Mutiara Kata Untuk Murabbi.

"JIKA MURID DIAJAR DENGAN PUJIAN, DIA BELAJAR MENGHARGAI"

"JIKA MURID DIAJAR DENGAN CELAAN, DIA BELAJAR MEMAKI"

"JIKA MURID DIAJAR CEMUHAN, DIA BELAJAR RENDAH DIRI"

"JIKA MURID DIAJAR DENGAN PERSAHABATAN, DIA BELAJAR MENYAYANGI"

"JIKA MURID DIAJAR PERMUSUHAN, DIA BELAJAR BERKELAHI"

"JIKA MURID DIAJAR JAMINAN, DIA BELAJAR MEMPERCAYAI"

"JIKA MURID DIAJAR DENGAN PENGHINAAN, DIA BELAJAR MENYESALI"

"JIKA MURID DIAJAR DENGAN KEADILAN, DIA BELAJAR KESAKSAMAAN"

"JIKA MURID DIAJAR DENGAN DISKRIMINASI, DIA BELAJAR MEMENTINGKAN DIRI"

27 Mac 2014

Semakin Menjadi-jadi.

Assalamualaikum wbt.

Bulan Mac 2014 hampir berlalu. Pelbagai kisah yang telah dilalui. Kisah negara yang menjadi bualan tentang tragedi MH370. Kisah saudara Islam IM529. Ketika diumumkan MH370 berakhir dilautan Hindi, kita semua tanpa sedar dikejutkan dengan hukuman ke tali gantung seramai 529 orang anggota Ikhwanul Muslimin dengan alasan yang tidak boleh diterima akal. Seolah-olah pertuduhan itu direka. Palsu. Fitnah. Ya Allah, jauhilah kami dari fitnah Dajjal...

Tidak cukup dengan kisah yang berlaku, keadaan sekolah aku juga semakin membimbangkan. Islam dipandang sepi. Solat dianggap ringan. Tipu menipu menjadi santapan harian. Umpatan menjadi ulaman dan perencah kehidupan. Perit untuk melaksanakan 'amar ma'ruf nahi mungkar'.

Betul kata ustaz, jika kita tidak kuat untuk ibadat waktu malam atau Qiamullail kita tidak mampu melaksanakan perintah Allah dengan sebaiknya. Allah lah sebaik-baik penolong. Siapa kita dihadapan Allah? Kita hanya hambaNya yang dhaif. Hamba yang sentiasa membuat dosa. Pendosa! Harapan dan taubau selalu terbuka untuk kita. Kita bukan maksum sebagaimana seorang kekasih Allah, Muhammad S.A.W.

Suatu pagi, ustaz diminta buat solat hajat untuk MH370. Selepas bacaan Yasin, maka diumumkan untuk terus solat hajat. Semua pelajar pandang memandang sesama sendiri. Aku juga termasuk orang yang memandang guru lain. Kenapa tiba-tiba???! Ramai pelajar perempuan tidak membawa telekung solat. Jika ikut cara aku, pakaian aku itulah pakaian solatku.

Aku minta mereka mengambil wudu'. Ramai pelajar keluar dari masjid. Itulah hikmahnya 'tiba-tiba'. Kini aku dan guru-guru lain tahu bahawa majoriti pelajar yang naik ke masjid tidak mempunyai wudu'. Di mana adab mereka masuk ke masjid? Di mana adab mereka ketika membaca Al-Quran. Allahu Akbar!

PBS juga menjadi isu. Aku melihat pelajarku sendiri semakin merosot cara pembelajaran mereka. Kejar BAND. Aku semakin pening untuk menilai mereka kerana terdapat beberapa orang pelajar tidak mengenal huruf hijaiyyah. Aku perlu mulakan dari mengajar IQRA'. Terdetik dihati untuk menyalahkan guru J-Qaf. Apakan daya mereka jika pelajar ini pulang ke rumah, ibu bapa tidak mengajar mereka. Asas pembejaran adalah bermula di rumah. Galakan ibubapa tiada. Agama dibuang terus dari kehidupan. Secara tak langsung akhlak mereka semakin merudum.

