31 Ogos 2013

Adab Balaghah.

Entri untuk seorang kawan. Kalau pembaca lain berminat, teruskan bacaan anda.

Apa maksud 'Adab'?

Sudah pasti ianya takde kena mengena dengan cerita beradab dengan orang tua tua mahupun tindakan biadab terhadap member.

Adab ialah satu cabang ilmu bahasa arab yang berkaitan dengan kesenian dan kesusasteraan arab contohnya syair, puisi, pujangga.
Balaghah pulak?

Juga cabang ilmu dalam bahasa arab yang membawa maksud kiasan ataupun perumpamaan. Balaghah juga amat penting bagi seseorang untuk memahami maksud dan juga makna tersirat yang terdapat di dalam bahasa arab.

Ilmu Balaghah mempunyai tiga bahagian:

1- Ilmu Bayanعلم البيان

2- Ilmu Ma'aniعلم المعانى

3. Ilmu Badee' علم البديع

Ilmu Balaghah sebenarnya tidaklah sesusah mana. Kunci paling penting dalam proses mempelajari ilmu ini hanyalah kemahiran NAHU & SARF dan HATI yang tenang( orang tempat kita kata: "hati seng ayem").

Maknanya, jika kita mahu mengkaji ilmu ini dan mahu memahaminya, kita mestilah menyediakan persekitaran yang baik, tenang, tidak terburu-buru dalam membaca teks yang terdapat dalam kitab-kitab bidang ini .

Oleh itu, sebelum memulakan langkah, pastikan kita sudah selesaikan urusan kita dengan perkara-perkara lain.Hal ini kerana Balaghah menuntut kita supaya bersedia untuk meneliti, merenung, menghayati dan menikmati keindahan bahasa yang tersimpan di sebalik setiap huruf, kalimah dan ayat yang digunakan sebagai dalil dan contoh bagi setiap perbahasannya.

Apa saja perkara dan urusan pun, sebenarnya kita perlu menghadapinya dengan hati yang tenang. Kata guru kami satu masa dahulu : "Ketenangan adalah kemenangan pertama". Terima kasih guru.

Ada sahabat kita mengatakan :" Baca AL-QURAN dengan Ulama'Baca NAHU dengan Mata ,Baca SARF dengan Telinga ,Baca BALAGAH dengan Jiwa " .

Ertinya: Al-Quran itu mesti dibaca dengan ulama ilmu Qiroat, barulah betul bacaan kita, barulah betul panjang pendeknya, barulah kenal waqaf dan ibtida'nya, barulah sempurna dengungnya, barulah tepat tebal nipis hurufnya......dan Nahu itu mesti dibaca dengan melihat kalimah-kalimahnya, adakah dia isim mufrad, muthanna, atau jama', atau isim ghoiru munsorif, atau al-amsilatul khomsah, atau isim maqsur atau yang lainnya.Barulah mudah ditentukan alamat i'rabnya......dan Sarf itu mesti dibaca dengan deria pendengaran yang tajam lagi peka, supaya berhasil menangkap bunyi-bunyi baris pada setiap huruf dalam kalimah-kalimah, sama ada fathah atau dhommah atau kasroh atau sukun, supaya mampu membezakan mana satu isim fa'il ghairu thulathi dan mana satu isim maf'ul ghoiru thulati dan begitulah.......dan Balaghah itu mesti dibaca dengan hati kerana gambaran atau objek itu terbahagi kepada dua macam.Pertama, jenis yang boleh dilihat dengan deria penglihatan yang berada di kepala setiap insan daripada kita. Itulah yang dinamakan objek konkrit iaitu yang boleh dicapai dengan salah satu deria yang lima (sentuh, rasa, lihat, dengar & hidu ).

Contohnya, matahari, bulan, awan, sungai, unta, singa, mutiara dan lain-lain.Kedua, jenis yang hanya boleh dicapai dengan mata hati sahaja. Itulah yang dipanggil objek abstrak. Contohnya kehidupan, kematian, keilmuan, keikhlasan, kebencian dan sebagainya.

Allah Ta'ala bukan sekadar memerintahkan kita merenung bahkan membekalkan untuk kita segala perkakasan yang sesuai dengan matlamat itu, lalu dipinjamkan kepada kita mata untuk melihat, telinga untuk mendengar dan hati untuk mentafsir dan berfikir.Mata yang letaknya di wajah kita berfungsi sebagai skrin zahir atau layar haqiqi.

Segala objek yang dilihat oleh mata di alam nyata, akan ditangkap oleh skrin mata iaitu retina lalu dihantar isyarat ke otak untuk dianalisa. Adapun mata hati, maka ia pula berperanan sebagai skrin batin atau layar majazi. Kata ahli hikmah:"Pandangan mata selalu menipu ,pandangan akal selalu tersalah ,pandangan nafsu selalu melulu ,pandangan hati itu yang haqiqi, kalau hati itu bersih".

Seperti yang telah kita sebut sebelum ini, tidak semua objek boleh muncul di skrin zahir. Sebagai contoh, kalau disebut perkataan 'benang', kita akan dapat bayangkan bagaimana rupabentuk benang kerana sebelum ini kita pernah melihatnya di alam nyata.Lain pula halnya kalau disebut 'benang-benang kebencian yang melilit-lilit jantung...', maka kita hanya akan dapat melihatnya dengan skrin batin atau mata hati atau layar majazi, bukan dengan mata kasar.

Ini kerana 'benang- benang kebencian' tidak pernah muncul di alam nyata atau di pasaran, atau dikeluarkan oleh mana-mana kilang benang pun di atas muka bumi ini. Ia hanya mampu dilihat dengan menggunakan daya imaginasi atau khayalan .

Oleh kerana ilmu Balaghah sangat sarat dengan perkara -perkara yang melibatkan perkhidmatan mata hati dan daya imaginasi, maka sebab itulah kita sangat menitikberatkan persekitaran yang baik, fizikal dan mental yang rehat, emosi yang tenang, dan suasana yang melapangkan fikiran, bagi memastikan kefahaman yang memuaskan terhadap apa yang dikaji dalam subjek tersebut (bukannya esok nak imtihan Balaghah, malam ini baru terkeseng-keseng nak baca! Macam mana nak dapat cemerlang?). Dan supaya kita mensyukuri nikmat-nikmat kurniaan Allah seper ti mata, telinga, hati dan lain-lain lagi yang tak terhitung banyaknya .

