Nama sebenarnya Wali al-Din Abdul Rahman bin Muhammad bin Muhammad bin Muhammad bin Al-Hassan bin Jabir bin Muhammad bin Ibrahim bin Abdul Rahman Ibni Khaldun. Gelaran Ibnu Khaldun di ambil dari nama datuknya Khaldun atau Khalid. Beliau dilahirkan di Tunisia pada tahun 732H bersamaan 1332M.
Khalid yang dikenali dengan nama Khaldun bin Uthman bin Hani' bin al-Khattab bin Kurayb bin Ma'adi Karib bin al-Harith bin Wa'il bin Hajar.
Khalid memasuki andalusia bersama tentera Yaman. Khalid mula menetap di bandar Caramona dan memulakan hidup berkeluarga di sini. Keturunan ini kemudiannya berpindah ke Sevilli.
Akhir abad ke-3 semasa pemerintahan Amir Abdullah ibni Muhammad. Amir Abdullah merupakan Bani Umayyah (274-300H). Ketika ini Andalusia sedang bergolak dengan penentangan dan revolusi yang berlanjutan merebak ke beberapa tempat.
Ibnu Khaldun pernah menyandang beberapa jawatan pentinmg negara seperti setiausaha negara di Istana Sultan Abu Ishaq Bin Abi Yahya dan Sultan Abu 'Inan, anggota Majlis Ilmiah dan anggota jabatan setiausaha sulit Sultan Abu Salim bin Abi Hasan di Fez Maghribi, Duta Granada, Hajib atau Perdana Mentari Bougie dan Ketua Hakim Mesir.
Beliau meninggal dunia di Kaherah, Mesir pada tahun 808H bersamaan 1406M ketika berusia 87 tahun.
Keperibadian Ibnu Khaldun
Beliau tekun mencari ilmu sama ada ilmu fardu ain atau ilmu fardu kifayah sejak kecil. Ketika dewasa, kesibukannya tidak menhalang Ibnu Khaldun untuk terus menuntut ilmu. Beliau bijak membahagikan masa untuk masyarakat dan menuntut ilmu.
Ibnu Khaldun pernah menjadi pegawai tertinggi Istana dan ketua Hakim Negara. Jawatan-jawatan ini diserahkan kepada beliau berdasarkan kecekapan dalam pentadbiranb serta keupayaan menyemukakan idea untuk kemajuan negara.
Pemikiran Ibnu Khaldun ada dalam karyanya yang bertajuk "Muqaddimah Ibnu Khaldun". Buku ini lahir dari pengalaman dan kreativiti beliau untuk mengetengahkan sejarah sebagai bidang ilmu yang tersendiri. Buku ini dijadikan bahan kajian oleh sarjana-sarjana Timur dan Barat hingga ke hari ini.
Pendidikan
العلمُ شرفٌ لا قدرَ لَهُ ، والأدبُ مالٌ لا خوفَ عليهِ
"Ilmu adalah kemuliaan yang tiada tolak bandingnya, adab adalah harta yang tidak dibimbangi (kehilangannya)"Hukama' pernah berkata:
"Tuntutlah ilmu. Ilmu akan mendidikmu semasa kecil, menjadikan kamu pemimpin semasa kamu dewasa, memperbaiki kesilapanmu, menewaskan musuhmu, meluruskan penyelewenganmu serta memperbetulkan niat dan cita-citamu"
Bapa Ibnu Khaldun, Muhammad tidak berminat dalam bidang politik. Muhammad lebih sukakan ilmu terutama bidang perundangan, filologi dan puisi.
Ibnu Khaldun dididik oleh bapanya sejak kecil. Ibnu Khaldun membaca, menghafaz al-Quran dan mengkaji bentuk qiraat serta terjemahannya. Beliau juga belajar tentang hadis dan sistem perundangan. Beliau diajar nahu (tatabahasa arab) dan retorik oleh pujangga Tunisia. Ketika ini Tunisia merupakan pusat pembelajaran di Afrika Utara.
