21 November 2011

Darah Muda Alaf 21.

Entri ini untuk ibu bapa dan penulis muda. Aku bukan penulis tetapi berminat menulis. Mencoretkan sesuatu untuk ingatanku dan pembaca sekalian.

Aku terbaca dari blog SINI berkaitan dengan 'novel lucah'. Bagi aku novel jenis ini bukan memberi kebaikan malah keburukan kepada peminat novel yang terdiri daripada remaja. Tidak mustahil anak zina adalah hasil dari minat novel genre jenis ini. Ikuti bicara penulis di bawah ini.

Saya ditanya satu soalan menarik, dan saya tertarik menjawabnya. Berkenaan novel-novel remaja yang mengandungi unsur lucah.

Atau sekarang lebih panas dikenali dengan nama ‘novel cabul’.

Baik. Tuan puan para penulis yang belum mengenali saya. Mari kita berkenalan terlebih dahulu :)

Nama saya Azzah. Saya adalah coach penulisan kreatif. Alhamdulillah, saya sudah menghasilkan tujuh buah buku (termasuk satu ebook), tiga manuskrip sedang disunting, tiga manuskrip sedang ditulis, dan saya menulis artikel bulanan untuk MajalahNiaga.com.

Mazhab penulisan saya ialah Teknik Surah Yusuf (TSY), yang digali daripada Surah Yusuf dalam Quran, tentunya. Teknik ini dikaji dan dikembangkan oleh Puan Ainon Mohd., yang diketahui sebagai pakar dalam bidang bahasa dan penulisan sejak berpuluh tahun lamanya.

Baik, di sini saya perkenalkan TSY secara ringkas.

Mengapa TSY menjadi pilihan saya?
  • Ayat ketiga dalam Surah Yusuf berbunyi, “Kami ceritakan kepadamu, seindah-indah kisah….”
  • Surah Yusuf adalah satu-satunya surah yang mengandungi kisah penuh seorang nabisebagai watak utama. Berbanding nabi-nabi lain, kisah mereka ada dalam surah itu dan surah ini – tidak dikumpulkan dalam satu surah tertentu sahaja.
  • Surah Yusuf diceritakan oleh Allah mengikut kronologi waktu yang tersusun – sejak Nabi Yusuf kecil sehingga dewasa.
  • Surah Yusuf diturunkan oleh Allah, jadi sudah tentu ia patuh syariah. Walaupun ada babak aksi negatif, iaitu Zulaikha menggoda Nabi Yusuf, ia tidak diceritakan dengan terperinci. Babak adik-beradik Nabi Yusuf menganiayai beliau juga tidak diceritakan dengan terperinci.
  • Surah Yusuf, walaupun hanya dalam satu surah sahaja, kisahnya lengkap dengan plot, sub-plot, konflik, watak protagonis dan antagonis dsb – melengkapi ciri-ciri sebuah novel.
Jadi, secara peribadinya, saya menerima dan berpegang kepada teknik menulis novel gaya Surah Yusuf kerana (1) surah ini diceritakan oleh Allah, Tuhan saya, (2) Allah kata ia kisah yang paling indah, dan saya amat percaya itu, dan (3) ia mengandungi panduan menulis yang lengkap. Terbaik! d(^_^)b

Bising-bising.

Tetapi, apa itu novel cabul?

Saya mendefinisikan novel cabul sebagai,
“Novel yang mengandungi aksi-aksi berunsur seks yang ditulis secara terperinci. Sama ada aksi permulaan ataupun semasa hubungan seks dilakukan.” – Azzah AR, 2011.
Novel ini tidak dilabel sebagai novel ‘panas’ di kulitnya, apatah lagi dalam promosinya. Berbeza dengan novel cabul tahun 90-an, di kulitnya sahaja sudah digambarkan kandungannya adalah cabul lagi lucah.

Mereka bertanya, “Novel begini sudah wujud sejak tahun 90-an. Mengapa sekarang baru digembar-gemburkan?”

Saya menjawab, “Novel cabul tahun 90-an tidak dijual di kedai-kedai buku utama. Hanya tersebar di kedai-kedai buku kecil, kedai majalah dan surat khabar. Jadi, novel cabul tahun 90-an tidak tersebar dengan meluas, tidak dijual beribu-ribu naskhah dan tidak dicetak ulang berpuluh kali.”

Mereka berkata, “Novel ini tidak menyalahi hukum agama kerana watak yang melakukan hubungan itu adalah watak suami isteri. Apa yang ditulis adalah realiti dalam hubungan suami isteri. Jadi, realiti tidak perlu diselindungkan daripada umum.”

Saya membalas dengan bertanya semula, “Siapa pembacanya?”

Saya belum mendapat jawapan mereka untuk soalan ini.

Tidak mengapalah, biar saya jawab sendiri.

“Pembacanya adalah remaja. Masih bersekolah, belum berkahwin. Tuan puan ibu bapa yang mempunyai anak remaja yang suka membaca novel. Apa perasaan tuan puan, apabila mendapati koleksi novel yang menimbun di bilik tidur anak-anak tuan puan itu, sebenarnya mengandungi aksi berunsur seks yang terperinci? Begitu terperinci sehinggakan tuan puan yang sudah berkahwin pun, turut terganggu ‘ketenteraman’ apabila membacanya. Saya tidak fikir itu adalah sesuatu yang menggembirakan.”

Baik.

Saya yakin tuan puan yang membaca blog saya ini, adalah ibu bapa yang menapis setiap halaman novel yang dibaca oleh anak-anak. Syabas saya ucapkan.

Mari kita berfikir lebih jauh ke hadapan. Ada kemungkinan, tuan puan akan berbesan dengan ibu bapa yang tidak menapis bahan bacaan anak mereka. Maaf, bukan tidak menapis. Sebenarnya mereka tidak tahu koleksi novel yang anak mereka miliki itu adalah novel cabul. Mereka tidak tahu pun berkenaan kewujudan novel ini. Tetapi anak-anak mereka tahu dan tidak mungkin memberitahu mereka berkenaannya.
Mahukah tuan puan bermenantukan penggemar novel cabul?

Juga, dalam Islam, aksi dalam kain – walaupun pelakunya suami isteri, dilarang dipertontonkan walaupun kepada anak sendiri di dalam rumah. Inikan pula di depan orang lain. Apatah lagi dipertontonkan dengan jelas dalam novel. Walaupun watak itu adalah rekaan, pembacanya tetap manusia yang ada nafsu.

Mereka menempelak, “Kamu CEMBURU kerana novel kamu tidak selaris novel kami – apatah lagi masuk carta buku best seller!”

Ha… yang ini saya jawab dengan ketawa.
(Sebentar, saya masih ketawa.)
Aduhai~ (senak perut).

Tidak mengapalah. Yang berkata begitu, adalah mereka yang tidak mengenali saya. Tidak pernah bertemu saya secara berdepan, jauh sekali melihat aktiviti harian saya dan sudah tentu tidak maklum berkenaan matlamat kehidupan saya yang paling unggul. Mereka juga bukan Facebook Friend saya. Jadi, saya maafkan sahajalah tuduhan itu.

(Menghabiskan sisa ketawa.)

Apapun, tuduhan ini memang sudah dijangka oleh saya dan rakan-rakan penulis yang sepayung dengan saya.
(Masih tersengih. Tarik nafas dalam-dalam, dan berdehem.)


Tanya mereka, "Bukan salah penulis semata-mata. Editor dan penerbit yang sepatutnya dipertanggungjawabkan dalam hal ini. Siapa suruh mereka menerbitkan novel begitu?"


Mereka berkata lagi, “Novel Bahasa Inggeris cabul juga, mengapa tidak dihalang jualannya?”
Tegas mereka, “Penulis hanya berkreatif. Terpulang kepada pembaca mahu menganggap apa. Pandai-pandailah mereka menapisnya.”
"Jawab saya,"Dik, mengapa dari tadi asyik meng-taichi-kan isu ini kepada orang lain pula?"
 Saya sambung sedikit lagi pengenalan diri. Saya berpengalaman sebagai jurulatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) pada tahun 2004 hingga 2007. PLKN memberi saya peluang berkenalan rapat dengan beribu remaja berusia 18 tahun dari pelbagai latar kehidupan. Daripada pelatih yang bijak pandai (keputusan SPM berpuluh A), pelatih sederhana (keputusan SPM biasa-biasa) sehingga pelatih yang langsung tidak pernah bersekolah, rosak akhlak, kehidupan yang hancur dsb.

