13 Februari 2019

Entri biasa.

Satu karya dari entri yang telah lama telah di 'edit' semula dan ditambah baik. Aku cuba meminta penambahbaikan dari guru BM. Masa tidak mengizinkan guru tersebut menanda kesalahan dan membuat penambahbaikan. Masa tidak boleh ditunggu, malah perlu diurus sebaik mungkin.

Awal tahun sangat padat dengan pelbagai aktiviti. Selalu berkejar ke sana ke mari. Keletihan mental fizikal membataskan idea untuk berkarya. Jadi blog ini bahan rujukan aku.

Menulis bukan sahaja menjadi 'pelepas' stress ketika bekerja, malah karya itu diterima baik oleh pihak tertentu. Aku bukanlah seorang yang pandai meluahkan isi hati. Aku bukanlah seorang yang banyak idea. Tanpa pembacaan, diri ini tetap lemah melontarkan idea.

Pengalaman mengajar anak remaja 13,14 dan 15 tahun, menjadikan diri ini sentiasa berfikir cara terbaik untuk mereka belajar. Target tidak perlu tinggi. Jika harapan tinggi, pasti jatuh tersungkur. Aku hanya ikut keadaan dan banyak memerhati. Tindakan sangat kurang kecuali dalam keadaan terpaksa.

Melihat kepada keadaan disekeliling yang kurang membantu personaliti 'mutadayyin' dikalangan murid, menyebabkan aku hampir buntu melaksanakan aktiviti. Semakin banyak program dan aktiviti, mereka semakin berani. Itulah kesimpulan yang keterlaluan bagiku.

Tugasan semakin sukar. Dunia semakin mendesak. Politik semakin panas. Remaja semakin agresif. Kerjaya guru semakin mencabar.

Walaupun kerjaya guru mencabar, ada lagi bidang yang lebih mencabar lagi. Kerjaya doktor. Kerjaya bomba. Kerjaya jururawat. Semoga pekerjaan yang dilakukan memberi keberkatan kepada hidup kita pada masa akan datang.

Lihatlah kepada hero kita Adib, Abdul Bari Asyraf dan ramai lagi termasuk 7 orang bomba yang terkorban. Mereka tidak dikenali ketika hidup tetapi terkenal selepas kematiannya. Mereka bukanlah ulama', bukan menteri, bukan siapa-siapa. Allah angkat kemuliaannya dengan pengorbanan yang dilihat kecil bagi dirinya, tetapi dipandang besar oleh semua orang.

اللهم ارحمهم وعافهم واعف عنهم، واكرم نزلهم، ووسع مدخلهم، واغسلهم بالماء والثلج والبرد، ونقهم من الخطايا كما ينقى الثوب الابيض من الدنس، وابدلهم دارا خيرا من دارهم، واهلا خيرا من اهلهم، وزوجا خيرا من زوجهم، وادخلهم الجنة، واعذهم من عذاب القبر ومن عذاب النار.

" Ya Allah ampunilah mereka, kasihanilah mereka, sejahterakanlah mereka, ampunilah dosa dan kesalahan merek hormatilah  kedatangan mereka dan luaskanlah tempat tinggal mereka, bersihkanlah mereka dengan air salji dan embun. Bersihkanlah mereka dari segala dosa sebagaimana kain putih yang bersih dari segala kotoran, dan gantikanlah bagi mereka rumah yang lebih baik daripada rumah yang dahulu, dan gantikanlah baginya ahli keluarga yang lebih baik daripada ahli keluarga mereka yang dahulu dan peliharalah mereka dari seksaan kubur dan azab api neraka"

31 Januari 2019

Cuti lagi.

Bagi orang yang bekerja, cuti adalah masa yang dinantikan. Apatah lagi aku. Berada di sini umpama berada di asrama. Cuti terus balik kampung. Ada kampung, boleh pulang. Sama juga kita sebagai hamba Allah bakal kembali kepadaNya.

Tak sabar rasanya untuk sampai ke kampung. Moga Allah pertemukan aku dengan orang baik, pemandangan yang baik, suasana yang baik dan dipermudahkan urusan dalam permusafiran ini. Ada juga berpendapat musafirku ini, diharamkan. Moga Allah beri pengampunan kepada diriku. Aku anggap ini perjalanan yang diharuskan.

Bulan februari, menjadi bulan yang ditunggu-tunggu. Tunggu untuk mengisi borang pertukaran online. Tiada siapa tahu rezekiku dimana termasuk diriku. Itulah rahsia Allah yang tidak diketahui.

Sejak bekerja hampir 10 tahun ini, banyak pengalaman yang boleh diambil. Tidak perlu disebut satu persatu. Apa yang aku dapat gambarkan....

Apabila aku rasa lemah, Allah kuatkan aku dengan peristiwa yang mengembirakan.

Apabila aku rasa susah, datang pertolongan Allah melalui bisikan hati hambaNya.

Apabila aku diberi tugasan yang dirasakan berat, Allah ringankan dengan bantuan senior yang berpengalaman walaupun baru kenal.

Apabila aku persoalkan 'kenapa aku dipilih?', rupanya Allah beri ilmu baharu, pengalaman baru. Tiada siapa menduga, aku berada di tahap ini.

Hanya Allah Maha Mengetahui.

27 Januari 2019

Dimana idola kita?

Idola anak-anak remaja lebih kepada apa yang berada di depan mata. Artis? ibu? bapa? guru? kawan? Jutawan? Siapa idola mereka.

Sejak kecil, anak-anak dibekalkan dengan segala kemewahan dan alat teknologi terkini. Kita menyangka mereka hebat. Mereka boleh belajar sendiri. Mereka boleh menilai baik buruk sesuatu perkara. Malangnya, semua ini jarang berlaku tanpa didikan ibubapa di rumah.

Apabila seorang guru bertanya kepada murid-murid , " Siapakah idola kamu?". Ada yang menyebut beberapa nama artis.  Ada yang menyebut nama hartawan. Ada juga yang menyebut ibubapa mereka.

Andai guru bertanya," Siapakah Muhammad bin Abdullah yang mengemparkan dunia sehingga sekarang?". Tergagap mereka menjawab. Apatah lagi tokoh lain. Cuba tanya lagi siapa Amru bin Ash? Siapa Thoriq bin Ziad? Siapa Solahuddin Al-Ayubi?.

Dimana budaya membaca anak remaja sekarang? Membaca buku ilmiah bukan buku novel picisan di pasaran. Kurangnya membaca membawa kepada kurangnya adab dalam percakapan dan penulisan di media sosial.

Nilai Kemampuan.

Yang capik datang bertongkat,
Yang buta meraba-raba,
Yang tuli leka bertanya,
Yang kecil terambin lintang,
Yang jarak tolak-tolakan,
Yang pendek tinjau- meninjau,
Yang kurap mengekor angin.

Pernah dengar puisi ini?

Ini kali pertama aku dengar dari penceramah jemputan. Apa yang disampaikan adalah, kita perlu saling tolong menolong mengikut keupayaan dan kemampuan kita. Jika menurut penulis 'macam-macam ada' , ia menggambarkan kesetiaan rakyat kepada raja atau pemerintah iaitu saling tolong menolong dan saling melengkapi antara satu sama lain.

Rupa-rupanya hikayat dahulu kala mempunyai isi yang tersirat dan tersurat yang sukar untuk diterjemahkan. Hebat generasi dahulu melalui pengalaman yang luar biasa. Di mana hikayat-hikayat hebat ini boleh diperolehi? Semangat nak membaca  membuak-buak semula.

SUMBER:

1. Hikayat Awang Sulung Merah Muda

14 Januari 2019

Korban Undian

Abdullah bin Abdul Mutalib hampir menjadi korban sebagaimana kisah Nabi Ismail yang hampir disembelih oleh bapanya,Nabi Ibrahim. Abdullah merupakan anak kesayangan kepada Abdul Mutholib. Abdullah merupakan anak bongsu dan adik beradik seibu sebapa dengan Abu Tholib.

