23 Jun 2015

Terima Kasih.

Terima kasih. Ucapan yang biasa. Jika diucapkan pada masa tertentu, aku jadi terharu. Terkedu. Itu yang mampu aku tulis. Tidak mampu digambarkan dengan kata-kata. Itulah yang berlaku kepada diriku hari ini. Terima kasih kerana mengajarnya. Jika tahun lepas, keputusan peperiksaan tidak lulus. Peperiksaan pertengahan tahun ini, mendapat 6+. F kepada C. Melangkah E dan D. Pelajar ini dari kelas tingkatan 2. Tidak berlaku kepada pelajar tingkatan 3. Moga beliau istiqamah untuk terus belajar dan belajar.


6 Ramadhan 1436H. Tahun 2015 merupakan tahun mencabar. Mencabar dengan pelajar yang masih leka dengan dunia sendiri. Tidak bersedia mencari hala tuju sama ada untuk terus belajar ke sekolah yang terpilih atau dicampakkan ke mana-mana sekolah.

Kosong. Pandangan mereka kosong.

Aku hanya mampu berkata-kata untuk meransang pemikiran mereka. Mungkin  tanggapan aku salah. Tiada reaksi menyesal. Tiada reaksi ingin mengubah keadaan yang penuh selesa ini. Tiada respon. Entah apa lagi yang mampu aku bayangkan. Adakah mereka tiada hati? Tiada kesedaran?

Semua ini menyebabkan aku berfikir. Adakah aku tidak pandai mengajar? Adakah aku yang tersilap? Adakah aku memandang rendah kemampuan mereka? Jika semua ini betul, mereka harus jumpa aku dan luahkan. Ya. Aku manusia biasa. Selalu mengubah rancangan pada saat akhir. Itulah aku. Jika intro aku mendapat reaksi yang negatif, aku terpaksa mengubah rancangan yang sesuai dengan mood mereka.

Pelajar tahun 2014 lebih baik pada pandangan aku. Dari segi kesungguhan belajar dan sifat ingin tahu yang tinggi. Pelajar tingkatan 3 tahun 2015 hanya buat apabila disuruh. Buat tapi tak sepenuh hati. Sekadar membuat kerja tapi tidak difahami. Siapa yang rugi? Tiada latihan kendiri!

20 dari 43 orang pelajar tidak lulus (F) subjek yang aku ajar. Kelas A, 8 orang tidak lulus. Kelas harapan. Meniru dan meniru. Itulah kerja mereka yang menyebabkan aku tidak dapat kenal pasti mana pelajar lemah dan mana pelajar yang ada harapan lulus. Aku gagal menilai mereka. Hasil dari pembohongan yang mereka lakukan sendiri. Tidak tahu tapi takut dimarahi. Tiru adalah jalan penyelesaian yang baik bagi mereka. Tanpa disedari, semua itu akan memusnahkan diri sendiri.

Harapan aku terhadap pelajar PT3 tahun ini agar ramai antara mereka yang mampu masuk ke sekolah agama dan sekolah berasrama penuh. Usaha belajar hingga ke titisan nyawa terakhir. Belajarlah untuk dapat ilmu bukan untuk PT3. PT3 adalah penilaian atas usaha yang telah dilakukan. Kumpul sebanyak yang mungkin ilmu dan maklumat menerusi pembacaan dan perbincangan bersama guru dan rakan-rakan.

Semoga Ramadhan kali ini, doa kita semua dimakbulkan Allah dan amalan kita diterima Allah. Allahumma Aminnn ;)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Rakan Sejawat Toksik

Ahlan...ahlan Ya Ramadan.  Alhamdulillah masih diberi peluang merasai hidup dalam Islam tetapi umat Islam Palestin masih bergelut dengan kes...