31 Julai 2010

Imam Muda

Asyraf Imam Muda
Oleh Zaidi Mohamad
bhnews@bharian.com.my
2010/07/31

Asyraf (kiri) dan Hizbur.
Asyraf (kiri) dan Hizbur.
Graduan Usuluddin dan Fikah UM juara Imam Muda

KUALA LUMPUR: Rezeki menyebelahi Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26, apabila dinobatkan juara Imam Muda pada pertandingan akhir di Dewan Muktamar, Kompleks Pusat Islam, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), di sini, malam tadi.
Graduan Usuluddin dan Fikah Universiti Malaya (UM) itu menewaskan Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27, untuk merebut gelaran pertama Imam Muda.
Dengan kemenangan itu, Muhammad Asyraf menerima insentif berbentuk tawaran sebagai Imam Ratib (kontrak) di salah sebuah masjid di Wilayah Persekutuan.

Selain itu, Muhammad Asyraf juga menerima biasiswa pakej Berlian pengajian ke Universiti Antarabangsa Al Madinah (MEDIU), sebuah kereta Proton model Exora, pakej menunaikan ibadat haji, pakej umrah, pakej percutian ke Bandung selama empat hari dan tiga malam serta pakej perabot jati bernilai RM10,000.

Hadiah lain yang mengiringi kejayaannya ialah pakej spa Maghribi untuk seorang, wang tunai RM20,000, sebuah komputer riba Apple Macbook Pro, sebuah iPhone 3G, trofi Imam Muda serta sijil penyertaan dan kad pentauliahan diiktiraf JAWI.

Muhammad Asyraf ketika berucap sebaik menerima hadiah kemenangan mengucapkan terima kasih kepada isteri, ibu bapa, rakan-rakan dan penyokong yang mendoakan kejayaannya.
“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak pengurusan Astro, guru-guru, JAWI dan tenaga pengajar yang tidak kedekut ilmu, mursyid (mentor), mudir (pengetua), penonton dan wartawan yang menyebar luas (program Imam Muda).

“Hanya Allah SWT membalas jasa dan semoga kita bertemu pada program Imam Muda tahun depan,” katanya yang pernah berkongsi misinya mengubah persepsi masyarakat yang menganggap kerjaya imam hanya tertumpu di masjid dan majlis tertentu saja, sedangkan ia lebih meluas.

Naib juara, Hizbur Rahman pula membawa pulang biasiswa pakej Emas pengajian ke MEDIU, wang tunai RM15,000, trofi Imam Muda, iPhone, komputer riba, sijil penyertaan, kad pentauliahan diiktiraf JAWI dan beberapa hadiah menarik lain.

Turut diumumkan sebagai kejutan ialah hadiah tawaran biasiswa pakej Perak melanjutkan pengajian ke MEDIU kepada lapan peserta Imam Muda lain. Mereka turut menerima pakej percutian ke Bandung, sebuah Iphone, trofi dan sijil penyertaan.

Lapan peserta yang dimaksudkan itu ialah Sharafuddin Suaut, Ahmad Syakir Zamri, Amiril Md Banin, Nik Muhammad Adib Md Amin, Muhammad Khairul Azhar Ghazali, Nuri Ali Arbain, Ahmad Hazran Ahmad Kamal dan Mohd Taufek Mohd.

Bagi cabaran akhir, Muhammad Asyraf dan Hizbur Rahman dikehendaki menyampaikan tazkirah, mengaji Al-Quran secara bertaranum, menyanyikan lagu zikir dan menjawab soalan berkisar hukum agama Islam secara spontan.

Segala aspek pemarkahan dan penilaian diadili Tuan Pengetua yang juga bekas Imam Besar Masjid Negara, Datuk Hasan Mahmud Al Hafiz. Beliau dibantu dua Mentor, Shahrizan Daud dan Syed Norhisyam Al Idrus, manakala Dzulkarnain Hamzah pula sebagai hos.

Imam Muda yang disiarkan Astro Oasis selama 10 minggu mencipta fenomena tersendiri biarpun kali pertama diterbitkan. Program realiti ini juga mencatat sejarah kerana mendapat liputan media antarabangsa.

INFO

Finalis Imam Muda


Nama Penuh: Muhammad Asyraf Mohd Ridzuan, 26
Asal: Pulau Pinang
Tarikh Lahir: 12 Februari 1984
Bangsa: Melayu
Status: Berkahwin
Pekerjaan: Imam
Nama Isteri: Nurhusna Yusof, 23
Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Usuluddin dan Fikah, Universiti Malaya
Menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Syariah di UM


Nama Penuh: Hizbur Rahman Omar Zuhdi, 27
Asal: Baling, Kedah
Tarikh Lahir: 1 April 1983
Bangsa: Melayu
Status: Berkahwin
Pekerjaan: Guru Tahfiz
Pendidikan: Sarjana Muda Syariah (Tahun Akhir), Universiti Al-Azhar, Mesir
Nama Isteri: Liliyana Hasanah Yudi, 23

29 Julai 2010

Harapkan Pagar, Pagar Makan anak Tuan.

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tiga murid perempuan sekolah rendah di Petaling Jaya dikenal pasti menjadi mangsa rogol seorang pemandu bas sekolah yang ditahan Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Polis Arjunaidi Mohamed berkata ketiga-tiga mangsa dipercayai dirogol pada hari berlainan ketika menjadi penumpang terakhir bas sekolah terbabit.


"Hasil siasatan polis mendapati tiga kanak-kanak sekolah rendah yang salah seorang berusia 10 tahun, menjadi mangsa rogol lelaki berusia 51 tahun itu di dalam bas berkenaan ketika pulang dari sekolah," katanya ketika dihubungi.


Beliau berkata polis kini sedang mengambil keterangan ketiga-tiga mangsa untuk membantu siasatan selain mendapat gambaran sebenar kejadian.


"Kita sedang siasat jika ada lagi mangsa lain dan kita perlukan masa untuk merekod percakapan kanak-kanak ini, kerana terdapat sedikit kesukaran apabila mereka tidak dapat menerangkan secara jelas tentang apa yang berlaku," katanya.


Dalam perkembangan lain, Arjunaidi berkata polis sedang giat memburu suspek kes cabul kanak-kanak sekolah berusia 12 tahun, yang membabitkan pemandu van sekolah di Kelana Jaya.


"Kita sudah ke rumahnya dan mendapati suspek telah melarikan diri," katanya yang enggan mengulas lanjut mengenai kedua-dua kes.


Kejadian rogol itu terbongkar apabila pemandu bas yang merogol seorang murid Tahun Empat pada 12.45 tengah hari, 26 Julai lalu, ditangkap orang ramai yang ternampak bas itu diparkir di tepi jalan dalam keadaan mencurigakan.


Dalam kes kedua pula, seorang kanak-kanak berusia 12 tahun dicabul seorang pemandu van ketika ke kelas tambahan sebelum mangsa berjaya melarikan diri dengan keluar dari van tersebut. - Bernama


Lima murid sekolah dinodai

Oleh Suraya Roslan
surayaroslan@hmetro.com.my
2010/07/29

PETALING JAYA: Seorang pemandu van sekolah dipercayai merogol lebih lima murid perempuan berusia 10 tahun yang dibawanya di sekitar daerah ini sejak minggu lalu.

Suspek yang berusia 51 tahun itu dipercayai melakukan perbuatan terbabit dalam van sekolah dipandunya.


Difahamkan, suspek tidak segan silu merogol mangsa pada siang hari dan di kawasan sesak dengan orang ramai. Menurut sumber, dalam kejadian terbaru Isnin lalu kira-kira jam 12.40 tengah hari, seorang guru tadika yang melalui kawasan luar sebuah sekolah di Jalan Othman di sini, terkejut apabila melihat seorang murid perempuan yang masih berpakaian seragam dirogol dalam sebuah van.


Difahamkan, guru tadika berkenaan membuka pintu van dan menarik murid itu daripada menjadi mangsa rogol lelaki terbabit. Mangsa berjaya diselamatkan guru itu dengan bantuan dua anggota polis peronda yang melalui kawasan kejadian.


“Lelaki terbabit ditahan manakala mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan,” katanya.


Sumber berkata, mangsa mendedahkan perbuatan pemandu van terbabit yang merogol lebih daripada lima murid sekolah yang dibawanya. “Selepas pemandu terbabit mengambil murid yang menggunakan khidmatnya, dia akan menetapkan sasaran mangsanya dengan menghantar murid berkenaan terakhir sekali sebelum merogolnya.


“Pemandu itu turut mengugut mangsa supaya tidak melaporkan kejadian itu kepada sesiapa,” katanya. Jurucakap polis berkata, pihaknya percaya suspek sudah lama aktif dan mungkin lebih daripada lima murid sekolah menjadi mangsanya. Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed mengesahkan menerima laporan itu dan suspek kini direman empat hari sehingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan.


“Kes ini masih dalam siasatan dan kami cuba mengesan mangsa lain,” katanya yang enggan mengulas lanjut. Sementara itu, dalam kejadian berasingan di Kelana Jaya, Arjunaidi berkata, seorang murid tahun enam dicabul seorang pemandu van berusia 37 tahun.


Dalam kejadian kira-kira jam 6.40 pagi itu, mangsa dipercayai seorang diri di dalam van sekolah sebelum suspek memegang kemaluan mangsa.


Menurutnya, mangsa yang terkejut dengan perbuatan itu menjerit meminta tolong sebelum keluar dari kenderaan itu dan melarikan diri.


“Setakat ini, kami masih mengesan suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan,” katanya.

*****Aku: Susahnya nak percaya kat orang. Kepada Allah kita berserah. Atau ini bala Allah sebagai peringatan kepada kita.


Tidak ku sangka...

Giliran pelajar tingkatan 2 meneruskan program nilam. 3.30 petang mereka dah balik ke rumah atau ke mana-mana sahaja...Ada juga masih menemani aku hingga selepas asar. Sembang-sembang sambil buat kerja PSS. Terima kasih yea adik-adik...

Perkara yang paling mengejutkan aku bila sampai di sekolah...Apa dia???

"Budak tu memang tiada ayah"

"Anak luar nikah..."

"ala biasa la kawasan ni...buat dengan Indon...bla..blaa"

Aku tak tau mereka semua ni berbincang pasal apa...Ada yang meneruskan perbualan.

"Budak tu tak salah...Mak bapak dia yang salah"

"Eh..kejap-kejap...ni cerita pasal siapa ni?"Aku mencelah.

"Pasal budak yang menangis semalam tu,"

Aku cuma mengangguk kerana aku tidak kenal latar belakang pelajar aku ini. Bukan tidak mau cungkil tapi takut tersalah korek.

Kenapa masih ada yang tidak takut azab akhirat... Antara yang Rasulullah lihat dalam peristiwa Isra' mikraj adalah

"Satu kaum, lelaki dan perempuan yang memakan daging mentah lagi busuk. Mereka itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina"

Jika di dunia mereka perlu di hukum had zina (hudud). Bagi lelaki dan wanita bujang dikenakan 100 kali sebatan dan bagi yang sudah bersuami atau beristeri dikenakan rejam sehingga mati.

Jika mereka tidak dilaksanakan hukum di dunia, di akhirat mereka tidak akan terlepas.

Bagaiman dengan nasab (keturunan) pelajar ini? Mungkin keturunannya mengikut jejak langkah mereka yang di atas...Itu semua tidak mustahil. Moga ia dilindungi dibawah payungan Allah.

Bagi yang memelihara atau mendidik anak-anak ini...terus berusaha menanamkan nilai agama dalam setiap pembelajaran. Dekatkan mereka dengan ajaran agama Islam. Ini ujian bagi aku sebagai pendidik. Walaupun hati mereka keras, jangan kita putus asa (nasihat untuk diriku)

"سبحان الله و الحمد لله ولا الـه الا الله والله أكبر ولا حول ولا قوة إلا بالله"

28 Julai 2010

Sentuhan hati...


Aku sangat terharu bila anak-anak kecik ini menitiskan air mata. Tak ku sangka rupanya lembut hati anak ini. Setiap kali aku masuk kelasnya, aku tak pernah menganggap anak ini tiada bapa. Aku samakan semua pelajar aku ini. Aku tidak pernah bertanya lebih lanjut tentang keluarga pelajar ini.

Teresak-esak di depan dewan. Tiada kata yang dapat keluar dari mulutnya kecuali...

"Ayah!!! Saya rindukan ayah....!Ayah!!! Saya rindukan ayah..!"

Hampir menitis takungan air di mataku. Huhuhu...Tak tertahan lagi...Akhirnya aku kalah dengan egoku. Aku cuba keraskan hati ku. Akhirnya tersungkur jua. Sesungguhnya Allah lah yang membolak balikkan hati kita. Subhanallah...

Adegan itu bukan lakonan tapi realiti. Tidak ku tahu selama ini dia hidup tanpa bapa. Sejak lahir lagi. Anak mana tidak perlukan bapa?Melihat orang lain yang lengkap dengan ibu dan bapa. Takkan anak ini tidak terasa. Kak 's' mintak guru lelaki datang untuk peluk anak ini. Inilah ending ceramah tadi.

Hari ini aku di amanahkan untuk membuat ceramah sambutan isra' mikraj peringkat sekolah 2010. Slide yang aku sediakan tidak lengkap kerana aku masih membuat penambahan di saat akhir. Kelas yang aku mengajar sampai jam 1.30 petang. Jadi slide tu tidak menarik sangat. Tak sempat nak masukkan animasi. Aku tawakal sahaja.

Ceramah Isra' mikraj ni bermula pukul 2.15 petang. Mungkin ramai yang akan tidur. Itu sahaja dalam fikiran aku. Aku pasrah. Yang pasti, aku kena selesaikan amanah ini.

Alhamdulillah semua berjalan lancar dengan dimulakan dengan nasyid isra' mikraj gabungan kumpulan Hijaz, inteam dan mestica. Orang yang biasa tidur dalam kelas pun dah celik. Alhamdulillah semua itu pertolongan daripada Allah.

Terima kasih kepada rakan sejawatan kerana tidak meninggalkan ceramah aku. Walaupun diakhiri dengan tangisan ramai anak-anak kita dan kita sekali.

Selepas habis ceramah, aku terdengar perbualan pelajar paling senior di sekolah ni.

"Eleh...benda macam tu..ingat boleh nangis ke? bleh blah laaa...kalau ko nak nangis jangan jadi lelaki la!"

Semoga anak-anak ini mendapat petunjuk ke jalan yang benar.Aminnn ^_^

26 Julai 2010

Mengaku Bukan Islam

Hukum Seorang Yang Mengaku Bukan Islam Kerana Mengelak Dari Ditangkap Atau Sebab-sebab Lain

Keputusan:

Takrif Murtad
Berpaling dari agama Islam kepada agama kufur samada dengan niat atau perbuatan atau perkataan yang membawa kepada kufur samada secara persendaan, engkar atau iktiqad. Berkata Imam al-Ghazali 'Adapun hakikat riddah ialah pengucapan dengan perkataan kufur secara persendaan atau iktiqad atau engkar, manakala daripada perbuatan ialah menyembah berhala, sujud kepada matahari, demikian juga mencampakkan al-Quran ke tempat kotor dan setiap perbuatan yang jelas menghina agama dan demikian juga ahli sihir dihukum bunuh sekiranya apa yang digunakan untuk sihir itu adalah kufur seperti menyembah matahari atau seumpamanya'.

Perkara-perkara Yang Boleh Menyebabkan Murtad

a) Perkataan
Sebarang perkataan yang jelas boleh membawa kepada kufur adalah dihukum kufur (riddah) orang yang mengucapkannya.

Firman Allah dalam surah at-Taubah ayat 65 dan 66 :
Yang bermaksud : 'Patutkah nama Allah dan ayatNya serta Rasul Nya kamu memperolok-olok dan mengejeknya? Janganlah kamu berdalih (dengan alas an-alasan yang dusta), (kerana) sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman..'.

Di antara contoh-contoh perkataan yang membawa kepada kufur adalah seperti berikut :

1. Engkar sesuatu yang diketahui daripada agama (islam) secara darurat seperti mengengkari keesaan Allah, kewujudan Malaikat, Kenabian Nabi Muhammad S.A.W dan seumpamanya.
2. Menghalalkan apa yang diharamkan secara ijma".
3. Mengharamkan apa yang dihalalkan secara ijma".
4. Mencela Nabi Muhammad S.A.W atau Nabi-nabi lain atau mengejek mereka.
5. Mencela agama Islam, menghina al-Quran dan as-Sunnah dan tidak beramal dengan keduanya.
6. Mendakwa wahyu turun kepadanya.
7. Merendah-rendahkan nama Allah dan perintah Nya.

b) Perbuatan
Di antara perbuatan yang boleh membawa kepada riddah ialah :
1. Mencampakkan Mashaf al-Quran atau Kitab Hadis Rasulullah S.A.W ke tempat-tempat kotor dengan tujuan menghina.
2. Sujud kepada makhluk seperti berhala, matahari, bulan dan sebagainya.
3. Tidak mengamalkan hokum-hukum al-Quran dan as-Sunnah kerana menggangapnya tidak sesuai dengan zaman sekarang.

c) Niat
Contohnya ialah seperti berazam untuk kafir pada hari esok atau teragak-agak untuk melakukannya. Niat seperti itu menyebabkan orang itu kufur ketika itu juga.

Syarat-syarat Sah Seseorang Dikira Murtad

Para Ulama" bersepakat meletakkan dua syarat bagi mengesahkan seseorang Islam dikira murtad.
i) Berakal tidak sah murtad orang gila dan kanak-kanak.
ii) Pilihan sendiri atau sukarela. Tidak sah murtad orang yang dipaksa sedangkan hatinya masih beriman.

Masalah
Perkara yang berlaku sekarang itu mungkin disebabkan kejahilan atau perasaan takut dan marah bukan dengan niat si pelakunya untuk murtad, kerana kebiasaannya mereka itu tetap melakukan amalan-amalan Islam walaupun selepas mengucapkan perkataan tersebut. Perkara ini boleh dicontohkan seperti berikut :

i) Seseorang (remaja contohnya) apabila selalu dinasihati dan dimarahi tentu akan merasa tertekan dan marah, oleh itu kemarahannya dilahirkan dengan kata-kata sedemikian rupa bagi mengembirakan perasaannya walaupun hatinya tetap dengan Islam dan perbuatan tersebut dilakukan samada kerana jahil atau kerana tekanan perasaan yang amat sangat.

ii) Seseorang yang ditangkap di atas kesalahan jenayah dalam syara' mungkin juga berada didalam ketakutan atau malu. Oleh itu dia cuba mengelak daripada ditangkap dengan mengaku bukan Islam samada kerana jahil tentang hukum pengakuan tersebut atau tahu tentang hukumnya tetapi dilakukan juga sebagai helah supaya tidak ditangkap, kemudia dia pun mengucap kembali dua kalimah syahadah.

Pertimbangan
Walau apa pun alas an sebab seseorang itu melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan murtad, namun zahir hokum syara' adalah jelas bahawa perkataan dan perbuatan sedemikian boleh membawa kepada riddah yang sangat merbahaya. Akan tetapi untuk menghukum seseorang itu telah murtad kita perlu berhati-hati.

Berkata Syed Sabiq 'Seseorang Islam tidak dikira hukum riddah kecuali apabila telah lapang dadanya dengan kufur dan tenang hati dengannya dan masuk ke dalamnya (kufur) dengan sebenarnya'.

Berdasarkan Firman Allah dalam surah an-Nahl ayat 106 :
Yang bermaksud : 'Akan tetapi (yang dikira kafir) seseorang yang lapang dadanya dengan kufur'.

Sabda Rasulullah S.A.W :
Yang bermaksud : 'Sesungguhnya setiap amalan itu dengan niat dan bagi setiap seseorang apa yang diniatkannya'.