Sarf -secara mudahnya- merupakan ilmu bahasa Arab yang berfungsi membentuk satu perkataan kepada beberapa jenis perkataan yang lain dengan menggunakan kata akar ( root word ) yang sama. Contohnya: tulis dan kata akarnya
ka-ta-ba (كتب)

telah menulis==> ka-ta-ba(كتب)

sedang menulis==>yak-tu-bu(يكتب)

tulislah --->uk-tub(اكتب)

penulisan --->ki-ta-batun(كتابة)

penulis ---> ka-tibun(كاتب)

tulisan atau benda yang ditulis --->mak-tu-bun(مكتوب)

Nahu pula berfungsi untuk mengawal baris pada huruf terakhir bagi setiap kalimah sama ada baris atas, baris bawah, baris depan, baris sukun dan baris tanwin

baris belakang ada tak? ya, ada,

Contoh terdekat ialah Al-Quran yang anda baca setiap hari. Perhatikanlah baris akhir setiap kalimahnya. Memang berbeza.

2) Kemahiran Balaghah ( Retorik ) dengan 3 bahagiannya iaitu Bayan, Ma'ani dan Badie'.

Ya, ilmu inilah yang banyak memainkan peranan dalam menentukan maksud sesuatu ungkapan.

3) Kemahiran Arudh dan Qawafi ( Prosodi dan Rima ).

Ilmu ini ibarat matematik, di dalamnya ada aktiviti-aktiviti seperti penambahan (penambahan huruf atau suku kata) , penolakan(buang huruf atau suku kata), pembahagian ( wujud hubungkait atau tidak antara satu bait dengan bait yang sebelum dan selepasnya). 

4) Kemahiran Lahajat dan Qiro'at ( Dialektologi ).

Ilmu ini tidak memaksa anda menjadi ahli dan pakar qiroat sepuluh, tetapi ia hanya mengkaji dialek qabilah Arab yang ada terutamanya dalam periwayatan syair lebih-lebih lagi dalam pembacaan Al-Quran.
syakuragi & penalughawi

Hadiah & Puasa Gabung.

Hukum menerima sesuatu barang dari orang bukan Islam seperti wang dan makanan.

Hukum jika kita terima barang itu sedangkan mereka bukan Islam dan tidak diketahui punca barang itu sama dari sumber halal atau haram. adakah hukumnya haram?

Jawapan:

Pemberian dari non muslim baik berupa hadiah, hibah atau apapun namanya seperti

Pertama, kalau hadiahnya berupa barang yang halal(buah-buahan, makanan yang ada label halal MUI, atau makanan yang tidak mengandung syubuhat), dan diberikan tidak dalam perayaan atau hari besar mereka,hukumnya halal diterima, karena nabi sendiripun biasa menerima hadiah dan pemberian dari non muslim.

Adapun hadiah berupa barang yang tidak jelas (syubhat),sebaiknya tinggalkan saja, atau terima baik-baik terlebih dahulu setelah itu

Kedua, hadiahnya berupa barang yang halal, tetapi diberikan dalam rangka hari besar mereka, dalam hal ini ada pendapat yang membolehkan menerima, dan ada pendapat yang melarang menerimanya

Pendapat yang menolak beralasan karena termasuk bentuk memuliakan dan menolong dalam menyebar luaskan syi’ar agama mereka.

Sebagian lagi membolehkan, karena ini bukan termasuk dalam rangka menyebarluaskan syiar agama mereka, tapi dalam bab muamalah biasa saja. Sebab kita berada pada posisi penerima yang sama sekali tidak ada hubungan merayakan agama mereka, dan merekapun tahu bahwa orang Islam tidak mau merayakan agama mereka.

********************

Jawapan Dr MAZA:

Perkara yang penting dalam traksaksi kewangan dan sebagainya, seseorang hendaklah tahu atas asas apa traksaksi itu dibuat. Maksudnya, dia mesti jelas wang atau barang yang diterimanya atas dasar apa. Jika yang diterimanya itu atas penjualan arak yang dia lakukan, atau judi yang dia terlibat atau riba yang berurusan dengannya, atau pelacuran yang terbabit maka ia haram. Jika ia terima atas jual beli, atau bayaran hutang, bantuan, atau pemberian atau hadiah yang dia tidak terbabit dengan urusan kegiatan haram, maka ia pada asalnya adalah halal. Sebagai pendetilannya, saya sebutkan beberapa perkara berikut

1. Seseorang yang menerima wang dari pihak yang lain hendaklah memastikan atas traksaksi apa wang itu diterima. Adapun urusan sebelum itu, yang tidak membabitkan diri penerima, maka itu tidak pertanggungjawabkan kesalahan itu ke atas penerima tersebut.

Umpamanya, kakitangan kerajaan yang bekerja dalam urusan yang halal dan mendapat gaji, maka gaji itu halal. Sekalipun kemungkinan sumber kerajaan dalam membayar gaji itu diambil dari kegiatan yang haram seperti perjudian atau arak atau seumpamanya. Ini kerana urusan haram itu tidak membabitkan diri penerima gaji berkenaan dan gaji itu diterima atas kerjanya yang halal, bukan aktiviti yang haram.

2. Hal yang sama, jika seseorang berhutang kepada kita, lalu dia datang membayar dari hasil wang haram yang diperolehinya seperti menang loteri. Kita halal mengambil hutang kita sekalipun dia bayar dari wang loteri berkenaan. Ini kerana yang haram ialah pemindahan wang dari syarikat loteri kepada yang berhutang, iaitu atas asas judi. Sedangkan pemindahan wang tersebut kepada kita, atas asas membayar hutang, yang tiada kaitan dengan judi.

Begitu juga, jika pengurus bank riba, atau taukeh judi atau taukeh arak datang ke kedai kita dan membeli barang atau makanan, halal kita menerima wang yang mereka bayar. Ini kerana wang itu diterima atas dasar jual beli, bukan judi, atau riba atau arak. Kegiatan yang salah ditanggung dosanya oleh pelakunya, sedang yang menjual barang halal kepada mereka tidak terlibat.

