Allah Tuhan sekalian alam ". 

SUMBER: Terjemahan Al-Quran.

28 Julai 2012

Yusuf Yang Menawan.

"Wahai ayahku, sesungguhnya aku telah bermimpi. Dalam mimpi itu, matahari, bulan dan 11 bintang sujud kepadaku," Yusuf mengadu kepada bapanya, Yaakub tentang mimpi yang baginya sungguh aneh.

"Wahai anakku! Janganlah engkau ceritakan mimpimu kepada saudara-saudaramu, kerana aku khuatir mereka akan menjalankan sesuatu rancangan jahat terhadapmu. Sesungguhnya syaitan adalah musuh yang nyata bagi manusia. ," nasihat Yaakub kepada Yusuf. Nabi Yaakub bimbang saudara-saudara Yusuf akan membuat aniaya kepada Yusuf.

Malangnya rasa dengki saudara-saudaranya membuatkan mereka merancang untuk membunuh atau menghalau Yusuf dengan cara yang halus.

ketika saudara-saudara Yusuf berkata (sesama sendiri): "Sesungguhnya Yusuf dan adiknya, lebih disayangi oleh bapa kita daripada kita, padahal kita ini satu kumpulan (yang ramai dan berguna). Sesungguhnya bapa kita adalah dalam keadaan tidak adil yang nyata.


(Ramai di antara mereka berkata):" Bunuhlah Yusuf atau buanglah dia ke suatu tempat yang jauh, supaya perhatian dan kasih sayang bapa kamu tertumpu kepada kamu semata-mata, dan supaya kamu sesudah itu menjadi orang-orang yang baik dan berguna".

Salah seorang di antara mereka berkata: "Janganlah kamu membunuh Yusuf, tetapi buanglah dia ke dalam pergi, supaya ia dipungut oleh sebahagian dari orang-orang musafir (yang lalu di situ), kalaulah kamu tetap hendak menjalankan rancangan kamu itu".

Mereka pun (pergi berjumpa dengan bapa mereka lalu) berkata," Wahai ayah kami! Mengapa ayah tidak percaya kepada kami tentang Yusuf, padahal sesungguhnya kami sentiasa tulus ikhlas mengambil berat kepadanya?"

"Biarkan dia pergi bersama-sama kami esok, supaya ia bersuka ria makan minum dan bermain-main dengan bebasnya; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya".

Bapa mereka menjawab: "Permergian kamu membawanya bersama sangatlah mendukacitakan daku, dan aku pula bimbang ia akan dimakan oleh serigala, ketika kamu lalai dari mengawalnya ".

Mereka berkata: "Kalau dia dimakan oleh serigala, sedang kami ramai bilangannya, sesungguhnya kami sudah tentu menjadilah orang-orang yang rugi".

Dan sesudah itu datanglah mereka mendapatkan bapa mereka pada waktu senja sambil (buat-buat) menangis.

Dan (semasa Yusuf dalam perigi) datanglah ke tempat itu satu rombongan (ahli perniagaan) yang sedang dalam perjalanan; lalu mereka menghantarkan seorang pencari air bagi mereka; (setelah sampainya ke perigi itu) dia pun menghulurkan timbanya (dan manakala ia melihat Yusuf bergantung pada timbanya) ia berseru dengan katanya: "Hai, (ini) sungguh mengembirakan! Ini adalah seorang budak lelaki (yang cantik parasnya)". (Setelah mengetahui hal itu, saudara-saudara Yusuf pun datang) serta mereka sembunyikan keadaan Yusuf yang sebenarnya (untuk dijual) sebagai barang dagangan. Dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan.

Dan (setelah berlaku perundingan) mereka menjualnya dengan harga yang murah, iaitu beberapa dirham sahaja bilangannya; dan mereka adalah orang-orang yang tidak menghargainya.

Dan (setelah Yusuf dijualkan di negeri Mesir), berkatalah orang yang membeli Yusuf kepada isterinya: "Berilah dia layanan yang sebaik-baiknya; semoga ia berguna kepada kita, atau kita jadikan dia anak". Dan demikianlah caranya kami menetapkan kedudukan Yusuf di bumi (Mesir untuk dihormati dan disayangi), dan untuk kami mengajarnya sebahagian dari ilmu takbir mimpi. Dan Allah Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkanNya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui.

