28 Februari 2014

Doa Tidak Makbul

Seorang penduduk pernah bertanya kepada Ibrahim Adham mengenai kenapa doa beliau tidak dimakbulkan.
Dengan penuh tawadhuk Ibrahim Adham menjawab,'Hati kamu buta. sebabnya kerana sepuluh perkara'

(1)Kamu mengenal Allah tetapi kamu tidak menunaikan hakNya.

(2)Kamu sangka cinta kepada Rasulullah s.a.w. tapi kalian tinggalkan sunnahnya.

(3)Kalian membaca Al Quran, tetapi tidak beramal dengannya.

(4)Kamu menerima nikmat-nikmat Allah s.w.t. tetapi tidak pernah bersyukur.

(5)Kamu berkata syaitan itu musuh kamu, tetapi tidak menentangnya

(6)Kamu berkata syurga itu benar, tetapi tidak beramal untuknya.

(7)Kamu berkata neraka itu benar, tetapi tidak lari daripadanya.

(8)Kamu berkata mati itu benar, tetapi tidak bersedia untuknya.

(9)Kamu bangun tidur, ceritakan keaiban manusia, tetapi lupa keaiban

(10)Kamu kebumikan mayat saudaramu, tetapi tidak mengambil iktibar darinya.

Siapa Ibrahim Adham ini?

Ibrahim bin Adham atau nama asalnya ialah Abu Ishak Ibrahim bin Adham dilahirkan daripada keluarga bangsawan Arab yang kaya raya. Beliau terkenal sebagai seorang raja Balkh yang sangat luas wilayah kekuasaannya. Ke mana saja pergi, beliau akan diiringi empat puluh bilah pedang emas dan empat batang tongkat kebesaran emas diusung di depan dan belakangnya. Nama beliau berada dalam tinta sejarah daripada seorang raja yang masyhur kepada ahli sufi yang terkenal.

Bermulanya perubahan kehidupan Ibrahim bin Adham apabila pada suatu malam ketika baginda tertidur di bilik istananya, langit-langit di biliknya bergerak seolah-olah ada seseorang yang sedang berjalan di atas atap. Ibrahim terjaga dan berseru: “Siapakah itu?”

“Saya adalah seorang sahabat, untaku hilang, aku sedang mencarinya di atas atap ini.” Terdengar sahutan dari atas.

“Bodoh, tidak ada orang mencari unta di atas atap!” Ibrahim menengkingnya.

“Wahai manusia yang lalai, apakah engkau hendak mencari Allah Subhanahu wata’ala dengan berpakaian sutera dan tidur di alas tilam emas?” Jawab suara itu penuh simbolik.

Kata-kata ini sangat menggetarkan hati Ibrahim. Ia sangat gelisah dan tidak dapat meneruskan tidurnya sehingga pagi. Seperti kebiasaannya, di sebelah siang Ibrahim berada di atas singgahsananya untuk mendengar pengaduan dan masalah rakyat jelata. Tetapi hari itu keadaannya berlainan, dirinya gelisah dan banyak termenung.

Para menteri, pembesar istana dan rakyat yang hadir merasa hairan melihat perubahan yang terjadi dengan tiba-tiba kepada raja mereka.

Tiba-tiba masuk seorang lelaki berwajah menakutkan ke dalam ruangan perjumpaan itu. Tidak seorangpun di antara askar dan pengawal istana yang berani menanyakan sesuatu dan menghalangnya masuk. Kejadian berlaku begitu pantas, semua lidah menjadi kelu. Lelaki itu melangkah ke depan Ibrahim Adham.

“Aku baru sahaja sampai, bagilah aku rehat dulu”, jawab lelaki itu.

“Ini bukan tempat persinggahan kafilah. Ini istanaku. Lagak engkau seperti orang gila saja!” Ibrahim menengking.

“Ayahku!” Jawab Ibrahim pendek.

“Sebelum ayahmu?”

“Datuk kepada datuk-datukku!”

“Ke manakah mereka sekarang ini?“ Tanya lelaki itu.

“Mereka telah meninggalkan dunia ini”, jawab Ibrahim.