Dan kerana hati adalah suatu yang ghaib, tidak ada yang mengetahuinya kecuali Allah, maka tidak dapat tidak mestilah timbul apa yang jelas menunjukkan kekafirannya dengan Dalil Qat"ie yang tidak boleh ditakwilkan lagi sehingga dinasabkan kepada Imam Malik dimana beliau berkata : yang bermaksud 'Apabila timbul darinya (seseorang) apa yang memungkinkan kufur daripada 99 wajah (cara) dan terdapat apa yang memungkinkan iman dari satu wajah (cara), maka dikira urusannya di atas iman'.

Status Penwartaan:
Tidak Diwartakan
Negeri:

Irsyadul Fatwa

Program Irsyadul Fatwa Daerah PD 2010.

Bertempat di Golden Straits Villas Beach Resort, PD.

Ahli Panel:
1. S.S Dato' Hj. Mohd Yusof bin Hj. Ahmad, Mufti Kerajaan N9 &
2. Dr. Zulkifli bin Mohamed al-Bakri, Ahli jawatankuasa Fatwa N9.

Antara yang aku nak kongsi setakat hari ini adalah tareqat yang telah diluluskan oleh Majlis Fatwa N9:

1. Tareqat Ahmadiah

2. Tareqat Naqsyabandi (ejaan tak tau betul atau salah)

*****Tareqat Qadariah tidak diterima kerana terputus sanad dan melalui mimpi.

Ramai yang minta keluar daripada Islam terutama Saudara baru.

Isu semasa yang berkaitan dengan agama perlu merujuk kepada fatwa yang telah dikeluarkan oleh jabatan Mufti.

Ayat keramat Dr Zul...

"Orang tak akan bising kalau budak kena gigit anjing, tapi orang bising bila budak gigit anjing. Sama juga orang tak akan kata Pak Mat buat khalwat di pantai PD tapi orang akan kata dan heboh bila ustazah ditangkap khalwat,"

Bila aku fikir balik...betul juga tu. Bayangkan terjumpa ketayap bawah bantal bagi lelaki yang ditangkap khalwat dengan isteri orang dianggap 'ustaz'. Masuk akhbar "Ustaz ditangkap khalwat bersama isteri orang"...Padahal berita ini tak tahu soheh atau tidak...

Fitnah kepada orang agamawan...hati-hatilah :'(

25 Julai 2010

Cinta Jarak Jauh 2

Musim cuti bermula. Selepas berhempas pulas buat persiapan untuk imtihan (peperiksaan). Aku dan kawan-kawan akan balik ke Kaherah. Di sana kami dapat berjumpa dengan rakan satu negeri atau di panggil rumah anak negeri. Kami di anggap orang luar yang menumpang. Kami akan tinggal di sha'ah paling atas. Kami berkongsi tidur atas lebihan tilam yang masih berbaki. Berkongsi selimut. Kalau musim sejuk, terpaksa lah meminjam dengan adik-adik atau kakak-kakak di tingkat bawah.

"Kalau korang nak duduk di sini ikut cara kami!" sergah seorang senior kami.

"Maaf kak, selagi apa yang kami buat tidak melanggar syariah Allah, kami akan teruskan kerja kami," jawab Julia, kawan sepengajian denganku.

Kami terpaksa menebalkan telinga yang sedia nipis untuk menerima segala tohmahan. Bagi aku, inilah peluang aku untuk mencari ilmu dengan syeikh-syeikh di Masjid Al-Azhar As-Syarif. Mungkin peraturan rumah anak negeri ini terlalu menjaga akhawat di Perlembahan Nil ini.

"Dik, balik la cepat yea. Nanti ustaz tahan teksi untuk balik ke BCN," kata seorang seniorku bersama suaminya menyuruh kami balik ke rumah anak negeri.

"Tak apa la kak. Kami boleh ambil bas macam biasa,"kataku.

Bayangkan jika aku dan kawan-kawan ambil teksi, Si Ammu ini akan minta bayaran mahal 12.00 Junaih. Huh, cekik darah betul la Si Arab ni! Jadi kami balik dengan bas seperti biasa dengan bayaran 0.25 Junaih (25 sen) seorang. Lagi jimat. Kami bukan dapat tajaan daripada mana-mana pihak. Cuma duit kiriman keluarga sahaja.

Aku percaya, jika kita niat membuat kebaikan Allah akan tolong kami. Walaupun kebanyakan orang menganggap kami selalu melanggar peraturan. Kami tidak mahu menyusahkan musyrif. Mungkin mereka banyak urusan. Dan golongan kami akan mengambil kesempatan untuk keluar lebih lama daripada kebiasaan.

Pernah suatu ketika, kami meminta musyrif. Mungkin sebagai adik baru, kami mengalu-alukan perhatian daripada senior. Apatah mereka sudah biasa dengan selok belok peniagaan orang arab ni. Bagaimana nak dapatkan harga murah? Tempat yang lebih murah?

"Ish, ustaz tolong jauh sikit dari saya," kataku kepada musyrif. Dia betul-betul merimaskan. Mungkin dia tidak mahu lelaki arab mendekati akhawat Malaysia.

Ada juga macam halau anak itik masuk reban. Kena tunggu bas yang sedikit penumpang kerana membawa ramai akhawat. Kadang-kadang ia melucukan.

Pernah juga suatu ketika, musyrif komen.

"Akhawat ni menyusahkan lah. Membeli bukan main lama lagi.Bla..bla..bla,"

Sebab itu, para senior jangan marah kalau kami tidak suka bawa musyrif.hehehe...

*******************
"Along, abang Fuad ada balik rumah. Dia bercuti sekarang.Tahun akhir dalam bidang perubatan di USM. Dia tanya tentang along melalui Tok Wan. Bila nak balik?Macam-macam la dia tanya...," cerita adikku, Maimunah melalui corong telefon. Kembang semangkuk hatiku. Gembira teramat sangat. Kerana Si Dia masih ingat aku.

Mukaku kembali ceria. Mengingat cerita adikku. Senyuman selalu bermain di bibirku. Bagaikan dunia dan seisinya adalah milikku. Padahal ini milik Allah. Astaghfirullah Al-Adzimmm...

Angan-angan Mat Jenin bermain-main dalam fikiranku. Selalunya musuh ketatku akan mengindahkan lagi angan-anganku. Sejak Adam muncul di dunia lagi. Semua anak Adam digodanya sehingga masuk neraka bersama-sama. Nauzubillah...

*******************
Sejak kecil aku hanya berkawan dengan seorang lelaki sahaja. Fuad. Bakal menjadi seorang doktor selepas habis pengajiannya di Universiti Sains Malaysia. Tiada lelaki lain. Dia tetap aku tunggu.

Pernah suatu hari aku pergi ke kedai berdekatan dengan rumah. Tiba-tiba aku terasa ada orang memandangku. Aku cari tuan punya mata itu. Tersentap dadaku. Terasa gugur jantungku. Diaaaa lagi. Dia seolah-olah mahu menyapa aku. Tapi aku membuat keputusan terus pulang ke rumah. Aku melarikan diri. Menyesal! Sepatutnya aku bertegur sapa dengannya. Ah! bersetankan semua itu.

Sejak masuk ke sekolah menengah aku jadi seorang yang amat pemalu. Aku bercita-cita untuk ke salah sebuah SMKA di Terengganu. Kerana keputusan peperiksaanku yang kurang memberansangkan, aku ke SMA biasa. Sesuai dengan kelulusan aku.

Fuad mendapat keputusan cemerlang. 5A dalan UPSR. Dia diterima masuk ke SMKA itu. Dia aktif dan semua acara termasuk berpidato. Akhirmya dia dilantik menjadi ketua pengawas di SMKA itu. Dia juga menjadi rebutan pelajar perempuan di sekolah itu.

Di sekolah rendah dahulu , aku selalu bercerita tentang masa depanku. Keinginanku ke SMKA semua diketahuinya. Tapi aku tetap di sekolah berdekatan dengan rumahku. Semenjak itu, aku merendah diri. Aku rasa tidak layak untuknya. Dalam diam aku masih mengharapkan perhatiannya. Aku pendam perasaan ini.

********************

Kini aku di bumi Mesir. Meneguk ilmu Allah sedikit demi sedikit. Dua minggu sekali, aku akan menelefon ke kampung. Semua keadaan di kampung aku tahu melalui adikku, Raudah. Termasuklah mengenai teman sejak kecil. Daripada Raudah lah aku tahu, Fuad beralih ke bidang perguruan. Aku tidak tahu sebabnya.

Aku perhati dua orang budak Arab. Mereka akrab. Bagai tidak boleh dipisahkan lagi. Persis aku dan Fuad di zaman kanak-kanak. Kenangan dulu menjadi temanku.

Rumah Fuad dan rumah Tok Wan tidak jauh. Selang beberapa buah rumah sahaja. Cinta monyet. Jika aku jatuh, tangan Fuad ku capai. Dialah pelindungku. Bila aku ada masalah dalam pelajaran, dialah tempatku bertanya.

Sikap aku yang pendiam menyukarkan aku mendapat kawan. Dia aktif. Selalu mendapat pujian daripada cikgu. Ketua pengawas sekolah. Jauh berbeza dengan jiwaku yang sering dilanda ketakutan. Wajahku sentiasa lesu. Fuad akan menceriakan suasana. Begitu berharga kenangan itu sehingga aku dapat lihat seolah-olah tayangan di depan mataku.

Aku terus berjalan di tepi pantai Iskandariah yang terkenal dengan 'Madinatul Ahlam' (kota dalam mimpi). Pantainya yang bersih menyejukkan pandanganku. Ramai pelancong-pelancong bersantai di atas kerusi yang disediakan. Aurat mereka dibiarkan terbuka. Mungkin ini jadi kebanggaan mereka. Pandangan mataku terus memandang ke arah laut biru. Sambil mulutku memuji keindahan alam ini.

Aku pulang ke rumah sewaku. Jalan Haramain di Mandarah. Jalan ke rumahku sempit. Itulah jalanku setiap hari. Di antara bangunan-bangunan yang sempit itu, masih ada lori kecil atau kereta yang melalui jalan itu. cukup-cukup muat sahaja. Kalau ada kenderaan besi ini lalu, aku terpaksa masuk ke kedai yang berhampiran. Sepanjang jalan ke rumah, makcik-makcik arab ini menjual dan menawarkan sayur-sayuran atau 'jubnah' (macam mayonis yang dibuat sendiri).


Khabar yang tidak aku jangka adalah Fuad telah bertunang dengan Haryani. Teman sejak di sekolah menengah lagi. Sama-sama aktif. Rakan-rakan seperjuanganku di Mesir menasihatkan aku melupakannya. Aku tahu mereka sayangkan aku. Tapi mereka tak tahu. Fuad la satu-satunya kawan lelakiku. Aku tidak akan berkawan dengan lelaki lain. Aku tidak akan pilih orang lain hingga Allah tentukan jodohku. Aku pasrah. mungkin ini ada hikmahnya. Aku perlu tumpukan perhatian kepada pelajaran aku. Keluargaku menjadi keutamaanku.

~TAMAT~

Cinta Jarak Jauh 1

Ini percubaan aku menulis cerpen...harap2 ada komen

********************

Semua kawan-kawan sudah mendirikan rumah tangga. Seorang demi seorang meninggalkan alam 'single'. Ada yang dah masuk anak ke-4. Ada yang sudah mahu beristeri dua. Banyak ragam manusia ni. Tapi aku masih di perlembahan Sungai Nil. Sungai yang masih memberi bakti kepada penduduk Mesir. Alangkah indahnya ciptaan Allah. Kadang-kadang aku termenung ke laut Mediteranium.

Kuliah masih diteruskan. Aku wajib teruskan perjuangan menggali semua ilmu Allah di bumi Anbiya' ini. Tok wan, ibu, ayah, mak long dan semua adik-adikku akan bangga dengan kepulanganku. Bukan dengan membawa suami tetapi biarlah dengan segulung ijazah. Ini cita-cita tok wan. Inilah harapan tok wan.

Dulu Tok Wan nak belajar ke bumi kinanah ini. Hidup susah. Siapa nak tanggung? Biarlah cucumu ini menyambung cita-cita tok wan ini.

Kawan-kawan seperjuangan aku sudah pulang ke tanah air. Ada yang menjadi guru. ada yang menjadi penulis. Ada yang menjadi pendakwah. Bila aku nak pulang ni?persoalan ini selalu berlegar-legar dalam kepala aku.

**************************
“Lelaki itu lagi….!”Monolog diriku. 

Sejakku di Bumi Anbiya’ ini, aku terkenangkan seseorang persis muka yang selalu aki ingat. Senyuman terukir dibibir. Hampi sampai ke telinga. Bahagia dan berbunga-bunga jiwaku. Semua masalah terlontar jauh. Alangkah indahnya perasaaan ini. 

Entah kenapa,memori silam melambai-lambai di hadapan mataku. Sehingga sekarang aku tidak akan lupa kenangan itu. Melihat kawan-kawan yang asyik dibuai angau cinta membuatku tidak betah untuk duduk diam. Semua itu menganggu tumpuanku mencapai segulung ijazah di Universiti tertua di dunia ini. Ini juga harapan Tok Wan.

Hari berganti hari. Minggu berganti minggu. Aku terus menyibukkan diri dengan kuliah. Melawat ke rumah kawan-kawan. Menyertai program-program yang dilaksanakan di Baitul Tolabah, di Asofiroh.

*************
Di satu sudut, kelihatan anak kecil menangis dan mengamuk sehingga terselak jubahnya apabila ditinggalkan oleh ibunya. Umur lima tahun dah di hantar ke sekolah. Ibunya dapat meloloskan diri melalui pintu belakang (dapur). Bila disedari oleh kecil ni, jadi histeria satu Tadika tu. Bila dah dipujuk oleh cikgu-cikgu kat situ, si kecil ini dah mula senyap sambil tersedu-sedu menahan tangisan ditinggalkan seorang diri. Pembelajaran berjalan seperti biasa.

Masa rehat mula tiba, si kecil masih takut dengan semua orang. Menyendiri di satu sudut. Cikgu menyediakan kuah kacang dan roti untuk dimakan. Tiada siapa yang peduli akan diri si kecil yang masih sedih ditinggalkan ibu. Apatah selama 4 tahun tidak pernah berpisah dengan ibunya.

"Awak mari la makan roti ni," kata budak lelaki yang masih berumur 5 tahun tapi petah berbicara. Aku memandangnya tanpa berkelip-kelip sambil menyapu air mata yang tersisa. Sebak masih terasa. Pilu rasa hati ini. Ditinggalkan seorang diri oleh orang yang paling dipercayai. Ibu meninggalkan aku di Tadika As-Syuhada' ini melalui pintu dapur.

Tanganku ditarik perlahan sambil dihulurkan roti bersama kuah kacang. Malu masih menebal dalam diri. Teringatkan diri yang mengamuk atas lantai tadika bila aku dapati ibuku tiada di sisi. kainku tersingkat. Tudung tercabut lalu dipakai semula.

Ini lah kawan pertama aku. Fuad namanya. Cinta monyet berputik sejak umur 5 tahun.


24 Julai 2010

MYVIVA (MYVI & VIVA)

Tajuk entri aku kali ni aku jumpa di Pusat Servis Perodua kat tempat tinggal aku sekarang. Mungkin orang lain dah tahu myviva tu gabungan myvi dan viva. Ok. Tiada kaitan dengan coretan aku hari ini.

28000 km perjalanan baru aku buat major servis untuk myvi 'the new' aku ni. Ingatkan nak buat di kedai servis kereta yang biasa sahaja. Sebab 22000 km aku tukar minyak hitam di bengkel kereta biasa. Murah...Tu masa gaji aku kena tangguh sampai 2 bulan.

Sekarang gaji aku dah dapat setiap bulan mcm biasa. Jadi aku buat la major servis kat tempat perodua sendiri. Lebih terjamin. Bagi aku la.

Aku sampai lebih kurang pukul 11.00 pagi. Selesai semua pukul 3.30 petang. Berapa jam aku tunggu?...kira sendiri...15.30 tolak 11.00 = ........

Bosan sangat-sangat. Akhbar terkini dah baca. Tengok TV tak best. Asyik pandang orang keluar masuk je. Penatnya mata aku.... Kalau ada bantal, boleh aku tidur..hehehe

Ini kali pertama aku buat major servis. Puas hati rasanya. Kereta pun tak banyak meragam. Handbreak pun dah ok. Kalau sebelum ni handbreak tu kena angkat tinggi baru ok. Aku guna kereta myvi 1.3 manual. Sekarang aku jarang guna handbreak ni. Kereta aku ni asyik terundur ke belakang je kalau berhenti di kawasan berbukit. Akhirnya aku biasakan diri guna 'clush'( xreti aku nak sebut) dan tekan minyak.

(Yang aku naik marah skit...mata lelaki bila lihat gadis cina pakai skirt singkat.Pandang atas bawah...Peha nya dah boleh ditembus ke belakang. Putih gebu katakan. ...Kalau pak Imam atau pak ustaz dah lama terbang serban atau kopiahnya)

Iman senipis kulit bawang. Beruntung lah orang yang dapat kawal pandangan mata pada akhir zaman ini!

23 Julai 2010

Denda...Jadi Masalah?

Dakwaan bapa disiasat

Oleh Zatul Iffah Zolkiply
zatuliffah@hmetro.com.my
2010/07/23

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran akan menjalankan siasatan terhadap dakwaan bapa kepada salah seorang pelajar sebuah sekolah menengah di ibu negara bahawa sekolah berkenaan mengenakan ‘tol’ RM1 sebagai denda ke atas pelajar yang lewat ke sekolah.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata pihaknya tidak menerima sebarang maklumat mengenai perkara berkenaan tetapi sudah mengarahkan pegawainya untuk mendapatkan maklumat lengkap mengenai dakwaan itu sama ada ia benar-benar berlaku atau sebaliknya.


Menurut Alimuddin, jika difikirkan secara logik, tidak mungkin ada sekolah akan mengambil tindakan sedemikian walaupun niat mereka untuk menghalang pelajar datang lewat ke sekolah.


“Bagi saya, perkara sebegini (mengenakan denda) tidak sewajarnya berlaku kerana ada kaedah lain yang boleh diambil sekiranya mahu mengatasi masalah pelajar lewat ke sekolah.


“Tidak ada sekolah akan berbuat demikian. Bagaimanapun, saya tidak boleh mengulas lanjut isu ini memandangkan masih menunggu laporan berkenaan hal itu,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan bapa seorang pelajar sebuah sekolah di sini, menerusi ruangan iM Lapor akhbar ini semalam yang mahu kementerian mengambil tindakan terhadap sekolah berkenaan yang mengenakan tol RM1 ke atas pelajar yang lewat tiba ke sekolah bermula jam 7.25 pagi.


Bapa kepada salah seorang pelajar tingkatan tiga yang hanya ingin dikenali sebagai Ahmad, 44, ketika dihubungi semalam, mendakwa pihak sekolah akan mengenakan bayaran RM1 bagi setiap pelajar yang lewat.


Katanya, perkara berkenaan sudah berlarutan sejak lebih lima tahun lalu ketika anak sulungnya yang kini sudah tamat tingkatan lima bersekolah di situ dan masih berterusan walaupun ada ibu bapa pernah membangkitkan isu itu ketika mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).


Katanya, PIBG seolah-olah menyokong tindakan berkenaan memandangkan pelbagai bantahan yang dibuat tidak pernah mendapat sokongan PIBG, malah, ada beberapa perkara yang disyorkan di kalangan ibu bapa tidak pernah menerima maklum balas daripada PIBG menyebabkan ibu bapa berputus asa untuk membuat sebarang aduan.


“Mungkin tindakan berkenaan untuk mengekang pelajar dari datang lewat ke sekolah tetapi tindakan ini tidak relevan dan membebankan pelajar terutama mereka yang kurang berkemampuan selain tidak tahu ke mana duit kutipan denda itu disalurkan.


“Malah, saya difahamkan terdapat segelintir guru di sekolah berkenaan tidak bersetuju dengan tindakan berkenaan tetapi tidak mampu berbuat apa-apa. Selain itu, pertukaran pengetua sekolah berkenaan turut tidak mengubah keadaan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Sementara itu, beberapa pelajar sekolah itu yang ditemui Harian Metro, mendakwa perkara berkenaan sememangnya berlaku tetapi hanya dikutip pada hari tertentu saja.

*******************************

Bagaimana nak atasi masalah disiplin pelajar. Itu tak boleh...Ini tak boleh...ermmm


21 Julai 2010

Hulagu Khan 2

"Orang Monggol mempunyai hati yang lebih keras daripada batu. Kami marah seperti gunung berapi, tidak ada sesiapa yang dapat menutup kemarahan kami," kata Hulagu Khan.

"Sesiapa yang menolong kami, akan dilayan seperti kawan baik. Tetapi sesiapa yang enggan akan kami anggap sebagai musuh. Kami dididik supaya tidak menaruh belas kasihan kepada musuh. Kamu berdua buat pilihan sama ada hendak menjadi kawan ataupun musuh kami?"

"Kami mahu menjadi kawan baik,"

Mereka menceritakan tujuan mereka ke Parsi dan keadaan kota Baghdad. Untuk mendapat kepastian kebenaran itu, Hulagu Khan menghantar beberapa orang perisik. Ternyata apa yang diceritakan adalah benar.

Apabila Hulagu Khan berpuas hati lalu memanggil Salman dan Khomeini.

"Kamu berdaua akan dibebaskan dan kamu boleh pulang ke Baghdad. Tetapi dengan satu syarat. Kamu perlu memujuk Umayidudin Muhamad al-Aqami supaya belerjasama dengan kami. Sekiranya kamu gagal memujuknya, nyawa kamu menjadi taruhan," kata Hulagu Khan.

Salman dan Khomeini terpaksa bersetuju dengan syarat yang diberi. Esoknya mereka berdua kembali ke Baghdad.

Mereka berdua memujuk Umayiduddin kerana surat rahsia berada dalam tangan Hulagu Khan.

" Orang Monggol berhati batu. Mereka mahir berperang dan tahan lasak. Oleh iti saya yakin dengan mudah mereka dapat menumbangkan kerajaan Bani Abbasiyah," kata Khomeini.

"Orang Monggol datang cuma hendak mencari emas dan perempuan cantik. Selepas mendapat apa yang mereka mahu, maka mereka akan pergi ke tempat lain. Kita akan memerintah negara ini," kata Salman pula.

"Baiklah. Saya akan menulis surat kepada Hulagu Khan dan kamu berdua akan pergi menghantarnya," kata Umayiduddin Muhamad al-Aqami.

Surat itu menyatakan kesanggupan menjalin hubungan persahabatan dengan Hulagu Khan. Hulagu Khan berasa gembira. Dia akan menjadi penakluk kota kebanggaan umat Islam dengan mudah. Dia akan menjadi lebih terkenal dari datuknya, Genghis Khan.

(Inilah musuh dalam selimut. Orang kafir menggunakan orang Islam untuk menjatuhkan orang Islam yang lain dengan muslihat. Rahsia negara lebih mudah jatuh ke tangan musuh)

********************

"Hulagu Khan menjemput khalifah datang ke khemah mereka bagi membuat satu perjanjian damai. dengan ini tidak akan berlaku peperangan antara kita dengan mereka. Inilahh detik yang paling bersejarah sepanjang pemerintahan khalifah," kata Umayiduddin Muhamad al-Aqami.

"Beta suka sekiranya mereka yang datang ke istana. Kita menyambut kedatangan mereka secara meriah," kata Khalifah al-Musta'shim Billah pula.

"Hulagu Khan juga akan menyambut kedatangan kita dengan meriah. Mereka akan menyediakan makanan yang lazat untuk kita nikmati," kata Umayiduddin Muhamad al-Aqami pula.

"Saya setuju bertemu dengan Hulagu Khan bagi mengelakkan berlakunya peperangan. Berapa ramaikah jumlah yang akan mengiringi beta?" tanya Khalifah al-Musta'shim Billah.

"Hulagu Khan berpesan supaya khalifah membawa semua alim ulama, kadi-kadi, ahli-ahli feqah, ketua-ketua masyarakat dan gabenor-gabenor di setiap wilayah," jawab Umayiduddin Muhamad al-Aqami.

Kemudian katanya lagi,"Kita tidak boleh membawa pasukan tentera kerana pemergian ini bagi mengikat perjanjian damai. Kita juga tidak boleh membawa senjata takut disalah anggap oleh orang Monggol,"

"Beta setuju kita tidak diiringi pasukan tentera. Tetapi beta tidak setuju kita pergi tanpa membawa senjata. Tambahan pula membawa senjata adalah kebiasaan kita bagi mempertahankan diri," bantah Khalifah al-Musta'shim Billah.

"Patik setuju dengan kata-kata khalifah,"balas Umayiduddin Muhamad al-Aqami.

"Pengiring-pengiring kita akan dibenarkan membawa senjata bagi tujuan mempertahankan diri."

"Kenapa Hulagu Khan mahu pengiring kita terdiri daripada ulama', mufti, kadi dan tokoh-tokoh agama?" tanya khalifah al-Musta'shim Billah lagi.

"Mereka hendak mempelajari agama Islam. Oleh itu, elok kita perintahkan semua alim ulama' turut serta mengiringi khalifah," jawab Umayiduddin Muhamad al-Aqami.

"Jumlah mereka terlalu ramai dan kita tidak mampu membawa semuanya. Oleh itu, kita pilih mereka yang berkhidmat dengan kita sahaja," kata Khalifah al-Musta'shim Billah.

"Patik setuju wahai khalifah," ujar Umayiduddin Muhamad al-Aqami.

Kemudian khalifah memanggil para ulama' dan mereka yang berkhidmat dengannya. Jumlah mereka 700 orang. Apabila mereka sampai, mereka ditahan oleh orang Monggol yang bersenjata.

"Kami adalah pengiring Khalifah al-Musta'shim Billah. Hulagu Khan yang menjemput kami datang pada hari ini," kata Umayiduddin Muhamad al-Aqami.

"Ya, kami sudah pun dimaklumkan oleh ketua kami. Tetapi kamu tidak dibenarkan membawa senjata. Serahkan semua senjata kamu kepada kami," kata orang Monggol itu.

"Ikut sahaja kehendak mereka kerana kita datang untuk berdamai bukan berperang. Lagipun Hulagu Khan sudah berjanji akan menjaga keselamatan kita," pujuk Umayiduddin Muhamad al-Aqami apabila mendapati pengiring khalifah enggan menyerahkan senjata mereka.

"Benar katanya. Serahkan senjata kamu kepada orang Monggol itu," perintah Khalifah al-Musta'shim Billah pula. Pengiring-pengiring khalifah terpaksa akur lalu menyerahkan senjata masing-masing. Selepas merampas semua senjata, pengiring-pengiring khalifah dibahagikan kepada dua kumpulan. Para alim ulama' dan tokoh agama dalam kumpulan pertama, selebihnya dalam kumpulan kedua.

"Hanya khalifah al-Musta'shim Billah, menteri-menteri dan pembesar istana sahaja yang dibenarkan mengiringi khalifah mengadap Hulagi Khan," kata Haku Khan dengan suara yang lantang.

"Ulama', kadi dan tokoh agama akan ditempatkan di dalam khemah pertama. Selebihnya di dalam khemah kedua," kata Guo Khan pula juga dengan suara yang lantang.

Para alim ulama' dan tokoh agama pun dibawa masuk ke dalam sebuah khemah yang besar. Di sana sudah terhidang makanan dan minuman. Guo Khan pun berkata,"Dipersilakan menjamu selera. Makan dan minumlah sepuasnya," katanya.

Mereka pun segera menjamu selera dengan sepuasnya. selesai menikmati makanan dan minuman, maka Guo Khan dan beberapa orang pengawal masuk semula ke dalam khemah itu. Beliau tersenyum apabila melihat semua makanan sudah habis dimakan.

"Adakah kamu tahu kenapa kami menjamu kamu dengan makanan dan minuman?"tanya Guo Khan.

"Kami adalah tetamu istimewa kamu kerana itu diberi layanan yang baik," jawab salah seorang daripada mereka.

"Kamu tetap seorang musuh kami walaupun senjata kamu sudah dilucutkan!"kata Guo Khan pula.

"Kenapa kami dijamu dengan makanan dan minuman yang begitu enak?" tanya pengiring khalifah.

"Nenek moyang kami berpesan, apabila kami hendak menakluk negara Islam maka perdaya dahulu para alim ulama' mereka supaya doa-doa mereka tidak makbul," kata Guo Khan sambil tersenyum sinis.

"Apa maksud kamu?" tanya salah seorang ulama' itu.

"kami takut sekiranya kamu berdoa supaya kami tewas dan hancur. Oleh itu, Hulagu Khan menyuruh khalifah membawa bersama para alim ulama yang besar. Pada hari ini, kami tidak takut lagi kepada kamu kerana doa-doa kamu tidak dimakbulkan lagi," jawab Guo Khan.

"Kata-kata kamu mneyakitkan hati kami. Bukankah hari ini hari perdamaian?" tanya seorang lagi.

"Doa-doa kamu tidak lagi makbul apabila perut kamu semua diisi dengan makanan yang haram bagi kamu. Oleh itu, kami tidak takut lagi kepada kamu," jawab Guo Khan.

"Maksudnya, kamu memberi kami makanan yang haram?" para ulama' itu meminta penjelasan.

"Kami sengaja memasak daging babi dan anjing untuk dihidangkan kepada kamu. Selepas daging itu masuk ke dalam perut kamu, maka 40 hari doa-doa kamu tidak akan makbul," kata Guo Khan sambil ketawa.

Kata-kata itu menimbulkan kamarahan para alim ulama' itu. Maka terjadilah pergaduhan. Berpuluh orang askar Monggol yang bersenjata pedang menyerbu masuk ke dalam khemah itu lalu membunuh semua pengiring khalifah.

(Dengan sejarah inilah, mungkin makanan kita semua tiada keberkatan. Kita semakin lemah untuk memperjuangkan Islam. Jiwa kita lemah. Wallahu a'lam)

***********************

Khalifah mnyerahkan tugas kepada Rukunuddin al-Daudar. Dengan memimpin tentera 10 ribu orang dan sukarelawan yang sanggup berjuang untuk syahid.

"Kita akan menggunakan muslihat bagi mengalahkan mereka. Caranya begini, kita berpura-pura berundur dari sini. Kemudian kita bersembunyi dicelah-celah bukit supaya tidak kelihatan oleh mereka. Tengah malam nanti kita keluar lalu melakukan serangan kilat ke atas mereka. Tambahan pula orang kita biasa berperang pada waktu malam." kata Hulagu Khan.

Guo Khan dan Haku Khan bersetuju dengan rancangan itu. Mereka pun berpura-pura berundur lalu meninggalkan tempat itu. Pergerakan orang Monggol itu sentiasa diperhatikan oleh tentera Baghdad.

"Orang Monggol sudah membuka khemah-khemah mereka. Mereka bergerak meninggalkan tempat ini. Kita berjaya menakutkan orang Monggol. Mereka dikalahkan sebelum berperang," kata Yasir dengan gembira.

Berita itu mengembirakan tentera Baghdad. Mereka melompat-lompat dan menari-nari kesukaan. Sebagai meraikan kejayaan itu, mereka berpesta dan bergembira sepanjang malam. Tanpa mereka sedari orang Monggol sudah berkumpul semula dan bersiap sedia bagi melakukan serangan hendap.

**************************

"Jangan terlalu gembira nanti buruk padahnya," nasihat Rukunuddin al-Daudar yang berasa kurang senang melihat tenteranya bersuka ria dan bergelak ketawa.

"Orang Monggol sudah berundur. Kita berjaya mengalahkan mereka tanpa menggunakan senjata. Marilah kita raikan kejayaan ini dengan kegembiraan," kata salah seorang tentera.

"Memang kita sepatutnya bergembira dengan kejayaan ini. Tetapi seeloknya kita bersyukur dengan melakukan amal ibadah. Bukan dengan bersuka ria," kata Yasir pula.

Namun nasihat itu tidak dihiraukan. Akhirnya Rukunuddin al-Daudar dan sebahagian tenteranya yang taat beredar masuk ke khemah masing-masing. Mereka memilih untuk beribadat sebagai tanda syukur.

Menjelang tengah malam, mereka yang sedang bersuka ria itu mula letih. Namun sorak sorai masih kedengaran. Tiba-tiba suasana riang dan gembira bertukar menjadi kelam kabut. Suara tertawa bertukar menjadi jeritan dan ketakutan.

Rukunuddin al-Daudar mengumpul semua tentera yang masih selamat. Kemudian dia berteriak dengan suara yang nyaring.

"Demi Tuhan dan rasul-Nya. Sesiapa yang sanggup syahid mari berkumpul di sini!"

"Jangan kamu takut dan jangan berdukacita kerana Allah bersama kita. Berjuanglah kerana Allah!"

Kata-kata itu disambut dengan laungan takbir.

"Allahu Akbar!"

"Allahu Akbar!"

"Allahu Akbar!"

Mereka mendapat semangat baru lalu melakukan serangan balas kepada tentera Monggol. Maka berlaku pertempuran yang sengit antara kedua-dua belah pihak. Pertempuran itu terus berlangsung hingga ke pagi.

Rukunuddin melihat ramai tenteranya terbunuh dan cedera. Orang Monggol terus menyerang dengan jumlah yang berlipat kali ganda ramainya. Rukunuddin teringat kisah perang Muktah antara tentera Rom dengan tentera Islam. Kerana terlalu ramai musuhnya, Panglima Khalid al-Walid terpaksa mengundurkan tenteranya dari medan perang nagi menyelamatkan tentera Islam.

Akhirnya mereka berundur sementara ke Mesir. Di sana mereka akan bergabung dengan tentera Mesir bawah pimpinan Saifuddin Qutuz.

Kota Baghdad bemandikan darah. Khalifah al-Musta'shim Billah dibunuh dan di arak ke seluruh Baghdad. Tentera Monggol bebas membuat apa sahaja termasuk membunuh, memperkosa dan membakar bayi dan kanak-kanak.

"Wanita yang mengendong bayi dibunuh. Kemudian bayi itu dilambung ke udara lalu disambut dengan tombak sehingga bayi itu terbelah dua. Kemudian mereka bersorak gembira" kata Saffah sambil menangis.

"Mereka menyerbu masjid lalu membunuh semua jemaah di dalamnya. Kemudian mereka membakar masjid itu sambil bergelak ketawa," kata Aliuddin pula.

"Orang Monggol itu menyerbu khutub khanah kemudian mengumpulkan kitab-kitab di tepi sungai Dajlah lalu membakarnya. Abu itu dibuang ke dalam sungai sehingga air sungai Dajlah berwarna hitam" kat Amin pula.

"Mereka mengikat kitab-kitab agama lalu dibuat jambatan bagi menyeberangi sungai Dajlah," kata yang lain pula.

****************

Ini adalah sebahagian dari buku novel sejarah Islam. Jika ingin tahu lebih lanjut carilah buku ini. "Hulagu Khan , Khabar Hitam dari Timur". Ditulis oleh Abdul Latip Talib. Keluaran PTS Litera Utama Sdn Bhd.

Ok...Esok aku boleh hantar buku ini ke Perpustakaan...Wassalamm :)


19 Julai 2010

Hulagu Khan 1

Alhamdulillah..akhirnya aku dapat juga habiskan buku ini. Hulagu Khan adalah orang yang menjatuhkan, Baghdad selepas zaman kegemilangan Islam selama 500 tahun. Apabila kerajaan atau pemimpin Islam lemah dari segi rohani akhirnya umat Islam jatuh dalam fitnah yang amat dahsyat. Kerajaan Bani Abbasiyah berkhir dengan pemerintahan Sultan Al- Musta'shim Billah (640-656H/ 1242-1258M)

Pada masa pemerintahan Abbasiyah (132H/750M - 656 H/1258M), dunia Islam mengalami kemajuan yang pesat dalam bidang ilmu pengetahuan. Lahir cendekiawan Islam yang terkenal seperti Ibnu Sina, Al-Kindi, al-Farabi, Ibn Rusyd, al-Khawarizmi al-Razi dan ramai lagi.

Dalam bidang astronomi, muncul al-Farazi. Di Eropah beliau dikenali dengan nama al-Faragnus. Beliau menulis buku astronomi yang diterjemahkan ke bahasa Latin oleh Gerard dan Johannes Hispalensis.

Tokoh-tokoh hebat yang lahir dalam pemerintahan Bani Abbasiyyah ini adalah Imam 4 mazhab. Imam Hanafi, Imam malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal.

Semasa penaklukan tentera Monggol ke atas Baghdad, ramai ulama' dan cendikiawan Islam di bunuh. Kitab-kitab di bakar dan dibuang dalam sungai Dajlah hingga air sungai itu berwarna hitam. semua kemajuan yang dibangunkan oleh Bani Abbasiyyah lenyap. semenjak itu, bermulalah zaman kemunduran umat Islam.

Pada zaman pemerintahan khalifah al-Musta'shim Billah, terdapat menteri yang menjadi duri dalam daging. Penuh dengan helah supaya dapat menggulingkan khalifah dengan berkerjasama dengan musuh Islam. Dalam entri ini, aku akan kongsi sedikit kisahnya supaya dapat diambil ikhtibar. Insya Allah...

***************************
Pada tahun 1215M, Genghis Khan menakluk negara China selepas berjaya merobohkan tembok besarnya. (Patutlah dalam cerita China ada pertarungan antara orang Monggol dengan Cina...itu biasa aku tonton di TV... Pasal cerita kungfu)Selepas itu Genghis Khan memberi tumpuan kepada Timur Tengah.

Pada tahun 1219M, tentera Monggol telah sampai ke Turki dan kemudiannya terus ke Samarkand. Mereka mendapat tentangan daripada pemerintahan Khawarizm iaitu Sultan Ala al-Din. Genghis Khan terpaksa berundur semula ke China.

Sepuluh tahun kemudian, Genghis Khan datang semula dengan tentera yang lebih besar. Mereka menakluk Bukhara, Samarkand, khurasan, Hamadzan, Quzwain dan sampai ke sempadan Baghdad.

Sultan Al al-Din memimpin semula pasukan tenteranya lalu berperang dengan orang Monggol di Mazindaram. Baginda terbunuh dan pasukannya dapat dikalahkan oleh tentera Monggol.

Putera Sultan Ala al-Din bernama Jalal al-Din. Beliau mengambil alih kuasa lalu berusaha menghalau orang Monggol. Mereka bertempur di Attock pada tahun 1224 tetapi tewas. Sultan Jalal Al-Din terpaksa melarikan diri ke India.

Kemudian Genghis Khan meluaskan jajahan takluknya hingga ke Azebaijan. Setiap negeri, wilayah dan daerah yang dilaluinya mereka melakukan pembunuhan, rampasan harta dan perkosaaan. Bangunan dan tempat kediaman dibakar.

Genghis Khan membahagikan kawasan jajahan takluknya kepada 4 orang puteranya, iaitu Junchi, Chagatai, Ogatao dan Tolui.

Tolui Khan menguasai Khurasan dan Parsi. Selepas Tolui meninggal dunia pada tahun 654H/ 1256M, wilayah yang dikuasainya dibahagikan kepada anak-anaknya. Hulagu Khan mewarisi wilayah Parsi.

Selepas kematian Tolui, Hulagu Khan berangkat bersama 200 ribu tenteranya ke Lurs yang terletak di utara Parsi. Apabila mendapat berita itu, Amir Lurs iaitu pemerintah kawasan Lurs meminta pendapat orang yanbg dipercayainya.

"Tentera Monggol ganas dan tidak bertimbang rasa. Sekiranya kita menyerah diri kita pasti dibunuh. Oleh itu lebih baik kita melawan. sekiranya menang, kita dapat hidup dengan mulia. Sekiranya terkorban, kita dapat pahala syahid kerana mempertahankan agama dan negeri kita," kata Sayyaf, ketua angkatan tentera Lurs.

Amir Lurs meminta bantuan ketenteraan melalui surat kepada khalifah al-Musta'shim Billah di Baghdad dan kerajaan Mesir tetapi mengecewakan.

"Kami tidak campur tangan dalam urusan negeri Lurs. Kami juga tidak mahu berperang dengan tentera Monggol. Kerana itu, kami tidak dapat memberi bantuan," kata Khalifah al-Musta'shim Billah dalam surat balasan kepada Amir Lurs.

"Hulagu Khan datang dengan 200 ribu tenteranya. Kerana itu kami berpendapat lebih baik elakkan dari berlakunya peperangan. Ajaklah mereka berdamai," demikian surat balasan daripada kerajaan Mesir.

"Wilayah Lurs dan Hashasim adalah tanah jajahan takluk Tolui. Kerana itu Hulagu Khan berhak merebutnya semula kerana kawasan itu menjadi miliknya sekarang," kata pemerintah Damsyik pula.

Amir Lurs beras kecewa kerana bantuan yang diharapkan daripada saudara seagama tidak kesampaian. Walaupun tidak mendapat bantuan daripada sesiapapun, namun Amir Lurs tetap bertekad menghadapi tentera Monggol. Beliau memimpin pasukan tenteranya berjumlah 50,000 orang.

Apabila Hulagu Khan sampai di Lurs, dia menghantar utusan bagi menemui Amir Lurs. Hulagu Khan memberi kata dua sama ada menyerah ataupun berperang. Amir Lurs memilih berperang kerana tidak rela tanah airnya dijajah oleh orang Monggol.

Amir Lurs memilih satu kawasan berbukit yang terletak di sempadan Lurs dengan Hashasim bagi menghadapi tentera Monggol. Beliau memerintahkan tenteranya membina kubu bagi memudahkan mereka menyerang tentera Monggol.

Apabila Hulagu Khan dan pasukan tenteranya sampai di situ, mereka terus mengepung kawasan itu. Amir Lurs dan pasukan tenteranya pula sudah bersiap sedia hendak berperang. Hulagu Khan mencari helah bagaimana hendak mengalahkan lawannya dengan mudah.

Biasanya sebelum peperangan dimulakan, Amir Lurs menghantar tiga pahlawannya ke depan bagi mengadakan tanding satu lawan satu dengan tentera Monggol. Tradisi itu tidak ada di kalangan tentera Monggol. Mereka lebih suka terus berperang daripada melakukan perlawanan tanding. Hulagu Khan seorang yang bijak. Beliau mahu memanfaatkan perkara itu sebaik-baiknya.

Beliau memilih tiga orang pahlawan Monggol lalu berpesan supaya melengah-lengahkan perlawanan itu. Dalam masa yang sama, dia merancang bagi melakukan serangan mengejut dari arah belakang. Ketika perlawanan berlangsung dan tentera Amir Lurs memberi tumpuan kepada pertandingan, tentera Monggol melakukan serangan mengejut dari belakang. Serangan itu menyebabkan tentera Amir Lurs kucar kacir dan kelam kabut. Akhirnya dengan mudah tentera Monggol dapat mengalahkan tentera Amir Lurs. semua tawanan dibunuh termasuk Amir Lurs.

Tentera Monggol mengganas di Lurs selama 3 hari 3 malam. Mereka merampas harta serta membunuh ramai penduduk. Kaum wanita diperkosa. Mereka yang terselamat terpaksa melarika diri ke negara jiran.

Negara Islam yang lain cuma mendiamkan diri dengan kekejaman yang dilakukan oleh orang Monggol terhadap penduduk Lurs. Mereka tidak berani bertindak keran beras gerun kepada orang Monggol.

"Sebaik-baiknya kita jangan masuk campur dalam masalah Lurs. Lebih baik kita jaga negara kita sendiri," kata Khalifah al-Musta'shim Billah apabila ada cadangan supaya membela nasib penduduk Lurs daripada penganiayaan orang Monggol.

"Bagaimana sekiranya Baghdad diserang oleh mereka dan orang lain tidak mahu membantu kita?" tanya salah seorang menteri khalifah al-Musta'shim Billah yang berasa simpati dengan penduduk Lurs.

"Orang Monggol tidak berani menyerang kita kerana sekiranya mereka menyerang kita juga pasti buruk padahnya," kata khalifah al-Musta'shim Billah dengan penuh yakin.

(Ini lah yang berlaku kepada Palestin. Masing-masing tidak mahu pertahankan saudara seislam. Fahaman nasionalism menular dalam diri umat Islam sekarang. Walaupun umat Islam ramai tapi umpama buih-buih dilautan)

***************************

"Hurnain dibunuh dan pembunuhnya masih belum dapat ditangkap. Ayah masih tertanya-tanya kenapa dia dibunuh dan siapa yang melakukannya," jawab Khalifah al-Musta'shim Billah apabila ditanya oleh anaknya, Abu Bakar (selepas lama dia termenung).

"Boleh saya berikan pendapat?" tanya Abu Bakar pula.

" Silakan," jawab Khalifah al-Musta'shim Billah.

"Saya yakin Hurnain kenal siapa yang melakukannya. Kerana itu mereka membunuh Hurnain dan semua ahli keluarganya."

" kenapa pembunuh itu sanggup melakukan kekejaman yang begitu dahsyat? Apa salah Hurnain? kenapa mereka yang tidak berdosa turut menjadi mangsa?"

" Ada dua kemungkinan. Pertama disebabkan dendam dan kedua disebabkan politik"

( Hurnain adalah Panglima Tentera Baghdad. Mati terbunuh kerana dendam. Disebabkan ketiga-tiga menteri khalifah bertelagah dalam hal pelantikan Panglima Tentera baru, akhirnya khalifah menggunakan cadangan anaknya, Abu Bakar melantik rakannya Rukunuddin al-Daudar. Akhirnya ketiga menteri yang masing-masing berbangsa Arab, Turki dan Parsi itu terpaksa akur dengan keputusan khalifah kerana takut dipecat. Masing-masing taksub kepada bangsa. Bukan membela agama. Ini antara punca kelemahan umat Islam )

*************************
Pagi itu seperti biasa pasar Kirkuk dikunjungi orang ramai bagi membeli barang-barang keperluan. Selain itu kawasan pasar juga menjadi tempat orang ramai berkumpul sambil berbincang berkenaan pelbagai perkara terutama isu semasa.

Sambil menggaru-garu janggut, Salman salah seorang pengunjung di pasar itu berkata," Kerajaan Bani Abbasiyah memerintah selama 500 tahun. Khalifah al-Musta'shim Billah adalah khalifah yang ke-37. Apabila dibandingkan dengan khalifah sebelumnya, maka khalifah sekarang adalah khalifah yang paling lemah sekali. Tambahan pula dia sudah tua dan tidak mampu lagi memerintah negara."

"Benar katamu sahabatku. Dahulu kawasan pemerintahan kerajaan bani Abbasiyyah begitu luas. seluruh tanah arab termasuk Afrika, Yaman, dan Habsyah tunduk dibawah pemerintah khalifah bani Abbasiyah. Tetapi sekarang Iraq dan Syam sahaja yang masih berada di bawah pemerintahan Khalifah al-Musta'shim Billah. Kawasan yang lain sudah memerintah sendiri dan mereka tidak lagi tunduk di bawah khalifah," kata Khomeini pula.

"Silap khalifah juga kerana memberi peluang kepada orang Turki bagi memegang jawatan penting dalam tentera dan politik. Ini menimbulkan kemarahan orang Arab. Kerana itu, satu demi satu megeri Arab memisahkan diri daripada kerajaan Bani Abbasiyah. Khalifah al-Musta'shim Billah melakukan satu lagi kesilapan yang paling besar dalam sejarah."

" Apa pula kesilapan yang dilakukannya kali ini?" ternyata Khomeini tidak dapat menahan rasa ingin tahunya.

"Khalifah al-Musta'shim Billah menggunakan kuas muthlaknya sebagai khalifah bagi melantik ketua tentera yang baru menggantikan Hurnain yang dibunuh. Kemudian baginda memaksa semua menteri-menterinya menyokong pelantikan itu dengan satu ugutan. sesiapa yang membantah sila letak jawatan."

"Siapa ketua tentera yang baru dilantik oleh khalifah? Pastinya bukan orang Parsi."

" Namnya Rukunuddin al-Daudar. Orang Arab yang menjadi sahabat baik anak khalifah yang bernama Abu Bakar."

"Adakah pelantikan itu mendapat sokongan menteri-menteri khalifah?" tanya Khomeini lagi.

" Mereka terpaksa menyokong kerana takut kehilangan jawatan. Tetapi saya yakin mereka tidak akan memberi kerjasama. Tambahan pula ketua tentera yang baru ini memusuhi orang Syiah."

" Oh Tuhan, semoga pemerintahan Khalifah al-Musta'shim Billah akan runtuh dan diganti oleh khalifah yang lebih baik daripada dia," kata Khomeini sambil meluahkan rasa marahnya.

Ubaidillah seorang peniaga Arab dari Basrah yang kebetulan berada di situ segera menyampuk," Orang yang mula-mula mengasaskan kerajaan bani Abbasiyah adalah orang Arab. Khalifah juga terdiri daripada orang Arab. Tetapi akhirnya orang Arab diketepikan oleh khalifah kerana memberi peluang kepada orang Turki dan Parsi dalam pemerintahan. Kerana itu, apa salahnya khalifah melantik semula orang Arab memegang jawatan yang penting ni?"

Kata-kata Ubaidah itu menimbulkan kemarahan Salman dan Khomeini.

" Orang Arab tidak bersatu dan suka berbunuhan sesama sendiri. Oleh itu mereka tidak layak menjadi pemimpin. Mereka cuma layak menjadi peniaga kerana pandai menipu," kata Salman lalu dosambut dengan ketawa orang ramai yang berada di situ.

" Awak sudah lupa sejarah silam?" kata Khomeini pula selepas tertawanya reda.

" Apabila Bani Abbasiyah berkuasa dan berjaya menumbangkan Khalifah Umaiyah dan seluruh ahli keluarganya termaasuk para penyokong mereka. Cuma seorang sahaja keluarga Bani Umaiyah yang terselamat iaitu Abdul Rahman ad-Dahil yang berjaya melarikan diri ke Andalus."

" Kerana itu Khalifah bani Abasiyah tidak mempercayai orang Arab.Baginda lebih percaya orang Turki dan Parsi. Orang Parsi seperti kami yang menyebabkan kerajaan bani Abbasiyah boleh bertahan lebih 599 tahun," sokong Salman pula.

"Disebabkan itu juga orang Parsi yang sepatutnya dilantik menjadi ketua angkatan tentera Bani Abasiyah. Bukan orang Arab yang cuma pandai berkalahi dan menipu," kata Khomeini dengan suara yang lantang.

Ubaidah naik marah dan tidak dapat menahan rasa marahnya lalu memukul lawannya. Akhirnya kedua-duanya bergaduh. Ternyata Ubaidah lebih kuat kerana lebih muda dan berbadan tegap berbanding khomeini. Apabila melihat Khomeini hampir kalah, Salman masuk campur. Lalu terjadi perkelahian dua lawan satu.

Melihat perkelahian yang tidak seimbang itu, maka Saad sahabat Ubaidilah yang sama-sama datang dari Basrah masuk campur.Pergaduhan itu menjadi semakin besar apabila bertambah ramai orang Parsi masuk campur. Orang Arab yang berada di pasar itu juga turut mengambil bahagian kerana tidak sanggup melihat bangsanya dianiaya oleh bangsa Parsi. Akhirnya pergaduhan itu menjadi rusuhan kaum. Orang Parsi yang menjadi penduduk majoriti Kirkuk membelasah penduduk Arab di Kirkuk. Ramai antara mereka terpaksa melarikan diri ke Basrah.

**********************
"Ketua kami Rukunuddin al-Daudar menawarkan kamu dua pilihan. Pertama meletakkan senjata lalu menyerahkan diri. Ataupun kami akan memerangi kamu habis-habisan hingga tidak ada seorang pun pemberontak terlepas," kata utusan itu.

" Beritahu ketua kamu bahawa kami tidak akan menyerah. Kami akan menentang kamu hingga ke titisan darah terakhir. Kami juga akan membunuh ketua kamu yang bernam Rukuuddin al-Daudar kerana dia membenci orang Syiah," kata ketua orang Parsi di Kirkuk.

Maka pertumpahan darah tidak dapat dielakkan lagi. Pagi esoknya sebelum matahari terbit Rukunuddin al-Daudar memerintah tenteranya ( tentera bangsa Parsi dikecualikan) menyerang Kirkuk. Mereka menyerang dari empat penjuru. Maka berlaku pertempuran sengit dari pagi hingga ke petang. Akhirnya menjelang senja, seluruh Kirkuk berjaya ditawan. Ramai orang Parsi terbunuh.

Pertumpahan darah di Kirkuk itu menimbulkan kemarahan Umayidudien Muhamad al-Aqami (Menteri Perbendaharaan Negara dan orang kepercayaan khalifah). Beliau meminta khalifah al-Musta'shim Billah mengadakan mesyuarat tergempar bagi membincangkan perkara itu. Dalam mesyuarat itu, dia meluahkan kemarahannya.

**************************

Dendam menguasai diri Umayidudem Muhamas al-Aqami kerana pembunuhan terhadap bangsanya, Parsi. Hatinya lebih tersayat apabila cadangan memecat Rukunuddin sebagai ketua tentera tidak berjaya. Namun dia sudah bertekad tidak akan memberi laluan mudah. Musuh-musuhnya itu perlu ditewaskan satu persatu. Tiba-tiba Umayiduden Muhamad al-Aqami mendapat satu idea. Beliau yakin itulah fikiran terbaik yang perlu dilakukannya dengan segera.

Mentari baru sahaja terbit. Umayiduden Muhamad al-Aqami berjalan pantas menuju ke istana Khalifah al-Musta'shim Billah. Seperti yang dijadualkan, pada hari itu akan diadakan sati mesyuarat khas antara menteri-menteri dengan khalifah. Pada mulanya dia tidak mahu mnjemput Rukunuddin al-Daudar dan Abu Bakar. Tetapi khalifah al-Musta'shim Billah berkeras supaya dua sahabat itu perlu hadir.

"Rukunuddin adalah ketua pasukan tentera. Abu Bakar pula adalah pewaris khalifah. Oleh itu kedua-duanya perlu hadir pada setiap kali mesyuarat," perintah khalifah al-Musta'shim billah.

Beliau terpaksa akur dengan arahan khalifah al-Musta'shim Billah walaupun hatinya tidak setuu dengan kehadiran Abu Bakar dan Rukunuddin al-Daudar dalam mesyuarat yang penting itu. Kehadiran kedua-duanya hanya akan menimbulkan masalah. Namun dai bertekad tidak akan mengaku kalah. Dia yakin apa yang dirancangnya pasti berjaya.

Apabila tiba gilirannya bercakap, maka Umayududdin Muhamad al-Aqami pun berkata," Dalam mesyuarat kali ini, kita banyak habiskan masa bagi membincangkan ancaman tentera Monggol. Kita seolah-olah takut dengan bayang-bayang sendiri kerana tidak ada tanda-tanda mereka akan menyerang negara. sedangkan ada satu perkara yang lebih menakutkan daripada tentera Monggol. Ini yang sepatutnya kita bincangkan," Umayiduddin Muhamad al-Aqami memulakan kata-katanya.

"Sila kemukakan masalah itu supaya dapat kita dengar dan bincangkan bersama," kata Khalifah al-Musta'shim Billah.

"Antara tugas yang diamanahkan oleh khalifah kepada saya adalah menjaga perbendaharaan negara. Saya menjalankan tugas dan tanggungjawab saya dengan sempurna. Tetapi bagi makluman khalifah dan tuan-tuan semua, perbendaharaan negara kita sedang mengalami kekurangan dana. Ini disebabkan cukai-cukai tidak dapat lagi dikutip kerana negeri-negeri yang dahulunya di bawah naugan kita tetapi kini sedah merdeka. Mereka memerintah sendiri dan tidak mahu lagi membayar cukai-cukai dan menyerahkan kutipan zakat kepada kita. Oleh itu kita mengalami masalah kewangan yang teruk," kata Umayiduddin Muhamad al-Aqami.

"Kenapa masalah ini dikemukakan sekarang? Kenapa tidak diberitahu lebih awal?" Abu Bakar beras kurang senang mendengarnya.

"Sama ada kita beritahu awal ataupun sekarang malahnya tetap sama. Kita kekurangan wang bagi mentadbir negara. Masalah ini tidak akan dapat kita atasi."

Khalifah al-Musta'shim Billah terkejut mendengarnya kerana selama ini tidak pernah berlaku perbendaharaan negara mengalami masalah kekurangan wang.

"Kita terpaksa memotong perbelanjaan untuk angkatan tentera. Oleh itu, jumlah tentera kita terpaksa dikurangkan," kata Umayiduddin Muhamad al-Aqami.

"Saya tidak setuju dengan cadangan itu," bantah Rukunuddin al-Daudar.

"Pasukan tentera tidak boleh dikurangkan kerana kan membahayakan keselamatan negara. Sepatutnya pasukan tentera kita diperbesarkan lagi. Bukannya dikurangkan,"

Keputusan khalifah adalah bersetuju mengurangkan 200 ribu orang kepada 10 ribu orang sahaja. Ini adalah perancangan Umayiduddin Muhamad al-Aqami. Semua ini disedari oleh Rukunuddin dan Abu Bakar. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana ini keputusan khalifah. Dalam diam Rukunuddin dan Abu Bakar mengumpulkan para sukarelawan yang sanggup syahid di medan perang.

**********************

"Umpan yang saya pasang sudah mengena. Ikan besar itu sudah masuk ke dalam perangkap. Rancangan kita akan berjaya tidak lama lagi," Umayiduddin Muhamad al-Aqami sambil ketawa.

"Saya masih belum faham apa yang tuan katakan," kata Khomeini pula sambil menggaru kepalanya yang botak.

"Khalifah al-Musta'shim Billah bersetuju dengan rancangan saya supaya dikurangkan bilangan anggota tentera. Dengan ini ramai tentera akan deberhentikan. Apa yang paling menarik sekali adalah...,"Umayiduddin berhenti sebentar sambil tersenyum meleret.

"Teruskan tuan kerana saya tidak sabar hendak mengetahuinya," kata Salman pula.

"Sebagai menteri kanan yang paling dipercayai oleh khalifah, dan sebagai orang yang memberi cadangan itu, saya diberi kuasa bagi menentukan siapa antara tentera yang akan diberhentikan. Saya sudahpun menyenaraikan nama-nama mereka," Umayiduddin Muhamad al-Aqami berasa teramat bangga.

"Lalu apa yang tuan akan lakukan?" tanya Salman dengan rasa kagum kerana Khalifah al-Musta'shim Billah menyerahkan tugas yang penting itu kepada sahabat baiknya.

"Saya berhentikan tentera yang sudah tua. Yang dikekalkan cuma anggota tentera yang masih muda," jawab Umayiduddin Muhamad al-Aqami.

"Kamu perlu bantu saya menjatuhkan khalifah. Tetapi perkara ini perlu dirahsiakan. Biar pecah di perut tetapi jangan pecah di mulut. Kamu faham maksud saya?"

"Kami faham tuan. Kami bersumpah akan menyimpan rahsia ini. Percayalah kepada kami," kata Khomeini bersungguh-sungguh.

"Tuan beri apa sahaja tugasan dan kami sanggup melakukannya," kata Salman pula.

Mereka berdua ditugaskan menghantar surat meminta bantuan dari kerajaan Parsi untuk menjatuhkan kerajaan Khalifah Abbasiyah ini. Apabila khalifah al-Musta'shim Billah jatuh, Umayiduddin akan menjadi khalifah dan dua orang pengikutnya ini akan dijanjikan jawatan menteri.

Esoknya, khomeini dan Salman berangkat ke Parsi membawa surat Umayiduddin Muhammad al-Aqami. Tetapi dipertengahan jalan, kedua-duanya ditangkap oleh tentera Monggol lalu dibawa menghadap Hulagu Khan.




Rakan Sejawat Toksik

Ahlan...ahlan Ya Ramadan.  Alhamdulillah masih diberi peluang merasai hidup dalam Islam tetapi umat Islam Palestin masih bergelut dengan kes...