Dan ketika Yusuf sampai ke peringkat umurnya yang sempurna kekuatannya, Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikianlah kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya".

Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa.

Dan mereka berdua pun berkejaran ke pintu, serta perempuan itu mengoyakkan baju Yusuf dari belakang; lalu terserempaklah keduanya dengan suami perempuan itu di muka pintu. Tiba-tiba perempuan itu berkata (kepada suaminya): Tidak ada balasan bagi orang yang mahu membuat jahat terhadap isterimu melainkan dipenjarakan dia atau dikenakan azab yang menyiksanya".

Yusuf pula berkata: "Dia lah yang memujukku berkehendakkan diriku". (Suaminya tercengang mendengarnya) dan seorang dari keluarga perempuan itu (yang ada bersama-sama) tampil memberi pendapatnya dengan berkata:" "Jika baju Yusuf koyak dari depan maka benarlah tuduhan perempuan itu, dan menjadilah Yusuf dari orang-orang yang dusta.

Dan jika bajunya koyak dari belakang, maka dustalah perempuan itu, dan Yusuf adalah dari orang-orang yang benar".

Setelah suaminya melihat baju Yusuf koyak dari belakang, berkatalah ia: "Sesungguhnya ini adalah dari tipu daya kamu orang-orang perempuan; sesungguhnya tipu daya kamu amatlah besar pengaruhnya.

Wahai Yusuf, lupakanlah hal ini. Dan engkau (Wahai Zulaikha), mintalah ampun bagi dosamu, sesungguhnya engkau adalah dari orang-orang yang bersalah!"

Dan (sesudah itu) perempuan-perempuan di bandar Mesir (mencaci hal Zulaikha dengan) berkata: Isteri Al-Aziz itu memujuk hambanya (Yusuf) berkehendakkan dirinya, sesungguhnya cintanya (kepada Yusuf) itu sudahlah meresap ke dalam lipatan hatinya; sesungguhnya kami memandangnya berada dalam kesesatan yang nyata."

Maka apabila ia (Zulaikha) mendengar cacian mereka, dia pun menjemput mereka dan menyediakan satu jamuan untuk mereka, serta memberi kepada - tiap seorang di antara mereka sebilah pisau. Dan pada ketika itu berkatalah ia (kepada Yusuf): "Keluarlah di hadapan mereka". Maka ketika mereka melihatnya, mereka tercengang melihat kecantikan parasnya, dan mereka dengan tidak sedar melukakan tangan mereka sambil berkata: "Jauhnya Allah dari kekurangan! Ini bukanlah seorang manusia, ini tidak lain melainkan malaikat yang mulia!"

(Zulaikha) berkata: "Inilah orangnya yang kamu tempelak aku mengenainya! Sebenarnya aku telah memujuknya berkehendakkan dirinya tetapi ia menolak dan berpegang teguh kepada kesuciannya; dan demi sesungguhnya kalau ia tidak mahu melakukan apa yang aku suruh tentulah ia akan dipenjarakan, dan akan menjadi dari orang-orang yang hina."

Yusuf (merayu kehadrat Allah Taala dengan) berkata: "Wahai Tuhanku! Aku lebih suka kepada penjara dari apa yang perempuan-perempuan itu ajak aku kepadanya. Dan jika Engkau tidak menjauhkan daripadaku tipu daya mereka, mungkin aku akan cenderung kepada mereka, dan aku menjadi dari orang-orang yang tidak mengamalkan ilmunya".

Maka Tuhannya memperkenankan doanya, lalu dijauhkan daripadanya tipu daya mereka; sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

Kemudian timbul fikiran bagi suami perempuan itu, serta orang-orangnya hendak memenjarakan Yusuf sesudah mereka nampak tanda-tanda (yang menghendaki supaya Yusuf dijauhkan) hingga ke suatu masa.

Dan masuklah bersama-samanya ke penjara dua orang khadam raja.

Salah seorang di antaranya (bertanya kepada Yusuf dengan) berkata: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku memerah anggur ".

Dan berkata pula yang seorang lagi: "Sesungguhnya aku bermimpi melihat diriku menjunjung roti atas kepalaku, yang sebahagiannya dimakan oleh burung."

(kemudian keduanya berkata): "Terangkanlah kepada kami akan takbirnya. Sesungguhnya kami memandangmu: dari orang-orang yang berbuat kebaikan (untuk umum)".

