18 Ogos 2010

Perang Badar, Perang Penentuan.



Aku ceritakan kisah yang tiada aib di dalamnya


Dengan jujur dan tidak berbohong


Kisah tentang apa yang diperbuat Allah untuk kita


Terhadap orang musyrikin di Badar pada pagi hari


Kita hadapi mereka


Seperti singa-singa belantara yang masih muda


Di hadapan nabi Muhammad


Mereka mendukung beliau


Dalam menghadapi musuh di medan perang


Mereka memegang senjata tajam


Bani Aus yang dermawan didukung Bani Najjar


Yang kuat agamanya


Kita tinggalkan Abu Jahal yang tewas


Kita tinggalkan Uthbah  di antara tanah dan batu


Kita tinggalkan Syaibah bersama orang dungu


Jika nasab mereka disebutkan ahli nasab


Ketika kita lemparkan mereka ke dalam lubang


Rasulullah berseru kepada mereka 


Bukankah kalian sekarang mengetahui


Bahawa perkataanku adalah benar


Dan perintah Allah itu masuk ke dalam hati


Mereka tidak dapat berbicara


Seandainya mereka dapat bicara, mereka akan berkata


Ya engkau benar dan engkau mempunyai pendapat yang benar...


Hassan bin Thabit menulis sebuah puisi selepas berakhirnya Perang Badar.

**************
Perang Badar adalah peperangan pertama yang pernah dilalui oleh umat Islam. Apatah lagi, ia berlaku pada 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah bersamaan 17 Mac 624 Masihi. Pada masa ini , umat Islam diuji buat pertama kali diwajibkan berpuasa di siang hari dan pada masa yang sama diuji berperang bersama Rasulullah.

313 orang yang mendaftarkan diri, 8 orang dibenarkan tidak turut serta atas sebab-sebab tertentu. Uthman bin Affan, Talhah bin Ubaidillah, Saad bin Zaid, Abu Lubababah bin Abdul Munzir, Asim bin Adiyy al-Ajalani, Al-Harith bin Hatib al-Amri, Al-Harith bin as-Shimmah dan Khawwat bin Jubair. Yang berperang cuma 305 orang dan 70 ekor unta sahaja. Tetapi mereka semua mendapat ganjaran pahala sebagaimana  orang yang berperang  dalam Perang Badar.

**************
8 Ramadhan tahun 2 Hijrah


Malam semakin larut, suasana sepi. Dalam kegelapan malam itu, dua lembaga manusia berjalan pantas. Kemudian kedua-duanya berpecah. Seorang menuju ke rumah Zubair bin Awwam dan seorang lagi menuju ke rumah Miqdad bin Aswad al-Kindy. Kedatangan lelaki itu disambut tuan rumah yang sedang menunggu kedatangan mereka.

"Selamat datang wahai sahabatku, Thalhah. Ada sesiapa yang mengekori perjalanan kamu ke sini?" tanya Zubair.

"Saya pasti tidak siapa yang tahu kecuali Allah dan RasulNya," jawab Thalhah.

"Mari ikut saya," kata Zubair.

Thalhah mengekorinya dari belakang. Mereka menuju ke belakang rumah Zubair. Di sana terdapat seekor kuda.

"Saya serahkan kuda ini kepada awak. Gunakan sebaiknya bagi menjalankan tugas yang diberikan oleh Rasulullah. Saya bekalkan juga buah kurma dan air minuman," kata Zubair bin Awwam.

"Terima kasih. Doakan perjalanan saya selamat. Semoga kita bertemu lagi," kata Thalhah pula. Kedua-duanya berpelukan sebelum berpisah.

Miqdad bin Aswad al-Kindy juga menunggu kedatangan sahabatnya Sa'id bin Zaid. Dia juga menyerahkan kudanya kepada lelaki itu sambil mendoakannya supaya selamat menjalankan tugas.

Sebelum itu Nabi Muhammad memerintahkan Thalhah bin Ubaidillah dan Sa'id bin Zaid pergi ke utara bagi mendapatkan maklumat tentang kafilah Quraisy yang dipimpin Abu Sufian bin Harb yang dapat meloloskan diri diri ke Syam (dengan bantuan Abdullah bin Ubai, Orang Yahudi yang memeluk Islam. Berpura-pura taat dan salah seorang golongan munafik).