Guru Ibnu Khaldun dalam mempelajari asas agama dan bahasa arab adalah bapanya sendiri. Seterusnya oleh Muhammad bin Abdul Muhaimin Al-Hadrami, Muhammad bin Sa'ad bin Barrall Al-Ansari, Muhammad bin As-SyawasyiynAz-Zarzali dan ramai lagi.
Ibnu Khaldun juga mempelajari ilmu fardu kifayah seperti Mantik, Falsafah, sains dan matematik dari gurunya, Muhammad bin Ibrahim Al-Abily.
Semasa berada di Fez, Ibnu Khaldun mendapat pendidikan tinggi daripada beberapa orang guru yang terkenal seperti Ahmad bin Qusho dan Lisanuddin bin Al-Khatib iaitu pengarang buku Sejarah Granada dan Muhammad bin Abdul Salam.
Ketika umur 18 tahun, Afrika Utara mengalami satu wabak besar iaitu ta'un sehingga meragut nyawa kedua ibubapa Ibnu Khaldun, guru-gurunya dan penduduk Tunisia. Disebabkan hal ini, beliau berhasrat untuk berhijrah ke Mauritania (Maghribi) tetapi dihalang oleh abang sulungnya, Muhammad.
Abu Muhammad Ibni Tafrakin merupakan pemerintah kuku besi di Tunisia. Abu Muhammad Ibni Tafrakin memaksanya menjadi setiausaha kepada Sultan Abu Ishaq. Tugasnya adalah melekatkan nama dan cop simbol sultan atas semua surat menyusat dan arahan diraja. Ketika ini beliau belum mencecah usia 20 tahun.
Pergolakan Politik
إنَّما الأمَمُ الأخلاقُ ما بَقِيَتْ فَإِن هُمُ ذَهَبَتْ أخلاقُهُمْ ذَهَبوا
"Sesuatu umat itu kekal selagi akhlaknya kekal, umat juga akan hancur apabila akhlaknya runtuh"
Afrika Utara penghujung abad ke-7 hijrah. Empayar Elmohade telah runtuh.
Akibatnya muncul beberapa negeri dan kerajaan kecil. Di Tunisia muncul pemerintah di kalangan Bani Hafs. Di Tlemcen dan Barbary Tengah (Algeria) muncul kerajaan Bani Abdul Al-Wad. Di Fez dan Magribi muncul pula kerajaan Bani Marin. Di bawah naungan kerajaan ini, muncul pemerintahan kecil di pelabuhan dan bandar melalui pemberontakan ketua yang yang kuat.
Sebahagian besar warisan Al-Mohamedi jatuh ke tangan Bani Marin. Bani Marin memepunyai kerajaan paling besar dan paling berpengaruh. Pemerintahannya dari Mauritania (Maghribi ), Ceuta dan sebahagian dari Barbary Tengah hingga Gibraltar.
Dinasti Bani Marin diketuai oleh Sultan Abu Yusof Ta'qub Ibni Abdul Haq yang pernah menyerang Andalusia. Sultan Abu Yusof meninggal dunia pada 685H (1286M). Takhtanya diwarisi oleh beberapa raja yang berkuasa selepas itu.
Sultan Abu Hassan berkuasa di Fez. Sultan Abu Hassan mewarisi takhta bapanya, Sultan Abu Sa'id yang meninggal tahun 731H ( 1330M). Sultan Abu Hassan mempunyai cita-cita ynag tinggi.
Pada tahun 733 H, Sultan Abu Hassan telah menyerang Gibraltar dan merampasnya dari orang Nasrani. Kemudian Sultan Abu Hassan mara ke Barbary Tengah dan menawan satu persatu kerajaan dari Bani Abdul Al-Wad. Sultan Abu Hassan mengambil alih pemerintahan Tlemcen pada tahun 737H. Oleh itu Bani Marin menguasai pemerintahan hingga hampir ke sempadan timur Tunisia.
