18 Julai 2025

Nabi Musa siri 1

Dalam surah al-Qasas ini Allah ingin memberitahu kita sebagai hambanya tiada kekuatan tetapi Dialah yang berkuasa ke atas segala-galanya termasuk keadaan Fir'aun yang kejam. Mereka membuat pelbagai perancangan, tetapi perancangan Allah yang terbaik. Bagaimana ALlah melindungi Nabi Musa dalam suasana yang kejam dan menjadikan Nabi Musa sebagai Utusan Allah (Rasul) dibantu oleh saudaranya, Harun (Nabi).

Ia bermula dengan mimpi Fir'aun. Dalam mimpi berkenaan, Fir'aun bermimpi ada seorang bayi lelaki yang lahir. Bayi ini apabila besar nanti akan meruntuhkan empayar kerajaan besarnya. Ini menyebabkan Fir' aun merasa bimbang jika mimpi itu benar. Fir'aun telah memanggil ahli nujum atau ahli sihirnya dan meminta pendapat mereka. Hasilnya Fir'aun membuat keputusan untuk membunuh semua bayi lelaki yang lahir pada tahun berkenaan. Manakala bayi-bayi perempuan dibiarkan hidup. Inilah permulaan kisah Nabi Musa Alaihissalam.

Dalam Tafsir Fi Zilalil Quran, menyatakan bahawa Fir'aun telah menyerahkan perempuan-perempuan Bani Israel yang hamil kepada bidan-bidan yang akan menyampaikan berita  kelahiran anak-anak kepada Fir'aun. Hal ini supaya anak-anak ini dapat dibunuh sebaik sahaja lahir ke dunia. Ini merupakan perancangan jahat dan kejam tanpa ada rasa belas kasihan terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa ini.

Al-Qasas ayat 5: 

Sesungguhnya Fir'aun telah bermaharajalela di bumi dan menjadikan penduduknya berpecah belah kapda berbagai-bagai puak. Dia menindas segolongan mereka dengan menyembelih anak-anak lelaki mereka dan hanya membiarkan anak-anak mereak sahaja hidup. Sesungguhnya dia adalah dari golongan manusia perosak

Lahirnya Nabi Musa, maka ibunya termenung dan bingung. Dia tidak tahu bagaimana harus dilakukan terhadap anaknya yang masih bayi ini. Dia takut dan bimbang terhadap keselamatan Musa. Dia takut berita kelahiran anaknya akan sampai kepada mata-mata Fir'aun. Terasa seram dan mengigil dirinya andai anaknya terpaksa disembelih di hadapannya. Dia memeluk anaknya dengan hati yang cemas sambil memikirnya masa depan anaknya. Dia merasa begitu lemah untuk melindungi anak ini, malah lemah menyembunyikan suara semula jadi anaknya apabila menangis. Dia tidak mampu mengajar suatu helah atau mencari cara menyelamatnya.

Di sinilah datangnya ilham dari Allah yang bertindak membantu ibu Musa bagaimana menyelamatkan musa dengan langkah-langkah dan cara-cara yang perlu dilakukannya.

Al-Qasas ayat 7:

Dan Kami ilhamkan kepada Ibu Musa: susukanlah dia dan jika engkau takutkan keselamatannya, maka hanyutkannya di dalam sungai dan janganlah engkau takut dan jangan pula bersedih hati kerana sesungguhnya Kami akan memulangkannya ke pangkuanmu kembali dan melantiknya sebagai salah seorang dari para rasul

Kemudian ibu Musa meletakkan Musa di dalam tabut atau bakul. Kemudian dihanyutkan ke Sungai Nil. Tabut itu dihanyutkan ke istana Fir'aun. Tabut itu diambil oleh pembantu Asiah, isteri Fir'aun. Apabila Tabut dibuka oleh Asiah, terlihat seorang bayi lelaki yang sangat memikat hatinya sebagai seorang ibu. Inilah bermulanya Musa menjadi anak angkat kepada Fir'aun tanpa menyedari inilah bayi yang dicarinya.