Oleh kerana kafilah dagang Quraisy itu besar dan ramai, maka Nabi Muhammad mengambil perhatian yang serius. Baginda memerintahkan Thalhah dan Sa'id  bagi mendapatkan maklumat berkenaannya dan segera melaporkan kepadanya. Perjalanan itu jauh dan mereka perlu bergerak pantas yang memerlukan kuda sebagai tunggangan. Di kalangan pengikut Rasulullah di Madinah cuma dua orang sahaja yang memiliki kuda iaitu Zubair dan Miqdad. Thalhah meminjamkan kuda Zubair dan Sa'id meminjamkan kuda Miqdad.

Kedua-duanya keluar dari Madinah pada waktu malam supaya tidak dilihat oleh Abdullah bin Ubai dan konco-konconya. Mereka memecut kuda dengan laju meredah padang pasir yang samar-samar diterangi oleh bulan sabit. Menjelang pagi mereka sampai ke suatu tempat bernama al-Haura. Thalhah dan Sa'id menyamar sebagai pengembara.

Al-Haura terletak di tengah perjalanan antara Mekah dan Syam. Tempat ini dijadikan persinggahan pedagang atau pengembara dari Syam atau Mekah. Penduduknya terdiri dari bangsa Yahudi, Habsyah, Yaman, dan Arab. Selepas berada di Al-Haura selama 3 hari, kabilah dagang Quraisy yang dalam perjalanan pulang ke Mekah singgah di situ bagi mengisi air dan bekalan makanan.

"Kami pengembara dari Khurasan. Bolehkah kami menumpang kafilah tuan untuk ke Mekah?" tanya Sa'id kepada Abu sufian. Abu Sufian tidak mengenali mereka kerana Thalhah dan Sa'id penduduk Madinah. Kedua-duanya menyamar sebagai pengembara dari Khurasan.

"Mahukah kalian berdua bekerja dengan saya," tanya Abu Sufian pula.

"Kerja apa?" tanya Thalhah pula.

"Saya memerlukan ramai pengawal bagi menjaga keselamatan kafilah dagang ini. sekiranya kamu mahu, kamu boleh menjadi pengawal kami," jawab Abu Sufian.

Menurut Abu Sufian, dia sudah mengupah 40 orang lelaki dari Syam bagi menjaga keselamatan kafailah dagang itu. tetapi daia memerlukan lebih ramai lagi pengawal.

"Kami sering diancam perompak dari Madinah. Kami memerlukan ramai pengawal," beritahu Abu Sufian.

"Kebetulan kami memerlukan duit bagi perbelanjaan kami ke Mekah nanti. Dengan itu kami terima tawaran tuan," kata Thalhah.

"Bagi memudahkan tugas kami, boleh beritahu apakah barang-barang yang dibawa oleh kafilah ini?" tanya Sa'id pula.

"Kami membawa seribu ekor unta yang sarat membawa makanan dan senjata untuk penduduk Mekah. Kami juga membawa 5000 keping dinar emas, tetapi kami tidak akan memberitahu kamu unta mana yang membawanya," jawab Abu Sufian.

"Tuan membeli banyak senjata dari Syam bagi dibawa ke Mekah. Apa tujuannya?" tanya Thalhah pula.

"Kami hendak berperang dengan penduduk Madinah kerana mereka melantik Muhammad sebagai pemimpin mereka. Kami memusuhi Muhammad sejak dia berada di Mekah," jawab Abu Sufian.

"Boleh kami tahu upah yang ditawarkan kepada kami bagi menjadi pengawal kafilah ini?" tanya Sa'id pula.

"Sepuluh dirham sehari," jawab Abu Sufian.

"Upah itu terlalu murah bagi tugas yang bahaya ini," kata Thalhah yang sengaja mencari helah.

"Sekiranya tuan sanggup membayar tiga kali ganda daripada upah yang tuan tawarkan itu, baru kami setuju," kata Sa'id pula.