Sultan Abu Hassan merancang untuk merampas Tunisia dari Bani Hafs. Pada awal 748 H, mara ke Tunisia selepas melantik anaknya, Sultan Abu Inan sebagai pemerintah Barbary Tengah. Sultan Abu Hassan telah merampas Tunisia dari rajanya Umar Ibni Abi Yahya. Sultan Abu Hassan mengambil masa 2 tahun untuk menyelesaikan segala urusannya.
Ketika ketiadaannya, berlaku pemberontakan di Maghribi dan pelabuhan. Apabila disiasat, Sultan Abu Hassan mendapati anaknya, Sultan Abu Inan berniat merampas takhtanya. Kemudian Sultan Abu Hassan melantik anaknya, Al-Fadl sebagai pemerintah Tunisia dan berhijrah ke Maghribi pada tahun 750H.
Sementara itu, Bani Hafs bersiapa sedia menawan kembali negara mereka dan dibantu oleh pemberontak yang mengakui kekuasaan mereka. Sebaik sahaja Sultan Abu Hassan meninggalkan Tunisia, Al-Fadl, anak Sultan Abu Yahya mengambil alih dan mengembalikan kuasa kepada keluarganya.
Tidak lama selepas itu, Wazir Ibnu Tafrakin memberontak dan merampas takhta daripada Al-Fadl dan melantik adiknya Abu Ishaq. Peristiwa ini berlaku pada 751H.
Pergolakan demi pergolakan politik berlaku pada abad ke-8H. Muncul kerajaan kecil berturutan ditengah-tengah kota dan pelabuhan seperti Bougie, Constantine, Bona dan Tlemcen. Perang saudara sentiasa meletus. Walaubagaimanapun, mereka masih mengekalkan keindahan dan kemewahan yang menarik intelek dan sasterawan ke Tunisia.
Bani Hafs dan Bani Marin adalah pelindung para cendikiawan dan intelek yang bersama mereka memegang jawatan yang terpengaruh. Pergerakan intelek ini bergerak antara Afrika Utara (tidak termasuk Mesir) dengan Sepanyol (Andalusia).
Granada masih menjadi tempat bermula pergerakan intelektual yang hebat. Manakala Andalusia terlalu sesak dengan para ilmuan Islam. Hal ini berlaku selepas kerajaan Nasrani Castile merampas sebahagian wilayah, pelabuhan dan pekan taklukan mereka dahulu. Inteltual Islam kebanyakannya berhijrah dari Afrika Utara ke Andalusia yang menawarkan peluang keselamatan dan mudah mencari nafkah.
Dalam keadaan ini Ibnu Khaldun menjalani hidup sebagai orang biasa. Semenjak keturunannya berhijrah ke Afrika pertengahan abad 7H, keturunanya menikmati naungan Bani Hafs serta memegang jawatan yang terpengaruh dalam pemerintahan ini. Ketika Bani Hafs mengalami keruntuhan, pengaruh keluarga Ibnu Khaldun telah hilang banyak pengaruh. Ibnu Khaldun berhasrat mendapat semula jawatan warisan keluarga dan menghidupkan smeula pengaruhnya yang sedang merosot.
Ibnu Khaldun mengambil peluang apabila Ibnu Tafrakin menawarkannya mengisi jwatan setiausaha kepada tawanannya Abu Ishaq penghujung tahun 751H. Akan tetapi Ibnu Khaldun memahami kelemahan kerajaan Tunisia ketika itu.
Ketika Sultan Abu Hassan berhijrah ke Maghribi, ramai cendikiawan Islam termasuk guru-guru dan sahabat Ibnu Khaldun turut berhijrah ke sana. Mereka lebih rela berada dibawah naungan kerajaan yang kuat. Mereka mengharapkan kehormatan dan kekayaan yang tidak terdapat di Tunisia. Abang Ibnu Khaldun menasihatinya agar tidak melakukan sebagaimana yang dilakukan oleh para cendikiawan lain. Ibnu Khaldun tidak lupa akan cita-citanya untuk berhijrah ke Maghribi.
