23 November 2020

Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.

 TIDAK ramai yang mengetahui Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan. Bagaimanapun, kontroversi membabitkan bekas pendaki Everest, Allahyarham Mohammad Abdullah atau nama asalnya, M Moorthy, tiba-tiba menjadi perhatian bukan saja mereka yang terbabit dalam bidang undang-undang, malah masyarakat secara keseluruhan.

Apakah peruntukan ini sebenarnya dan kewajaran sesetengah pihak mendesak peruntukan ini dipinda. Wartawan Berita Minggu, ZIAUDDIN SHARUDDIN dan HAFIZAH ISZAHANID, mendapatkan pandangan pakar undang-undang Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Abdul Aziz Bari, untuk menghuraikan isu ini.

Kuasa Mahkamah Sivil dan Syariah

KETIKA Perlembagaan digubal pada 1956-1957, isu ini tidak timbul. Suruhanjaya Reid cuma membuat andaian bahawa ini bukan isu penting. Tetapi memang disebut dalam Perlembagaan seperti Perkara 145 menyatakan Peguam Negara tidak ada kuasa dalam Mahkamah Syariah, Mahkamah Tentera dan Mahkamah Anak Negeri. Ini sudah jelas memperlihatkan Perlembagaan mengakui kewujudan Mahkamah Syariah walaupun ketika itu belum disebut secara jelas seperti Perkara 121(1A).

Pada masa sama, Perlembagaan menyebut soal Mahkamah Syariah dalam Jadual Ke-9. Walaupun tidak memperincikan struktur bidang kuasa Mahkamah Syariah, tetapi menyebut perkara ini tidak boleh disentuh Peguam Negara kerana adalah kuasa Mahkamah Syariah.

Bukankah ini jelas mengiktiraf kuasa Mahkamah Syariah dan memang ada Akta Mahkamah Syariah 1965, yang menyebut secara terperinci bidang kuasa dan batasan mahkamah itu. Undang-undang sudah mengakui secara jelas perkara itu. Tidak timbul perlu dijelaskan kerana sudah jelas. Bagi mereka yang tahu, memang sudah jelas. Bagi yang tidak tahu, kita hendak kata apa? Kena belajarlah.

Kesan Perkara 121(1A) dipinda

PINDAAN pada 1988 dibuat selepas bertahun-tahun seminar serta ketetapan dan seruan dibuat supaya mengelak konflik. Pindaan itu secara hitam-putih mengatakan tanpa ragu-ragu kamu tak boleh. Ini untuk mengelakkan kedegilan dan kemungkinan campur tangan yang tidak munasabah. Ada kes sebelum 1988 menunjukkan Mahkamah Sivil menghormati kes-kes Mahkamah Syariah, tetapi ada hakim yang menunjukkan mereka mengatasi kuasa Mahkamah Syariah.

Jika dipinda kesan politiknya cukup besar. Ini bermakna kita berundur ke belakang. Kita mengungkai semula perkara yang sudah disimpulkan dan mengaburkan yang sudah dijelaskan. Kita akan berdepan persoalan bahawa adakah kita akan berundur ke belakang dari segi pelaksanaan Islam. Apatah lagi dalam keadaan pelaksanaan Islam tidak mengganggu dan menafikan hak sesiapa.

Apa yang dilihat sekarang seolah-olah Perkara 121(1A) mengancam kedudukan bukan Islam. Ini tidak timbul sama sekali. Yang jelasnya begini, apakah yang menyebabkan mereka gusar dan tidak senang hati.

Walaupun yang keluar (murtad) menjadi duri dalam daging bagi umat Islam, tetapi sebenarnya yang memeluk Islam lebih ramai. Mungkin dipersoalkan mengapa orang Islam bising jika yang masuk lebih ramai dari yang keluar. Tetapi kami tidak pernah memaksa seseorang memeluk Islam. Tetapi kalau sudah masuk, dia tidak boleh keluar begitu saja. Ada caranya, bukan keluar masuk seperti tukar baju saja. Ini yang menjadi masalah.

Begitu juga dengan seruan supaya orang bukan Islam berkahwin dengan orang Islam tanpa menukar agama. Ini tidak boleh diterima kerana apa pun orang kata, Islam mempunyai peraturan yang jelas dalam semua hal. Sama ada berkahwin atau mati. Ini sesuatu yang istimewa. Orang Islam hingga kiamat, siapa yang mahu mengahwini orang Islam perlu memeluk Islam. Kalau tidak jangan kahwin.