"Dasar orang Khurasan yang tidak sedar diri. Saya menolong kamu bagi mendapatkan pekerjaan. Tetapi kamu meminta upah yang membuatkan saya akan mengalami kerugian besar," marah Abu Sufian.

"Sekiranya begitu kami menolong tawaran tuan itu," kata Thalhah.

"Pergi kamu berdua. Kamu tidak dibenarkan menumpang kafilah dagang kami," kata Abu sufian lalu menghalau Thalhah dan Sa'id dari situ.

Mereka pergi dan terus memecut kuda mereka menghala pulang ke Madinah. Kemudian mereka melaporkan kepada Rasulullah.

****************
17 Ramadhan tahun 2 Hijrah /17 Mac 624 Masihi


Suasana petang amat mendamaikan. Cahaya matahari yang kemerahan menyinari kawasan Badar yang subur dengan tanaman. pohon kurmma meliuk-liuk dipuput angin petang. Para petani pulang ke rumah masing-masi ng lepas penat bekerja di ladang. Tiba-tiba suasana yang damai itu bertukar menjadi riuh rendah dengan kehadiran pasukan tentera Quraisy yang dipimpin Abu Jahal dan pasukan tentera Islam dipimpin oleh Nabi Muhammad.

Pada awalnya Rasulullah menempatkan pasukannya di kawasan berbukit tetapi tidak di senangi oleh al-Hubab bin al-Munzir keran dirasakan kawasan itu tidak sesuai. Dia segera menghadap Rasulullah.

"Wahai Rasulullah, mengapa tuan memilih tempat ini bagi dijadikan pangkalan kita? Apakah pemilihan ini wahyu daripada Allah atau hanya pandangan tuan?" tanya al-Hubab.

"Daripada pendapat saya sahaja," jawab Nabi Muhammad.

" Wahai Rasulullah, saya tidak bermaksud hendak menentang pendapat tuan. Tetapi saya berpendapat tempat ini tidak sesuai. Kita mesti pergi ke kawasan lain yang lebih selamat,"kat al-Hubab.

Kemudian katanya lagi," Pada pendapat saya, lebih baik kita pergi ke kawasan yang dekat dengan punca air. Kemudian kita kuasai kawasan itu supaya musuh tidak mendahului kita. Di sana kita bina takungan air bersih bagi membolehkan pasukan kita menggunakannya. Apabila berlaku pertempuran, pihak musuh akan kehausan tetapi mereka tidak mempunyai air kerana kita menguasainya,"

"Benar pendapatmu itu," kata Rasulullah.

Pada malam itu juga Rasulullah menyuruh pasukannya berpimdah ke tempat yang dicadangkan oleh al-Hubab. Menjelang pagi, pasukan tentera Islam sudah menguasai semua kawasan punca air. Kemudian mereka membuat takungan air bersih bagi kegunaan tentera Islam.

Kemudian Rasulullah diiringi beberapa oramg sahabat memantau kawasan yang dijangka berlakunya medan pertempuran antara orang Islam dan tentera Quraisy. Di situ Rasulullah menunjukkan tempat di mana akan terbunuhnya Abu Jahal, Umaiyah bin Khalaf dan beberapa orang lagi. Selepas itu,Rasulullah pulang ke pangkalan pasukan Islam lalu menyuruh mereka berehat keran tidak lama lagi akan berlaku peperangan.

************

Jika ada masa aku sambung semula....

Petikan dari Buku Novel Sejarah Islam: Prang Badar, Perang Penentuan. Oleh Abdul Latip Talib. Keluaran PTS litera Utama Sdn Bhd 2010

Boleh rujuk link ini untuk maklumat tambahan:

Perang Badar inspirasi umat Islam di bulan Ramadan

Perang Badar

Wikipedia

Peristiwa Perang Badar


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mesyuarat atau bengkel mengikut zon

Assalamualaikum wbt 2 minggu aku batuk dan sukar bercakap dengan jelas. Cabaran kepadaku kerana kerjayaku memerlukan percakapan. Baca laju s...