12 Februari 2011

Masuk...Sekat...atau berpaut?

Novel INTERLOK. Adakah novel ini bermaksud BERPAUT?

Novel ini berkaitan dengan '1Malaysia'. Watak tiga bangsa utama di Malaysia. Melayu. Cina . India.


Watak Seman. Menunjukkan orang melayu yang tidak tahu mambaca dan menulis. Semuanya 'kebodohan' terserlah selepas kematian bapanya, Musa.

Musa. Seorang suami yang ingin membahagiakan isterinya. Kahwin lari. Tinggal di Kampung Nyiur Condong. Semua penduduk kampung menganggapnya orang kaya. Sedangkan pada hakikatnya miskin dan papa. Rumah, tanah, sawah, kebun, dan lembu bukan miliknya. Semuanya milik Cina Panjang.

Kenapa milik Cina Panjang?

Pak Musa telah membeli semua 'yang dianggap miliknya' menggunakan duit Cina Panjang. Oleh itu nama tanah adalah nama Musa. Geran dan perjanjian hutang itu disimpan oleh Cina Panjang. Selepas kematiannya, Seman dan Mak Limah dihalau dari rumahnya. Jika tidak mereka perlu membayar hutang Pak Musa. Sepanjang Mak Limah menjadi isteri Pak Musa, dia tidak pernah bertanya tentang tanah serta duit datang dari mana. Begitu juga anaknya, Seman.

Monolog Lazim:
"Mereka hidup dalam kemiskinan dan kebodohan. Bangsanya terus miskin dan bodoh kalau tidak mahu berubah sikap. Perubahan sikap itu haruslah dilakukan dengan penerangan tentang kegunaan ilmu pengetahuan. Oleh sebab kebodohan, Pak Musa telah bekerja bermati-matian sewaktu hidupnya dengan Cina Panjang, tanpa mendapat balasan yang setimpal; dan setelah dia meninggal dunia, anak isterinya diusir begitu sahaja"
(petikan dari novel)
**************

Kim Lock berasal dari Tung San. Membawa anaknya Cing Huat yang berumur 10 tahun ke Tanah Melayu. Bermula di Singapura, Muar, Kuala Lukut, Pulau Pinang dan Simpang Empat. Bermula sebagai kuli, pembawa lanca, pikul najis dan banyak kerja yang dilakukannya.

Pernah ditipu oleh Paman Kok Leng. Disebabkan marahnya kepada Paman Kok Leng, dia berusaha mencari pekerjaan yang tiada kaitan dengan  penipu ini.

Akhirnya di Simpang Empat dengan sokongan Kim Sui, dia membeli sebuah kedai dari Melayu. Perniagaannya bertambah maju dengan bantuan Cing Huat. Mereka rajin bekerja tanpa mengira penat dan lelah.

Cing Huat semakin tinggi. Kebanyakan orang melayu memanggilnya panjang. Dia tidak kisah apa pun panggilan untuknya.
"Dia benar-benar mewarisi sifat dan cara kerja ayahnya yang tidak mengenal letih dan lelah. Dia tidak mahu bergantung kepada orang, dan tidak takut menghadapi persaingan. Dengan tekun dan rajin, dia mengisi kedainya itu dengan pelbagai barang. Setiap orang mesti akan masuk ke kedainya untuk mencari satu atau dua benda yang tidak ada di kedai lain"(petikan dari novel)
Kim Sui berkahwin dengan janda kaya. Janda kaya ini mempunyai anak, Tua Toa. Anak ini berkahwin dengan Cing Huat. Mereka dianugerahkan tiga orang anak. Dua lelaki dan seorang perempuan. Yew Hock, Yew Sang dan Poh Eng.

Pekan Simpang Empat semakin berkembang. Ramai penduduk di kalangan bangsa Cina. Mereka bermesyuarat untuk membina sekolah sendiri walaupun di situ ada sekolah Melayu yang didirikan oleh kerajaan.
"Mereka mesti mengingatkan anak-anak mereka pada tanah leluhur, pada kebudayaan mereka yang tua dan pada bahasa mereka yang kaya" (petikan dari novel)
 Mereka mengumpulkan derma untuk mendirikan sebuah sekolah. Cing Huat paling banyak yang menderma. Akhirnya sekolah Chung Hwa Chinese School ditubuhkan. Tiga orang anak Cing Huat merupakan murid pertama di sekolah itu.
"Dia selalu menyuruh anak-anak dan isterinya menggunakan barang-barang dari negara China. Lobak masin yang baik, katanya datang dari negara China; sedapnya, pei tan telur yang hitam atau telur seratus tahun dari negara itu, tidak ada yang dapat menandinginnya..."(petikan dari novel)
 "Cing Huat tidak suka anak-anaknya itu bergaul dengan anak-anak orang Melayu. Dia takut kemalasan mereka itu menular kepada anaknya"(petikan dari novel)
Bagi Cing Huat, duit adalah segala-galanya. Dia sanggup mendapat keuntungan dengan menggunakan tipu helah. Dia tidak akan memberi harga rendah jika dibuat tawar-menawar oleh pembeli. Jika dia jadi pembeli, dia akan meminta dengan harga yang paling rendah. Dia sanggup mengurangkan timbangan.