Yusuf menjawab: "(Aku bukan sahaja dapat menerangkan takbir mimpi kamu itu, bahkan) tidak datang kepada kamu sesuatu makanan yang diberikan kepada kamu (tiap-tiap hari dalam penjara), melainkan aku juga dapat memberitahu kepada kamu akan nama dan jenisnya, sebelum ia dibawa kepada kamu. Yang demikian itu ialah sebahagian dari apa yang diajarkan kepadaku oleh Tuhanku. Dengan sebab itu aku meninggalkan ugama kaum yang tidak beriman kepada Allah serta tidak pula percayakan hari akhirat.

"Dan aku menurut ugama bapa dan datuk nenekku: Ibrahim dan Ishak serta Yaakub. Tidaklah sepatutnya kita mempersekutukan sesuatupun dengan Allah. Mentauhid - mengesakan Allah ialah hasil dari limpah kurnia Allah kepada kita dan kepada umat manusia. Tetapi kebanyakan manusia tidak bersyukur.

"Wahai sahabatku berdua yang sepenjara, memuja dan menyembah berbilang-bilang tuhan yang bercerai-berai itukah yang lebih baik atau menyembah Allah Tuhan Yang Maha Esa, lagi Maha Kuasa?

"Apa yang kamu sembah, yang lain dari Allah, hanyalah nama-nama yang kamu menamakannya, kamu dan datuk nenek kamu, Allah tidak pernah menurunkan sebarang bukti yang membenarkannya. Sebenarnya hukum (yang menentukan amal ibadat) hanyalah bagi Allah. Ia memerintahkan supaya kamu jangan menyembah melainkan Dia. Yang demikian itulah Ugama yang betul, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui."

"Wahai sahabatku berdua yang sepenjara! (Takbir mimpi kamu itu ialah). Salah seorang dari kamu akan memberi minum arak kepada tuannya. Ada pun yang seorang lagi, kamu akan dipancung serta burung pula akan makan dari kepalanya. Telah selesailah (dan tetaplah berlakunya) perkara yang kamu tanyakan itu".

Dan berkatalah Yusuf kepada orang yang ia percaya akan terselamat di antara mereka berdua: "Sebutkan kisahku di dalam penjara ini kepada tuanmu". Setelah orang itu dibebaskan dari penjara maka ia dilupakan oleh syaitan untuk menyebutkan kisah Yusuf kepada tuannya. Dengan sebab itu tinggalah Yusuf dalam penjara 7 tahun.

Dan (pada suatu hari) raja Mesir berkata: "Sesungguhnya aku mimpi melihat: tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus, dan aku melihat tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau dan tujuh tangkai lagi yang kering. Wahai ketua-ketua kaum (yang hadir, terangkanlah kepadaku tentang mimpiku ini, kalau kamu orang yang pandai menafsirkan mimpi".

Mereka menjawab: "Yang demikian itu ialah mimpi-mimpi yang bercampur aduk, dan kami bukanlah orang-orang yang mengetahui mimpi-mimpi (yang sedemikian) itu".

Dan (pada saat itu) berkatalah orang yang terselamat di antara mereka yang berdua itu, dan yang baharu mengingati (akan pesanan Yusuf) sesudah berlalu suatu masa yang lanjut: "Aku akan memberi tahu kepada kamu tafsirannya. Oleh itu hantarkanlah daku pergi (kepada orang yang mengetahui tafsirannya) ".

(Setelah ia berjumpa dengan Yusuf, berkatalah ia): "Yusuf, Wahai orang yang benar (pada segala-galanya)! tafsirkanlah kepada kami (seorang bermimpi melihat): tujuh ekor lembu yang gemuk dimakan oleh tujuh ekor lembu yang kurus; dan tujuh tangkai (biji-bijian) yang hijau serta tujuh tangkai lagi yang kering; (tafsirkanlah) supaya aku kembali kepada orang-orang yang mengutusku itu, semoga mereka dapat mengetahui tafsirannya".

Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan.

Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemaraun yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).

"Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)".

Dan (apabila mendengar tafsiran itu) berkatalah raja Mesir:" Bawalah dia kepadaku! "Maka tatkata utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya mengadap raja), Yusuf berkata kepadanya: Kembalilah kepada tuanmu kemudian bertanyalah kepadanya: "Apa halnya perempuan-perempuan yang melukakan tangan mereka ? Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengetahui tipu daya mereka".