3. Asas dalam hal ini disebut oleh al-Quran (maksudnya):

“dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh sesuatu jiwa (seorang) melainkan dialah yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa orang lain”. (Surah al-An’am, ayat 164)

4. Dalil yang menunjukkan kenyataan ini, ialah amalan Nabi s.a.w di mana baginda menerima pemberian wanita Yahudi di Khaibar yang menghadiahkan baginda kambing, baginda memakannya. Ini seperti yang diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim. Walaupun Yahudi terkenal dengan penipuan, riba dan rasuah tetapi baginda tetap menerima hadiah mereka.

Begitu juga –seperti riwayat al-Bukhari- baginda pernah menggadai baju besi kepada Yahudi dan mengambil gandum untuk keluarga baginda. Baginda juga menerima jemputan makan roti bali dan minyak yang sudah berubah baunya dari seorang yahudi. Ini seperti dalam riwayat al-Bukhari, Ahmad, al-Tirmizi dan lain-lain.

5. Rasulullah s.a.w tidak boleh memakan sedekah. Ini adalah hukum untuk baginda dan Ahlul Bait. Suatu hari Barirah bekas hamba ‘Aisyah telah mendapat sedekah daging. Apabila daging itu dihidangkan kepada Nabi s.a.w, lalu baginda diberitahu bahawa daging tersebut adalah sedekah kepada Barirah. Baginda menjawab:

“Untuk dia sedekah, untuk kita hadiah” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Maksudnya, daging itu disedekah kepada Barirah, kemudian Barirah menghadiahkan kepada Nabi s.a.w. Jika ia disedekah kepada Nabi s.a.w, baginda tidak boleh makan. Walaupun asalnya sedekah, tetapi baginda menerima dari Barirah atas asas hadiah, maka halal untuk baginda. Di sini menunjukkan yang diambil kira transaksi antara pemberi dan penerima, bukan yang sebelum itu.

6. Seorang lelaki bertanya kepada Abdulllah bin Mas’ud:

“Aku ada jiran yang memakan riba dan dia selalu menjemputku makan”. Jawab ‘Abdullah bin Mas’ud: “Engkau dapat makan, dosa ditanggung olehnya”. (Musannaf ‘Abd al-Razzaq, bil: 14675).

Dalam riwayat al-Baihaqi,

seseorang bertanya Ibn ‘Umar bahawa beliau ada jiran yang memakan riba atau mempunyai pekerjaan yang haram, kadang-kala dia jemput makan, bolehkah hadir?. Jawab Ibn ‘Umar: “Ya” (al-Sunan al-Kubra, bil: 11138).

7. Al-Syeikh al-‘Allamah Muhammad Solih ibn al-Uthaimin r.h pernah ditanya mengenai hukum nafkah yang diterima oleh isteri dan anak dari suami yang terlibat dengan bank riba, apakah mereka boleh mengambilnya. Beliau menjawab:

“Ambillah nafkah itu dari bapa kamu. Kamu mendapat kenikmatan, dia pula mendapat dosa. Ini kerana kamu mengambil nafkah tersebut secara berhak. Harta padanya, dan kamu tiada harta. Kamu mengambilkan dengan cara yang benar. Sekalipun kesalahan, balasan dan dosa ke atas bapa kamu, jangan kamu gusar. Nabi s.a.w pun menerima hadiah dari yahudi, memakan makanan yahudi, membeli dari yahudi sedangkan yahudi terkenal dengan riba dan harta haram, tetapi Rasulullah s.a.w memakannya dengan jalan yang halal. Maka, jika seseorang memilikinya dengan jalan yang halal, maka tidak mengapa”

8. Dr Yusuf al-Qaradawi ketika ditanya mengenai wang riba ke mana patut disalurkan, beliau menyebut antaranya:

“Sebenarnya, wang tersebut keji (haram) jika nisbah kepada orang mendapatkan secara tidak halal, tetapi ia baik (halal) untuk fakir miskin dan badan-badan kebajikan…(penyelesaiannya) disalurkan ke badan-badan kebajikan iaitu fakir miskin, anak-anak yatim, orang terputus perjalanan, institusi-institusi kebajikan islam, dakwah dan kemasyarakatan..” (al-Fatawa al-Mu’asarah 2/411, Beirut: Dar Ulil Nuha).

9. Namun diharamkan jika membabitkan kezaliman secara jelas kepada pihak lain (hak al-‘ibad) yang mana dengan kita mengambil, akan ada yang teraniaya tanpa rela, seperti harta curi dan rompakan. Sabda Nabi s.a.w:

“Allah tidak terima solat tanpa bersuci, dan sedekah dari pengkhianat” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Ini kerana penerimaan ini akan menyebabkan pihak yang sedang menuntut atau mencari hartanya yang dirampas atau dicuri terzalim. Melainkan pihak yang dizalimi itu redha. Jika dia menuntut, wajib dikembalikan kepadanya.

10. Walaupun harta atau pemberian dari harta yang haram itu boleh diambil, tetapi jika dengan pemberian itu menunjukkan secara jelas sikap bersekongkol dengan dosa maka ia diharamkan kerana redha dengan maksiat. Ini seperti seseorang membelanja makan dengan wang judi sempena kemenangan judinya. Atau dia mempromosi syarikat judi tersebut secara jelas dengan cara memberi bantuan, maka haram bersekongkol dengan kemaksiatan seperti itu.

11. Maka fakir miskin yang mendapat bantuan kerajaan atau pihak lain dari sumber yang asalnya haram, mereka HALAL menerimanya dan tidak perlu dikembalikan. Dengan syarat mereka tidak terlibat secara langsung dalam mempromosikan aktiviti haram seperti perjudian dan arak.

*********
'puasa dapat pahala dan hanya Allah yang menilainya'

 Adakah boleh puasa ganti digabungkan dengan puasa sunat?

Ini jawapannya:

Puasa sunat Syawal sememangnya amat popular di kalangan masyarakat kita hari ini. Dikesempatan ini saya suka menasihatkan semua yang ingin mengamalkan puasa sunat ini agar berhati-hati dari tipu daya syaitan yang kerap berjaya menjadikan seseorang individu yang berpuasa itu bermegah dan riya' dengan amalannya.