Al-Qasas ayat 8:

Lalu dia dipungut keluarga Fir'aun supaya menjadi musuh kepada mereka dan (punca) kedukacitaan (mereka). Sesungguhnya Fir'aun dan Haman serta bala tentera kedua-dua mereka, orang-orang yang bersalah.

Al-Qasas ayat 9:

Dan berkatalah isteri Fir'aun: Dia menjadi cahaya mata  kepada adinda dan kekanda. Janganlah kamu bunuh dia. Semoga dia berguna keapda kita atau kita ambilnya sebagai anak angkat, sedangkan mereka tidak menyedari (akibatnya)

Ibu Musa pula tidak berdiam diri dari berfikir dan berusaha:

Al-Qasas ayat 11:

Dan berkatalah (ibu Musa) kepada saudara perempuan (Musa): Ikutilah dia! lalu dia pun melihatnya dari jauh sedangkan mereka tidak sedar.

Lalu kakaknya keluar mengikuti Tabut itu dengan berhati-hati dan dengan perasaan yang cemas. Dia mencari beritanya di pasar-pasar dan di jalan-jalan dan di sana dia mengetahui ke mana adiknya dibawa (dalam Istana Firaun). Dia memandang dari jauh adiknya dijaga oleh khadam-khadam Fir'aun yang sedang mencari penyusunya.

Al-Qasas ayat 12:

Dan Kami telah mengesahkannya (Musa) dari menyusu penyusu-penyusu yang lain sebelum itu. Lalu berkatalah saudara perempuan Musa: Mahukah kamu saya tunjukkan kepada kamu satu keluarga yang dapat memeliharanya untuk kamu dan mereka adalah orang-orang yang jujur terhadapnya. 

Al-Qasas ayat 13:

Lalu kami kembalikannya (Musa) ke pangkuan ibunya supaya hatinya senang dan tidak berdukacita dan supaya dia mengetahui janji Allah itu benar, tetapi kebanyakan mereka tidak mengetahui. 

Ketika masih kecil, Fir'aun pernah merasa terancam dengan Musa kerana Musa pernah menarik janggutnya. Dia merasakan anak ini bakal melawannya. Tetapi Asiah, isterinya menyangkal dakwaan itu dengan mengatakan Musa masih kanak-kanak dan tidak dapat bezakan mana yang betul dan amana yang salah. Kemudian Fir'aun menguji Musa dengan meletakkan bara api dan susu dihadapan Musa. Fir'aun menyuruh Musa memilih salah satu dari dua benda ini. Tangan Musa ingin mengambil susu tetapi ada riwayat mengatakan malaikat menolak tangan musa dengan mengambil bara api dan masukkan ke dalam mulutnya. Hal ini menyebabkan Musa tidak fasih bercakap kerana terluka makan bara api ketika masih kecil. Allahu a'lam.

Sumber: google

Banyak lagi kisah Musa dalam al-Quran ini. 

Cukup setakat ini dahulu. Jika aku ada kelapangan, aku sambung kemudian 

Rujukan:

Sayyid Qutb (2010).Tafsir Fi Zilalil Quran. Jil. 7.Surah al-Qasas

Kemenangan

Perkataan 'menang' bukan sesuatu yang menjadi igauan aku, malah aku tidak peduli dengan kemenangan itu. Orang boleh gembira dengan kemenangan tetapi bukan. Aku cuma bangga, apabila aku melepasi target dengan usaha sendiri. Itu lah aku.

Apabila aku baca buku 'cuma aku, lukaku dan Tuhanku' pada bab juzuk 21. Bab itu ada sedikit intro kisah nabi Musa. Kisah Nabi Musa meninggal dunia sebelum sempat masuk Palestin, Syam. 

Kemenangan di sini adalah Musa menang sebagai hamba Allah yang terbaik, berusaha menjadi baik. 

Aku terdetik nak kutip semua cerita musa dalam al-quran. Namun kemampuan terbatas dan ilmuku cetek.

12 Julai 2025

Fenomena Pasca SPM 2025

Assalamualaikum...sedikit coretan yang terpendam dan aku cuba fahami walaupun sukar ditulis dalam bentuk tulisan.

SPM 2025 bakal menjelma. Semua guru-guru dan ibubapa diserang dengan perasaan yang mungkin dipanggil anxiety atau resah gelisah, panik. 

Semua tulisan dalam mana-mana group sama ada telegram dan what'sapp yang dibaca dengan cara tidak normal atau menggunakan emosi yang tidak stabil. Kemudian ditambah dengan keluhan anak asrama menelefon ibu atau bapa secara negatif. Perkara ini terus meletup dalam group masing-masing. Saling menyalahkan. 

Disamping itu, anak-anak di asrama sedang menikmati keseronokan dengan enjoy, santai, tidur dalam kelas, mengantuk ketika belajar, tidak serius study, melanggar peraturan sekolah, suara guru tidak diendahkan dan arahan pengetua dipandang sepi. Ini kemungkinan hasil dari tiada UPSR, PMR/PT3 dan terus masuk peperiksaan besar SPM.

Dari pihak sekolah dan guru-guru, kami telah merancang program akademik sehingga masa anak2 spm sangat padat. Jika ada kelas kosong, guru2 ini berebut kelas nak bagi latihan, nak mengajar, nak habiskan silibus dll. Nak sental anak2 ini dengan 12 subjek spm ini. Ada mereka hargai? Hanya kerana tiada dialog prestasi, mereka panik? mustahil. Nak jumpa guru berdepan adalah alasan yang tak masuk akal juga. Hanya subjek tertentu sahaja yang mereka inginkan. Sila what'sapp guru2 ini dan setting masa untuk datang jumpa jika ingin bertemu muka. 

Bagi diri aku yang mempunyai secebis pengalaman sebagai guru spm selama 3 tahun ini, melihat keadaan ini 'pelik'. Akhirnya timbul persoalan ini.

Apa sebenarnya para ibubapa nak guru-guru buat terhadap mereka?

Apa sebenarnya keluhan anak-anak sepanjang tahun 2025 ini? 

Kenapa mereka membuat aduan sehingga pihak atasan turun ke sekolah dan buat siasatan?

Apa yang boleh mereka bantu kami sebagai tenaga pengajar di sekolah berasrama ini?
1. Bantu dari segi kewangan terutama pibg
2. Bantu jaga emosi guru dan anak2.
3. Doa dan terus berdoa.
4. Jangan ganggu perancangan sekolah.


02 Mei 2025

Tulisan Ilmiah - Arab

Assalamualaikum dan salam jumaat buat pembaca dan pengunjung semua. Aku lah yang baca semula tulisanku ini. Masih adakah orang membaca blog ini?

Hari ni baru aku perasan barangan pos dalam bentuk buku tulisan Tuan Hafizul Faiz bertajuk "Tuhan, Seindah Apa di Hujung Sana?"

Buku Tulisan Tuan Hafizul Faiz

Aku baca berulang-ulang tajuk ini. Semudah ini buat tajuk? Ya! 

Sejujurnya tajuk ini membuatkan aku mula menggeledah isinya. Biar sedikit walaupun tidak semua. Suasana dan keadaan aku membolehkan aku menyendiri untuk merungkai isi kandungan buku ini.

Aku sebenarnya tidak kenal Tuan Hafizul. Aku pernah lihat beliau sekilas sebagai pelajar sarjana musim PKP. Adakah betul beliau sedang sambung belajar? Allahu a'lam.

Aku mula baca sedikit. Santai ceritanya. Santai olahannya. Sesuai dengan santapan keperluanku yang perlu santapan ringan-ringan sahaja. 

Setiap bab aku baca dan baca. Rupanya penghujung setiap bab ada ilmu. Ilmu yang aku paling lemah dan sedang belajar. Ada ilmu saraf!

Mula dengan kata akar,  kata asal sesuatu perkataan arab. Sekali dengan terjemahan. Hebat! Sesuai dengan ilmu beliau dalam sastera Arab.

Kemudian diteruskan dengan Fi'il Madhi , Fi'il Mudhari', Fi'il Amr, Masdar, Isim Fa'il, Isim Maf'ul, Kata Sifat, Fi'il Mazid, Masdar Fi'il Mazid dan Isim Maf'ul Mazid. Fuh! lengkap. Hebat!

Ketika aku sambung belajar ke peringkat sarjana, kelemahan ketara yang aku ada adalah aku tidak faham apa yang kitab arab tulis. Sedangkan sarjana aku sangat memerlukan rujukan arab. Itu antara sebab aku tidak puas melihat disertasi aku dan rujukan aku kerana vocab aku kurang. Metod Kualitatif memerlukan penulisan yang kemas dan penulisan secara naratif. Berbeza dengan metod kuantitatif.

Ada seorang murid aku meminta aku membuat pilihan untuknya sambung belajar menerusi messenger 

"Antara pengajian Islam dan Bahasa Arab, Ustazah akan pilih bidang yang mana?"

Aku balas "Dulu saya ambil pengajian Islam Syariah. Tapi sekarang saya rasa menyesal sebab tidak betul-betul belajar Bahasa Arab. Jika diberi pilihan sekarang, saya akan ambil Bahasa Arab. Sebab Bahasa Arab ada rujukan utama agama kita,"

Tidak aku sangka, dia satu-satunya muridku yang sambung bidang Bahasa Arab. Taajub!

Sekarang anak muridku telah menjadi guru Arab di salah sebuah sekolah di Malaysia. 

Pandangan aku sekarang atau hari ini, ilmu agama seperti akidah,tafsir, syariah/fiqh dan lain ilmu agama perlukan metod khusus melalui guru yang betul. Bahasa Arab hanya tools/alat/jambatan untuk memahami ilmu agama berkenaan.

Nasihat untuk diriku, jangan berhenti mencari ilmu. Kerana ilmu yang ada hanyalah setitik air dari selautan air. Luasnya ilmu Allah yang tak terhitung banyaknya. Hanya Allah yang mengetahui.

21 April 2025

Kesempatan atau kesempitan

Assalamualaikum.

Dah lama aku tak tulis apa-apa di sini. Banyak perkara dalam kepala nak buat, cuma tidak terluah di sini. 

Hidup ini tak sunyi dari peluang dan ambil kesempatan. Tidak kira agamawan atau bukan. Masih mempergunakan orang lain untuk kepentingannya.

Pada mulanya aku menganggap semua pertolongan itu hanya mengurangkan bebannya. Kesian. Tetapi lama kelamaan dia abaikan terus tanggungjawabnya. Aku terus buat kerjanya. Siapa aku? siapa kau sebenarnya? Kuasa siapa yang lebih besar? 

Inilah perkara yang menyakitkan aku sebagai orang bawahan yang perlu menyelesaikan tugasan orang atasan. Lepas tangan bila kita dah tolong kerjanya. Bukan buat sama2. 

Aku perlu ingatkan diriku. Jika ada yang tolong kita, jangan biar dia buat seorang tanpa ambil tahu apa yang dibuat dan apa yang diselesaikan. Cuba fahami dia hanya tolong. Bukan membiar dan mengambil kesempatan.

Aku dah tua untuk fikir semua ini. Aku luahkan dulu di sini dan kemudian akan hilang begitu sahaja. Syaratnya aku perlu keluar dari kepompong itu.

