Keju merupakan metafora bagi perkara yang dimahukan dalam hidup seperti pekerjaan, perhubungan, wang, rumah banglo, kebebasan , kesihatan, pengiktirafan, ketenangan dan segala aktiviti mereka.
Daerah 'Maze' adalah organisasi tempat kerja, komuniti tempat tinggal dan hubungan yang dimiliki.
Tikus akan mencari keju keras supaya mudah digigit dan manakala manusia kerdil mencari keju 'K'. Manusia ini mempunyai pemikiran kompleks dan mempunyai kepercayaan serta mengikut perasaan.
gambar: pak google link
Daerah 'Maze' adalah sebuah tempat yang berliku dan berselirat. Keju yang lazat tersembunyi disebalik liku-liku ini. Namun, ada juga ceruk yang gelap serta jalan mati. Jika kita berada di sini, kita akan mudah sesat.
Bagi yang menemui jalannya, daerah ini memiliki rahsia yang membantu mereka menikmati kehidupan lebih baik.
Tikus-tikus ini menggunakan kaedah cuba-cuba ketika mencari keju. Mereka pergi ke satu lorong ke satu lorong. Jika mereka tidak menjumpai keju disitu, mereka akan mencari keju di lorong lain. Jika tiada juga, mereka akan mencari di daerah lain.
Sniff menghidu arah yang membawa kepada bau dengan menggunakan hidungnya yang peka. Manakala Scurry pula akan bergegas ke situ. Oleh itu, mereka kadang-kadang sesat atau terlanggar dinding. Tidak lama kemudian mereka menemui jalan yang betul.
Manusia kerdil Hem dan Haw menggunakan kemahiran berfikir dan belajar dari peristiwa yang lalu. Walau bagaimanapun, mereka bergantung kepada akal yang kompleks seterusnya menggunakan kaedah lebih canggih bagi mencari keju.
Kadang-kadang mereka berjaya tetapi pada masa lain, kepercayaan dan emosi kuat mempengaruhi pandangan mereka. Hal ini bertambah rumit dan mencabar.
Keempat-empat watak ini menemui keju idaman menerusi cara mereka yang tersendiri. Mereka menemui keju itu di Stesen Keju C.
Selepas menemui stesen keju ini, mereka bersiap setiap pagi untuk ke situ. Kemudian kehidupan itu menjadi rutin harian mereka.
Sniff dan Scurry tetap bangun pagi berkejaran di laluan yang sama dalam Daerah Maze.
Sampai di destinasi, mereka menanggalkan kasut. Kemudian mengikat kasut masing-masing ke leher mereka supaya mereka tidak perlu mencari-cari kasut itu di tempat lain. Selepas itu , baru mereka menikmati keju mereka.
Pada awalnya, Hem dan Haw turut berlari ke stesen itu setiap pagi bagi menikmati potongan-potongan keju yang baru mereka temui.
Tidak lama kemudian, rutin manusia berubah sedikit demi sedikit.
Hem dan Haw bangun semakin lewat setiap pagi. Mereka mengambil masa yang lama untuk bersiap dan berjalan menuju ke stesen keju itu.
Mereka sudah tahu tempat itu tanpa mengetahui dari mana keju itu datang. Mereka mengandaikan keju itu pasti berada di situ.
Sebaik sahaja mereka sampai ke Stesen Keju C, Hem dan Haw akan menanggalkan pakaian joging dan menyimpan kasut mereka. Mereka hanya memakai selipar. Hem dan Haw merasa selesa selepas menemui keju.
"Hebat sungguh hidup ini. Keju ini tidak akan habis," kata Hem. Mereka menyangka hidup mereka dijamin selamat.
Mereka menyangka keju itu hak milik mereka. Mereka membina rumah dan hidup dalam masyarakat itu. Bagi meningkatkan keselesaan mereka, mereka menghiasi dinding dengan kata-kata dan gambar keju.
Pada suatu hari, Sniff dan Scurry mendapati keju tidak ditemui di Stesen Keju C. Mereka sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Kenyataan keju hilang atau tiada tidak mengejutkan mereka. Mereka tidak mengalisis persekitaran secara mendalam kerana mereka adalah dua ekor tikus. Oleh kerana Stesen Keju C telah berubah, mereka membuat keputusan untuk keluar dari stesen itu untuk mencari keju baru.
Tidak lama kemudian, Hem dan Haw sampai ke Stesen Keju C. Mereka masih lambat kerana memikirkan kedudukan mereka yang selamat. Mereka sangat terkejut. Haw hanya mendiamkan diri. Hem menjerit-jerit seolah-olah ada seseorang yang akan memberikan keju yang telah dicuri. Semua pekikan mereka sia-sia.
Hem dan Haw cuba mencari keju itu disekeliling Stesen Keju C. Usaha mereka tidak membuahkan hasil. Bahkan mereka bertambah penat kerana kelaparan. Jika sebelum ini, mereka pulang terkedek-kedek akibat kekenyangan tetapi kali ini mereka bertambah kusut dan hampir putus asa.
Mereka berulang alik dari rumah ke Stesen Keju C. Akhirnya pada suatu hari Haw mentertawakan diri sendiri kerana kebodohannya yang takut untuk berubah. Dia berusaha memujuk Hem untuk keluar ke Daerah Maze. Dia beranggapan biar berusaha daripada tidak bertindak langsung. Hem enggan mengikutinya dan menunggu sahaja Keju itu muncul.
Haw meninggalkan jejaknya dengan melakar kata-kata di dinding tempat yang dilalui. Tujuannya supaya Hem dapat menjumpai jejaknya dan tidak tersesat di Daerah Maze yang mencabar itu. Haw hanya menjumpai baki-baki keju dilaluan yang dilaluinya. Dia menyimpan dalam poket untuk dijadikan bekalan dalam perjalanan.
Haw menjumpai beberapa Stesen Keju. Stesen itu kosong. Haw meneruskan perjalanan dan akhirnya menemui Stesen Keju N. Usahanya tanpa jemu dan sentiasa berfikiran positif membawanya ke tempat yang mempunyai timbunan keju yang banyak. Di situ, dia menjumpai Sniff dan Scurry. Mereka mengalu-alukan kedatangannya.
Kata-kata yang ditulis oleh Haw:
Perubahan Sentiasa Berlaku
Perubahan menyebabkan Keju beralih
Menjangka Perubahan Berlaku
Bersedia apabila Keju beralih
Memantau Perubahan
Jikalau kita sering menghidu Keju, kita tahu bila ia rosak
Beradaptasi dengan Perubahan Secepatnya.
Semakin cepat kita melepaskan Keju lama, semakin cepat juga kita menemukan Keju baru.
Berubah
Beralih seiring dengan Keju
Menikmati Perubahan
Nikmat proses perubahan dan rasa Keju baru
Bersedia untuk Berubah Secepatnya dan Nikmati Perubahan Tanpa Henti
Perubahan menyebabkan Keju beralih.
SUMBER: Who Moved My Cheese Edisi Melayu. Dr Spencer Johnson.
NOTA: Untuk semua rakan guru...Selamat Hari Guru...Guru Malaysia 1Aspirasi 1Agenda! Moga Allah membalas usaha anda dengan pahala yang berlipat kali ganda. Sedekahkan Al-Fatihah untuk guru masing-masing termasuk ibubapa kita.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan