03 April 2011

Api Dalam Sekam.

Piagam Madinah:
  • Penduduk Madinah hidup aman damai dan tidak boleh lagi bersengketa.
  • Orang Islam sendiri akan menghukum sekiranya keluarganya berbuat salah, zalim dan sebagainya. Kemudian mereka bersama melaksanakan hukuman itu walaupun kpeda keluarga sendiri.
  • Orang bukan Islam Madinah berhak melindungi harta mereka tetapi sekiranya mereka melakukan kesalahan, mereka tidak menghalang kaum Muslimin bertindak balas ke atas mereka.
  • Orang Islam dan bukan Islam tidak boleh melindungi pesalah.
  • Orang Yahudi dan Islam bersama-sama membiayai perang.
  • Penduduk Madinah bersatu menentang musuh yang menyerang Madinah.
Pasar Qainuqa' merupakan sebuah pasar yang dikuasai oleh golongan Yahudi sebelum kedatangan Nabi Muhammad ke Madinah.

Semenjak kedatangan Nabi Muhammad dan golongan Muhajirin sampai ke Madinah, para sahabat terutama Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin Awwam, Abu Bakar as-Siddiq dan Uthman bin Affan berniaga di pasar ini. Puak Yahudi berasa bimbang kerana perniagaan mereka  terjejas. Mereka merasakan para sahabat ini yang menguasai pasar ini.

"Bagaimana dengan perniagaan awak, wahai Qubis," tanya Judan. Dia ditugaskan oleh Abdullah bin Ubai bagi memantau perniagaan di Pasar Qainuqa'.

"Perniagaan kami terjejas teruk, semenjak Abdul Rahman bin Auf, Zubair bin Awwam, Abu Bakar as-Siddiq dan Uthman bin Affan berniaga di sini. Saya hairan kenapa pengikut Muhammad itu dibenarkan berniaga di  Pasar Qainuqa?" Jawab Qubis sambil meludah ke tanah.

"Pasar Qainuqa ini dikuasai peniaga Yahudi. Tempat ini menjadi pusat ekonomi orang Yahudi. Sejak dahulu belum pernah peniaga Arab berjaya berniaga di sini. Sebelum ini sudah ada peniaga dari Bani Aus dan Khazraj cuba berniaga tetapi tidak bertahan lama kerana mengalami kerugian. jadi saya bersetuju pengikut Muhammad itu dibenarkan berniaga kerana yakin mereka tidak dapat bertahan lama. Tambahan pula tempat ini masih baharu bagi mereka," kata Judan.

Betapa silapnya sangkaan awak. Perniagaan mereka itu semakin maju. Orang bani Aus da Bani Khazraj tidak mahu lagi membeli barang-barang kami. Mereka lebih suka berusrusan dengan peniaga Islam itu, kerana itu perniagaan kami terjejas teruk. Kita perlu bertindak segera," kata Qubis sambil meluahkan rasa sakit hatinya.

Mereka bersepakat untuk tidak membenarkan peniaga Islam berniaga di pasar ini. Judan segera melaporkan perkara itu kepada Ketuanya. Sebelum itu mereka perlu membuat mesyuarat bersama Ketua Puak Yahudi iaitu Abdullah bin Ubai.

"Sa'ad bin al-Rabi' yang membantu pengikut Muhammad itu berniaga di Pasar Qainuqa. Mula-mula dibawanya Abdul Rahman bin Auf. Kemudian Abu Bakar, Zubair dan Uthman Affan. Saya yakin jumlah mereka semakin bertambah. Sa'ad bin al-Rabi' yang memberu modal kepada mereka bagu membuka perniagaan. Dia juga yang menyewakan kedai-kedainya kepada mereka. Jadi dia yang sepetutnya dipersalahkan. Bukan saya atau Judan," kata Abdullah bin Ubai dalam usaha melindungi kesalahannya.

Sa'ad bin al-Rabi' turut hadir dalam mesyuarat itu. Dia cuma berdiam diri mendengar hujah-hujah dari kaumnya.

"Demi menjaga kepentingan peniaga bangsa kita di Pasar Qainuqa', saya cadangkan supaya kedai-kedai pengikut Muhammad di tutup. Jangan benarkan mereka berniaga di Pasar Qainuqa," kata Judan.

"Saya membantah!" kata Sa'ad bin al-Rabi'.

" Bukankah sebelum ini Judan pernah membantu seorang kabilah Khazraj berniaga di Pasar Qainuqa. Bukankah sebelum ini Abdullah bin Ubai sendiri pernah menyewakan sebua kedainya kepada orang dari Bani Aus?Mengapa apabila saya melakukan perkara yang sama dipersalahkan?" tambah Sa'ad.