Ia menjadi seolah-olah satu budaya untuk berlumba menamatkan puasa enam. Ia agak terpuji tetapi ia dicemari oleh habahan-hebahan yang dibuat tentang bilangan hari puasanya bertujuan melihat 'sapa lebih hebat?'

Amat dibimbangi, tindakan ini bakal menghilangkan seluruh pahala puasa sunatnya. Kerana ia boleh menjadikan seseorang merasa riya, serta memperdengarkan amalan masing-masing yang sepatutnya di sembunyikan khas untuk Allah.

Puasa Sunat

Saya tidak nafikan ada yang terpaksa memberitahu apabila ada rakan yang ajak makan dan menziarahi rumah rakan. Tatkala itu, ia tidaklah terkeji dan masing-masing bertanggung jawab menjaga niat dan hati masing-masing agar tidak timbul perasaan tersebut.

Puasa sunat ini juga tidak sewajarnya menjadi penghalang menerima jemputan rakan-rakan yang membuat rumah terbuka. Selain itu, satu isu yang kerap ditimbulkan berkenaan hal ini adalah tentang penggabungannya dengan puasa ganti ramadhan dan puasa yang mana satu lebih perlu diutamakan.

Jika ada yang bertanya manakah yang lebih baik di antara puasa sunat syawwal dan puasa qadha?. Jawapannya sudah tentu adalah puasa Qadha. Ini terbukti dari hadis Qudsi yang sohih

">وما تقرب إلي عبدي بشيء أحب إلي مما افترضت عليه وما يزال عبدي يتقرب إلي بالنوافل حتى أحبه

Ertinya : "..dan tidaklah hampir kepadaku seorang hambaKu dengan apa juapun, maka yang lebih ku sukai adalah mereka melaksanakan amalan fardhu/wajib ke atas mereka, dan sentiasalah mereka ingin menghampirkan diri mereka kepadaKu dengan mengerjakan amalan sunat sehinggalah aku kasih kepadanya..." (Riwayat Al-Bukhari, no 6021)

Hadis tadi sebagai asas keutamaan, walau bagaimanapun dari sudut praktikal jawapannya mungkin berbeza menurut keadaan diri seseorang.

Maksudnya begini, jika seseorang itu perlu Qadha puasanya selama 30, berpuluh atau berbelas hari (kerana nifas atau haid yang lama di bulan Ramadan sebagai contoh) dan tubuhnya juga sihat dan di yakini masih kuat. Eloklah ia mengerjakan puasa sunat Syawwal terlebih dahulu di ketika itu . Ini adalah kerana waktu sunnat puasa Syawwal yang singkat berbanding Qadha (sepanjang tahun).

Bagaimanapun harus di ingat, walaupun waktu bagi puasa Qadha adalah panjang, kita tetap tidak pasti adakah kita mampu sampai ke tarikh itu atau ajal menjelang dahulu.

Seseorang yang mati sebelum mengganti puasa Ramadannya tetapi sudah berpuasa sunat Syawwal akan pasti bermasalah kerana ia dikira masih berhutang dengan Allah SWT.

Bagaimanapun seseorang yang mati setelah berjaya menggantikan puasanya tetapi tidak sempat berpuasa sunat Syawwal, pastinya tiada sebarang masalah pun, malah mungkin ia juga mungkin boleh mendapat pahala sunat syawal itu sekali. Berdasarkan sabda Nabi SAW

إن الله كتب الحسنات والسيئات ثم بين ذلك فمن هم بحسنة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له عنده عشر حسنات إلى سبع مائة ضعف إلى أضعاف كثيرة ومن هم بسيئة فلم يعملها كتبها الله له عنده حسنة كاملة فإن هو هم بها فعملها كتبها الله له سيئة واحدة

Ertinya " ... barangsiapa yang beringinan melakukan kebaikan tetapi tidak melakukannya, telah di tuliskan oleh Allah baginya pahala penuh, maka jika ia beringinan dan kemudian melakukannya, di tuliskan 10 pahala sehingga 700 kali ganda.." ( Riwayat Al-Bukhari, no 6010)

Kita harus memahami bahawa darjat puasa Qadha adalah lebih tinggi dan tanggungjawab bagi menunaikannya adalah jauh lebih besar dari sunat Syawwal, ini kerana puasa qadha adalah puasa wajib dan merupakan ‘hutang' ibadah dengan Allah berbanding puasa syawwal yang hanyalah sebagai tambahan pahala.

Isu menggabungkan puasa qadha dan syawal sememangnya amat popular, pandangan ringkas saya adalah seperti berikut :

Tidak elok untuk menggabungkan kedua-duanya bagi mereka yang mampu (dari sudut kesihatan tubuh dan lain-lain) untuk memisahkannya. Ini kerana sepengetahuan saya tiada dalil yang specifik membuktikan Nabi SAW pernah melakukannya atau menganjurkan kepada para sahabat untuk menggabungkannya.

Apabila Nabi, sahabat dan salaf soleh tidak melakukannya maka pastinya ia bukanlah amalan yang terpilih dan terbaik kerana pilihan Nabi SAW dan para sahabat selamanya adalah yang terbaik.

Malah terdapat juga hujjah-hujjah yang menyebabkan pandangan yang yang mengharuskan penggabungan ‘qadha dan ganti' itu dipersoalkan, iaitu :

1. Jika seseorang mengatakan boleh gabung puasa qadha (yang wajib) dengan puasa syawwal (yang sunat) maka sudah tentu selepas ini timbul pula individu yang cuba menggabungkan solat wajib dengan solat sunat, seperti gabungan solat isyak dengan terawih, atau subuh dengan ‘tahiyyatul masjid' atau dengan solat sunat fajar, atau solat jumaat dengan solat sunat ‘tahiyyatul masjid'. Maka ini pasti menyebabkan masalah lain timbul dalam ibadah wajib termasuk rekaan-rekaan pelik seperti solat fardhu subuh campur istikharah dan lain-lain.

2. Menurut Prof. Dr Syeikh Abd Malik as-Sa'dy (ex-Lajnah Fatwa Iraq) dan Prof Dr Mohd ‘Uqlah el-Ibrahim (Jordan) mereka berpendapat bahawa amalan wajib tidak boleh digabungkan dengan apa-apa amalan wajib atau sunat lain, kerana amalan wajib memerlukan tumpuan khusus yang tidak berbelah bahagi semasa pelaksanaannya dan ia perlu bagi mengangkat tuntutan kewajibannya. Justeru, tindakan menggabungkan ini pasti mengurangkan kesempurnaan hamba dalam menunaikan tuntutan wajib mereka. Wallahu a'lam.

3. Tindakan A'isyah r.a yang melewatkan Qadha pula boleh di jadikan hujjah bahawa beliau mengasingkan kedua-dua puasa Qadha dan Syawwal. Maka inilah yang terpilih sepatutnya. (tidak gabungkan kerana Aisyah r.a tidak menggabungkannya) . Aisyah menyebut :

كأن يكون عليّ الصيام من شهر رمضان فما أقضيه حتى يجئ شعبان

Ertinya : Kewajiban ke atasku untuk puasa (Qadha) dari puasa Ramdhan, tidaklah aku menggantinya sehingga datang sya'ban" ( Riwayat Muslim, no 101)

(tepat dan pasti) maka tindakan mengabungkan ia dengan niat puasa sunat mungkin boleh merosakkannya kepastiannya. Kerana itulah ulama yang mengizinkannya mencadangkan agar diniat puasa qadha sahaja, adapun syawwal itu dipendam sahaja dengan harapan Allah menerimanya.

Bagaimanapun, ulama yang mencadangkan ini jelas menyatakan bahawa tindakan menggabungkannya tetap mengurangkan pahala sunat syawwal ini kerana tidak diniat dan tidak dilakukan sepenuhnya (Hasyiah As-Syarqawi ‘ala al-Tahrir, Syeikh Zakaria Al-Ansary, 1/427; naqal dari Min Ahsanil Kalam Fil Fatawa, Atiyyah Saqr, 2/23)

5. Malah ada pula yang berhujjah bahawa amalan sunat tidak boleh ditunaikan sebelum amalan fardu. Demikian menurut Syeikh Abu Raghib al-Asfahani, Syeikh Ihsan Muhammad 'Aayish al-'Utaibi dan juga di sebutkan oleh Dr Yusof Al-Qaradawi di dalam kitabnya Fiqh Awlawiyyat. Ini ada asasnya kerana berdasarkan hadith Nabi SAW

Ertinya: "Barangsiapa telah berpuasa Ramadan kemudian diikuti dengan 6 hari dari dari Syawwal (puasa) maka ia adalah seperti (pahala) puasa ad-Dahr (setahun)" (Riwayat Al-Bukhari, no 6502).

bagi puasa Ramadan, mungkin sahaja boleh membawa makna sesiapa yang belum lengkap puasa Ramadannya perlulah melengkapkan dahulu, kemudian barulah mereka layak bagi mendapat peruntukan pahala sunat Syawwal.

" Sesungguhnya amalan itu berdasarkan kepada niat, dan bagi seseorang apa yang diniatkan." (Riwayat Bukhari, no 1, 1/12)

Ia dilihat agak umum, memang benar apa yang diniatkan adalah penting, tetapi niat mempunyai kaedah dan cara-caranya bagi diterima, contohnya seperti niat solat yang di cadangkan di dalam mazhab Syafie dimulakan semasa lafaz takbiratul ihram di sebut, jika tidak niat itu tidak dikira. (Rujuk Al-umm, hlm 78, cet Baytul Afkar; Rawdhah At-Tolibin, An-Nawawi, cet Baytul Afkar, hlm 103).

Justeru, niat juga ada displinnya dan tidak boleh dibuat sesuka hati di dalam ibadah.

Kesimpulan dalam yang mengutarakan perbincangan yang terbatas ini : Elok sangat tidak digabungkan dan elok sangat didahulukan yang wajib (qadha) daripada sunat (syawwal);

Pandangan yang membolehkan saya anggap sebagai rukhsah "keringanan" bagi mereka yang mempunyai kesukaran kerana uzur dan tidak mampu untuk mengasingkannya. Antara ulama yang membolehkan untuk menggabungkannya adalah beberapa ulama dari mazhab Syafie (Mughni al-Muhtaj, 1/602), Assembly of Muslim Jurists in America (AMJA), Syeikh Atiyyah Saqar, panelis fiqh Islam online.net dan beberapa yang lain.

Zaharuddin Abd Rahman


SUMBER:  posmetribatam, Dr MAZA, Dr UZAR

p/s: aku copy sahaja. sekarang tak sempat nak guna ayat sendiri. Rasanya dah cukup jawapan untuk soalan pendek itu  ~untuk orang yang bertanya~

13 Ogos 2013

Atas Nama Cinta

"Susah nak elakkan andai terjebak dalam cinta monyet ni,"

"Jadi elakkan diri dalam perangkap cinta dusta,"

"Aku perlukan cinta ni,"

"Cinta Allah lebih utama dari cinta manusia,"

"Kau senanglah cakap. Aku tak boleh la kalau dia tak ade,"

"Dekatkan diri kepada Allah dan kuatkan diri untuk putus dengannya,"

"Alaaa...aku dah sayang giler giler kat dia ni,"

"Jika kau ada jodoh dengannya...insya Allah suatu masa nanti dia akan jadi suamimu,"

"Andai dia sudah bersedia menyuntingmu menjadi suami yang bertanggungjawab, dia akan memohon restu ibu bapamu,"

"Dalami ilmu. Lengkapilah diri dengan ilmu. Kelak kau akan tahu realiti dunia yang penuh fantasi,"

"Matlamat kita biar kekal hingga ke syurga bukan sehingga hujung nyawa sahaja,"

"Jadi amalan 'couple' ni...amalan ahli syurga ke?"

"Moga kita terhindar dari maksiat dan terhindar dari menanam benih yang rosak untuk generasi akan datang,"

Aku terpandang satu doa:

"Ya Allah, jauhkanlah aku dari perkara buruk...aku memohon kepadamu Ya Allah,  lamakanlah hubungan aku dengan dia...aku mohon kepadamu Ya Allah. Aminnn"

Doa untuk perkara haram?

