11 Ogos 2011

Murid vs Guru.

Sementara menjaga pelajar-pelajar menjawab trial PMR...sempat lagi aku capai dan baca buku ni. Kalau aku tak buat apa-apa mengantuk. hehehe

Ok...layan kisah ni dulu ^_^

Abu Ishak atau dikenali dengan nama Ibrahim bin Ahmad Khawas adalah seoarang ahli sufi yang hidup pada zaman kerajaan Abbasiyyah. Abu Ishak hidup sezaman dengan Junaid Al-Baghdadi dan Hasan Nuwairi. Beliau adalah seorang pakar dalam bidang ilmu Tasawuf dan perundangan Islam. Di samping itu, beliau mendalami ilmu kesusasteraan dan bahasa Arab demi mendalami ilmu Islam.

Sebagaimana kata Syafie:" Aku mendalami ilmu Bahasa dan Sastera Arab selama 20 tahun semata-mata mahu menguasai ilmu Fekah".

Abu Isham menghabiskan masa hidupnya menuntut ilmu dan beribadat. Beliau tidak menyukai kemewahan, kemegahan, kuasa, pangkat dan kemasyhuran di dunia ini. Matlamat hidupnya hanya mahu bertemu Allah di akhirat kelak.

Kisah hidup dan ilmu pengetahuan Abu Ishak sering terdapat dalam karya-karya kitab Tasawuf seperti Risalah Kusyairi, Minhaj Abidin, Ihya' Ululmuddin, Hikam dan lain-lain lagi.

Semasa Abu Ishak masih remaja, beliau sentiasa dahagakan ilmu pengetahuan. Beliau sanggup merantau jauh semata-mata mencari guru. Beliau terpaksa menghadapi pelbagai dugaan dan halangan dalam perjalanan.

Pada suatu hari, Abu Ishak mahu mengembara lagi bagi melanjutkan pelajarannya. Beliau mencari guru yang dapat mengajarnya di merata-rata tempat. Kebanyakan guru yang ditemuinya enggan menerimanya sebagai murid. Guru-guru itu berasa malu kerana tahap ilmu Abu Isha melebihi mereka.

"Di manakah lagi aku harus mencari guru?" tanya Abu Ishak pada dirinya sendiri.

Abu Ishak berasa sedih memikirkan nasibnya.

Tiba-tiba, beliau ternampak seorang lelaki tua. Hatinya tertarik dengan lelaki tuan itu. Lelaki tua itu memberi nasihat dan ceramah kepada orang di situ. Orang ramai datang berduyun-duyun mendengar ceramah lelaki tua itu. Abu Ishak juga tidak terkecuali mendengar ceramahnya.

Abu Ishak berasa kagum dengan ceramah lelaki tua itu. Ceramahnya penuh penghayatan dan tersirat segala ilmu.

Selesai ceramah, lelaki tua itu pun bergerak pulang ke rumahnya. Abu Ishak mengekori lelaki tua itu secara senyap-senyap. Beliau mahu tahu ke mana hala tuju lelaki tua itu.

Jauh di sudut hati Abu Ishak berkata," Lelaki tua ini tentunya orang yang bijaksana".

Beliau terus mengekori lelaki tua itu. Beliau yakin lelaki tua itu tidak menyedarinya.

Tiba-tiba lelaki tua itu menoleh ke belakang dan melihat Abu Ishak. Abu Ishak terkedu.

"Wahai anak muda, apakah yang kamu mahu?" tanya lelaki tua itu dengan tenang.

"Saya mahu belajar dengan tuan," jawab Abu Ishak dengan gementar.

"Kamu belum cukup bersedia," kata lelaki tua itu dengan selamba.

Abu Ishak tidak dapat menerima kata-kata lelaki tua itu. Hati mudanya memberontak. Beliau teguh dengan keputusannya. Beliau mahu belajar dengan lelaki tua itu.

"Izinkanlah saya belajar dengan tuan. Ajarilah saya," pinta Abu Ishak dengan bersungguh-sungguh.

Abu Ishak berkeras juga. Lelaki tua itu merenung Abu Ishak seolah-olah memikirkan sesuatu.

"Baiklah. Saya sedia mengajar kamu. Tidak lama lagi, saya hendak pergi ke Mekah. Kamu ikut saya pergi ke sana," kata lelaki tua itu memberi peluang kepada Abu Ishak.

Lelaki tua itu menerima Abu Ishak sebagai anak murid. Abu Ishak bersa sungguh gembira.

"Hanya kita berdua akan pergi ke sana. Salah seorang daripada kita harus dipilih sebagai ketua," kata lelaki tua itu dengan tegas.

"Siapakah yang kamu pilih?" tanya lelaki tua itu menduga Abu Ishak.

"Saya memilih tuan sebagai ketua. Saya sebagai pengikut,"jawab Abu Ishak jujur.

"Saya sebagai ketua kamu. Kamu harus tahu adab sebagai pengikut," kata lelaki tua memberi peringatan awal.

Lelaki tua itu mahu menguji akhlak Abu Ishak sebagai anak murid. Lelaki tua itu sebagai guru selayaknya menjadi ketua dan Abu Ishak sebgaai pengikut.

Beberapa hari kemudian, lelaki tua itu dan Abu Ishak bersiap-siap hendak ke Mekah. Selepas menunaikan solat dan berdoa, mereka berdua pun bertolak ke Mekah.

Mereka terpaksa menempuhi padang pasir yang gersang. Perjalanan yang jauh ditempuhi dengan sabar.

Pada suatu malam, mereka berhenti berehat di padang pasir. Hujan turun dengan lebatnya. Abu Ishak sedang nyenyak tidur. Lelaki tua itu bingkas bangun dan mengambil kain melindungi muridnya daripada terkena hujan.

Abu Ishak tersedar daripada tidur. Beliau lihat lelaki tua itu sedang memayungkan kain di atasnya. Beliau terharu dengan tindakan lelaki tua itu.

"Tuan, sepatutnya saya yang melindungi Tuan dengan hujan," kata Abu Ishak mahu mengambil kain itu daripada tangan lelaki tua itu.

"Saya sebagai ketua. Saya perintahkan kamu supaya kamu membenarkan saya melindungi kamu," kata lelaki tua itu memberi arahan.

Abu Ishak terpaksa akur dengan perintah lelaki tua itu. Hatinya sayu melihat lelaki tua itu basah kuyup kerana memayungkannya.

Keesokan harinya, lelaki tua dan Abu Ishak mahu meneruskan perjalanan ke Mekah.

Abu Ishak berkata," Tuan, izinkan saya menjadi ketua pada hari ini. Tuan menjadi pengikut saya pula,"

"Baiklah," jawab lelaki tua itu setuju.

"Saya hendak mencari kayu api," kata Abu Ishak spontan.


Terkejut lelaki tua itu. Tidak sampai beberapa saat menjadi ketua, Abu Ishak sudah membuat keputusan sendiri.

"Tidak boleh! Kamu tidak boleh mencari kayu api. Biar saya yang melakukannya," balas lelaki tua itu melarang Abu Ishak.

"Saya sebagai ketua. Saya perintahkan tuan berehat di sini. Saya hendak mencari kayu api," kata Abu Ishak dengan lembut.

"Tidak boleh! Kamu tidak boleh melakukan kerja itu," kata lelaki tua itu.

"Mengapa pula?" tanya Abu Ishak kehairanan.

" Kerana kamu menyalahi syarat sebagai ketua. Pengikut tidak boleh dilayani oleh ketuanya," jawab lelaki tua itu dengan tegas.

Lelaki tua itu menjelaskan adab antara anak murid dan guru melalui contoh ketua dan pengikut. Adab utama sebagai anak murid harus melayani guru yang bererti berbakti kepada gurunya bukan sebaliknya.

Semasa orang tua itu menjadi ketua, beliau melindungi Abu Ishak daripada hujan. Abui Ishak membiarkan lelaki tua itu basah kuyup kerana lelaki tua itu memberi arahan. Lelaki tua itu sengaja menguji Abu Ishak supaya dapat membezakan arahan itu sama ada betul atau salah. Ternyata arahan itu salah.

Sewajarnya Abu Ishak turut sama melindungi lelaki tua itu daripada terkena hujan.

Begitu juga semasa Abu Ishak menjadi ketua, sewajarnya Abu Ishak meminta lelaki tua itu sama-sama mencari kayu api seperti Nabi Muhammad dan sahabat-sahabatnya bergotong royong mencari kayu api.

Selepas berjalan beberapa hari meredah padang pasir, akhirnya mereka sampai di Mekah. Mereka berpisah buat sementara waktu kerana lelaki tua itu ada urusan.

Sebelum berpisah, lelaki tua itu menasihati Abu Ishak.

"Wahai anak muda, perkara yang kamu tempuhi sepanjang perjalanan dengan saya itu adalah sedikit pelajaran berkaitan adab menjadi murid," kata lelaki tua itu perlahan.

Abu Ishak tertunduk mendengar kata nasihat lelaki tua itu. Pengalaman beliua bersama lelaki tua itu tersemat di hatinya buat selama-lamanya.

SUMBER: 31 Koleksi Kisah Teladan (Ikan Nun dan Surat Tuhan) oleh Ainol Kusyairi. Terbitan PTS Islamika 2009.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Rakan Sejawat Toksik

Ahlan...ahlan Ya Ramadan.  Alhamdulillah masih diberi peluang merasai hidup dalam Islam tetapi umat Islam Palestin masih bergelut dengan kes...