Setelah perempuan-perempuan itu dipanggil), raja bertanya kepada mereka: "Apahal kamu, semasa kamu memujuk Yusuf mengenai dirinya?" Mereka menjawab: JauhNya Allah dari segala cacat cela, kami tidak mengetahui sesuatu kejahatan terhadap Yusuf". Isteri Al-Aziz pun berkata: "Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya (tetapi ia telah menolak); dan sesungguhnya adalah ia dari orang-orang yang benar.

(Pengakuanku) yang demikian supaya ia mengetahui, bahawa aku tidak mengkhianatinya semasa ia tidak hadir (bersama di sini); dan bahawa Allah tidak menjayakan tipu daya orang-orang yang khianat.

"Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan, kecuali orang-orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanku (maka terselamatlah ia dari hasutan nafsu itu). Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Dan (setelah mendengar pengakuan perempuan-perempuan itu), raja berkata: "Bawalah Yusuf kepadaku, aku hendak menjadikan dia orang yang khas untuk aku bermesyuarat dengannya. Setelah (Yusuf dibawa mengadap, dan raja) berkata-kata dengannya (serta mengetahui kebijaksanaannya) berkatalah raja kepadanya: "Sesungguhnya engkau pada hari ini (wahai Yusuf), seorang yang berpangkat tinggi, lagi dipercayai di kalangan kami ".

Yusuf berkata: "Jadikanlah daku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya".

Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; ia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan.

Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.

Dan (setelah tiba musim kemarau) datanglah saudara-saudara Yusuf (ke Mesir), lalu masuklah mereka mendapatkannya; Yusuf dengan serta merta kenal mereka, sedang mereka tidak mengenalnya.

Dan ketika Yusuf menyediakan untuk mereka bekalan mereka, berkatalah ia:" (Pada kali yang lain) bawalah kepadaku saudara kamu yang sebapa. Tidakkah kamu melihat, bahawa aku menyempurnakan bekalan makanan kamu, dan bahawa aku sebaik-baik penerima tetamu?

Oleh itu, kalau kamu tidak membawanya kepadaku, maka tidak ada hak bagi kamu mendapat bekalan makanan di sisiku, dan janganlah kamu menghampiriku lagi".

Mereka menjawab: "Kami akan memujuk bapanya melepaskan dia bersama-sama kami, dan sesungguhnya kami akan melakukannya".

Dan (selepas itu) berkatalah Yusuf kepada orang-orang suruhannya. "Masukkanlah barang-barang dagangan mereka pada tempat simpanan barang di kenderaan mereka, supaya mereka mengetahuinya kelak ketika mereka kembali kepada keluarga mereka, dan supaya mereka datang lagi (ke negeri ini)".

Maka ketika mereka kembali kepada bapa mereka, berkatalah mereka: "Wahai ayah kami! Kami (tetap diberi amaran bahawa kami) tidak akan mendapat lagi bekalan makanan (kiranya Bunyamin tidak pergi bersama). Oleh itu, hantarkanlah dia bersama-sama kami, supaya kami dapat lagi bekalan makanan; dan sesungguhnya kami akan menjaganya dengan sebaik-baiknya".

Bapa mereka berkata: "(Jika aku lepaskan dia pergi bersama-sama kamu), aku tidak menaruh kepercayaan kepada kamu menjaganya melainkan seperti kepercayaanku kepada kamu menjaga saudaranya dahulu (yang telah kamu hampakan. Oleh itu aku hanya menaruh kepercayaan kepada Allah), kerana Allah jualah Penjaga yang sebaik-baiknya, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani dari sesiapa sahaja yang menaruh belas kasihan".

Dan semasa mereka membuka barang-barang mereka, mereka dapati barang-barang dagangan mereka telah dikembalikan kepada mereka. Mereka berkata dengan gembiranya: "Wahai ayah kami! Apa yang kita kehendaki lagi? Ini dia barang-barang dagangan yang kita jadikan tukaran (bagi mendapat gandum) itu telah dikembalikan kepada kita. Dan (dengan kemurahan hati menteri yang berbudi itu) akan dapatlah kami membawa lagi bekalan makanan kepada keluarga kami, dan kami pula akan dapat menjaga saudara kami, serta akan dapat tambahan benda-benda makanan sebanyak muatan seekor unta lagi. Pemberian tambahan yang sebanyak itu mudah sekali ditunaikannya".