Jangan lupa bahawa negara ini asalnya adalah Melayu dan Islam. Inilah yang paling kukuh dari sudut undang-undang. Jadi kalau kita masuk reverse gear akan timbul persoalan, siapa orang Melayu sekarang? Jangan lupa bahawa dalam Perlembagaan, Melayu dan Islam tidak boleh dipisahkan. Ini bermakna seorang Melayu yang murtad tidak boleh menjadi Melayu lagi.

Isu pindaan tidak sepatutnya sensitif

SENSITIF bergantung kepada keadaan dan saya fikir selepas hampir 50 tahun merdeka, isu begini tidak sensitif lagi. Kita kenalah matang sedikit dan dalam keadaan bukan Islam menuntut itu dan ini, mereka harus terbuka dan rasional. Berhujah dengan matang dan memberi bukti sepatutnya. Saya fikir ini sesuatu yang boleh dilakukan.

Mengenai kawan-kawan bukan Islam kita, saya rasa mereka jangan takut kalau orang Melayu-Islam menyebut soal sejarah kerana hak mereka sendiri pun dalam Perlembagaan banyak bergantung kepada sejarah. Hak kewarganegaraan dan hak mengundi umpamanya adalah sejarah. Jadi soal sejarah bukan sesuatu yang menyebelahi orang Melayu-Islam saja. Sejarah juga memberikan hak kepada orang bukan Melayu dan bukan Islam.

Jahil mengenai Perlembagaan

SEBENARNYA saya berpendapat, isu ini bukan masalah undang-undang dan Perlembagaan, tetapi kefahaman masyarakat sendiri, sama ada jahil atau tidak mengetahui kedudukan sebenar.

Malangnya kejahilan atau ketidaktepatan maklumat itu dijadikan sebagai modal untuk menghurai dan mengulas perkembangan semasa. Kekeliruan ini menyebabkan kekeliruan seterusnya, sedangkan kedudukan undang-undang dan Perlembagaan cukup jelas.

Sebenarnya pindaan yang dibuat pada 1988 menjelaskan pindaan yang sudah berlaku. Pindaan itu menyatakan Mahkamah Sivil tidak ada kuasa pada hal-hal yang dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Saya berpendapat perkara ini jelas dan tidak menimbulkan kesamaran. Sebelum pindaan pada 1988, telah ada kes mahkamah berkaitan isu ini.

Pada 1982, Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas, berkata Mahkamah Sivil mesti menghormati mereka yang terdidik dalam bidang syariah. Ini berdasarkan Mahkamah Sivil tidak ada kepakaran dan pengetahuan bagi menangani masalah yang sepatutnya dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah. Apabila pindaan dibuat pada 1988, kita boleh mengatakan hakikatnya, Parlimen hanya memaktubkan apa yang sudah berlaku.

Jangan lupa Mahkamah Syariah wujud lama sebelum Perlembagaan digubal. Apabila kita bercakap mengenai Mahkamah Syariah khususnya dan Islam umumnya, ini adalah satu kenyataan yang harus diterima oleh semua orang, termasuk bukan Islam.

Kita jangan termakan dengan hujah bahawa Mahkamah Syariah diberi kedudukan lebih tinggi atau mengatasi Mahkamah Sivil. Itu tidak betul! Sebenarnya Mahkamah Sivil tidak ada kuasa dalam isu membabitkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.

Tentulah berbeza hujah dan dakwaan bahawa Mahkamah Syariah mengatasi kuasa Mahkamah Sivil. Ini dua perkara yang berbeza. Sama juga bahawa Mahkamah Sivil tidak ada kuasa membicarakan kes-kes membabitkan kuasa Mahkamah Tentera, Mahkamah Anak Negeri dan Mahkamah Perindustrian.

Ini soal bidang kuasa! Mahkamah Sivil adalah institusi yang diwujudkan dan diletakkan di bawah Perlembagaan. Kalau Perlembagaan mengatakan ini di bawah bidang kuasa Mahkamah Syariah, Mahkamah Sivil kena patuh.

Kebebasan beragama tidak dipertikai

TIDAK timbul soal menafikan hak bukan Islam kerana Mohammad Abdullah adalah Islam dan seperti kes lain, tidak ada sesiapa memaksanya memeluk Islam. Timbul gambaran bahawa sekarang ini kedudukan atau hak kebebasan beragama, terutama bukan Islam diancam. Ini tidak betul kerana struktur Perlembagaan memberikan ruang kepada kebebasan beragama.

