Mutiara Kata Untuk Murabbi.

"JIKA MURID DIAJAR DENGAN PUJIAN, DIA BELAJAR MENGHARGAI"

"JIKA MURID DIAJAR DENGAN CELAAN, DIA BELAJAR MEMAKI"

"JIKA MURID DIAJAR CEMUHAN, DIA BELAJAR RENDAH DIRI"

"JIKA MURID DIAJAR DENGAN PERSAHABATAN, DIA BELAJAR MENYAYANGI"

"JIKA MURID DIAJAR PERMUSUHAN, DIA BELAJAR BERKELAHI"

"JIKA MURID DIAJAR JAMINAN, DIA BELAJAR MEMPERCAYAI"

"JIKA MURID DIAJAR DENGAN PENGHINAAN, DIA BELAJAR MENYESALI"

"JIKA MURID DIAJAR DENGAN KEADILAN, DIA BELAJAR KESAKSAMAAN"

"JIKA MURID DIAJAR DENGAN DISKRIMINASI, DIA BELAJAR MEMENTINGKAN DIRI"

23 Januari 2013

Pizza Pertama.

Siapa yang cipta pizza ni? Bukan susah nak nak mereka-reka bahan yang perlu atas doh ni. Doh tetap menggunakan resipi roti.

Bosan di rumah, mula aku buat aktiviti sampingan mencari resipi dan buat walaupun bahan tak cukup. Jika tak jadi, aku sahaja yang akan makan.

Kali pertama buat dah jadi. Alhamdulillah. Antara kandungan yang aku letak, tepung gandum, susu manis, mauripan, garam, minyak masak dan air. Aku adunkan semua untuk dijadikan doh. Biarkan dalam bekas tertutup hingga kembang semangkuk. Hehehe..

Untuk topeng atau bahan di atas doh itu, aku letakkan bahan ditumis. Minyak, bawang putih, bawang besar, cili giling, tomato yang dipotong petak-petak dan garam. Apabila dah masak, letak dalam mangkuk untuk dijadikan topeng bagi setiap doh yang buat nanti.

Bahan yang aku bakar atau kukus tanpa air (periuk tefal sahaja). Sotong, udang dan keropok ikan yang telah dipotong dadu.

Aku guna periuk tefal sahaja. Tiada oven atau pembakar lain. Aku sapukan majerin pada permukaan periuk tefal dan aku bentuk doh berdasarkan keluasan permukaan tefal. Atas doh itu, aku sapukan bahan tumis dan susun udang, sotong dan keropok di atas doh. Akhir sekali aku letakkan chesdale. Bakar atas dapur dengan api paling minimum. Siap untuk dihidang.




16 Januari 2013

Perasaan Aku?

Saat yang ditunggu sudah tiba. Beberapa hari ini, rakan-rakan sejawat banyak bercakap tentang sambung belajar. Aku juga turut teruja dengan kisah rakan-rakan mereka. Aku juga mempunyai hasrat yang sama.

Ketika keluargaku bertandang ke rumah sewaku, aku ada memaklumkan kepada mak dan ayah berkaitan permohonanku untuk sambung belajar. Ayah kelihatan terkejut. Mungkin tidak menyangka aku bertindak tanpa memaklumkan kepadanya walaupun hasrat itu terasa hampir terkubur. Riak muka mak pula, biasa sahaja. Ibuku tidak menunjukkan reaksinya jika dia diam. Jika tidak bersetuju, mungkin suaranya akan keluar. Jika beliau membantah maka ada alasan munasabah untuk difikirkan. Diamnya menunjukkan tiada bantahan.

Jadual hari rabu adalah jadual paling padat untukku. 8 waktu dari 30 waktu seminggu menyebabkan aku terkejar-kejar untuk melaksanakan tugasan. Petangnya ada kegiatan Ko-kurikulum. Tahun ini, aku masih 'ok' dengan pelajarku. Semuanya memberi kerjasama yang baik. Moga pahala untuk kalian.

Ya Allah, permudahkanlah urusan pembelajaran dan pemahaman mereka dalam semua pelajaran serta rahmatilah mereka ke jalanMu yang benar. Aminn ^^


Sampul surat warna coklat dan post dari Bangi. Hatiku terus tersentap 'UKM?' Aku hanya memandang sampul surat itu. Takut atau bimbang dengan hakikat sebenar. Lambat tanganku bergerak. Terus bergerak dan mengoyakkan kulitnya. Aku semakin takut melihat isinya. TAWARAN mengikuti Pengajian Siswazah ****.