Bacalah satu hadith Nabi saw daripada Abu Hurairah ra yang bermaksud;

Dari Abu Kuraib Muhammad bin al-’Ala’; dari Abu Usamah; dari Fudhail bin Marzuq; dari ’Adiy bin Tsabit; dari Hazim; dari Abu Hurairah katanya:

Rasulullah SAW bersabda:

Sesungguhnya Allah itu baik, ia tidak terima melainkan yang baik. Dan sesungguhnya Allah memerintahkan orang mukmin dengan apa yang ia perintahkan kepada sekalian rasul. Maka Allah berfirman: 

(( Wahai sekalian rasul! Makanlah dari yang baik-baik dan beramallah perkara yang baik. )) 

Dan Ia berfirman: 

(( Wahai sekalian orang beriman! Makanlah dari segala yang baik yang telah direzekikan kepadamu. )) 

Kemudian ia menyebutkan seorang lelaki yang jauh perjalanan, rambutnya kusut, mukanya berdebu menghulurkan dua tangannya ke langit:

”Wahai Tuhanku! Wahai Tuhanku! Padahal makanannya HARAM, dan mulutnya disuapkan dengan yang HARAM. Maka bagaimanakah akan diperkenankan (doanya) itu?"

Hadith sahih muslim.

12 Ogos 2013

Hero Pembaharuan.

Bukan seorang ulama'. Bukan seorang Mufti. Bahkan beliau hanyalah seorang guru di sekolah. Sebagai seorang penjawat awam, tiada satu pun perbuatan dan aktivitinya menyalahi peraturan atau undang-undang dalam negaranya. Seorang tokoh pemikir masa hadapan, beliau bercita-cita menubuhkan satu organisasi yang tersusun untuk mendidik generasi akan datang. Tanpa disangka, beliau dibunuh dalam komplot yang terancang oleh pihak kerajaan. Sangat tragis sehingga jenazahnya diiusung oleh adik-beradiknya walaupun perempuan. Tidak dibenarkan solat jenazah di masjid. Polis berkawal dan semua penduduk tidak dibenarkan keluar dari rumah walaupun hanya mengintai. Ada seorang lelaki yang mengintai untuk mengetahui perkara yang sedang berlaku, dia ditangkap dan dihumban ke penjara. Alangkah kejamnya.


Tokoh ini menubuhkan Ikhwanul Muslimin  yang membawa maksud 'ikatan orang-orang Muslim'. Tokoh ini juga yang menyusun doa-doa ma'thur atau Al-Ma'thurat. Beliau adalah Imam Hasan Ibnu Ahmad Al-Banna.

Ikuti kisahnya dalam video ini

Pengkhianatan Pemimpin Mesir.

Perkembangan Ikhwanul Muslimin bertambah pesat dan menakutkan rejim Mesir dan penjajah Barat untuk membentuk negara haram Israel. 12 Feb 1949, Imam Hasan Al-Banna syahid ditembak. Apabila dihantar ke hospital, tentera dan polis tidak membenarkan beliau dirawat. Pengasas Ikhwanul Muslimin ini dianggap pemberontak. Beliau meninggal dunia kerana kehilangan banyak darah. 1950, IM bergerak dengan memakai tagline pertubuhan agama semata-mata. Namun diharamkan kerana 'dosanya' menuntut pelaksanaan undang-undang syariah di Mesir. Tokoh besar IM yang menjadi rujukan selepas ketiadaan Imam Hassan ialah Sayyid Qutb, Hassan Hudaibi dan Abdul Kader Audah. Tokoh Muslimah seperti Zainab Al-Ghazali, Hamidah Qutb dan Aminah Qutb.

Zaman pemerintahan Jamal Abdul Naseer berkiblatkan negara soviet. Dunia menyaksikan penderitaan puluhan ribu anggota IM yang dipenjarakan. Tokoh IM spt Dr Abdul Kader Audah, Sayyed Qutb, Fattah Ismail dan lain2 telah syahid. Zainab Al-Ghazali dipenjarakan dan melalui penyiksaan yang meruntun perasaan.

'Jamal Abdul Naseer'

1970, Jamal Abdul Naseer mati akibat serangan jantung mengejutkan rakyat Mesir dan dunia Arab. Media menghantar mesej bahawa Jamal Abdul Naseer mempunyai jutaan pengikut yang setia dan sentiasa diingati dslam rakaman sejarah Mesir

Anuar Sadat, pengganti Jamal Abdul Naseer. Anuar tidak mempunyai karisma dan kurang kurang pengaruh politik. Kepimpinannya bergantung sepenuhnya kpd Islam. Digelar 'Presiden Orang Beriman'. Mendapat liputan media ketika solat di masjid, memperbanyakkan program Islam dan kursus agama di sekolah, membina masjid dan menggunakan nilai Isam dalam kenyataan umum. IM yang ditahan dan ditindas oleh kerajaan Jamal Abdul Naseer telah dibenarkan bergerak secara bebas.

Pada Perang 1967, semenanjung Sinai ditawan oleh Israel. Anwar Sadat yang berkiblatkan Amerika ingin memenangi hati rakyat. Anwar telah menggunakan ulama' IM untuk menaikkan semangat rakyat untuk menawan kembali wilayah Sinai. Akhirnya Perang Ramadhan atau Perang Oktober 1973 telah meletus dan dimenangi oleh Mesir dengan bantuan Para Ulama' IM yang ikhlas.
'Anwar Sadat'

Seruan IM terhadap pemerintah Mesir untuk melaksanakan undang-undang syariah semakin bergema. Pada masa yang sama Israel semakin mengganas menodai kesucian Masjidil Aqsa. Tuntutan terhadap Anwar Sadat untuk mengotakan janji terus didesak. Anwar semakin menjadi pro-Amerika.