Akhlak pelajar pintar dengan akhlak pelajar lemah akademik sangat berbeza. Kadang-kadang aku melihat akhlak pelajar lemah akademik lebih menyerlah berbanding pelajar pintar. Adakah pelajar bijak ini menganggap guru sebagai pengajar sahaja tanpa perlu dihormati? Adab pergaulan mereka juga melampau batas yang ditetapkan dalam Islam. Rujuk entri sebelum ini SINI

Tuisyen. Aku minta maaf kerana tidak mempu menyediakan diri untuk mengajar tuisyen. Kepenatan seharian di sekolah menyukarkan aku untuk melaksanakannya. Jika dilaksanakan di sekolah atau di tempat tertentu selain rumahku, aku akan cuba cari masa yang sesuai walaupun seminggu sekali. Semua ini bergantung kepada permintaan pelajar sendiri bukan ibu bapa.

Sekadar renungan dan ingatan bersama. Mohon dimaafkan andai terkasar bahasa.

20 Mac 2014

Kebaikan menghapuskan keburukan.

Hadis yang diriwayatkan Abu Daud:
Pada suatu hari, ada seorang pemuda datang berjumpa dengan Nabi Muhammad S.A.W. Dia berkata, "Saya telah bercumbu-cumbu dengan seorang perempuan dari pinggir kota. Saya sudah buat semuanya, kecuali bersetubuh dengannya. Sekarang saya datang ke hadapan tuan, maka hukumlah saya sebagaimana yang tuan mahukan". Saidina Umar r.a memarahi pemuda itu, katanya, "Allah menutupi kesalahan kamu jikalau kamu menutupi keaiban kamu sendiri!". Mendengar kata-kata Saidina Umar, Nabi tidak berkata apa-apa. Kemudian pemuda itu pergi. Nabi Muhammad S.A.W segera menyuruh seseorang memanggil pemuda itu supaya datang semula. Kemudian beliau membacakan kepadanya ayat ini: "Dan dirikanlah sembahyang itu pada pagi dan petang, dan pada bahagian permulaan malam. Sesungguhnya perbuatan-perbuatan yang baik itu menghapuskan dosa perbuatan-perbuatan buruk. Itulah peringatan bagi orang-orang yang beringat." Kemudian, ada seorang lelaki lain yang ada disitu bertanya, "Wahai Rasulullah, apakah ayat itu ditujukan khusus kepada dia seorang sahaja? ataupun ayat itu ditujukan kepada semua orang?" Nabi Muhammad menjawab, "Kepada semua orang."
Semua orang tidak terlepas dari membuat kesilapan dan kesalahan. Apatah lagi berada di dunia yang penuh cobaan dan mehnah. Percampuran lelaki dan perempuan tidak dapat dielakkan terutama dalam dunia pekerjaan dan pembelajaran serta aktiviti yang melibatkan riadah.

Islam tidak menghalang tetapi ada batas-batas yang perlu diikut oleh seorang mukmin yang beriman.

Antaranya:

1. Menjauhi ZINA.

Firman Allah :
Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan seburuk-buruk jalan. (Surah al-Isra’ 17: 32)
Allah tidak menggunakan ungkapan ‘jangan kamu berzina’ tetapi digunakan ‘jangan kamu menghampiri zina’. Bercinta adalah perbuatan yang menghampirkan seseorang itu kepada perbuatan keji tersebut.

2. Jauhi CINTA.

Bercinta adalah langkah pertama kepada berlakunya zina. Apabila seseorang telah bercinta maka dia telah masuk perangkap yang telah dipasang oleh syaitan sebagaimana hadis Rasulullah saw yang bermaksud:
Sesungguhnya Allah menetapkan atas anak Adam bahagian daripada zina. Dia pasti akan mendapatnya. Maka, zinanya mata adalah dengan memandang (yang haram) dan zina lisan adalah dengan berbicara. Sementara jiwa itu berangan-angan dan berkeinginan, sedangkan kemaluan yang membenarkan semua itu atau mendustakannya.” (al-Bukhari  dan Muslim)
3. Menjaga pandangan dan maruah

Firman Allah yang bermaksud :

"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada laki-laki yang beriman: ‘Hendaklah mereka menahan sebahagian pandangan mata mereka dan memelihara kemaluan mereka, yang demikian itu lebih suci bagi mereka. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.’ Dan katakanlah kepada wanita-wanita yang beriman: ‘Hendaklah mereka menahan sebahagian pandangan mata mereka dan memelihara kemaluan mereka…’.” (Al-Nur: 30-31)

Sesiapa sahaja yang terlibat dengan budaya bercinta,  tidak akan mampu untuk menjaga pandangan mereka daripada melihat pasangannya dan alangkah banyaknya dosa yang telah mereka lakukan.

4. Ingat amaran Rasulullah saw yang bermaksud :

Sekali-kali tidak boleh seorang laki-laki bersepi-sepi dengan seorang wanita kecuali wanita itu bersama mahramnya.” (al-Bukhari dan Muslim)

5. Tidak berdua-duan.

Maksud hadis Rasulullah saw :
Tidaklah sekali-kali seorang lelaki bersunyian dengan seorang wanita melainkan yang ketiganya adalah syaitan.” (a-Tirmidzi)
Untuk apakah syaitan menemani pasangan ini?. Tiada tujuan lain melainkan untuk menghasut mereka agar melakukan perbuatan keji iaitu zina. Walaupun pasangan tersebut menafikannya dengan berkata : "kami tak buat apa-apa pun". Ya..tak buat apa-apa pada mulanya kemudian akan menular kepada zina bersentuhan dan seterusnya...

6. Jauhi bersentuhan  antara lelaki dan perempuan..

Hadis Rasulullah saw yang bermaksud :

Ditusuk dengan besi di kepala seseorang lelaki lebih baik baginya daripada menyentuh perempuan yang tidak halal baginya.( al-Tabarani)

Adakah orang yang bercinta ini tidak akan menyentuh pasangannya?. Sekiranya tidak, maka hebat benar iman mereka ini. Mungkin iman mereka sehebat Nabi Yusuf a.s dan Maryam.

7. Jauhi pembaziran masa dan harta

Berdasarkan wang yang dihabiskan untuk menghantar sms, mms atau menghabiskan banyak masa untuk ‘chatting’melalui internet. Sehingga ada pelajar yang sanggup ‘berpuasa’ untuk berjimat wang saraan sekolah untuk memenuhi tujuan tersebut.

8. Dapatkan keberkatan dalam menuntut ilmu kerana dosa yang banyak dilakukan menyebabkan hati sukar untuk menerima ilmu. Ilmu hanya menghuni di hati yang suci bersih.

9. Tumpukan perhatian dalam pembelajaran disebabkan asyik teringatkan ‘buah hati’. Allah jadikan manusia tidak dapat fokus dua perkara dalam masa yang sama.

10. Membohongi kedua ibubapa kerana harapan mereka untuk melihat anaknya cemerlang dalam akademik tetapi terpesong kepada cemerlang dalam mencari pasangan hidup pada usia yang muda. Apatah lagi sekiranya maruah dirinya tergadai dan hilang kehormatan diri. Tidak mampu dibayangkan betapa kecewanya mereka.

11. Menjaga hati guru dengan melaksanakan perkara haram tersebut. Tiada seorang pun guru ingin melihat anak didiknya gagal dalam pelajaran atau tercemar maruah dirinya disebabkan tindakan bodoh masa remajanya yang tidak dapat dikawal.

12. Menjadi ahli syurga dengan mengikut perintah Allah SWT dan Rasulullah saw. Oleh itu, sentiasalah bertaubat kepada Allah SWT.

13. Sentiasa mengingati Allah SWT. Akal dan hati fikiran golongan yang mengingati Allah dapat mengelakkan jiwanya cenderung kepada mengingati  pasangannya. Oleh yang demikian, mereka dapat ketenangan yang sebenar hanyalah dengan mengingati Allah SWT.

14. Menjaga maruah dan harga diri dari terus melayan perasaan cinta tersebut. Telah terbukti gejala seks bebas yang menimpa remaja pada masa kini semuanya bermula dengan bercinta pada usia muda. Lebih parah lagi mereka menjadi ketagih dengan zina. Dosa besar yang mereka lakukan ini menyebabkan iman tercabut daripada hati mereka dan tunggulah azab yang pedih di neraka.