Kisah Abdullah bermula dengan kisah Abdul Mutolib yang berjaya menggali telaga Zamzam bersendirian. Tiada siapa percaya ada Zamzam kecuali Abdul Mutolib. Abdul Mutolib bernazar, jika dia mempunyai 10 orang anak, dia akan korbankan seorang anaknya. Hasil undian menunjukkan Abdullah yang perlu dikorbankan. Seorang sahabat Abdul Mutholib menasihatinya supaya meminta pandangan tukang tilik. Tukang tilik ini dianggap perterjemah kepada kehendak berhala-berhala disekeliling Kaabah.

Hasil pertemuan dengan tukang tilik, Abdul Mutholib perlu membawa 10 ekor unta ketika membuat undian. Ditakdirkan Allah, setiap undian jatuh kepada anaknya, Abdullah. Genap 100 ekor unta, undian seterusnya jatuh kepada unta. Abdul Mutholib sangat gembira dan memerintahkan unta-unta itu disembelih dan diagihkan kepada penduduk Mekah. Inilah tanda kesyukuran Abdul Mutholib kerana Abdullah terselamat dari korban.

Abdul Mutholib memimpin tangan Abdullah sambil berjalan pulang ke rumah. Dalam perjalanan itu, seorang perempuan jelita dan berpakaian mewah menegur Abdullah. Abdullah hanya menjawab secara bersahaja kerana masih memikirkan peristiwa yang hampir meragut nyawanya sendiri. Abdul Mutholib yang melihat peristiwa itu, terus menarik tangan Abdullah dengan tergesa-gesa. Abdul Mutholib telah merancang untuk jodohkan Abdullah dengan Aminah, anak kepada kawan baiknya, Abdul Wahab Bin Abdul Manaf.

Setelah Abdullah berkahwin, Abdullah bertemu semula dengan perempuan ini. Malangnya, perempuan ini tidak mempedulikanya.

Abdullah bertanya," Kenapa kamu tidak seperti ketika kita bertemu kali pertama?".

Perempuan ini menjawab ," aku tidak melihat cahaya lagi pada dirimu"

Cahaya ini telah berpindah ke rahim Aminah. Cahaya ini ada pada anaknya, Muhammad yang bakal lahir untuk menerangi seluruh alam dari kegelapan.

p/s: olahan semula ikut kefahamanku.

SUMBER:
Buku : DIA محمد رسول الله صلى الله عليه وسلم oleh MUHD LABIB AHMAD. Cetakan kedua 1979. Terbitan SYARIKAT DIAN. SDN BHD. Ketua pengarang syarikat ketika ini Yusoff Zaky Yacob penterjemah Tafsir Fi Zilalil Quran oleh Sayyid Qutb.

13 Januari 2019

Siapakah Al-Mutawakkil?

Pemerintahan Islam bermula di Madinah.

1. Zaman Nabi Muhammad Bin Abdullah. Rasulullah SAW

2. Zaman Khulafa' Ar-Rasyidin
  • Abu Bakar As-Siddiq
  • Umar Al-Khattab
  • Uthman Bin Affan
  • Ali Bin Abi Tholib

Setelah Saidina Ali dibunuh, Saidina Hassan dilantik menjadi Khalifah selama 6 bulan.

3. Zaman Islam Beraja
  • Kerajaan Bani Umaiyyah
  • Kerajaan Bani Abbasiyyah : Zaman Ilmu
  • Empayar Turki Uthmaniyyah : Zaman kejatuhan Islam

4. Zaman sekarang.

*****************
Al-Mutawakkil

Beliau merupakan anak khalifah Al-Mu'tashim. Selepas Khalifah Al-mu'tashim meninggal dunia, Al-Watsiq dilantik menjadi khalifah. Setelah abang beliau meninggal dunia, Al-Mutawakkil dilantik menjadi khalifah.

Pemerintahan sebelum Al-Mutawakkil cenderung kepada fahaman Al-Mu'tazilah. Setelah Al-Mutawakkil menjadi khalifah, beliau menyokong fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah. Banyak perubahan yang dilakukan oleh beliau termasuk melantik Al-Harith Bin Miskin menjadi Hakim Mesir menggantikan Abu Bakar Al-Laith yang merupakan pemimpin Jahmiyyah yang sesat.