“Jika demikian, tidakkah ini sebuah persinggahan yang diduduki oleh seseorang kemudian ditinggalkannya dan diganti oleh yang lain pula?” Kata lelaki itu.

Tersentak juga hati Ibrahim mendengar kata-kata lelaki itu. Belum sempat Ibrahim menjawab, lelaki itu mengundur ke belakang dan tiba-tiba ghaib di tengah orang ramai. Banyak para alim ulama membuat tafsiran sesungguhnya lelaki itu adalah Nabi Khidhir ‘Alaihissalam yang sengaja datang mengetuk hati raja Ibrahim bin Adham yang semakin lalai dengan tipu daya dunia.

Kegelisahan Ibrahim semakin menjadi-jadi sejak kejadian tersebut. Ia dihantui oleh bayangan dan suara lelaki itu sejak peristiwa di istananya. Akhirnya kerana tidak tahan lagi Ibrahim memerintah pengawalnya: “Persiapkan kudaku yang terbaik! Aku hendak pergi berburu. Ya, Allah! Bilakah semua ini akan berakhir?”

Ibrahim bin Adham dan rombongan terus merentasi padang pasir yang luas saujana mata memandangnya. Baginda memacu kudanya begitu laju sehingga akhirnya terpisah dengan rombongan tersebut. Dalam mencari jalan keluar baginda terlihat seekor rusa. Tiba-tiba Ibrahim ghairah hendak memburu rusa itu. Belum sempat berbuat apa-apa rusa itu berkata kepadanya: “Wahai manusia yang lalai, aku disuruh oleh Allah Subhanahu wata’ala memburumu. Engkau tidak dapat menangkapku. Bertaubatlah, untuk inikah engkau diciptakanNya?”

Ibrahim yang di dalam ketakutan itu tiba-tiba terkejut dengan kata-kata itu. Baginda langsung tidak terfikir selama ini untuk apa baginda dicipta ke dunia. Sekarang keyakinan serta keimanannya telah tertanam di dalam dadanya. Seluruh pakaian dan tubuh kudanya basah oleh cucuran air mata penyesalannya selama ini. Dengan sepenuh hati Ibrahim bertaubat kepada Allah Subhanahu wata’ala. Dalam keadaan panas terik itu, baginda meninggalkan kudanya dengan berjalan kaki yang akhirnya baginda bertemu dengan seorang penggembala yang sedang menjaga sekumpulan kambing-kambingnya.

Tiba-tiba Ibrahim meminta keizinan untuk menyerahkan bajunya yang bersulam emas serta topinya yang bertatahkan batu-batu permata yang sangat mahal harganya. Sebaliknya baginda mengenakan pakaian dan topi gembala itu yang diperbuat daripada kulit dan bulu kambing. Gembala kambing itu melihat kelakuan Ibrahim itu dengan penuh kehairanan. Semua malaikat menyaksikan perbuatan Ibrahim itu dengan penuh kekaguman sehingga salah satu malaikat berkata: “Lihat, betapa megahnya kerajaan yang diterima putera Adham sebelum ini, akhirnya telah mencampakkan pakaian dunia yang kotor dan menggantinya dengan jubah kesedaran.”

Dengan berjalan kaki Ibrahim mengembara merentasi gunung dan menyusuri padang pasir yang luas sambil menginsafi dosa-dosa yang pernah dilakukannya. Akhirnya sampailah baginda di sebuah gua. Ibrahim yang dulunya seorang raja yang hebat akhirnya menyendiri dan berkhalwat di dalam gua selama sembilan tahun. Selama di dalam gua itulah Ibrahim betul-betul mengabdikan dirinya kepada Allah Subhanahu wata’ala. Setiap hari Khamis baginda ke pekan bernama Nishapun untuk menjual kayu api. Setelah sembahyang Jumaat baginda pergi membeli roti dengan wang yang diperolehinya. Roti itu separuh diberikan kepada pengemis dan separuh lagi untuk berbuka puasa. Demikianlah yang dilakukannya setiap minggu.