15. Menjaga ikatan perkahwinan yang akan datang. Sekiranya suami mengetahui sejarah silam pasangannya yang pernah bercinta dengan orang lain. Pelbagai andaian buruk akan terbayang dalam fikirannya. Adakah pasangan yang bercinta pada zaman zaman persekolahan akan kekal hingga ke alam perkahwinan dan apakah perasaan anda sekiranya anda dapat tahu suami atau isteri anda pernah bercinta dengan orang lain sebelum ini?.

Perlu diingatkan bahawa syaitan akan menjadikan mereka yang terlibat dengan budaya couple ini merasakan perkara haram itu banyak memberi banyak  kebaikan kepada mereka. Maka pelbagai alasan diberikan untuk menghalalkan perbuatan mereka. Antara alasan yang diberikan ialah untuk mendapat dorongan belajar, untuk menenangkan fikiran, tidak ingin ketinggalan zaman, untuk memudahkan ‘study group’ dan beribu alasan lagi. Semua itu adalah tipu helah dan jerangkap samar yang dipasang oleh syaitan untuk memerangkap remaja Islam masa kini.

SUMBER: abu sakeena, buku 'Mendorong Pelajar Corot dengan Teknik Nabi Muhammad

08 Mac 2014

Sunan.

Expo Buku Islam di Putrajaya. Alhamdulillah, aku berjaya sampai ke Expo Buku ini tanpa perancangan. Bila sebut buku, yang paling utama adalah buku Ramlee Awang Murshid, Sunan. Kemudian aku sambar buku 'Cerita Cinta Ahmad Ammar Bin Ahmad Azam. Ada lagi beberapa buah buku yang menarik aku sambar. Tak lupa juga, aku ambil buku Tafsir Fi Zilalil Quran terjemahan melayu sebanyak 11 jilid. Entah bila aku dapat habiskan semua buku ini. Yang pasti aku gila buku sekarang.

Bermula dengan Novel Bagaikan Puteri, Cinta Sang Ratu, Hijab Sang Pencinta, Cinta Sufi, Sutera Bidadari, Sunan Musafir, Magis dan 2014- SUNAN Nanggroe Sang Kembara. Antara banyak novel yang aku baca, novel RAM adalah novel yang paling memuaskan hati. Apabila baca novel penulis lain, boleh dijangka apa yang akan berlaku. Berbeza dengan novel RAM, kisah yang tak dapat dijangka apatah lagi jika langkah muka surat.
Photo: Berseminar 2 hari sambil study buku Sunan. Balik dari seminar, sentuh buku Ahmad Ammar :)

Novel kali ini, mengisahkan Sunan pada awal kelahiran. Kemudian fitnah ketika kanak-kanak menyebabkan Sunan keluar dari kampung dan mula merantau sebagai hamba. Anak yang dididik dengan pendidikan agama. Walau di mana Sunan berada, solat tidak pernah ditinggalkan. Sunan anak istimewa. Sunan mempunyai ketabahan yang tinggi.

Teringat kisah Ahmad Ammar. Ammar merupakan anak kepada Mantan Presiden ABIM. Ammar tidak menggunakan pengaruh bapanya untuk mendapat habuan dunia. Malah Ammar sering membuat kerja yang tidak popular. Angkat kerusi, susun meja dan apa-apa kerja yang susah anak muda sekarang ikhlas melakukannya. Hal ini sesuai dengan ungkapan 'Sayyidul Qawmi Khodimuhum' yang membawa maksud 'Pemimpin sesuatu kaum itu ialah hamba (khadam) kepada mereka (kaum tersebut)'.

Kerja disebalik tabir atau kerja tidak glamour ini membentuk niat ikhlas dan kesabaran dalam melaksanakan kerja yang lebih berat pada masa akan datang. Asas ini dibentuk oleh watak utama ini. Watak novel, Sunan. Watak 'syahid tertangguh' adalah Ahmad Ammar. Watak Ammar adalah kisah benar. Watak Sunan, hanya penulisnya sahaja yang tahu. Yang baik boleh dijadikan contoh. Insya Allah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...