14 Disember 2014

2 Saman???!

Assalamualaikum wbt.

Semakin jarang aku bercerita tentang diriku. Semakin tiada cerita. Semakin sukar berkongsi cerita. Alhamdulillah. Allah masih memanjangkan umurku walaupun sudah masuk 3 series. Apa maksudnya? Aku juga tidak tahu maksud itu. Toing! Aku sudah mula terpengaruh diari mat despatch. Apakan daya aku masih dalam proses membaca satu kisah lagi.

'Subhanallah'

Cuti akhir tahun merupakan cuti paling lama aku berada di kampung. Bukan senang nak cuti kan. Sejak aku bekerja, aku selalu menjadi bahan amukan. Bukan. Bebelan. Mungkin sebagai ugutan. 'Cuti bukan boleh diambil sesuka hati!'. Sejak bila aku ambil cuti tanpa sebab. Ikut suka. Aku jarang bercuti. Tetapi apa yang aku lihat, orang yang bercakap itu, lebih banyak bercuti. Adakah dia bercuti tanpa sebab? Terpulang kepada dirinya. Jawablah sendiri dengan Allah.

Angin aku kadang-kadang baik. Kadang-kadang tidak. Sebab itu aku pernah nak tukar 'aku' kepada 'saya' dalam penulisan dalam blog ini. Oh! aku tidak berjaya. Terasa pelik. Aku bukan lembut seperti yang disangka. Aku juga bukan keras seperti aku sangka. Kelemahan tetap ada. Tiada sesiapapun  di dunia ini 'sempurna' kecuali Rasulullah SAW. Allahumma Solli Ala Sayyidina Muhammad Wa Ala Aali Sayyidina Muhammad.

Tahun 2014 bakal menutup tirai. Banyak perkara berlaku tanpa diduga sebelum bercuti. Guru bersalin tanpa pengganti. Pengganti datang minggu terakhir sebelum bercuti. 7 hari sahaja. Kelam kabut. Itulah situasi yang berlaku. Tak dapat aku gambarkan dengan penulisan ini. PT3. Penandaan PT3. Hampir 4 kali. aku buat semakan. Kemudian semakan dari guru luar. Itu semua untuk memastikan pelajar-pelajar tingkatan 3 mendapat markah yang sewajarnya mengikut cara yang betul. Peperiksaan akhir tahun. Perlu buat sendiri. Selepas siap dihantar untuk di fotostat, baru guru yang bercuti hantar soalan. Terima kasih. Maaf kerana tidak memberi soalan itu. Buat soalan. Tanda skrip jawapan pelajar. Apa yang mengecewakan bagi pelajar tingkatan 2, hanya 5 orang lulus dari kelas pertama. Astagfirullah. Moga tahun depan ada peningkatan. Bagi tingkatan 1, kalian teruskan usaha untuk berjaya pada tahun akan datang. Adakah aku akan mengajar tingkatan 3 tahun depan? Terpulang kepada pihak pentadbir sekolah. Aku tiada halangan. Hanya mengikut arahan yang sesuai mengikut kemampuan aku.

Tahun 2015 bakal muncul. Fitnah semakin berleluasa. Penguasa zalim semakin memunculkan diri. Adakah kita orang Islam mampu mempertahankan Islam dalam diri masing-masing? Semoga Allah memberi kekuatan kepada diri kita mempelajari ilmu berkaitan Islam. Jangan berhenti jika sudah dilaksanakan.

Kurikulum bersepadu DINI bakal diwajibkan tahun 2016. Sekolahku tidak dapat melaksanakan KBD ini. Tidak aku ketahui apa sebabnya. Bagi aku, bukan senang memartabatkan Islam di Sekolah Agama sendiri selagi diri sendiri tidak berubah ke arah kebaikan. Teori dan praktikal adalah berlainan. Jika kita pandai bercakap, adakah kita dapat melaksanakan kebaikan itu. Banyak duri terbentang dihadapan. Istiqamah dan taawakal kepada Allah adalah sebaik-baiknya.

Banyak kejutan bakal berlaku 2015? Sebab itu aku memilih tunggu dan lihat apa yang bakal berlaku. Aku harap diri aku kuat dan tabah menghadapinya. Begitu juga guru-guru dan pelajar-pelajar yang lain. Pelajar baharu yang bakal mendaftarkan diri di tingkatan 1. Berapa jumlah mereka? Bagaimana karenah mereka? Siapa yang mengajar mereka? Bagaimana pelaksanaan program tahun depan? Siapa guru yang kekal dan siapa guru yang bakal berpindah? Semuanya menjadi tanda tanya. Allah menguji hambaNya mengikut kemampuan hambaNya. Perancangan Allah adalah sebaik-baiknya. Berhati-hatilah dengan doa orang yang dizalimi. Tak kira siapa. Doa orang yang dizalimi tiada hijab. Amat mustajab doanya.

Umrah. Tahun ini, ramai rakan-rakanku mendapat jemputan Allah menunaikan umrah. Doakan diriku untuk ke sana lagi. Aku rindu saat berada di sana. menjadi Dhuyufur Rahman!. Subhanallah. Pengalaman yang amat bernilai. Mutowif menyangka aku gurunya. Naik bukit menuju ke gua hira'. Menggeletar lutut. Tinggi. Betapa kuatnya pengorbanan Siti Khadijah ketika Rasulullah berada di sana. Sedangkan umur beliau bukan muda belia. Terkejut dengan sapaan pemilik kedai yang mengatakan aku pernah belajar di Al-Azhar, Mesir. Sedangkan aku belum bercakap. Hanya meneliti beberapa barang  yang aku ingin beli seperti za'faran dan kasturi. Haidku terhenti di Madinah dan bersambung di Mekah selepas mengerjakan umrah wajib. Subahanallah!

Balik kampung 22 Nov 2014. Cara pemanduan aku seperti biasa. Aku ikut mana-mana kereta yang lebih laju dari Myviku. Kali ini aku memandu mengikut kelajuan kereta Honda putih. Follow and follow. Tetiba Si Honda putih masuk ke laluan kiri. Ketika itu aku masih di laluan paling kanan. Bila Si Honda masuk ke kanan, aku nampak polis trafik dan kameranya mengarah kepada keretaku. Kelajuan ketika itu sudah pasti melebihi 110km/j. Alamak! Aku terkena! Aku tepuk dahi. Kena apa???! Itulah tajukku. Satu saman lagi adalah saman lama ketika aku pulang bulan oktober baru-baru ini. Siapa memandu? Wallahua'lam.

Tadi aku telah selesai membayar saman. Bahagian polis trafik. Kaunter pembayaran saman. 2 saman sekaligus. Memandu melebihi had, pasti duit terbang. Itulah kesimpulan yang dapat dibuat oleh aku sendiri.

Ada satu hal lagi. Jika ada yang tersalah faham terhadap entri aku sebelum ini, aku minta maaf. Aku memang lemah bab komunikasi ini. Menulis salah satu cara aku terus belajar komunikasi. Andai ada pembaca terasa hati, aku minta maaf. Ini semua adalah coretan idea aku sendiri yang lemah. Ini juga cara aku mengurangkan stress. Jika kalian tidak suka penulisanku, boleh beri teguran. Semoga aku tidak syok sendiri apabila menulis.

Wasalam...

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Rakan Sejawat Toksik

Ahlan...ahlan Ya Ramadan.  Alhamdulillah masih diberi peluang merasai hidup dalam Islam tetapi umat Islam Palestin masih bergelut dengan kes...