01 September 2010

Perang Badar 2 (mimpi Atikah)

Atikah binti Abdul Mutalib berasa susah hati dengan apa yang terjadi. Pada mulanya dia mnyangka selepas Muhammad dan pengikutnya berhijrah ke Madinah, suasana di Mekah akan aman dan tenteram tetapi berlaku sebaliknya.

"Saya hairan mengapa Abdul Hakam, Abdul Uzza dan Umaiyah memusuhi Muhammad. Sedangkan Muhammad tidak pernah memusuhi mereka," Atikah meluahkan perasaan tidak puas hatinya kepada abangnya, Abbaas bin Abdul Mutalib.

"Mereka marah kerana Muhammad menjadi pesuruh Allah dan menyebarkan agama baru kepada penduduk Mekah," kata Abbas.

"Mereka sendiri bukanlah orang yang kuat berpegang kepada agama nenek moyang kita. Mengapa mereka marah dan memusuhi Muhammad?" tanya Atikah lagi.

"Mereka itu sombong dan keras hati kerana banyak harta dan berpangkat. Mungkin mereka bimbangMuhammad menjadi lebih popular daripada mereka," jawab Abbas.

**************

"Aku antara keluarga Abdul Mutalib yang paling gembira ketika Muhammad dilahirkan. Aku juga memanggilnya al-Amin kerana dia seorang yang jujur dan tidak pernah berdusta. Tetapi sejak mUhammad mengaku menjadi pesuruh Allah, aku mula membencinya. Kasih sayang ku bertukar benci," kata-kata ini sering diucapkan oleh Abdul Uzza yang digelar Abu lahab apabila meluahkan rasa bencinya kepada Muhammad.

"Muhammad itu keluarga kita daripada keturunan Abdul Mutalib. Sekiranya benar dia menjadi pesuruh Allah, alangkah bertuahnya kita. Keluarga kita lebih dihormati serta dipandang tinggi kerana ada natara keluarga kita menjadi nabi,"Atikah pernah menuturkan kata-kata itu kepada Abu Lahab.

"Sekiranya Tuhan hendak melantik seorang nabi di kalangan keluarga Abdul Mutalib, aku orang yang paling layak. Aku kaya dan dipandang mulia oleh orang ramai. Muhammad yang sepatutnya menjadi pengikut aku. Bukan aku menjadi pengikutnya," balas Abu Lahab.

***************

"Muhammad itu seorang yang luar biasa," puji Atikah yang mengagumi anak saudaranya itu sejak kecil.

"Luar biasa? Apa maksud Ummi?" tanya Zaharah, anak Atikah.

"Ummi turut berada di rumah Aminah ketika Muhammad dilahirkan. Menurut ibunya Aminah, dia langsung tidak sakit ketika melahirkan anaknya. Kelahiran Muhammad disaksikan oleh seorang Bidan. Bidan berasa hairan kerana dia melihat ada orang lain yang sedang menyambut kelahiran Muhammad. Dia cuma menyaksikan sahaja. Selepas Muhammad selamat dilahirkan, orang itu hilang daripada pandangan," jawab Atikah.

"Siapakah orang itu, Wahai Ummi?" tanya Zaharah lagi.

"Mungkin bidadari syurga ataupun makhluk ghaib yang baik. Dia dihantar oleh Tuhan bagi menyambut kelahiran Muhammad," jawab Atikah.

"Ummi percaya adanya Tuhan selain al-Latta dan al-Uzza?"

"Datuk kamu Abdul Mutalib pernah beritahu Ummi bahawa Kaabah itu dijaga oleh Tuhan yang paling berkuasa. Kerana itu, apabila tentera bergajah Abrahah hendak meruntuhkan Kaabah, datuk kamu berkata, Kaabah itu kepunyaan Tuhan. Dia akan melindunginya," jawab Atikah.

"Selain itu, apa lagi kelebihan Muhammad?" tanya Zaharah.

"Biasanya bayi baru lahir akan menangis tetapi Muhammad tidak begitu. Dia diam sahaja walaupun bidan menepuk-nepuk tubuhnya. Matanya terbuka dan kelihatan bersinar-sinar seperti sedang melihat sesuatu," jawab Atikah.

Kemudian katanya lagi," Biasanya bayi lahir terlentang tetapi Muhammad lahir dalam keadaan meniarap. Selepas dilahirkan, kepalanya mendongak ke langit. Matanya turut merenung ke langit dan jari telunjuknya terangkat. Maka bidan berasa hairan kerana belum pernah dia melihat bayi dilahirkan berkeadaan begitu,"

Selepas lama berbual panjang, kedua beranak itu terlena. Pada malam itu Atikah bermimpi sesuatu yang menakutkannya. Keesokannya Atikah menceritakan kepada Zaharah.

"Seeloknya ummi berjumpa dengan Pak Cik Abbas. Beritahu dia berkenaan mimpi ini. Mungkin dia boleh mentafsirkannya," Cadang Zaharah.

Atikah bersetuju lalu menemui Abbas bin Abdul Mutalib.

"Wahai saudaraku Abbas. Malam tadi saya bermimpi sesuatu yang paling menakutkan. Saya bimbang mimpi itu membawa alamat yang tidak baik bukan sahaja kepada saya malah kepada seluruh penduduk kota Mekah,"kata Atikah dengan harapan Abbas tertarik hati mendengarnya.

"Saya bukan ahli tafsir. Tetapi saya begitu tertarik hati mengetahuinya," kata Abbas pula.

"Dalam mimpi itu, saya melihat seorang lelaki datang ke kota Mekah menaiki seekor unta yang besar. Kemudian berhenti di kawasan di tengah kota Mekah lalu berteriak dengan suara yang sangat kuat, wahai kaunm Quraisy, kamu akan berangkat ke tempat kematian dalam masa tiga hari lagi."

"Mendengar teriakan itu, orang ramai pun keluar dari rumah masing-masing lalu berkumpul di kelilingi lelaki itu. Kemudian lelaki itu mengulang semula kata-kata itu. Orang ramai ketakutan sambil menangis. Kemudian lelaki itu masuk ke MAsjid lalu berdiri dihadapan Kaabah. Lelaki itu berteriak dengan suara yang nyaring. wahai sekalian penduduk Mekah, tiga hari lagi kamu akan berangkat ke tempat kematian. Hendaklah kamu bersedia!"

"Kemudian lelaki itu mendaki bukit Qubis lalu diangkatnya sebuah batu besar. Kemudian batu itu dihumbankannya ke bawah. Tiba-tiba batu itu berpecah menjadi berkeping-keping lalu mengenai rumah-rumah di kota Mekah. Tidak ada sebuah rumah pun yang terselamat daripada serpihan batu itu. Akhirnya semua rumah di kota Mekah ini hancur," kata Atikah menceritakan mimpinya.

(bersambung)


Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mesyuarat atau bengkel mengikut zon

Assalamualaikum wbt 2 minggu aku batuk dan sukar bercakap dengan jelas. Cabaran kepadaku kerana kerjayaku memerlukan percakapan. Baca laju s...