Apabila dibaca secara rambang, aku ditawarkan pengajian sepenuh masa. Apa aku nak buat? Cuti tanpa gaji?Siapa nak tanggung aku? Mustahil !

Ada rakan-rakan mencadangkan aku cuti bergaji penuh. Ia perlu kepada urusan surat menyurat. Adakah aku perlu kuburkan harapanku setelah berjaya mendapat tempat?Apa yang perlu aku buat?Aku buntu.

Tahun ini aku mengajar pelajar yang bakal menduduki PMR. Tahun ini juga aku mengajar pelajar yang akan menjalani PBS bagi tingkatan 1 dan 2. Andai aku dapat 'cuti bergaji penuh'...mereka bakal mendapat guru baru untuk menggantikan aku. Insya Allah.

Esok. Aku perlu mencari maklumat mengenai pengajianku. Moga ada jalan untukku menyambung pengajian ini. Sekurang-kurangnya aku dapat membayar yuran pengajian sendiri walaupun tidak mendapat biasiswa.

Rabbi Yassir Wala Tuassir Watamim bilkhair. Aminn.

14 Januari 2013

Sahsiah Tidak Terbina.

"Anak murid kita seperti bukan keluaran sekolah agama. Selama 3 tahun di sini mungkin dia tidak rasa suasana agamakah?" kata rakan sejawatan di sekolahku.

"Kita sebagai guru tidak tunjuk contoh yang baik. Bagaimana mereka nak ikut?" balasku.

"Ini akhlak. Akhlak sepatutnya diajar di rumah oleh kedua ibu bapa. Kita hanya penerus," aku mengangguk kepala tanda setuju dengan kenyataan itu.

"Cuba tengok pelajar tingkatan 3 tahun lepas. Bukan nak bersalam dengan guru-guru. Pelajar lelaki dengan guru lelaki. Pelajar perempuan dengan guru perempuan. Mereka langsung tak buat. tegur apatah lagi. Cuma datang nak buku biasiswa dan urusan pertukaran ke sekolah lain. Inikah pelajar sekolah agama?" luahan tanda kecewa dengan akhlak pelajar ini.

"Datang dengan cap, seluar jeans dan pakaian lambang merapu...inikah sekolah agama? Perempuan dengan cara perempuan. Mereka tak hargai langsung guru-guru yang mengajar mereka selama 3 tahun," sambungnya lagi. Jelas kekecewaan pada wajahnya. Apa aku nak jawab.

Dalam hati sebut "kepimpinan berdasarkan tauladan".

Salahkah jawapanku ini?

Terpulanglah kepada fikiran masing-masing. Aku hanya memerhati selama ini. Dalam kelas ada juga tegur. Tetapi teguran tidak berkesan jika mereka tidak meminta untuk ditegur. Mereka tidak suka guru membebel. Aku lebih banyak memberi perhatian dalam P & P. Jika ada yang minta nasihat, aku akan cuba jawab. Setakat kemampuanku.

Pernah suatu ketika aku mendengar sesorang yang juga pemerhati guru berkata,"Guru disini lebih suka membebel dari mengajar." Aku diam. Sebab aku masih baru ketika itu. Biarlah apa orang nak kata. Asalkan aku tidak buat. Jika aku buat juga perkara yang sama., aku minta maaf. Itu kelemahanku dan kelemahan guru-guru di sini.


Awal persekolah, sudah ada guru yang tersinggung dengan perbuatan pelajar-pelajar ini. Ini berlaku dihadapanku sendiri.

Seorang guru tertukar jadual dan tersilap masuk ke sebuah kelas. Sedangkan ketika itu adalah waktu aku masuk ke dalam kelas itu. Perkataan 'malu' yang dituturkan oleh seorang pelajar sambil memandang guru itu ditambah sorakan beramai-ramai dari pelajar lain. Aku terkejut dengan tindaka pelajar kelas ini. Aku masih diluar kelas dan memerhati. Guru tersebut terus keluar dari kelas. Aku dapat rasakan kekecewaan dalam diri guru itu andai aku ditempatnya.

Bagaimana aku nak terus mengajar tanpa mempedulikan tindakan mereka terhadap guru itu? Aku jelaskan kepada mereka adab terhadap guru dan mengucap terima kasih untuk ibu bapa mereka. Suaraku mendatar sahaja. Jika dianggap kata-kataku berbisa, silakan. Di mana adab mereka? Sepatutnya seorang guru dihornati walaupun mereka pernah marah dalam kelas. Marah bersebab. Mungkin kerja yang diberikan tidak siap dan tidak memuaskan hatinya. Hormatilah guru anda sebagaimana anda hormat ibubapa anda.

Jika ada pelajar yang terbaca entri ini dan terasa dirinya membuat silap...sila berjumpa dengan guru ini. Minta maaf atas perbuatan dan jelaskan jika ada silap faham. Ilmu tidak akan berkat tanpa redha guru ini. Tolong jangan ulangi perbuatan yang sama.

p/s: Aku minta maaf andai menyinggung perasaan mana-mana pihak. Jazakumullah ^_^

13 Januari 2013

Haid Dan Qada' Solat.

Dalam Islam banyak cabang ilmu yang masih kita abaikan. Ada yang menyangka dirinya sudah mengetahui ilmu agama. Bila sebut  masalah sosial, ramai mengatakan masalah ini berpunca daripada kurang kefahaman agama. Akan tetapi adakah ramai umat Islam hari ini faham bab agam terutama bab feqah.

Ilmu Feqah adalah salah satu cabang ilmu agama. Perkataan 'fiqh' membawa maksud 'faham'. Disebabkan aku masih tak cukup ilmu ini, aku akan cuba huraikan sedikit berkaitan pertanyaan seorang pelajar berkaitan dengan haid dan artikal yang bacanya dalam halaqah. Aku harap para ilmuan yang jumpa entri aku ini, tolong betulkan dan tegur jika tidak sampai kepada maksudnya.

Solat jama'

Sebagaimana yang diketahui, solat jama' adalah solat yang menggabungkan dua solat fardu. Solat jama' ada DUA jenis. Jama' taqdim dan Jama' ta'khir.

Jama' taqdim adalah solat yang menggabungkan solat fardu zohor dan asar ketika sudah masuk waktu solat zohor / solat yang mengabungkan solat maghrib dan solat isya' ketika sudah masuk waktu maghrib.

Manakala Jama' Takhir pula adalah solat yang mengabungkan solat asar dan zohor ketika waktu solat waktu asar / solat yang mengabungkan solat isya' dan maghrib ketika waktu solat isya'.

Oleh itu solat subuh tidak termasuk dalam solat jama' tadi. Cukup penerangan ringkas ini.

Haid

Haid hak milik wanita sahaja. Lelaki tidak termasuk tetapi perlu faham kerana mereka mempunyai tanggungjawab untuk menerangkan kepada mereka. Lelaki mempunyai ibu, kakak, adik perempuan, isteri, ibu-ibu saudara. Jadi lelaki juga perlu faham.

Secara normal, haid akan keluar selama 7 hari. Paling kurang satu hari satu malam. Paling lama 15 hari mengikut mazhab Syafie.

Apabila seseorang wanita sedang didatangi haid, wanita ini tidak boleh solat, puasa, tawaf, bersetubuh dengan suami dan tidak boleh duduk dalam masjid.

Ganti solat

Timbul persoalan sekarang adakah wajib seorang wanita yang sedang haid mengantikan solat fardu yang ditinggalkannya?

HARAM bagi wanita yang sedang haid solat dan wanita ini tidak perlu menggantikan solat fardu yang ditinggalkannya.


Cuma ada beberapa perkara yang seorang wanita ini sering lupa.

1. Adakah anda sedar bila anda didatangi haid? 

Adakah ketika itu anda sudah solat subuh? Adakah anda sudah solat zohor? Adakah anda sudah solat asar? adakah anda sudah solat maghrib? adakah anda sudah solat isya'?

Jika anda sudah tahu, maka anda perlu ingat bahawa anda sudah tertinggal solat kerana melewatkan waktu solat. Saya akan bagi contoh.

Apabila masuk waktu solat, anda tidak didatangi haid lagi. Oleh itu, anda perlu solat zohor itu. Andai kata anda terlambat solat dan menyedari bahawa anda sudah didatangi haid, maka anda tidak boleh solat. Bahkan anda perlu QADA' solat zohor itu selepas suci dari haid.

2. Andakah anda sedar bila anda suci dari haid?

Apabila anda sudah tahu bila anggaran anda suci haid, anda perlu berhati-hati. Sebagai contoh.

Andai anda sudah suci dari haid ketika sebelum masuknya waktu maghrib. Anggarannya anda sempat solat asar satu rakaat tapi anda masih tidak mandi wajib lagi. Selepas mandi wajib, anda perlu menggantikan solat asar itu. Disebabkan solat asar adalah termasuk solat yang boleh dijama'kan, anda perlu solat zohor juga. Itu adalah pendapat ulama' yang boleh anda baca dalam link SINI. Wallahua'lam ^^

Ini sahaja yang boleh aku huraikan menggunakan ayat yang mudah. Maaf jika masih ada kekurangan. Teguran anda amat dialu-alukan. Terima kasih.

p/s: untuk pengetahuan anda, aku masih tidak dapat ruju' buku Ihya' Ulumuddin Jilid 2 berkaitan haid. Buku ini tiada dalam simpananku.