Anwar Sadat bersembunyi atas nama Islam. Muncul kumpulan jihadist yang ekstrem. kumpulan ini dianggotai oleh bekas tahanan dari IM. Anwar telah memperkenalkan undang-undang keluarga Islam tapi ditentang oleh puak radikal. Anwar juga memperkenalkan Dasar Ekonomi Terbuka. Dasar lebih menampakkan pengaruh Amerika. Kedutaan AS juga dibuka. Isu Perjanjian Kem David menampakkan pengaruh Barat dalam pemerintahan Mesir. Budaya pop Barat masuk dalam kebudayaan Mesir sehingga rosak akhlak muda mudi.

Kemuncak kebangkitan Islam 1979. Berlaku rampasan Masjidil Haram, serangan Soviet ke atas Afghanistan dan Revolusi. The Black Friday di Iran. Anwar Sadat menyeru supaya agama dipisahkan daripada politik iaitu tidak menjadikan politik Islam sebagai teras pemerintahan. Anwar Sadat mengambil langkah drastik dengan menekan pertubuhan. Siswa Islam di universiti dan mengharamkan gerakan Islam yang menggugat negara. Anwar mengawal masjid dan institusi agama kerajaan serta institusi yang bergantung kepada kerajaan untuk mengawal semua khutbah dab aktiviti masjid. Walaupun Anwar mengisytiharkan Islam agama rasmi dan syariah sumber utama perundangan, semua ini untuk mengaburi mata rakyat. Ramai tokoh aktivis IM dihumban dalam penjara dengan alasan menggugat ketenteraman awam.
'Perjanjian Camp David'

Perjanjian Camp David merupakan satu pengkhianatan terhadap bumi Palestin. Anwar Sadat telah mengikhtiraf entiti haram Israel. Walaupun mendapat tentangan para ulama', Anwar tetap dengan pendiriannya. 1981 tangkapan besar besaran terhadap tokoh IM lebih 2 ribu orang. 6 Oktober 1981, Leftenan Kholid Islambouli telah menembak Anwar Sadat. Tragedi ini berlaku ketika Anwar Sadat menghadiri perbarisan tentera Mesir bagi memperingati ulang tahun Yom Kippur atau Perang Arab Israel pada tahun 1973. Perang ini sebuah kebaggaan bagi Mesir. Inilah harga yang perlu dibayar oleh Anwar Sadat.

~ Buku Mesir Sebelum dan Selepas Dr Mursi oleh Riduan Muhammad Nor dan Abdul Malik Abdul Karim~

Pembuka Mesir.

Perjalanan ke Palestin dengan menaiki unta dan ditemani pembantunya. Khalifah Umar Al-Khattab masuk ke kota Jerusalem dalam keadaan pakaian lusuh, berdebu dan bertampal 12 tampalan. Seluruh rakyat Jerusalem dan pembesar kristian menundukkan kepala kepada Khalifah Umar tetapi Umar melarang tindakan mereka itu.

Paderi Besar Sophronius bersama uskup-uskup lain memakai pakaian mewah. Sedangkan orang yang sedang diberikan penghormatan berpakaian seperti rakyat biasa. Paderi Besar itu berasa malu melihat penampilan Khalifah Umar yang sederhana. Dia berkata ,"Jika beginilah sikap memimpin Islam, sesungguhnya kerajaan kamu tidak akan tewas,"

Abu Ubaidah al-Jarrah dilantik menjadi gabenor Palestin. Muaz bin Jabal sebagai panglima tentera. Amru Al-As sebagai pembantu Muaz. Selepas kematian Abu Ubaidah dan Muaz akibat penyakit taun, Amru dilantik sebagai gabenor Palestin oleh Khalifah Umar.

Suatu ketika 3 orang paderi dari kaum Qibti Mesir datang menemui Amru Al-As. Mereka meminta bantuan Amru untuk membebaskan Mesir dari kekuasaan kerajaan Rom yang sangat zalim. Mereka tidak dibenarkan menjalani ibadat atau ritual agama kristian mazhab Jacobi dan sering ditindas sehingga mengancam nyawa mereka dan keluarga kecuali menganuti mazhab kristian Kaisar Herculis.Mereka berminat dengan cara pemerintahan Islam dari Ketua Paderi Palestin. Mereka sanggup membantu tentera Islam menakluki bumi Mesir.

kristian mazhab jacobi percaya nabi Isa memiliki zat ketuhanan. kristian mazhab Melchiades yang dianuti oleh Kaisar Herculis percaya nabi Isa memiliki dua zat iaitu zat ketuhanan dan zat manusia. Jadi mereka tidak sekepala. Mungkin seperti sunni dan syiah.

Selepas tentera Islam dapat menawan kota Heliopolis Mesir dengan menggunakan taktik helah peperangan, mereka menuju ke kota Babylon. Kota ini lebih kukuh dari kota Heliopolis. Hasil dari kemenangan dalam peperangan, nama Panglima Amru Al-As digeruni. Salah seorang panglima dari kaum Qibti berdamai dan bergabung dengan tentera Islam. Dalam tempoh kepungan ini, Kaisar Herculis meninggal dunia di kota Konstantinople...

Zubair bin Awwam, pahlawan Islam yang dikatakan memiliki kekuatan 1000 orang tentera. Beliau pencetus semangat jihad. Beliau memanjat tembok menggunakan tangga dan menjadi ketua pasukan berani mati. Pasukan memanah akan melepaskan anak panah kepada musuh yang cuba menjatuhkan tangga2 yang dinaiki. Akhirnya Zubair dan para tentera dapat sampai ke puncak. Ucapan Allahuakbar! menggetarkan hati tentera kaisar Rom. Dalam keadaan kekam kabut, tentera Islam dapat menggunakan peluang ini dengan membuka pintu kota Babylon. Ada antara panglima Kaisar Rom melarikan diri.

Amru Al-As terus menjejaki Panglima Kaisar Rom dan para tentera yang melarikan diri ke Iskandariah. Tanpa pertumpahan darah, mereka menawarka perdamaian dan perjanjian dimaterai bersama. Pergolakan dalaman yang berlaku akibat perebutan takhta kerajaan Rom menjadikan mereka semakin lemah. Maharaja Constant II telah melanggar perjanjian yang telah dipersetujui dengan menghantar bala tentera laut. Dengan kebijaksanaan dan pengalaman yang banyak dalam peperangan serta persediaan yang rapi, tentera Islam mendapat kemenangan. Oleh itu, kota Iskandariah jatuh ke tangan Amru Al-As secara mutlak.

'Masjid Amru Al-As, masjid pertama yang dibina selepas menawan keseluruhan Mesir'

~Novel Sejarah Islam oleh Al Ghazali: AMRU AL-AS PEMBUKA MESIR. Terbitan PTS~

10 Ogos 2013

Tiada Jawapan.

Persoalan perlu jawapannya.

Andai soalan yang tidak pasti, aku hanya boleh sebut 'wallahua'lam'. 'Hanya Allah Yang Tahu'.

Jika tidak tahu, jawab sahaja tidak tahu.

Jika tidak tahu, tapi jawab tahu. Seseorang itu akan nampak lebih bodoh dari jawapan yang diberikan.

Jika sudah pasti, tetapi belum dilaksanakan. Diakhir ucapan sebutlah 'insya Allah'. Ia membawa maksud 'jika Allah izinkan'.

Yang terbaik adalah diam dan senyum. Tiada permusuhan antara kita. Banyak adab dalam Islam masih belum dilaksanakan. Akhlak Rasulullah yang terbaik.

Ingin kenal Rasulullah, kita perlu juga kenal para sahabat baginda. Isu semasa sekarang juga tidak boleh ditinggalkan. Jadilah diri seorang pembaca.

Aku masih membaca buku 'Mesir Sebelum Dan Selepas Dr Mursi' oleh Riduan Mohammad Nor & M. Abd Malik Abd Karim. Dalam masa yang sama terjumpa buku Novel Sejarah Islam oleh Al Ghazali : Amru Al-As.Pembuka Mesir. Kedua-dua buku ini ada kaitan. Moga aku sempat buat ringkasan dalam blog berkaitan dengan dua buku ini.

Kertas trial PMR masih belum siap ditanda. Hanya 3 pelajar lelaki yang lulus. Pelajar perempuan masih belum siap menanda.

Mood raya lagi. Makanan pun banyak. Harap dapat baca dan siapkan kerja dalam tempoh cuti ini. Kampung sendiri pun jem ketika hari raya kali ini. Adusss...Sabar tahap tinggi ni. Moga Allah permudahkan niat baik setiap hambanya. Aminn.

02 Ogos 2013

Majlis Khatam Al-Quran 2013.

Majlis Khatam Al-Quran sinonim dengan tamat bacaan Al-Quran sebanyak 30 juzu'. Hal ini juga sempena nuzul Al-Quran atau penurunan Al-Quran dari Loh Mahfuz ke langit dunia. Ada banyak pendapat lain lagi. Bulan Ramadhan juga umat Islam berlumba-lumba memperbanyakkan bacaan Al-Quran sehingga habis 30 juzu'.

Alhamdulillah. Syukur kepada Allah kerana majlis ini berjalan lancar dengan kerjasama semua guru dan pelajar. Biasanya sesuatu majlis tetap ada kekurangan terutama ketika majlis berlangsung.

Kali ini, semua pelajar mendapat duit raya dari sumbangan duit para guru serta kurma. Anak yatim juga menerima sumbangan dari pihak PIBG serta duit raya. Rezeki ini semua dari Allah. Jadi gunakan sumbangan ini ke arah kebaikan supaya penyumbang juga mendapat saham akhirat.

Sejak semalam lagi, pelajar menyerahkan kad hari raya. Hanya guru baru diberi kad raya. Kalau guru perempuan, pelajar lelaki yang serahkan. Jika guru lelaki, pelajar perempuan yang memberi kad raya itu. Lumrah untuk guru baru apatah lagi masih bujang.

Ada juga yang bertanya ,"Ustazah nak kad raya tak?"...

Teringin ketawa tapi cukup lah kalau senyum atau jawab," Jika diberi, saya terima. Kalau tak bagi pun tak apa"...

Aku pula jawab terbaik," Saya tak nak," aku nak sambung lagi tapi tak terucap. Nak kata apa yea? hehehe...

Ada seorang pelajar memberikan kad raya kepada guru baru. Beliau hanya sempat mengajar seminggu sahaja tetapi menerima kad raya dari pelajar ni. Macam nak 'usha-usha' guru ini. Tapi awas...beliau sudah bertunang. Hanya makluman sahaja.

Guru lain sembang-sembang. "Aku mengajar dia sejak kecil lagi...aku tak dapat kad raya pun". Macam-macam la ayat untuk usik pelajar ini. Ada juga guru yang minta pelajar bagi kad raya kepadanya. Pelajar baik pasti menunaikan permintaan guru ini.

Nah! Kedua guru di atas dapat kad raya hari ini dari pelajar tersebut. Jadi bahan ketawa pula. hihihi...hiburan dari pelajar setelah penat buat persiapan untuk majlis hari ini.

Aku tak banyak dapat kad raya. Aku selesa dengan ungkapan 'memberi lebih baik dari menerima'. Aku cuma nak kongsi tentang permintaan pelajar ini. "Saya mohon pertolongan ustazah untuk ajar Al-Quran. Saya sanggup pulang lewat dari sekolah," tersentuh hati ini. Ini juga sebagai hadiah kerana dengan rela hati ingin belajar. Aku doakan semoga pelajar ini istiqomah untuk belajar Al-Quran. Mukjizat paling agung. Insya Allah, aku akan laksanakan selepas cuti nanti.

Ada juga yang berterima kasih kerana ajar khat. Itu sudah kewajipan untuk aku curahkan sedikit ilmu yang ada. Yang aku tahu, aku akan bagi. Sebab ilmu ini, semakin diberi, semakin banyak ilmu kita. Subhanallah. Sambil ajar, sambil dapat ilmu...

Ok la. Tak lama lagi nak bertolak pulang ke kampung. Doakan semoga selamat sampai ke destinadi dan dipermudah segala urusan sepanjang pemusafiran ini.

Selamat bercuti dan selamat hari raya aidilfitri. kullu am wa antum bikhair

p/s: lupa nak tanya f3, bagaimana dengan peperiksaan tadi?

Rakan Sejawat Toksik

Ahlan...ahlan Ya Ramadan.  Alhamdulillah masih diberi peluang merasai hidup dalam Islam tetapi umat Islam Palestin masih bergelut dengan kes...