Persoalan penting sekarang ialah Mahkamah Syariah diberikan kuasa untuk menangani isu yang terletak dalam bidang kuasanya. Tidak timbul Mahkamah Syariah mengambil atau menafikan hak bukan Islam.

Ini bukan usaha memaksa orang bukan Islam memeluk Islam. Ini ialah keadaan orang Islam kena patuh kepada ajaran Islam. Ini sudah lama disebut dalam Perlembagaan. Walaupun tidak secara jelas, tetapi sudah ada pengkhususan kuasa diberikan kepada kedua-dua mahkamah. Jika orang Islam mencuri atau membunuh, itu tugas Mahkamah Sivil.

Mengenai soal agama seperti nikah cerai dan murtad, itu kuasa Mahkamah Syariah dan ini sudah lama diakui Mahkamah Sivil. Soalnya sekarang, apakah Mahkamah Sivil mempunyai kepakaran menangani soal agama? Selain soal-hitam putih undang-undang, adakah Mahkamah Sivil boleh menangani persoalan mengikut undang-undang lain?

Kalau kita perhatikan, orang yang tak faham Islam dan tak faham adat Melayu pun orang yang setiap hari bergaul dengan orang Melayu. Soal ini bukan remeh-temeh, tetapi memerlukan huraian dan kematangan. Mungkin masih dianggap sebagai sensitif dan menakutkan, tetapi sebagai negara yang sedang berkembang, kita harus menerima ada ketika tertentu, kita harus bersedia berdepan secara terbuka untuk menjernihkan hak yang selama ini yang taken for granted.

Mungkin ada yang anggap tak payah diperjelaskan kerana semua sudah faham tapi rupa-rupanya masih ada perkara tertentu yang masih tak jelas atau barang kali sekarang timbul suasana baru yang mungkin barang kali meminta kita memberikan huraian lebih mendalam. Sekarang ini banyak perkara baru yang timbul. Dulu orang Melayu kahwin sesama orang kampung. Dia tidak kahwin orang jauh.

Sekarang orang Melayu duduk di bandar dan kondominium. Sudah ramai orang Melayu mengahwini bukan Melayu. Maknanya interaksi antara kaum begitu lumrah. Soal hubungan antara orang Islam dan bukan Islam memerlukan kematangan kerana membabitkan soal status dan agama. Bagi saya, orang Melayu kena belajar, lebih matang dan tahu siapa mereka.

Hikmah kepada umat Islam

INI sesuatu kemungkinan yang menarik untuk diperhatikan. Tetapi saya tidak nampak semua ini boleh dibuat secara mudah. Kita perhatikan kalau perkara lebih kecil seperti Rang Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah Persekutuan) (Pindaan 2005) pun tidak mudah ditarik balik, apatah lagi yang membabitkan pindaan Perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga. Bagaimana hendak membuka simpulan yang sudah lama terpahat dalam Perlembagaan dan juga mengingati bahawa pindaan itu sekadar mengesahkan perkara yang sudah wujud?

Tentulah lebih susah. Jadi maknanya dalam keadaan sudah ada Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sekarang, maknanya di peringkat Persekutuan pun sudah ada rangkaian atau hierarki Mahkamah Syariah yang pada saya sudah memperkukuhkan kedudukan mahkamah ini, saya tidak nampak bagaimana perkara ini boleh dirungkai kerana kesannya cukup banyak.

Pihak berkuasa dan semua pihak perlu memberikan gambaran yang betul. Saya lihat tidak ada satu percubaan serius menerangkan kedudukan sebenar Perkara 121(1A). Apakah sejarah dan hakikatnya? Malah kita lihat seolah-olah hendak merungkaikan perkara itu yang saya fikir tidak betul dan akan menimbulkan masalah lain yang lebih besar. Kita perlu perjelaskan bahawa kedudukan dan hak orang bukan Islam tidak terancam.

Bagaimana hendak terancam kalau mereka yang mengambil keputusan memeluk Islam, ini adalah secara sukarela dan tanpa dipaksa? Dalam kes Mohammad pun ada perkara dan fakta tertentu yang mesti diketengahkan supaya keadaan dapat dijernihkan. Tidak timbul soal pihak yang berkenaan tidak mengambil berat tentang kebajikan si mati. Cuma keadaan barangkali ialah kita tidak dapat mengalahkan takdir dan mungkin ada hikmahnya di sebalik peristiwa itu.