Perbuatannya ini diturunkan kepada anak sulungnya, Yew Hock. Manakala Yew Seng selalu berkawan dengan anak Melayu dan selalu melebihkan timbangan. Cing Huat selalu bersungut kerana menpunyai dua anak lelaki. Dia sanggup menukarkan anak perempuannya dengan anak lelaki orang lain...

**************

Watak Maniam. Berbangsa India. Datang ke Malaya dengan menumpang kapal dari Pelabuhan Nagapatam. Mempunyai isteri di India. Mencari pekerjaan di 'Negara Emas' iaitu Tanah Melayu.

Di sini dia berasa selesa kerana tiada perbezaan kasta seperti di negaranya.
"Di sini dia tidak sahaja bebas bercampur gaul denganorang lain sama bangsanya, malah dia tidak takut dengan pantang larang yang terdapat di negaranya apabila seseorang India daripada kasta rendah menyentuh orang India daripada kasta tinggi. Dia tidak sahaja dimaki hamun dengan kata-kata yang kesat, malah disisih daripada masyarakat sehingga dirinya dan orang-orang sekasta dengannya menjadi lebih hina daripada binatang" (petikan dari novel: mungkin ini yang menjadi kemarahan  atau isu INTERLOK)
"Di negeri ini, orang dari keturunan kasta tinggi, kasta Brahma, memakai punul yang melintang di tubuh, tetapi dia tidak takut menyentuh orang itu. Dia boleh membeli barang daripada penjaja dengan memberikan wang dari tangan ke tangan; tidak seperti  di negaranya, dia mesti meletakkan wang itu di suatu tempat dan penjaja itu akan menyiram wang itu dengan air sebelum diambil dan dimasukkan ke dalam petinya" (petikan dari novel)
Suppiah satu bangsa dengan Maniam. Dia mengenali keluarga Maniam di India. Setelah Maniam diusir dari kebun, dia menjadi pembantu Perumal. Suppiah mencadangkan Perumal menubuhkan sekolah Tamil.
"Anak-anak kita mesti diajar bahasa dan kebudayaan kita. Mereka mesti kita beritahu tentang negara dan bangsa kita. Kalau tidak nanti mereka akan lupa akan negara datuk nenek mereka."
Akhirnya sekolah Tamil ditubuhkan. Guru dibayar oleh ibubapa. Pengurus, orang Inggeris hanya menyediakan tempat sahaja.

Maniam pernah ditolong oleh Musa. Dia sangat terhutang budi terhadap Musa. Musa dianggap saudara sendiri....(baca sendiri la yea...)

Kisah Maniam yang dihalau dari kebun disebabkan fitnah dari Suppiah. Raman, guru yang mengajar di sekolah Tamil memberitahu kebenarannya. Perumal sangat menyesal tetapi sudah terlambat. Anaknya,Isteri Maniam meninggal dunia. Cucunya Rama dijaga hingga dewasa. Bapa dan anak ini akan berjumpa dalam bab seterusnya.

**************

Anak Maniam, Rama. Anak Musa, Seman. Anak Cing Huat atau Cina Panjang, Yew Hock, Yew Seng, Poh Eng dan Pong Kheng. Mereka semua bersatu dalam bab interlok.

Mereka saling tolong-menolong semasa Jepun menyerang Malaya....

**************

P/s: Aku teringin baca novel ini bila timbul isu 'Novel Interlok dibakar' dan dilarang menjadi novel komponen sastera tingkatan 5. Semuanya adil. Kisah Melayu. Kisah Cina. Kisah India. Semuanya diceritakan tentang kelemahan. Yang paling banyak tentang kelemahan bangsa Melayu. Sepatutnya bangsa Melayu yang memberontak.

Terima kasih buat pemilik novel ini. Jazakallah ^_^

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mesyuarat atau bengkel mengikut zon

Assalamualaikum wbt 2 minggu aku batuk dan sukar bercakap dengan jelas. Cabaran kepadaku kerana kerjayaku memerlukan percakapan. Baca laju s...