Bapa mereka berkata:" Aku tidak sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh". Maka ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, berkatalah ia: "Allah jualah yang menjadi Saksi dan Pengawas atas apa yang kita semua katakan itu."

Dan ia berkata lagi: "Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang berlainan. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya tertentu bagi Allah. KepadaNyalah aku berserah diri, dan kepadaNyalah hendaknya berserah orang-orang yang mahu berserah diri".

Dan ketika mereka masuk menurut arah yang diperintahkan oleh bapa mereka, tidaklah perintahnya itu dapat menyelamatkan mereka dari apa yang telah ditakdirkan oleh Allah sedikitpun, tetapi yang demikian itu hanyalah melahirkan hajat yang terpendam dalam hati Nabi Yaakub. Dan sesungguhnya ia orang yang berilmu, kerana kami telah mengajarnya (dengan perantaraan wahyu); tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (akan rahsia takdir Tuhan).

Dan semasa mereka masuk mendapatkan Yusuf, ia menempatkan saudara kandungnya (Bunyamin) bersama-samanya, sambil berkata kepadanya:" Akulah saudara engkau Yusuf), oleh itu janganlah engkau berdukacita lagi disebabkan apa yang mereka lakukan".

Maka ketika ia membekalkan mereka dengan bekalan makan (yang mencukupi keperluan) mereka, lalu ia meletakkan bijana minuman raja di kenderaan saudaranya (Bunyamin), kemudian menyeru seorang penyeru:" Wahai orang-orang kafilah ini, sesungguhnya kamu adalah pencuri ".

Mereka bertanya sambil mengadap ke arah orang-orang menteri yang menuduh itu: "Apa benda kamu yang kehilangan?"

Orang-orang menteri menjawab: "Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu".

Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya kamu sedia mengetahui bahawa kedatangan kami bukanlah untuk berbuat kerosakan di bumi (Mesir ini), dan kami pula bukanlah pencuri".

(Orang-orang menteri) bertanya: "Maka apa balasan pencuri itu, jika kamu berdusta?"

Mereka menjawab: "Balasannya: sesiapa yang didapati benda itu di kenderaannya, maka dia lah sendiri yang menjadi balasannya. Demikianlah kami membalas orang-orang yang zalim".

Maka Yusuf pun mulailah memeriksa tempat-tempat barang mereka sebelum memeriksa tempat barang saudara kandungnya (Bunyamin) kemudian ia mengeluarkan benda yang hilang itu dari tempat simpanan barang saudara kandungnya. Demikianlah Kami jayakan rancangan untuk (menyampaikan hajat) Yusuf. Tidaklah ia akan dapat mengambil saudara kandungnya menurut undang-undang raja, kecuali jika dikehendaki oleh Allah. (Dengan ilmu pengetahuan), Kami tinggikan pangkat kedudukan sesiapa yang Kami kehendaki, dan tiap-tiap orang yang berilmu pengetahuan, ada lagi di atasnya yang lebih mengetahui,

Mereka berkata:" Kalau dia mencuri, maka (tidaklah pelik), kerana sesungguhnya saudara kandungnya pernah juga mencuri dahulu. (Mendengar kata-kata yang menyinggung itu) maka Yusuf pun menyembunyikan perasaannya, dan tidak menyatakannya kepada mereka, sambil berkata (dalam hati): "Kamulah yang lebih buruk keadaannya; dan Allah Maha Mengetahui akan apa yang kamu katakan itu".

Merekapun merayu dengan berkata: "Wahai datuk menteri! Sesungguhnya ia (Bunyamin), mempunyai bapa yang sudah tua, lagi berpangkat. Oleh itu, ambilah salah seorang di antara kami sebagai gantinya; sesungguhnya kami memandangmu dari orang-orang yang sentiasa berbudi ".

Yusuf berkata: "Kami berlindung kepada Allah daripada mengambil sesiapapun kecuali orang yang kami dapati barang kami dalam simpanannya. Sesungguhnya jika kami mengambil orang lain, nescaya menjadilah kami orang-orang yang zalim".

Maka apabila mereka berputus asa daripada mendapat pertolongannya, merekapun mengasingkan diri lalu bermesyuarat tentang hal itu. Berkatalah ketua mereka (saudaranya yang sulung): "Tidakkah kamu ketahui bahawa bapa kita telah mengambil janji dari kamu yang dikuatkan dengan nama Allah, dan dahulu pun kamu telah mencuaikan janji dan sumpah kamu dalam perkara menjaga keselamatan Yusuf? Oleh itu, aku tidak sekali-kali akan meninggalkan negeri (Mesir) ini sehingga bapaku izinkan aku (kembali atau sehingga Allah menghukum bagiku (untuk meninggalkan negeri ini), dan Dia lah Hakim yang seadil-adilnya.

Kembalilah kamu kepada bapa kamu, dan katakanlah, wahai ayah kami! Sesungguhnya anakmu (Bunyamin) telah mencuri, dan kami tidak menjadi saksi (terhadapnya) melainkan dengan apa yang kami ketahui dan kami tidaklah dapat menjaga perkara yang ghaib.

Dan bertanyalah kepada penduduk negeri (Mesir) tempat kami tinggal (berdagang) dan kepada orang-orang kafilah yang kami balik bersamanya. Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang benar".

(Setelah mereka kembali dan menyampaikan hal itu kepada bapa mereka) berkatalah ia: "(Tidaklah benar apa yang kamu katakan itu) bahkan nafsu kamu telah memperelokkan pada pandangan kamu suatu perkara (yang kamu rancangkan). Jika demikian, bersabarlah aku dengan sebaik-baiknya, mudah-mudahan Allah mengembalikan mereka semua kepadaku. Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Dan (bapa mereka - Nabi Yaakub) pun berpaling dari mereka (kerana berita yang mengharukan itu) sambil berkata: Aduhai sedihnya aku kerana Yusuf, dan putihlah dua belah matanya disebabkan ratap tangis dukacitanya kerana ia orang yang memendamkan marahnya di dalam hati.

Mereka berkata: "Demi Allah, ayah tak habis-habis ingat kepada Yusuf, sehingga ayah menjadi sakit merana, atau menjadi dari orang-orang yang binasa".

(Nabi Yaakub) menjawab: "Sesungguhnya aku hanyalah mengadukan kesusahan dan dukacitaku kepada Allah dan aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah, apa yang kamu tidak mengetahuinya.

Wahai anak-anakku! Pergilah dan intiplah khabar berita mengenai Yusuf dan saudaranya (Bunyamin), dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir".

Maka (bertolaklah mereka ke Mesir, dan) setelah mereka masuk mengadap Yusuf, berkatalah mereka: "Wahai Datuk Menteri, kami dan keluarga kami telah menderita kesusahan (kemarau), dan kami datang dengan membawa barang-barang yang kurang baik dan tidak berharga (untuk menjadi tukaran bagi benda-benda makanan negeri ini). Oleh itu, sempurnakanlah sukatan bekalan makanan bagi kami dan mendermalah kepada kami, sesungguhnya Allah membalas dengan sebaik-baik balasan kepada orang-orang yang bermurah hati menderma".

Yusuf berkata: "Tahukah kamu (betapa buruknya) apa yang kamu telah lakukan kepada Yusuf dan adiknya, semasa kamu masih jahil (tentang buruknya perbuatan yang demikian)?"

Mereka bertanya (dengan hairan): "Engkau ini Yusufkah? " Ia menjawab: "Akulah Yusuf dan ini adikku (Bunyamin). Sesungguhnya Allah telah mengurniakan nikmatNya kepada kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak menghilangkan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan.

Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya Allah telah melebihkan dan memuliakan engkau daripada kami (disebabkan taqwa dan kesabaranmu); dan sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah".

Yusuf berkata: "Kamu pada hari ini tidak akan ditempelak atau disalahkan (tentang perbuatan kamu yang telah terlanjur itu), semoga Allah mengampunkan dosa kamu, dan Dia lah jua Yang Maha Mengasihani daripada segala yang lain yang mengasihani.

Pergilah dengan membawa bajuku ini, kemudian letakkan pada muka ayahku supaya ia dapat melihat, dan selepas itu bawalah kepadaku keluarga kamu semuanya".

Dan semasa kafilah (mereka meninggalkan Mesir menunju ke tempat bapa mereka di Palestin), berkatalah bapa mereka (kepada kaum kerabatnya yang ada di sisinya): "Sesungguhnya aku ada terbau akan bau Yusuf. Jika kamu tidak menyangka aku sudah nyanyuk (tentulah kamu akan percaya)".