Isu yang dibangkitkan ini menyebabkan kita mempelajari balik khazanah sejarah kita yang sebelum ini kita fikir tidak ada sebarang kepentingan. Di sinilah pentingnya Perlembagaan dilihat dalam konteks yang lebih luas dan mendalam supaya Perlembagaan tidak dilihat hanya sebagai sesuatu yang boleh ditulis dan dipadam. Kalau ini kefahamannya, bahaya! Negara dan masyarakat mana pun, Perlembagaan adalah suatu pernyataan nilai, komitmen, tolak ansur dan sejarah.

Kalau Perlembagaan dilihat sebagai sesuatu yang boleh dipinda, diubah dan dimasukkan yang baru, ini bahaya kerana ini menyebabkan Perlembagaan bergantung pada kekuatan. Siapa yang ada lebih sokongan, duit dan lobi akan mendapat kehendak mereka dimaktubkan. Kedua, Perlembagaan harus dilihat sebagai suatu yang tertanam dalam masyarakat dan tidak boleh Perlembagaan dilihat sebagai di Parlimen semata-mata.

Sebab itu Perlembagaan harus disebarkan supaya semua orang faham. Saya katakan hikmah sebab semua pihak ingin tahu apakah Perlembagaan, apakah peruntukan itu sedangkan perkara ini sudah lama wujud. Pindaan itu dibuat pada 1988 dan baru sekarang, sesetengah orang baru nak tahu. Ini saya rasa satu hikmah, kesempatan yang baik mempelajari semula. Bukan ganjil sebab kalau sebut peguam pun, kalau kerjanya hari-hari hanya menangani soal perjanjian sewa beli rumah, mereka pun tak tahu perkara ini kerana ini tidak ada keuntungan dari segi kewangan! Sebab itu kadang-kadang di kalangan peguam sekali pun berpinga-pinga.

Perlembagaan perlu ada keseimbangan

SAYA tidak nafikan isu ini akan timbul lagi. Perlembagaan seperti perkara lain ia harus berubah dan menyesuaikan diri dengan kehendak dan keadaan semasa. Walaupun Perlembagaan memaktubkan perkara yang dipersetujui, tetapi manusia ini berubah. Apa yang dipersetujui 50 tahun dulu terpaksa dilihat kembali 100 tahun lagi. Ada perkara yang tidak boleh kita lupakan, Perlembagaan adalah satu rakaman, gambaran sejarah lalu. Perlu ada keseimbangan antara mengambil kira perkembangan semasa dan baru dengan keperluan lama.

Dalam soal Islam dan hak keistimewaan Melayu memang perkara yang sentiasa menimbulkan ketegangan. Oleh kerana masyarakat berubah dan dalam dunia global ini tidak dapat dielakkan. Pengaruh dan pemikiran dari luar memang sentiasa mempengaruhi kita. Kita sendiri pun perlu menyesuaikan dan mengambil kira apakah pandangan itu sesuai dengan kehendak semasa.

Hakim Mahkamah Sivil yang bukan Islam pun kena memahami undang-undang Islam. Hakim Islam lebih lagi. Mereka yang terbabit dengan undang-undang Malaysia, sama ada ahli akademik, pengamal undang-undang dan rakyat secara keseluruhan perlu memahami undang-undang Islam. Ini bukan untuk memeluk Islam, tetapi mengetahui apa Islam kata mengenai isu begini.

Seperti di Mahkamah Sivil, jika tidak tahu Islam mungkin akan membuat keputusan yang tidak adil dalam keadaan yang membabitkan pihak beragama Islam? Sebagai hakim, ada satu kelebihan jika mengetahui undang-undang asal negara ini.

Ini perkara yang perlu ditekankan. Hakim dan peguam sama ada di Mahkamah Syariah atau Sivil perlu tahu undang-undang Islam. Paling tidak sebagai perbandingan dan sebagai satu sumber untuk membaiki undang-undang sedia ada. Islam pada saya boleh dijadikan satu sumber untuk reformasi undang-undang negara supaya lebih baik dan adil. Begitu juga undang-undang Hindu dan Cina pun, apa salahnya kita belajar? Hakim Mahkamah Syariah juga kena tahu Perlembagaan dan undang-undang sivil untuk kesempurnaan. Sebagai pengajaran dan iktibar, apa salahnya?

SUMBER:

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Rakan Sejawat Toksik

Ahlan...ahlan Ya Ramadan.  Alhamdulillah masih diberi peluang merasai hidup dalam Islam tetapi umat Islam Palestin masih bergelut dengan kes...