Selepas PLKN, saya menjalankan training sendiri ke seluruh negara. Maka lebih ramailah remaja dari pelbagai latar yang saya kenali.

Mohon izin saya berpesan kepada tuan puan para ibu bapa yang mempunyai anak remaja yang suka membaca novel.

Pengalaman saya selama dalam bidang kejurulatihan, saya hanya kenal para remaja yang rosak akhlak terdiri daripada remaja yang tidak bersekolah, ponteng sekolah, buta huruf dan jauh sekali kaki buku. Tidak ada mat rempit, penagih dadah, GRO dan bohsia yang suka baca buku.

Melihat kebanjiran novel cabul sekarang, remaja kaki buku pula yang sedang dirosakkan perlahan-lahan.
Timbunan novel cabul memenuhi rak buku mereka di rumah. Ibu bapa tidak mengesyaki apa-apa kerana seronok melihat anak-anak mereka rajin membaca, daripada berpeleseran di luar.

Namun, novel apa yang mereka baca?

Mohon tuan puan, para ibu bapa yang mahu anak-anak melangkah bersama-sama ke syurga kelak. Mohon semak dan tapis bahan bacaan anak-anak tuan puan. Walaupun tuan puan beri mereka wang supaya mereka bebas memilih sendiri buku yang mereka suka, mohon tetaplah ditapis terlebih dahulu. Sungguh saya bimbang berkenaan ini. Walaupun ada babak cabul itu ditulis seperti teaser sahaja, tetap ia dapat mendatangkan rasa ‘tidak tenteram’ kepada pembaca, apatah lagi yang longgar imannya.

Baru-baru ini, seorang rakan penulis prolifik lagi best seller berkongsi satu penyataan yang didengarinya daripada seorang ‘romeo’.

Lebih kurang begini kata ‘romeo’ itu, “Kalau mahu kenal perempuan yang mudah dibawa ke sana ke mari, tengok novel apa yang dibacanya.”
Tuan puan, pengakuan romeo ini sungguh mengerikan saya.

Mohon izin saya berpesan kepada tuan puan rakan penulis yang sama-sama ingin disayang Tuhan dan manusia.

Berdasarkan larangan Allah supaya jangan menghampiri zina.

“Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat.” [Surah al-Israa', ayat 32]

Perkataan ‘jangan’ dalam ayat ini membawa perintah larangan. Perintah larangan yang dilanggar, akan menjadi dosa.

Menghampiri sahaja sudah dilarang, apatah lagi merangsang orang menghampirinya. Aksi panas terperinci yang menjadikan novel cabul layak digelar cabul. Kalau satu pasangan berzina, apabila mereka bertaubat, Allah terus ampunkan mereka. Kalau penulis yang merangsang orang berzina melalui buku, kemudian buku itu dicetak ulang berpuluh kali, yang tidak membeli, meminjam bagi membacanya. Sehingga selepas penulisnya meninggal dunia pun ia masih dibaca beribu orang, masih merangsang nafsu beribu orang, masih menghasilkan beribu penzina… mampukah penulis pergi meminta maaf kepada setiap seorang pembaca novel cabulnya itu? Nauzubillahi min zalik.

Sebagaimana konsep dakwah melalui buku adalah antara ‘ilmu yang ditinggalkan selepas mati’, serupalah dengan merangsang pembaca melakukan zina melalui buku dan kesannya selepas penulis mati. Kita sudah di dalam kubur, sedang sibuk menepis soalan maut daripada malaikat, di atas dunia orang masih berzina kerana terangsang selepas membaca buku kita yang masih terjual di pasaran.

Di akhirat kelak, jika ada seorang perempuan didakwa kerana menggugurkan anak luar nikah, kemudian mata perempuan itu berkata kepada Allah, “Tuan saya ini melakukan zina kerana terangsang selepas membaca apa yang si penulis ABC tulis dalam buku XYZ.” Aduhai… mohon Allah jauhkan!