07 Januari 2013

Nota Prinsip Akaun SPM

Nota ni adik aku nak buang. Aku sempat rebut balik. Sayang sangat nota-nota ni. Macam nyawa aku. Biar nota ini masuk dalam blog aku ni. Boleh juga kongsi maklumat. Ini nota Prinsip Akaun. Dulu masa SPM aku ambil 11 mata pelajaran. Selain subjek teras, aku ambil subjek addmath, prinsip akaun dan perdagangan.

Nota ini untuk calon SPM. Kalau sesuai dengan PA sekarang, silakan. Kalau tak, biarlah jadi nota aku sahaja. Rindu zaman sekolah. ~huhuhu~







Nota BA PMR 2012

Aku terjumpa kertas pelajar yang tertinggal. Daripada masuk ke tong sampah lebih baik aku bawa balik. Scan dan masukkan dalam blog. Harap maklumat ini menjadi perkongsian ilmu kepada semua bakal pelajar PMR 2013 dalam mata pelajaran Bahasa Arab. Harap boleh kongsi dengan rakan yang lain.

Hafaz semua perkataan dalam nota ini. Insya Allah anda boleh ^_^






02 Januari 2013

Hari Pertama Persekolahan 2013

Penat???!

Memang penat. Ini sudah jadi tanggungjawab. Moga aku dapat buat kerja ini kerana Allah. Aku redha dengan ketentuanMu.

Bila ada yang mengatakan akan ditambah guru BA, aku seolah-olah kurang percaya. Guru yang baru datang, opsyen BM. Apa makna disebalik pengambilan ini? Hanya Allah yang tahu walaupun akan timbul pelbagai alasan untuk menafikannya.

Aku hilang kepercayaan kerana pernah berlaku pada tahun sebelum ini. Yang mengakuinya adalah pegawai atasan sendiri. Aku sangat terkejut ketika itu. Cukuplah menabur janji yang tak pernah ditepati. Canggih ayat tetapi tiada tindakan adalah sia-sia. Sepatutnya banyak kerja kurang bercakap.

30 waktu seminggu bukan suatu perkara mudah. Apatah lagi untuk menumpukan perhatian kepada pelajar yang bermasalah dan kerja pengkeranian yang lain.

Hari pertama. Aku masuk ke kelas yang hanya ada 16 orang pelajar. Berada dalam PPS. PSS sekarang berada di 'awangan'. Aku ingin uji mereka adakah pelajar2 ini tahu apa itu huruf hijaiyyah? Ternyata ramai yang tidak tahu.

Oleh kerana masa terlalu sedikit, aku hanya minta pelajar ini menulis huruf yang aku sebut. 8 dari 16 orang tidak dapat menulis dengan baik. 4 dari 8 pelajar mengaku dari awal lagi. Sekarang aku harus memikir cara untuk memperkenalkan huruf hijaiyyah sebelum belajar bahasa arab. PBS kali ini menekankan kemahiran menyebut, membaca dan menulis.

Moga usahaku ini dipermudahkan oleh Allah. Disamping itu, aku perlukan kerjasama daripada pelajar2 ini.

Untuk kerja 'pengkeranian' dan pusat sumber, maaf aku dah tak mampu selesaikan. Kerja aku banyak tertumpu kepada P & P sahaja. Program juga akan dikurangkan kecuali ada kerjasama daripada guru lain.

'berangan nak dapat sekolah seperti ini'

Petang jumaat aku ke pusat servis. Apa yang aku andaikan sebelum ini memang terjadi. Enjin kereta mati. Bukan aku yang pandu tetapi bos pusat servis. Aku senyum sambil berjalan ke bengkelnya apabila dia bagi isyarat tak boleh dihidupkan. "Memang susah la kereta you orang nak curi".Sebelum itu, aku dah jelaskan kepada kerani pusat servis itu. Tak sangka dia ambil mudah sahaja.

Kali kedua enjin tak boleh dihidupkan apabila 2 orang anak buahnya ambil alih. Aku terus berjalan keluar dan masuk ke bengkelnya semula. Aku hidupkan semula. Mungkin hal ini pertama kali berlaku di bengkel ini. Selepas ini, tiada masalah lagi kecuali ke pusat servis lain.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...