04 April 2014

Pemuda Gua.

Hari khamis. Malamnya adalah malam jumaat. Selepas membaca surah Al-Kahfi, aku sempat membaca tafsir fi zilalil Quran. Dalam Surah ini diceritakan tentang kisah:

1. Kisah Ashabul Kahfi (pemuda gua)

2. Kisah pemilik dua ladang.

3. Kisah Musa dan hamba Allah yang soleh.

4. Kisah Dzul Qarnain.

Awal dan akhir surah Al-Kahfi berkaitan dengan pembetulan aqidah. 10 ayat pertama dan ayat terakhir surah ini sangat penting. Beberapa orang ustaz meminta semua umat Islam supaya membaca ayat ini. Kita diminta membaca supaya terhindar dari fitnah Dajjal.

Ada riwayat menyebut tentang sebab turunnya ayat dalam surah Al-kahfi ini. Orang-orang Yahudi tenlah menghasut orang-orang Mekah supaya bertanya Rasulullah S.A.W mengenai hakikat roh, kisah Ashabul Kahfi dan kisah Dzul Qarnain.

Kisah ini ditayang tentang keimanan yang unggul dalam jiwa orang mukmin. Mereka mengutamakan iman berbanding harta dunia yang sementara. Harta dunia akan musnah dan tidak akan kekal bersama kita. Mereka adalah anak-anak muda yang kuat tubuh badan, kuat iman dan pendirian. Mereka membantah dan mengecam kepercayaan yang dipegang oleh kaum mereka. Mereka juga adalah pemuda yang mendapat hidayah dalam masyarakat yang zalim dan kafir. Mereka tidak dapat hidup andai mereka mengisytiharkan aqidah mereka secara terang-terangan.


Mereka mengambil keputusan setelah rahsia keimanan mereka  terbuka dan melarikan diri mencari perlindungan Allah untuk menyelamatkan aqidah (agama ) mereka. Mereka redha memilih gua dari kesenangan dan kenikmatan hidup yang indah. Di sinilah terdedah ketakjuban mengenai hati pemuda-pemuda ini yang mengasingkan diri dari kaum mereka. Mereka memilih berlindung di gua yang sempit, kasar dan gelap. Mereka begitu senang dengan rahmat Allah yang begitu teduh, selesa dan luas. Batas gua yang sempit, terbuka luas. Dinding yang keras menjadi lembut. Suasan yang sepi menjadi suasana tenang . Semuanya membayangkan kerahmatan, kelembutan, kerehatan dan keselesaan. Itulah iman mereka.

Gambaran lain menyempurnakan pemandangan yang mengkagumkan. Mereka dibalik-balikkan tubuh mereka dari satu lambung ke satu lambung selama mereka berada dalam keadaan tidur yang amat lama. Orang yang melihat keadaan mereka ini, menyangka bahawa mereka sedang berjaga, sedangkan mereka semua tidur. Anjing mereka mengikut kebiasaan seekor anjing, menghulurkan dua kakinya berhadapan pintu. Cara ini seolah-olah sedang menjaga pemuda-pemuda yang berada dalam gua ini. Pemandangan ini menimbulkan perasaan takutdalam hati orang yang melihat mereka. Itulah takdir Allah supaya tidak ada orang akan ganggu mereka sehingga sampai kepada masa yang ditentukan Allah.

Mereka bangun dengan cergas selepas tidur ratusan tahun. Mereka secara mendadak bangkit dari tidur, sedangkan mereka tidak mengetahui berapa lama mereka tidur sejak mereka merasa mengantuk dahulu. Mereka mengosok mata mereka dan memandang antara satu sama lain.

"Berapa lama kamu telah tidur," kata seorang pemuda kepada rakannya.

"Kita telah tidur kira-kira sehari atau setengah hari," kata salah seorang dari mereka.

Kemudian mereka fikir lebih baik mereka ketepikan persoalan itu. Persoalan itu tidak memberi faedah kepada mereka dan meyerahkan urusan itu kepada Allah. Mereka dalam keadaan lapar dan mereka mempunyai duit-duit perak yang dibawa keluar dari bandar.

"Allah sahaja yang mengetahui berapa lama kamu telah tidur. Hantarkan salah seorang daripada kamu ke bandar dengan membawa wang perak ini. Kamu hendaklah mencari apa sahaja makanan yang baik dan bawakan kepada kamu sedikit rezeki darinya." kata pemuda yang lain. Mereka sangat berhati-hati supaya tidak ditangkap oleh penguasa yang zalim pada jangkaan mereka. Mereka bimbing dipaksa meninggalkan agama ynag mereka anuti sekarang. Kebimbangan mereka sangat berasas kerana menyangka penguasa sekarang seperti penguasa sebelum mereka tidur.

Mereka tidak sedar bahawa kisah mereka selaku pemuda-pemuda yang lari menyelamatkan agama mereka di zaman seorang raja yang zalim telah menjadi cerita turun temurun. cerita dari mulut ke mulut bagi setiap generasi. Timbul pelnbagai pendapat mengenai hakikat mereka, mengenai agama mereka dan berapa lama masa telah berlalu sejak mereka menghilangkan diri.

Dalam Al-Quran menyebut bahawa mereka telah tidur selama 300 tahun mengikut tahun shamsiah (putaran matahari) dan ditambah 9 tahun lahun lagi iaitu 309 tahun bagi tahun Qamariah (mengikut putaran bulan). Ini membuktikan Allah sangat berkuasa mematikan dan menghidupkan sesuatu makhluknya.

Penduduk baru sangat menghormati dan memuliakan anak-anak muda yang beriman ini. Kisah mereka terbongkar setelah salah seorang dari mereka pergi ke bandar mencari makanan. Dia telah dikenali orang ramai sebagai salah seorang anak muda yang melarikan diri menyelamatkan agama mereka di zaman dahulu.

Kita dapat membayangkan betapa terkejutnya pemuda-pemuda ini. Sekeliling mereka telah berubah. Pemerintahan di depan mata mereka adalah pemerintah yang beriman kepada Allah. Segala-galanya berubah. Mereka kini merupakan kumpulan manusia yang aneh pada pandangan dan perasaan orang ramai. Oleh itu, Allah mewafatkan (mematikan) mereka kembali kerana kasihan kepada mereka menghadapi semua realiti yang pahit ini.

Kemudian berlaku perdebatan dikalangan penduduk sekitar.

"Dirikan satu bangunan di atas mereka," kata seorang penduduk memberi pendapat.

"kami akan bina sebuah masjid di atas mereka," keputusan ini dibuat oleh pemerintah zaman itu.

Masjid di sini membawa maksud tempat ibadat mengikut adat orang Yahudi dan Nasrani. Mereka mendirikan rumah ibadat atas kubur para nabi dan para wali. Hal ini ditegah oleh Rasulullah berdasarkan hadis.
"Allah telah melaknat orang-orang Yahudi dan Nasrani (Kristian) yang tekah membangunkan masjid-masjid di atas kubur para nabi dan orang-orang mereka yang soleh" (hadis dalam tafsir Ibnu Kathir)
Setelah kematian pemuda-pemuda yang beriman ini, berlaku perdebatan tentang bilangan mereka. Ada yang mengatakan 3 orang dan seekor anjing. Ada yang mengatakan 5 orang dan yang ke-6 adalah anjing. Ada yang mengatakan 7 orang dan yang ke-8 adalah anjing. Dalam Al-Quran menegaskan bahawa hanya sedikit daripada penduduk di situ yang mengetahuinya. Ini menunjukkan Allah melarang kita berdebat tentang perkara ghaib. Ia adalah sia-sia. Serahkan bilangan mereka ini kepada ilmu Allah.
  
 'gambar dari pak google. wallahu a'lam'

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Rakan Sejawat Toksik

Ahlan...ahlan Ya Ramadan.  Alhamdulillah masih diberi peluang merasai hidup dalam Islam tetapi umat Islam Palestin masih bergelut dengan kes...