Tuan puan, dalam Quran, surah al-Qalam ayat pertama,

“Nuun. Demi pen dan apa yang mereka tulis.”
*’Qalam’ dalam bahasa Melayu bermaksud ‘pen’.

Allah bersumpah demi pen dan penulisan. Penulisan adalah bidang yang kita, para penulis, ceburi. Allah siap menyediakan sebaris ayat dalam Quran yang merujuk bidang kita ini, sebagai panduan dan peringatan. Betapa mulia sebenarnya kerjaya penulis yang kita sedang lakukan ini, sehingga Dia menamakan satu surah khas dengan nama ‘pen’. Dia mengangkat kerjaya kita dalam Quran – kitab yang paling agung lagi mulia.

Subhanallah!

Demi pen dan apa yang kita tulis. Kita bertanggungjawab sepenuhnya terhadap setiap apa yang kita tulis. Di akhirat kelak, kita tidak akan ditanya di tangga ke berapa novel kita berada dalam carta best seller kedai-kedai buku gergasi. Kita tidak akan ditanya sudah berapa puluh kali novel kita dicetak ulang. Kita tidak akan ditanya berapa jumlah royalti yang kita perolehi. Kita hanya akan ditanya, apa yang kita tulis dalam novel kita sehingga merangsang pembaca menjadi begitu dan begini. Tanggungjawab kita terhadap kesan yang dialami oleh para pembaca novel kita. Lebih menakutkan, pada waktu itu mulut kita terkunci – langsung tidak dapat memberitahu Allah setiap jawapan yang sudah kita rancangkan. Sebaliknya anggota tubuh yang terlibat dalam proses kita menulis yang akan menjadi jurucakap dengan jujur dan telus.

Dan kematian kita sudah semakin hampir. Mungkin esok atau lusa. Pengadilan di Mahsyar juga sudah tidak lama sahaja lagi.

Bersediakah kita?

Bekalan bagaimana yang akan kita persembahkan kepada-Nya?

Saya yakin, tuan puan yang membaca entri saya ini adalah orang yang bersama-sama mahu memelihara industri buku karya penulis muslim Melayu dengan menghasilkan karya-karya baik lagi patuh syariah. Karya-karya yang dapat membantu membangunkan dunia baru Islam dengan cara santai dan ceria lagi bermanfaat; tanpa perlu melucah, dan juga tanpa perlu berdakwah keras. Karya-karya yang menjadikan umat Islam pintar cemerlang dunia akhirat.

Allah melihat, malaikat mencatat.

Didoakan Allah mengampunkan dosa dan keterlanjuran kita dalam menulis.

Didoakan semua yang membaca entri ini, akan menjadi penulis yang disayang Allah.

Didoakan para pembaca di luar sana dalam keadaan sejahtera disebabkan membaca karya kita yang membanggakan Rasulullah.

Amin.

Azzah AR

http://azzahrahman.com


SUMBER : Azzah AR

2 ulasan:

  1. dasyat la dunia penulisan skang.. da dicerobohi tempias lucah secara halus. hati2 bila memilih bahan bacaan. pendidikan seks tu perlu tp biar berpada dan bukan untuk merosakan minda apatah lagi jiwa remaja yang rapuh lagi lemah. moga ibu bapa pantau anak2 yg suke membaca demi sayangkan masa depan anak2..;)

    BalasPadam
  2. Yup =)

    Masa depan anak2 paling penting kerana mereka pemimpim masa hadapan.

    Dunia akhir zaman memerlukan perhatian daripada ibu bapa. Pendidikan bermula di rumah.

    Walaupun mereka sudah dewasa, mereka tetap memerlukan nasihat dan pandangan dari orang tua mereka.

    Pilihlah novel yang berbentuk ilmiah dan pengajaran yea =)

    BalasPadam

Mesyuarat atau bengkel mengikut zon

Assalamualaikum wbt 2 minggu aku batuk dan sukar bercakap dengan jelas. Cabaran kepadaku kerana kerjayaku memerlukan percakapan. Baca laju s...