Pada awal tahun 753H, pemerintah Constantine, Abu Zayed cucunda Sultan Yahya mara bersama tenteranya ke Tunisia. Abu Zayed berhasrat menakluk dan mengambil kembali warisan keluarganya daripada menterinya, Ibnu Tafrakin perampas. Manakala Ibnu Tafrakin diiringi Ibnu Khaldun menuju ke Tunisia. Beberapa pertempuran berlaku dan tentera Tunisia dapat dikalahkan. Secara rahsia, Ibnu Khaldun mengundur diri dari kem untuk menyelamatkan diri.
Ibnu Khaldun tinggal bersama beberapa orang Sheikh Almoravide di Aba. Kemudian ke Ceuta dan seterusnya ke Cafsa. Di sana, Ibnu Khaldun menyertai beberapa orang Faqih Tunisia yang ketika itu dikepung oleh Pemerintah Constantine. Dari situ, Ibnu Khaldun menemani mereka ke Biskra dan menikmati musim salji.
Kehidupan Di Mesir
Ibnu Khaldun meninggalkan Tunisia pada pertengahan Syaaban, 784H (Oktober 1382). Ibnu Khaldun sampai ke pelabihan Iskandariah pada pesta Bairam setelah melalui pelayaran yang sukar. Ibnu Khaldun tiba di Mesir untuk menyertai kafilah para penziarah tanah suci dan mengambil masa sebulan di Iskandariah menbuat persiapan. Disebabkan Ibnu Khaldun tidak dapat mencapai keinginannya, beliau pergi ke Kaherah. Tetapi pelaksanaan ini adalah helahnya untuk meninggalkan Tunisia. Ketika ini beliau berusia 52 tahun.
Kaherah ketika ini menjadi pusat pembelajaran Islam Timur dan Barat. Kaherah terkenal dalam bidang sains dan kesusasteraan. Ibnu Khaldun terpesona dengan pencapaian, keagungan dan keindahannya sebagaimana beliau terpesona dengan orang terdahulu termasuk Ibnu Batuttah setengah abad yang lalu.
Ibnu Khaldun bukanlah orang asing bagi rakyat Mesir. Beliau terkenal dengan karyanya yang berjilid-jilid terutama Prolegomena.
******************
Gelaran KESARJANAAN Ibnu Khaldun;
- الصَّدرُ الكَبِيرُ
- الفقيهُ الجليلُ
- العلاَّمة
- إمامُ الأَئمَّةِ
- جمالُ الإسلامِ و المُسْلِمِيْنَ
Antara karya yang bermutu;
- كتابُ العِبَرِ وديْوانُ المُبْتَدَأ والْخبرِ في أيَّام العربِ والعجمِ والبربرِ ومَن عاصرَهُم مِن ذوي السلطانِ الأَكبر/ مقدمة إبن الخلدون
- التعريف بإبن الخلدون ورِحلتهُ غَرْباً وشَرقاً
Ibnu Khaldun menggariskan 4 perkara yang patut dilakukan oleh sejarawan dalam penelitian dan analisa laporan sejarah iaitu;
- membandingkan antara peristiwa-peristiwa berdasarkan kaedah 'sebab musabab'
- Mengkaji peristiwa-peristiwa lalu untuk dijadikan iktibar kepada peristiwa-peristiwa yang sedang berlaku.
- Mengambil kira pengaruh iklim dan alam sekitar terhadap apa yang berlaku.
- Mengambil kira kedudukan ekonomi dan budaya terhadap peristiwa yang berlaku.
Ibnu Khaldun berpendapat bahawa beberapa perkara asas yang perlu ada untuk membina negara iaitu, AGAMA, EKONOMI dan AKHLAK pemimpin serta rakyatnya.
SUMBER: Ibnu Khaldun Riwayat Hidup & Karyanya oleh Muhammad Abdullah Enan. Terjemahan oleh Mohd Pizli Usop & Nik Haslina Nik Ibrahim. Terbitan ITNM 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan