29 Julai 2010

Harapkan Pagar, Pagar Makan anak Tuan.

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tiga murid perempuan sekolah rendah di Petaling Jaya dikenal pasti menjadi mangsa rogol seorang pemandu bas sekolah yang ditahan Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Polis Arjunaidi Mohamed berkata ketiga-tiga mangsa dipercayai dirogol pada hari berlainan ketika menjadi penumpang terakhir bas sekolah terbabit.


"Hasil siasatan polis mendapati tiga kanak-kanak sekolah rendah yang salah seorang berusia 10 tahun, menjadi mangsa rogol lelaki berusia 51 tahun itu di dalam bas berkenaan ketika pulang dari sekolah," katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata polis kini sedang mengambil keterangan ketiga-tiga mangsa untuk membantu siasatan selain mendapat gambaran sebenar kejadian.


"Kita sedang siasat jika ada lagi mangsa lain dan kita perlukan masa untuk merekod percakapan kanak-kanak ini, kerana terdapat sedikit kesukaran apabila mereka tidak dapat menerangkan secara jelas tentang apa yang berlaku," katanya.


Dalam perkembangan lain, Arjunaidi berkata polis sedang giat memburu suspek kes cabul kanak-kanak sekolah berusia 12 tahun, yang membabitkan pemandu van sekolah di Kelana Jaya.


"Kita sudah ke rumahnya dan mendapati suspek telah melarikan diri," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai kedua-dua kes.


Kejadian rogol itu terbongkar apabila pemandu bas yang merogol seorang murid Tahun Empat pada 12.45 tengah hari, 26 Julai lalu, ditangkap orang ramai yang ternampak bas itu diparkir di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.


Dalam kes kedua pula, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dicabul seorang pemandu van ketika ke kelas tambahan sebelum mangsa berjaya melarikan diri dengan keluar dari van tersebut. - Bernama


Lima murid sekolah dinodai

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
2010/07/29

PETALING JAYA: Seorang pemandu van sekolah dipercayai merogol lebih lima murid perempuan berusia 10 tahun yang dibawanya di sekitar daerah ini sejak minggu lalu.

Suspek yang berusia 51 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan terbabit dalam van sekolah dipandunya.


Difahamkan, suspek tidak segan silu merogol mangsa pada siang hari dan di kawasan sesak dengan orang ramai. Menurut sumber, dalam kejadian terbaru Isnin lalu kira-kira jam 12.40 tengah hari, seorang guru tadika yang melalui kawasan luar sebuah sekolah di Jalan Othman di sini, terkejut apabila melihat seorang murid perempuan yang masih berpakaian seragam dirogol dalam sebuah van.


Difahamkan, guru tadika berkenaan membuka pintu van dan menarik murid itu daripada menjadi mangsa rogol lelaki terbabit. Mangsa berjaya diselamatkan guru itu dengan bantuan dua anggota polis peronda yang melalui kawasan kejadian.


“Lelaki terbabit ditahan manakala mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan,” katanya.


Sumber berkata, mangsa mendedahkan perbuatan pemandu van terbabit yang merogol lebih daripada lima murid sekolah yang dibawanya. “Selepas pemandu terbabit mengambil murid yang menggunakan khidmatnya, dia akan menetapkan sasaran mangsanya dengan menghantar murid berkenaan terakhir sekali sebelum merogolnya.


“Pemandu itu turut mengugut mangsa supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada sesiapa,” katanya. Jurucakap polis berkata, pihaknya percaya suspek sudah lama aktif dan mungkin lebih daripada lima murid sekolah menjadi mangsanya. Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan itu dan suspek kini direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.


“Kes ini masih dalam siasatan dan kami cuba mengesan mangsa lain,” katanya yang enggan mengulas lanjut. Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kelana Jaya, Arjunaidi berkata, seorang murid tahun enam dicabul seorang pemandu van berusia 37 tahun.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa dipercayai seorang diri di dalam van sekolah sebelum suspek memegang kemaluan mangsa.


Menurutnya, mangsa yang terkejut dengan perbuatan itu menjerit meminta tolong sebelum keluar dari kenderaan itu dan melarikan diri.


“Setakat ini, kami masih mengesan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

*****Aku: Susahnya nak percaya kat orang. Kepada Allah kita berserah. Atau ini bala Allah sebagai peringatan kepada kita.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mesyuarat atau bengkel mengikut zon

Assalamualaikum wbt 2 minggu aku batuk dan sukar bercakap dengan jelas. Cabaran kepadaku kerana kerjayaku memerlukan percakapan. Baca laju s...