Mereka berkata: "Demi Allah! Sesungguhnya ayah masih berada dalam keadaan tidak siumanmu yang lama".

Maka sebaik-baik sahaja datang pembawa khabar berita yang mengembirakan itu, dia pun meletakkan baju Yusuf pada muka Nabi Yaakub, lalu menjadilah ia celik kembali seperti sediakala. Nabi Yaakub berkata: "Bukankah aku telah katakan kepada kamu, sesungguhnya aku mengetahui (dengan perantaraan wahyu) dari Allah akan apa yang kamu tidak mengetahuinya?"

Mereka berkata: "Wahai ayah kami! Mintalah ampun bagi kami akan dosa-dosa kami; sesungguhnya kami adalah orang-orang yang bersalah".

Nabi Yaakub berkata: "Aku akan meminta ampun bagi kamu dari Tuhanku; sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani".

Maka ketika mereka (Nabi Yaakub dan keluarganya) masuk (ke Mesir) menemui Yusuf, Yusuf segera menyambut serta memeluk kedua ibu bapanya, sambil berkata: "Masuklah kamu ke negeri Mesir, insya Allah kamu berada di dalam aman.

Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada Yusuf. Dan (pada saat itu) berkatalah Yusuf: "Wahai ayahku! Inilah dia tafsiran mimpiku dahulu. Sesungguhnya Allah telah menjadikan mimpiku itu benar. Dan sesungguhnya Ia telah melimpahkan kebaikan kepadaku ketika Ia mengeluarkan daku dari penjara; dan Ia membawa kamu ke mari dari dosa sesudah Syaitan (dengan hasutannya) merosakkan perhubungan antaraku dengan saudara-saudaraku. Sesungguhnya Tuhanku lemah-lembut tadbirNya bagi apa yang dikehendakiNya; sesungguhnya Dia lah yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

"Wahai Tuhanku! Sesungguhnya Engkau telah mengurniakan daku sebahagian dari kekuasaan (pemerintahan) dan mengajarku sebahagian dari ilmu tafsiran mimpi. Wahai Tuhan yang menciptakan langit dan bumi Engkau Penguasa dan Pelindungku di dunia dan di akhirat; sempurnakanlah ajalku (ketika mati) dalam keadaan Islam, dan hubungkanlah daku dengan orang-orang yang soleh".

Kisah nabi Yusuf ini adalah dari berita-berita yang ghaib yang Allah wahyukan kepadamu wahai Muhammad, sedang engkau tidak ada bersama-sama mereka semasa mereka sekata mengambil keputusan hendak membuang Yusuf ke dalam perigi dan semasa mereka menjalankan rancangan jahat terhadapnya untuk membinasakannya.

Dan kebanyakan manusia tidak akan beriman walaupun engkau terlalu ingin supaya mereka beriman.

Padahal Nabi Muhammad tidak meminta kepada mereka sebarang upah tentang ajaran Al-Quran, sedang Al-Quran itu tidak lain hanyalah peringatan dan pengajaran dari Allah bagi umat manusia seluruhnya.

Dan berapa banyak tanda-tanda kekuasaan Allah di langit dan di bumi yang mereka menyaksikannya berulang-ulang semasa mereka pagi dan datang, sedang mereka tidak juga menghiraukan dan memikirkannya.

Dan (orang-orang yang beriman kepada Allah), kebanyakan mereka tidak beriman kepada Allah melainkan mereka mempersekutukannya juga dengan yang lain.

(Mengapa mereka bersikap demikian?) Adakah mereka merasa aman dari didatangi azab Allah yang meliputi mereka, atau didatangi hari kiamat secara mengejut, sedang mereka tidak menyedarinya?

Katakanlah (wahai Muhammad): "Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang menurutku, menyeru manusia umumnya kepada ugama Allah dengan berdasarkan keterangan dan bukti yang jelas nyata. Dan aku menegaskan: Maha suci Allah (dari segala iktiqad dan perbuatan syirik); dan bukanlah aku dari golongan yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu yang lain."SUMBER:terjemahan Surah Yusuf.

Imam Malik

 Dalam dunia Islam, aku sangat jahil berkaitan mazhab-mazhab yang ada. Jika melihat latar belakang pengajian aku sehingga pengajian sarjana,...