Nama sebenar: Al-Mutawakkil Alallah, Jaafar, Abu Fadhal Bin Mu'tasyim Bin Ar-Rasyid.
Nama ibu: Syuja' iaitu bekas hamba.
Dilahirkan pada tahun 205 Hijrah.
Dilantik menjadi khalifah pada 24 Zulhijjah tahun 232 hijrah.



SUMBER: 



10 Disember 2018

2018 bakal melabuhkan tirai.

Tahun masihi bakal berakhir. Inilah tahun yang kita kiblatkan selama ini. Takwim, jadual, dan hampir semua aktiviti kita gunakan kalendar tahun masihi. Tahun masihi yang dikatakan tahun kelahiran Nabi Isa alaihissalam.

Tahun 2018, merupakan tahun kurangaku berceloteh dalam blog ini. Tahun yang penuh kejutan. Tahun penuh dengan kerja tiba-tiba. Aku terima sebagai peluang menimba ilmu dan pengalaman. Aku semakin tua dimamah usia. Usia meningkat tanda peringatan kepadaku. Sebagai insan yang lemah, aku tidak terlepas dari membuat banyak kesalahan. Terlalu banyak dugaan yang perlu ditempuhi. Kadang-kadang perlu profesional, kadang-kadang tidak. Bergantung kepada keadaan.

Tahun ini, aku pulang ke kampung bersama mak dan ayah. Sebelum pulang, singgah di Putrajaya. Ziarah adik ayahku di rumahnya. Ziarah sepupu mak di hospital Putrajaya. Kisahnya sangat menarik. Aku tidak perlu ceritakan di sini. Ada iras iklan dibawah ini. Cuma beza Ayah Su seorang pemandu teksi waktu muda dahulu di KL. Selalu membantu orang lain. Termasuk mak yang pernah tinggal dirumahnya selama setahun.


Kebaikan pasti akan dibalas. Sama ada cepat atau lambat sahaja.

Aku nak kongsi sedikit pembacaanku dari akhbar Sinar Harian,Khamis 6 Disember 2018. Tajuknya "Tidak mudah berbahasa dengan betul" oleh Suhaimi Mohd Salleh dalam ruangan "Oh bahasaku!". Ruangan ini dikelolakan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka.

Yang sering ditemukan ialah ejaan awalan di- yang dijarakkan daripada perkataan yang mengikutinya, seperti 'di belah', 'di sangka' dan 'di perlukan'.  

Sepatutnya ejaannya dirangkaikan atau dirapatkan. Penggunaan bahasa mungkin terkeliru oleh kata sendi nama 'di' yang sememangnyaditulis secara terpisah daripada kata dasar yang mengikutinya, seperti 'di bandar', 'di Dungun, dan 'di belakang rumah', yang menunjukkan tempat atau arah sesuatu. Selain itu, penulisan perkataan 'ko kurikulum', 'pra universiti', dan 'anti dadah' juga sepatutnya dirapatkan.

Partikel penegas, iaitu-lah,-tah, dan -kah perlu dicantumkan pada bahagian belakang kata dasar, seperti biarlah, apatah,, dan mengapakah. Yang turut mengelirukan pengguna ialah partikel pun. Terdapat 'pun' yang dieja bersendiri, iaitu yang merupakan perkataan yang bermaksud 'juga' sebagaimana dalam ayat ini:

Saya pun hendak ke sana. Sebaliknya, pun yang merupakan partikel perlu dicantumkan pada akhir kata dasar, iaitu adapun, andaipun, ataupun, bagaimanapun, biarpun, kalaupun, lagipun, mahupun, meskipun, sungguhpun, dan walaupun.

p/s: untuk rujukan akan datang.







Harold's

Assalamualaikum wbt. Entah kenapa murid-murid f5 memberi air minuman ni dan kek. Bukan kesukaanku dan bukan kegemara...