Judan dan Abdullah bin Ubai terdiam. Orang rami juda terdiam dengan kata-kata Sa'ad bin al-Rabi'.

Melihat keadaan itu, Saad bin al-Rabi' sambung kata-katanya, " Sudah lupakah...kita sudah mengikat perjanjian dengan Muhammad yang kita bersetuju hidup berbaik-baik dan tidak bermusuhan? Kamu semua bersetuju menghormati hak orang Islam dan mereka juga bersetuju menghormati hak kamu semua? Sekiranya kamu memaksa pengikut-pengikut Muhammad menutup kedai mereka  dan melarang berniaga di Pasar qainuqa, apakah kamu menyangka Muhammad dan pengikut nya berdiam diri?"

"Kami juga tidak akan berdiam diri melihat peniaga kami mengalami kerugian. Kerana itu awak dijemput hadir bagi membantu kami mengatasi masalah ini. Kami mahu awak menghentikan bantuan kepada mereka," marah Abdullah bin Ubai.

"Saya seorang peniaga yang berjaya. Saya tidak akan menutup kedai-kedai kepunyaan saya yang mampu memberi keuntungan yang banyak. Bodoh namanya sekiranya saya mengikut kehendak awak," bantah Sa'ad bin al-Rabi'.

"Sekiranya begitu, apa cadangan awak bagi mengatasi masalah peniaga bangsa kami di Pasar Qainuqa?" tanya Judan dengan nada suara yang lunak.

"Kedai Abdul Rahman bin auf, Zubair bin Awwam, Abu Bakar as-Siddiq dan Uthman bin Affan menjadi tumpuan orang ramai kerana mereka pandai berniaga. selain pandai melayan serta memikat hati pelanggan, harga barang yang dijualnya lebih murah daripada harga barang-barang awak. Apa yang paling penting, mereka tidak menipu dalam perniagaaan. Sukatan dan timbangan dilakukan dengan jujur. Awak sepatutnya salahkan diri sendiri mengapa pelanggan lari," jawab Sa'ad bin al-Rabi'.

"Sa'ad bin al-Rabi', awak adalah sekutu perniagaan kami. Awak menjadi kaya-raya juga adalah bantuan kami peniaga-peniaga Yahudi. Sekarang buat pilihan sama ada mahu terus menjadi sekutu kami dan memutuskan hubungan kamu dengan pengikut-pengikut Muhammad, ataupun menjadi sekutu mereka dan memutuskan hubungan dengan kami," teriak Qubis yang paling marah keran perniagaannya terjejas teruk.

"Nabi Muhammad mempersaudarakan saya dengan Abdul Rahman bin auf, Zubair bin Awwam dan Abu Bakar as-Siddiq. Saya memilih mereka daripada awak. Sekiranya awak menyakiti pengikut Muhammad sama seperti awak menyakiti saya. Sekiranya awak memusuhi pengikut Muhammad sama seperti awak memusuhi saya," kata Sa'ad bin al-Rabi'.

Mesyuarat pada malam itu berakhir tanpa apa-apa keputusan. Cadangan mengambil tindakan terhadap Sa'ad bin al-Rabi' tidak dapat dijalankan kerana bimbang tindak balas orang Islam. Orang Yahudi semakin dengki serta mula menyimpan dendam kepada orang Islam terutama Muhammad.

Ketua-ketua orang Yahudi bimbang permusuhan mereka dilaporkan oleh Sa'ad bin al-Rabi'. Mereka berpakat bertemu dengan Rasulullah untuk menyatakan sokongan terhadap piagam Madinah.

Di kalangan orang Yahudi di Madinah, ada seorang lelaki yang bernama Abdullah bin Salam yang sangat mereka hormati. Beliau seorang pendeta Yahudi yang berpegang teguh dengan ajaran nenek moyangnya. Kitab Taurat sering dibacanya. Apabila mendapat tahu Nabi Muhammad berhijrah ke Madinah, timbul keinginannya untuk bertemu dengan baginda. Dia juga ingin mengajukan beberapa soalan bagi membuktikan kerasulan Nabi Muhammad.

Apabila berjumpa dengan Nabi Muhammad, Abdullah bin Salam terus bertanya berkenaan mukjizat yang dikurniakan Tuhan kepada Baginda. Rasulullah terus membacakan ayat-ayat al-Quran. Ini membuatkan hati hati pendeta  Yahudi ini terpesona mendengarnya. Lantas beliau menyatakan keislamannya.

Tidak lama kemudian, muncul ketua-ketua Yahudi ke rumah Nabi Muhammad. Abdullah bin Salam terus bersembunyi di sebalik pintu. Kedatangan ketua-ketua Yahudi itu disambut dengan baik sebagai tetamu.

"Siapa Abdullah bin Salam di kalangan bangsa kamu?" tanya Nabi Muhammad.

"Dia adalah ulama' kami. Dia orang paling mulia dan baik di kalangan kami," jawab Abdullah bin Ubai dengan bangga.

"Apa pandangan kamu sekiranya beliau masuk Islam?" tanya Nabi Muhammad lagi.

"Mustahil dan tidak mungkin," jawab Abdullah bin Ubai dengan yakin.

Nabi Muhammad menyuruh Abdullah bin Salam keluar dari tempat persembunyiannya.

Kemudian beliau mengucapkan,"Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu adalah pesuruh Allah. Sesungguhnya dia datang membawa kebenaran,"

Keislaman Abdullah bin Salam adalah satu tamparan yang hebat pada kaum Yahudi. Mereka bertambah dendam terhadap Nabi Muhammad. Abdullah bin Ubai tidak dapat melelpakan mata pada malam itu. Dia pernah dicadangkan menjadi raja Madinah kerana jasanya mendamaikan pesengketaan antara kaum Aus dan Khazraj. Ada juga yang tidak bersetuju kerana bimbang pengaruh Yahudi yang menidas kaum lain.

Abdullah bin Ubai sedar mereka tidak mampu melawan pengikut Muhammad kerana jumlah mereka ramai dan terikat dengan piagam Madinah. Akhirnya dia membuat keputusan untuk mengikut jejak Abdullah bin Salam. Keesokan harinya, dia menemui Rasulullah dan menyatakan keislamannya. Dalam diam-diam dia menyimpan dendam.

"Benarkah awak sudah menjdi pengiku Muhammad?" tanya Qahlali yang datang sendiri ke rumah Abdullah bin Ubai untuk mendapat kepastian.

"Memang benar. Apakah itu menimbulkan kemarahan awak?" tanya Abdullah bin Ubai pula.

"Tidakkah awak sedar tindakan itu hanya menguntungkan Muhammad tetapi merugikan diri awak sendiri dan merugikan orang Yahudi?" tanya Qahlali dengan rasa marah.

"Apa yang saya lakukan itu demi keselamatan diri saya sendiri dan kaum Yahudi." kata Abdullah bin Ubai pula.

"Apa hujjah awak?" tanya Qahlali

"Saya tidak mahu permusuhan saya diketahui oleh Muhammad. Dengan berpura-pura menjdi pengikutnya saya tahu apa yang akan dilakukan oleh Muhammad kepada kaum Yahudi. Bukankah itu menguntungkan?" jawab Abdullah bin Ubai.

"Apakah awak mahu jadi api dalam sekam? tanya Qahlali.

Abdullah bin Ubai hanya menjawab dengan senyuman sinis.

Kemudian dia bertanya," Apakah awak sudah lupa dengan janji awak selepas tamatnya Perang Bu'ats?"

"Saya tidak akan lupa kerana awak yang menjadi orang tengah hingga perang yang sia-sia itu berjaya ditamatkan. Kerana itu kami bersetuju hendak melantik awak menjadi raja Madinah," jawab Qahlali.

"Saya rasa dikhianati oleh al-Barra, ketua Bani Khazraj dan al-Makdad, ketua Bani Aus apabila mereka mengikat perjanjian dengan Muhammad," kata Abdullah bin Ubai.

"Dengan kedatangan Muhammad, ia menutup peluang awak menjadi raja. Saya hairan kenapa awak boleh tunduk dengan Muhammad dan bersetuju menjadi pengikutnya?" tempelak Qahlali.

Kata-kata Qahlali itu menambah lagi rasa permusuhan Abdullah bin Ubai kepada Nabi Muhammad. Namun dia sedar pengikut Muhammad semakin hari bertambah ramai. Dia tidak mampu memusuhi secara terang-terangan.

Kaum kafir Quraisy selalu berutus surat dengan Abdullah bin Ubai menyuruhnya memerangi Nabi Muhammad dengan janji apabila berlaku peperangan, penduduk Mekah akan membantu orang Yahudi Madinah. Abdullah bin Ubai berusaha memecahkan perpaduan antara Bani Aus dan Bani Khazraj tetapi tidak berjaya.

Abdullah bin Ubai terus mencari jalan bagi membinasakan Nabi Muhammad dan para pengikutnya. Di hadapan Rasulullah, dia berpura-pura bersikap baik dan menyatakan taat setia tetapi dalam diam-diam dia merancang mahu memeranginya.

Pada suatu malam, Abdullah bin Ubai mengadakan perjumpaan sulit dengan ketua-ketua kabilah Yahudi. Dijemput juga penduduk Madinah yang bukan Islam.

"Saya mahu awak semua menutup semua perigi-perigi kepunyaan awak supaya pengikut Muhammad tidak dapat mengambil airnya. Biar mereka mati kehausan," kata Abdullah bin Ubai.

Tindakan kaum Yahudi dan Musyrikin menutup perigi kepunyaan mereka menyusahkan pengikut Nabi Muhammad. Mereka mengadu kepada Nabi Muhammad. Baginda segera mengadakan perbincangan dengan para sahabat. Uthman bin Affan berjanji akan mengatasi masalah tersebut.

Uthman menemui Arfak, seorang lelaki Yahudi yang memiliki dua buah telaga. Uthman mahu membeli salah satu perigi itu tetapi hanya dibenarkan menyewa dengan bayaran yang mahal 12,000 dirham. Ini dipersetujui oleh Uthman dan bersyarat. Uthman hanya dibenarkan mengambil air selang sehari.

Uthman menyuruh orang ramai mengambil air di perigi itu. Mereka mengambil air dalam jumlah yang banyak kerana hendak menyimpan bagi kegunaan esok hari. Ini menimbulkan kemarahan lelaki Yahudi itu. Dia mengugut Uthman untuk membatalkan perjanjian itu. Uthman meminta semula bayaran 12,000 dirham tetapi lelaki itu sudah habis membalanjakannya. Akhirnya Uthman membeli telaga itu dengan bayaran 35,000 dirham. Kemudian Uthaman bin Affan mengumumkan bahawa dia mewakafkan perigi itu.

Abdullah bin Ubai dan Judan berasa sangat marah terhadap Arfak kerana menjual periginya kepada pengikut Muhammad. arfak bersa takut lalu melarikan diri ke Syam. Dengan duit hasil penjualan perigi, dia membuka perniagaan di Syam.

Abdullah bin Ubai semakin tertekan apabila orang Quraisy Mekah menyuruhnya memerangi Muhammad dan pengikutnya. Mereka membuat perbincangan untuk berperang dengan orang Islam Madinah.

Allah menurunkan wahyu kepada Nabi Muhammad dalam surah al-Anfal ayat 59-62 yang bermaksud:
"Dan janganlah orang kafir itu menyangka dapat melemahkan kuasa Allah. Mereka sungguh tidak dapat melemahkan Allah. Dan (hai orang yang beriman) siapkanlah bagi menghadapi mereka dengan kekuatan apa apa sahaja yang kamu sanggup seperti kuda-kuda yang dilatih bagi perang. (dengan persiapan itu) kamu akan menakutkan musuh Allah dan musuh kamu dan orang yang selain mereka yang tidak kamu ketahui. Tetapi Allah mengetahui mereka. Apa sahaja yang kamu dermakan pada jalan Allah pasti akan dibalas dengan secukupnya dan kamu tidak akan dizalimi. Sekiranya mereka mahu berdamai maka kamu hendaklah berdamai dan bertawakal kepad Allah. Sesungguhnya Allah lagi Maha Mengetahui. Namun sekiranya mereka menipu kamu maka cukuplah Allah (yang akan melindungi kamu)"
Dengan turunnya ayat itu, Nabi Muhammad menyuruh para pengikutnya membuat persiapan bagi mempertahankan diri. Mereka menjalani latihan menunggang kuda, memanah dan menggunakan senjata.

Orang Yahudi terpaksa membatalkan rancangan mereka bagi menyerang orang Islam. Namun dendam kasumat mereka tidak akan pernah padam. Mereka hanya menunggu peluang bagi bertindak. Mereka ibarat api dalam sekam. Menunggu tiupan angin bagi membakar.

SUMBER: Perang Uhud Perang Penentuan oleh Abdul Latip Talib keluaran PTS Litera Utama Sdn Bhd.

p/s: Ramai orang Munafik seperti Abdullah bin Ubai sekarang. Hanya Allah yang tahu. Adakah kita salah seorang daripadanya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Rakan Sejawat Toksik

Ahlan...ahlan Ya Ramadan.  Alhamdulillah masih diberi peluang merasai hidup dalam Islam tetapi umat Islam Palestin masih bergelut dengan kes...