Mendapat rakan sekerja yang saling menyokong adalah satu rahmat. Bekerjasama dan berkongsi kerja. Bukan bagi kerja bulat-bulat tanpa komentar dan ubah suai mengikut keperluan semasa.

29 Januari 2025

Haji Pertama Mak Ayah

Assalamualaikum.

Sebenarnya aku terjumpa diari aku. Diari lama 2003. Lama kan. Sebab sekarang tahun 2025. 

"Hari ini mak buat kenduri kesyukuran dan doa selamat sempena keberangkatan mak ayah menunaikan haji ke baitullah. Anak mak ini akan mendoakan keselamatan pergi dan pulang dengan selamat ke tanah air serta mendapat haji yang mabrur. Mak ayah akan berlepas pada 31 Jan 2002"

Rupanya haji pertama mak ayah pada 31/1/2002. Masa ni aku masih belajar diploma. Sem II kalau tak silap. Masa mak ayah buat haji ni aku buat lesen motor dan kereta. Hanya lesen kereta yang aku sempat selesai. Lesen motor...aku jadi fobia selepas aku bawa motor dan tak dapat kawal hingga langgar pokok. hahaha

"Hari ini juga aku mendapat tahu abang sulongku di dakwa di mahkamah atas tuduhan memandu menyebabkan kematian Ayah Ngah (abang ayah) pada 3/2/2001"

Aku ingat lagi. Aku di tingkatan 5. Tahun SPM aku. Masa ni aku berada di dewan makan asrama. Aku tengah pegang tray besi untuk makan sarapan pagi. Tetiba ada pengumuman panggil nama aku kerana ada waris nak jumpa. Rupanya abang aku yang sedang tunggu keputusan SPM nak jumpa. Sebelahnya ada jiran aku. Sepatah je dia cakap "ayah exciden,". Terus je aku ikut naik kereta jiran terus ke hospital. Masa ni la mata aku terbayang-bayang mimpi aku sama dengan kejadian ini. Masa ni la bermula aku takut bermimpi sebab memberi gambaran peristiwa akan berlaku pada masa akan datang. Abang Sulungku koma, adik R terkeluar tulang dari sendi tangan, adik Ai cedera ringan, Adik M muka kena repair, ayah aku tulang kipas di bahu terkehel, ayah ngah meninggal dunia di tempat kejadian, ayah teh patah tulang paha.

"Pada 28/1/2003 pertuduhan akan dibacakan dan Abang Sulung dibenarkan ikat jamin sebanyak RM1500 dan dikehendaki melantik peguam bagi mewakilinya. Kena bayar upah peguam lagi?! Ya Allah, tabahkanlah hambamu ini dalam menghadapi ujianmu ini"

"Apakah aku patut beritahu Abang L di Mesir yang sedang menghadapi peperiksaan akhir ini? Adakah Abang Id tahu semua ini? 19 /1/2003 aku akan menduduki peperiksaan bagi sem II ini"

" Dalam tempoh mak ayah menunaikan haji, aku yang bertanggungjawab menjaga semua adik2ku. Ya Allah dapatlah aku laksanakan tugas aku ini dengan sempurna. Hanya kepadaMu aku berserah diri. Aminn"

Tak sangka pula ini diari yang aku pernah tulis pada awal tahun 2003.

Penat nak mengulas. Sekian. 

01 Januari 2025

Rumusan Akhir Tahun 2024

Assalamualaikum wbt

Hari ini bermula 1 rejab 1446 Hijrah dan tidak lama lagi akan bertemu ramadan dan syawal. Apa bulan-bulan ini biasa bagi aku?

Hari ini juga 1 Jan 2025. Sekolahku mengadakan jamuan kelab guru dan staff. Meriah dengan pakaian tema denim.

Usiaku mengikut tahun masihi dan hijri adalah 41 tahun. Semakin tua kan. Itu lah adik-adik junior juga berulang kali sebut 'kan dah cerita dulu'. Ya tu tanda aku dah tua. Nak merajuk bukan masanya. Aku dah tidak peduli dengan kata-kata itu. Nak sensitif, tiada masa nak terasa bagai. Biarlah mereka. hahaha

Pada minggu ini iaitu minggu peralihan tahun 2024 ke tahun 2025 begitu cepat masa berlalu. 

Peperiksaan subjekku bagi murid tingkatan 4 berakhir hari selasa 17 Disember. Aku tidak sempat semak kertas mereka pada minggu itu. Aku menjadi ketua AJK sijil bertungkus lumus menyemak nama setiap penerima anugerah gemilang dari APDM dan SSDM kerana aku banyak terima nama dan ic yang salah. Alhamdulillah ajk bawahanku menerima pembahagian tugasku dengan baik tanpa ada pembetulan. Ini kali pertama. Penat tapi puas.

Lebih 300 sijil aku perlu siapkan sekali dengan tandatangan pengetua 'walid'. Patah tangan dan sempat membebel. Berulang kali juga mendengar bebelan sambil tandatangan sijil. Itulah pengetuaku. Aku tak tahu kenapa semua pengetua (3 pengetua dalam tempoh 2 tahun) suka sangat cerita perancangannya sambil minta idea aku. Aku ni kadang-kadang suka bantah tapi tak pernah menang. Baik aku mengaku kalah awal dan dengar sahaja. Kadang aku bagi idea, aku yang kena buat dan selesaikan. 

Selesai MAG, kemudian cuti sekolah. Aku yang masih kepenatan tak sempat rehat walaupun cuti sekolah. Maraton semak kertas peperiksaan hampir 60 skrip calon. Rupanya aku perlu hantar markah sebelum 25 Disember 2024. Demam pun tetap teruskan. Memang tak rasa cuti. 

26 Disember 2024 aku ada kem skor A+ SPM plus jadi warden sekali. Kem ini aku sangat bergantung kepada ketua aku, kak yan. Sekali lagi murid lelaki perlu ke sebuah masjid untuk majlis solat hajat spm. Rupanya murid SPMku tidak tahu. Terkejut lagi sebab aku minta meraka pakai jubah putih. Paling mengejutkan, sepanjang 5 tahun di sini, mereka tiada jubah. Puas tahan mata melihat mesej hentaman pihak warden lain kerana ketidakseragaman pakaian calon spm ini. Adakah salah aku? Aku sangka PK HEM telah memaklumkan kepada mereka. Dia diam seribu bahasa. Entah laaa

Naik persekolahan baharu pada 29 Disember 2024, mula dengan Majlis Restu Ilmu. Hari seterusnya 30 Disember 2024 Majlis Khatam Al-Quran Perdana. 31 Disember 2024 Putra Day untuk murid Aspura. Simple sangat tapi berjaya selesai sebelum solat maghrib. Hari ini Jamuan Guru dan staff sempena tahun baru masihi 2025.

Hidupku banyak di sekolah dan asrama. Adakah tahun ini masih begini? Adakah aku akan hidup sebagai guru dan warden di sekolah hebat ini? Jadual 2025 telahku susun dan hantar kepada pk hem tapi tiada respon. Kes asrama yang aku kumpul masih belum ada tindakan. 

Tahun 2025 semakin mencabar dengan bakal calon spm batch pertama tanpa peperiksaan UPSR. Aku juga mungkin banyak terlibat dengan semakan spm subjekku sendiri. Semuanya bermula sejak aku dipaksa melaksanakan kerja ini di negeri pantai barat. Moga ada sinar untukku terus sihat dan terus berbakti kepada anak2 tahfizku.

Nabi Musa siri 1

Dalam surah al-Qasas ini Allah ingin memberitahu kita sebagai hambanya tiada kekuatan tetapi Dialah yang berkuasa ke atas segala-galanya ter...