01 Jun 2012

Fenomena Langit 6 Jun.

Orang ramai di negara ini dijangka berpeluang melihat fenomena lintasan planet zuhrah dengan matahari pada 6 Jun ini, iaitu fenomena yang tidak akan berulang sehingga tempoh 105 tahun akan datang.


Ketua Unit Falak, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZA), Dr Baharrudin Zainal, berkata fenomena unik itu membolehkan orang ramai melihat planet berkenaan pada saiz yang sama dengan bumi pada jarak kedudukan 42 juta kilometer (km) dari bumi.
Katanya, ia juga membolehkan orang ramai melihat planet zuhrah yang turut dikenali sebagai kejora dalam keadaan gelap.
Beliau berkata, berdasarkan hitungan falak, sentuhan planet zuhrah dengan matahari dijangka berlaku kira-kira jam 6.10 pagi dengan bentuk planet itu mula kelihatan sepenuhnya di permukaan matahari kira-kira 18 minit kemudian.
“Pada waktu itu (6.10 pagi) hanya pemerhati di pantai timur Sabah dan Sarawak berpeluang melihatnya. Bagi pencerap di Pantai Timur Semenanjung, matahari hanya akan terbit jam 6.54 pagi.
“Ketika ini, planet sudah melata hampir lapan peratus daripada keseluruhan laluan rentasannya di permukaan matahari. Kira-kira jam 9.30 pagi, planet zuhrah yang dilihat dalam bentuk ‘bulatan hitam’ sudah berada di tengah laluan rentasannya. Planet zuhrah akan dilihat meninggalkan sepenuhnya permukaan matahari kira-kira jam 12.50 tengah hari,” katanya, di sini, semalam.
Baharrudin berkata, berikutan saiz planet zuhrah hampir sama dengan bumi, planet itu diumpamakan sebagai ‘saudara kembar bumi’.
“Apabila kita melihat planet zuhrah dalam keadaan ‘bulatan hitam kecil’ sedang melintas di permukaan matahari, kita bagaikan melihat ‘begitulah kerdilnya bumi yang kita huni’ dari kedudukan 42 juta km.
“Bagi masyarakat awam, fenomena lintasan planet zuhrah ini mengimbau rasa takjub terhadap alam semesta yang harmoni sebagaimana dicatatkan dalam al-Quran. Orang ramai tidak seharusnya melepaskan peluang menyaksikan fenomena ini yang tidak akan berulang sehingga 105 tahun akan datang,” katanya.
Beliau berkata, di Kuala Terengganu, orang awam boleh menyaksikan fenomena itu mulai jam 8.30 pagi hingga 12.45 tengah hari pada 6 Jun ini, di tempat letak kereta Lapang Sasar Memanah, UnisZA Kampus Gong Badak, manakala di kawasan lain, orang ramai boleh mengunjungi pusat cerapan di kawasan masing-masing.
“Fenomena ini hanya boleh dilihat menggunakan peralatan teleskop lengkap dengan penebat khas matahari. Justeru, orang ramai boleh berada di tempat cerapan yang diadakan pelbagai agensi di seluruh negara,” katanya.
Fenomena itu berlaku apabila planet zuhrah yang mengambil masa selama 0.6 tahun (225 hari bumi) untuk mengelilingi matahari, akan berada pada kedudukan sejajar dengan bumi dan matahari mengikut tempoh ulangan berkenaan.
Penjajaran itu dinamakan ‘ijtimak dalaman’ dan disebabkan orbit planet zuhrah dengan satah bumi-matahari condong pada sudut tertentu, kedudukan satah matahari, bumi dan planet ketika penjajaran ini tidak sentiasa sama.

SUMBER: BH

p/s: Jika di izinkan Allah (Insya Allah) kita akan melihat fenomena ini. Tolong jaga adab di tempat orang ramai yea. tq ^_^

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Mesyuarat atau bengkel mengikut zon

Assalamualaikum wbt 2 minggu aku batuk dan sukar bercakap dengan jelas. Cabaran kepadaku kerana kerjayaku memerlukan percakapan. Baca laju s...