Akhirnya baginda mengambil keputusan keluar dari gua tersebut untuk merantau lagi merentasi padang pasir yang terbentang luas itu. Baginda tidak tahu lagi ke mana hendak ditujui. Setiap kali baginda berhenti di sebuah perkampungan, baginda kumpulkan orang-orang setempat untuk memberitahu betapa kebesaran Allah terhadap hambaNya dan azab yang akan diterima oleh sesiapa yang mengingkarinya. Justeru itu banyaklah orang yang akrab dengannya dan ada yang menjadi muridnya. Baginda mengharungi padang pasir itu empat belas tahun lamanya. Selama itu pula baginda berdoa dan merendahkan dirinya serta tawaddhu’ kepada Allah Subhanahu wata’ala. Nama Ibrahim pula mula disebut-sebut orang; dari seorang raja berubah menjadi seorang ahli sufi yang merendah diri.

Pernah dalam perjalanannya baginda diuji. Disebabkan kewara’an baginda itu ada seorang kaya datang menemuinya untuk mengambil tabarruk ke atas baginda dengan memberi wang yang sangat banyak kepada Ibrahim. “Terimalah wang ini, semoga berkah”, katanya kepada Ibrahim.

“Aku tidak mahu menerima sesuatupun daripada pengemis”, jawab Ibrahim.

“Tetapi aku adalah seorang yang kaya”, pintas orang kaya orang itu.

“Apakah engkau masih menginginkan kekayaan yang lebih besar daripada apa yang telah engkau miliki sekarang ini?” tanya Ibrahim.

“Ya, kenapa tidak?” Jawabnya ringkas.

“Simpanlah wang ini kembali, bagi aku, engkau adalah ketua para pengemis di sini. Bahkan engkau bukan seorang pengemis lagi tetapi seorang yang sangat miskin dan meminta-minta.” Tegur Ibrahim.

Kata-kata Ibrahim itu membuatkan orang kaya itu tersentak seketika. Penolakan pemberiannya oleh Ibrahim disertai dengan kata-kata yang sinis lagi pedas itu turut meninggalkan kesan yang mendalam kepada dirinya. Dengan peristiwa tersebut orang kaya itu bersyukur kepada Allah kerana pertemuan dengan Ibrahim itu membuatkan dirinya sedar akan tipu daya dunia ini. Beliau lalai dengan nafsu yang tidak pernah cukup daripada apa yang perolehinya selama ini.

Suatu ketika sedang Ibrahim bin Adham menjahit jubah buruknya di tepi sungai Tirgis baginda ditanya oleh sahabatnya: “Engkau telah meninggalkan kemewahan kerajaan yang besar. Tetapi apakah yang engkau telah perolehi sebagai imbalannya?”

Disebabkan soalan yang tidak disangka-sangka itu keluar dari mulut sahabatnya sendiri maka dengan tiba-tiba jarum di tangannya terjatuh ke dalam sungai itu.

Sambil menunjukkan jarinya ke sungai itu Ibrahim berkata, “Kembalikanlah jarumku!”

Tiba-tiba seribu ekor ikan mendongakkan kepalanya ke permukaan air. Masing-masing ikan itu membawa sebatang jarum emas di mulutnya.

Ibrahim berkata: “Aku inginkan jarumku sendiri.”

Seekor ikan kecil yang lemah datang menghantarkan jarum besi kepunyaan Ibrahim di mulutnya.

“Jarum ini adalah salah satu di antara imbalan-imbalan yang ku perolehi, kerana meninggalkan kerajaan Balkh. Sedangkan yang lainnya belum tentu untuk kita, semoga engkau mengerti.” Kata Ibrahim Adham dengan penuh kiasan.

Begitulah kehidupan seorang raja Balkh yang bernama Ibrahim bin Adham yang luas pemerintahannya dan hidup di dalam kemewahan, tetapi akhirnya berkelana menjadi ahli sufi yang terkenal. Baginda menemui Allah Subhanahu wata’ala pada tahun 165H/782M di negeri Persia. Taubat Ibrahim itu merupakan sebuah kisah yang sangat unik bagi umat Islam yang merintis kehidupan yang penuh dengan tipu daya di dunia ini. Wallahu ‘alam.

SUMBER

1. cahayamukmin

2.arkibislam

23 Februari 2014

Carik.

Assalamualaikum wbt...

Hilang kata-kata dan idea untuk menulis. Susahnya nak cari idea nak tulis ni. Apatah lagi penulis buku-buku yang banyak di pasaran. Mereka pasti istiqamah menulis setiap hari mengikut target yang digariskan. Aku hanya mencoret dan mencarikkan idea.

Tahun 2014, tahun lebih sibuk dari sebelum ini. Di mana sibuknya? Aku tak dapat nak kenal pasti. Menulis blog bukan menjadi rutinku tetapi kerja lebih dominan. Kertas kerja. Kertas kerja. Satu program pun tak jalan lagi. Semuanya memerlukan dana. Duit. Hanya kertas kerja sahaja yang mampu aku buat.

Ada juga aku masuk satu big event yang disangka 'seminar kewangan'. Yang peliknya, aku masih bersabar dengan keadaan dewan mampu memecahkan jantungku. Teringat 'big event' yang dihadiri oleh ayah. Serupa. Sebiji. Aku bawa ayah keluar. Kali ini, aku sabar kerana ingin tahu 'apa yang mereka buat'. Masalahnya 'orang melayu' yang over menari. Lelaki perempuan bercampur. Berdosanya aku berada dalam majlis ini. Fuh! kerja gila. Terasa dalam disko. Ye ke? Entah la. Mungkin perasaanku sahaja. Teknik yang digunakan adalah NLP. Mencontohi orang yang berjaya. Menunjuk gambaran memiliki kereta mewah. Jadi jutawan. Ibarat rakanku ,"ting tong ting tong...semuanya kosong". Bisnes networking.

Pasal bisnes ini, aku google. Aku dengar video ceramah Dr Zaharuddin (UZAR). Aku cari garis panduan JAKIM. Aku cari pengalaman orang lain. Aku cari lesen dari KPDNKK. Status syarikat ini. Jumpa pula rakan sekerja yang menceritakan tentang suaminya masuk bisnes ini. Kemudian bercakap sendiri dengan tuan badan. Macam-macam nasihat. Dah 5 tahun dalam bisnes ini. Banyak pengalamannya. Cukuplah cerita mengenai bisnes ini. Tidak sesuai denganku.

SUMUR. Sahsiah unggul murid. Program yang tidak difahami oleh ketua dan seniorku. Aku tidak tahu dari 'zero'. Daripada tidak tahu, aku cuba google. SINI.  Tahu lebih baik dari tak tahu. Aku sedang mencuba melaksanakan aktiviti SUMUR, terutama usrah. Seolah-olah aku kerah tenaga seorang diri. Aku memberi taklimat kepada orang lain pula. Terasa berat. Sepatutnya perasmian SUMUR dilaksanakan dahulu sebelum aktiviti berjalan. Aku belasah buat aktiviti dahulu.

'gambar: pengetua sekolahku dahulu'

Usrah kali pertama memang gagal. Naqib dan Naqibah tidak dapat berfungsi dengan baik. Itulah teori dan praktikal tidak sama. Aku cuba membuat penambahbaikan. Jika aku beri tumpuan pada bahagian ini, aku akan mengabaikan kerja lain. Ternyata aku meninggalkan kerja aku yang lain.

Aku perah idea dalam melaksanakan usrah yang akan dijalankan lebih kerap dalam sebulan. Banyak kelemahan untuk melaksanakan usrah ini. Hakikatnya, usrah yang sepatutnya lebih menarik. Aku masih mencari 'game' yang sesuai untuk mencapai 1 matlamat dalam setiap perjumpaan mereka.

Aku pernah hadiri usrah. Kebanyakan usrah yang aku sertai memang membosankan. Oleh itu, aku tidak ingin usrah kali ini membosankan. Tetapi bagaimana caranya? Jika pembaca ada idea 'game' dalam tempoh 30 minit, boleh kongsi dalam ruangan komen yea. Aku sangat memerlukan idea yang kreatif.

Bagi Naqib dan Naqibah, anda boleh layari link yang disenaraikan di bawah ini.

1. penggunaan-permainan-dalam-usrah

2.-aktivitidanpermainankreatifislami

19 Januari 2014

Bukit Qubais.

Bukit yang terletak bersebelahan dengan Kaabah. Orang di Mekah tidak akan dapat melihat apa yang ada di belakang bukit ini.

Allah memerintahkan Nabi Muhammad menyebarkan dakwah selain ahli keluarga dan sahabat terdekat. Firman Allah dalam surah Al-Hijr ayat 94: "Nyatakanlah dengan apa yang telah kamu diperintahkan"

Suatu pagi, Nabi Muhammad memanjat Bukit Qubais. Apabila berada di atas bukit ini, Nabi Muhammaf melaungkan 'wa isbaha' iaitu gaya suara memberi amaran kepada penduduk Mekah menandakan ada perkara besar berlaku. Suara ini boleh didengari orang Mekah. Mereka bergegas ke kaki bukit qubais.

Nabi Muhammad memulakan ucapan ,"Wahai penduduk Mekah.Andai aku katakan dibelakang bukit ini ada tentera yang bersiap sedia menyerang kamu, adakah kamu semua akan percaya?"

"Kami percaya kerana engkau selaly bercakap benar", kata salah seorang penduduk Mekah.

Ketika itu, Nabi Muhammad berkata,"Sesungguhnya aku adalah orang yang memberi peringatan kepada kamu daripada azab Allah Yang Maha Pedih."

Nabi Muhammad memberitahu mereka bahawa beliau adalah pesuruh Allah yang diutuskan bagi mengajak manusia kepada Tuhan Yang Esa, Tuhan Yang Maha Agung , Tuhan Maha Baik, Tuhan Maha Segalanya.

Ketika itu bapa saudara Nabi Muhammad, Abdul Uzza menghina Muhammad dan mengarahkan semua orang bersurai. Abdul Uzza kemudiannya digelar Abu Lahad dengan penurunan wahyu surah Al-Masad ayat 1-5.

Gua Hira'

Sebelum Muhammad Bin Abdullah menjadi rasul, beliau selalu bersendirian dan mengadingkan diri untuk beribadat di Gua Hira'. Setiap tahun, beliau mengkhususkan beberapa hari ke sana, terutama pada bulan Ramadhan.

Muhammad sekali sekala pulang ke rumah, menziarahi keluarga dan segala rutin hariannya. Suatu hari pada bulan Ramadhan, semasa Muhammad sedang menuju ke Gua Hira' ada suara memberi salam. "Assalamualaika wahai pesuruh Allah," beliau menoleh ke belakang, tiada seorang pun berada dibelakang. Pernah Muhammad bertanya Jibril tentang salam itu. Jibril mengatakan bahawa itu adalah suara batu dan pokok di atas Jabal Nur.

Di sini lah wahyu pertama diturunkan. Ketika ini Jibril menyerupai seorang lelaki yang berjubah putih. Memeluk 
Muhammad sambil berkata,
"
Bacalah! 
" sebanyak 3 kali. Kemudian 
Jibril minta 
Muhammad nembaca surah Al-
Alaq.

Gua Hira' terletak di atas Jabal Nur. Gua Hira' ini dapat memuatkan 3 orang dalam satu masa. Gua ini mempunyai dua lubang. Satu pintu masuk dan satu lagi lubang yang boleh nampak Kaabah. Sekarang tak nampak kerana sekeliling kaabah dibuat binaan yang tinggi. Hanya boleh nampak menara jam dan kawasan itu kelihatan bercahaya berbanding kawasan lain pada waktu malam.

Berhadapan dengan Jabal Nur ini ada Jabal Jibril. Dinamakan Jabal Jibril kerana Jibril berada di sana dan memikirkan sama ada nak berjumpa Muhammad atau tidak. Ini menurut mutowwif yang bertugas. Ini kali pertama aku dengar cerita ini.

SUMBER:
1. Biografi MUHAMMAD BIN ABDULLAH PERJALANAN HIDUP SEORANG NABI oleh Zulkifli Mohd. Yusoff dan Noor Naemah Abdul Rahman. Terbitan PTS

2. Mutowwif umrah dan ziarah.

14 Januari 2014

Cinta Rasul.

Aku teringat diri ini hanya kerdil. Kerdil di mata manusia. Namun diri ini ingin berada di tempat yang dinamakan Raudhah. Raudhah berada bersebelahan dengan makam Rasulullah saw, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Al-Khattab. Bagi wanita, tiada peluang untuk melihat pintu makan Rasulullah. Cukup berada di Raudhah dan menyampaikan salam untuk baginda serta  dua sahabat rapat baginda. Terasa Rasulullah mengalu-alukan kedatanganku.

Pernah terfikir, adakah aku layak untuk berada di sini (Raudhah) sedangkan aku tidak banyak mengamalkan sunnah baginda? Adakah aku tidak layak mendapat syafaat baginda?

Ketika di Madinah dan  Mekah, aku terasa berat dan susah melakukan sesuatu, sedekah adalah jalan terbaik. Solat taubat jangan dilupakan. Banyakkan selawat kepada Rasullah SAW. Sepanjang 7 hari berada di Mekah, tidak banyak peluang untuk aku tawaf. Terasa banyak halangan terutama wudu'. 30 minit sebelum masuk waktu solat fardu, para wanita sudah di 'halau' dari dataran depan Kaabah. Solat sunat tawaf tiada masalah. Aku pernah cuba, tetapi terpaksa keluar dari kawasan itu. Jadi beruntunglah bagi lelaki. Anda tiada halangan berada di situ sepanjang masa.

Sejak pulang ini, aku termimpi-mimpi buat tawaf. Rindu nak buat lagi. Rindu nak pergi Ziarah Madinah dan Umrah di Mekah. Rindu nak masuk Hijir Ismail. Rindu nak solat dalam masjid.

Hari ini cuti sempena Maulidurrasul 1435H. Banyakkan selawat. Moga kita mendapat syafaat Kekasih Allah ini. Walau apa pun yang kita buat, selawat boleh dilakukan seberapa banyak yang mampu.

'Di bawah kubah hijau inilah terletak makam Rasulullah'


'dari pak google'

01 Januari 2014

Pendakian Jabal Nur

Semua yang melibatkan Rasulullah adalah istimewa. Hatta debu tanah Mekah dan Madinah juga adalah istimewa. Tempat Rasulullah kunjungi adalah istimewa. Haramain iaitu gelaran kepada Madinah dan Mekah. Wahyu pertama diturunkan di Gua Hira' yang terletak atas Jabal Nur. Pendakian yang mencabar. Pendakian ke Jabal Musa di Sinai lagi mencabar. Berdasarkan pengalaman 7 tahun yang lepas.

Hari khamis. Aku cuba berpuasa. Sahur dengan air zam zam sahaja. Berada di masjid sepanjang hari dan pulang selepas isya'. Berbuka puasa dengan kurma pemberian jemaah dalam masjid dan air zamzam. Aku pulang dengan teksi bersama mak, ayah dan che ngah. Pada malam tu, 20 riyal duit melayang. Malam jumaat. Orang sangat ramai dan teksi sedikit. Malam itu juga aku akan mendaki Jabal Nur untuk masuk Gua Hira'. Jam menunjukkan 8.45 malam. Semua peserta dikehendaki berkumpul di lobi hotel pukul 9 malam. Aku sampai ke hotel dan terus menuju dewan makan. Makan sekejap. Hantar Che Ngah naik tingkat 7 menggunakan lif dan aku turun semula ke lobi.

Pakai telekung solat dan sendal adalah pakaian yang tidak sesuai untuk mendaki. Aku nekad untuk pergi. Hanya aku dan adikku sahaja yang pakai telekung. Telekung bukan penghalang untuk aku naik. Dalam WhatsApp, adik aku kata angin sangat kuat di atas puncak dan kami bakal diterbangkan. Aku boleh ketawa ketika itu kerana membayangkan aku terbang sekitar Mekah yang mulia ini.

Sebotol air minuman. Aku beli untuk menghilangkan kering tekak dan hilangkan haus ketika mendaki. Tangga kecil dan besar serta tangga yang tidak rata begitu mencabar. Apatah lagi tiada bantuan lampu. Gelap. Aku gunakan torchlight handset. Beberapa kali juga kami berhenti. Aku terasa kakiku mengeletar. Itu perkara biasa apabila menaiki tangga secara berterusan tanpa henti. Kudratku tidak seperti 7 tahun yang lalu.

Ada beberapa orang veteran 40-an ke atas, mampu naik ke puncak. Aku boleh tabik spring kepada mereka ini. Dengan bantuan tongkat lagi. Ada seorang pakcik yang bertongkat hampir tersungkur dan sempat pegang jubahku. Terkejut sebab dalam keadaan gelap ada seseorang tarik jubahku. Ketika itu, aku berdiri atas seketul batu. Dalam Gua Hira' itu, hany 3 orang sahaja boleh muat. Ada yang solat. Ada yang doa. Aku hanya berdoa kerana tiada wudu'. Jemaah lelaki paling untung. Mereka boleh berada lama di situ. Mereka sampai awal dan mereka turun lambat. Aku dan adik sempat makan Mee Segera Indomie atas Jabal Nur ini. 5 riyal. Oh! ada satu lagi aku lupa nak sebut. Ada 9 orang peminta sedekah sepanjang pendakian. Ada seorang pengemis tu tidur dalam selimut. Hampir-hampir adikku nak terpijak sebab disangka batu.

'Jabal Jibril'

'kawasan masjidil haram sangat berkilau'



'dalam Gua Hira'


Khidmat Mobily

Menjejak kaki ke Airport King Abdul Aziz terasa seperti mimpi. Apabila mendarat di Mattar King Abdul Aziz, terus doa semoga Allah sesuaikan keadaan di bumi ini dengan badanku. Kami menaiki penerbangan Air Asia X. Sedikit memenatkan bagi warga emas kerana banyak berjalan dan naik tangga. Itulah yang aku nampak pada air muka terutama ibuku yang ada masalah sakit lutut. Terasa pergeseran antara tulang. Tahan sakit. Berjalan perlahan.

Sebaik sahaja turun dari Air Asia X, kami perlu menaiki bas dan berhadapan dengan pemeriksaan ketat. Ini prosedur biasa bagi mana-mana jemaah umrah. Mahram perlu berada berdekatan dengan orang bawahannya. Selepas scan barang-barang hyang di carrie, pihak travel minta kumpul passport. Aku sedikit cuak apabila diminta serah pasport kepada pak arab ni. Adakah dia pihak Andalusia? Jadi aku positifkan diri. Ada pegawai Andalusia yang bertutur dalam bahasa melayu Indonesia. Beliau minta kami ke tempat bas. Yang menghairankan hanya kami sahaja berada di tempat bas. Rupanya yang lain pergi solat jama' ta'khir dan qasar (solat asar dan zohor digabungkan dan dibuat 2 rakaat 2 salam). Salah faham terjadi, ada yang mengatakan solat maghrib sekali di situ. Jadi perjalanan ke Madinah sedikit terlambat.

Ketika berada di Airport King Abdul Aziz Jeddah ini, ramai tukang sapu menawarkan penjualan simcard. Yang paling glamour simcard Mobily. Ada harga 25 riyal dan 20 riyal kredit disediakan. Ada harga 45 riyal dan 40 riyal kredit. Apabila beli simcard ini, jangan buang kad yang dilekatkan simcard itu. Ini kerana setiap kali 'topup' perlu masukkan ID. Jika tiada ID, nak topup tak boleh, nak transfer pun tak boleh. Ayah dan makcik aku tak dapat nak topup sebab hilang kad itu. Pelbagai nombor aku cuba reka, tapi tak dapat. Apabila aku dah guna simcard ini, aku cuba godek-godek. Langgan What's App sebulan. 20 riyal/month. Ada langkah dia.

Panduan simcard mobily
Check no telefon sendiri taip *222#
Check baki taip *1411#
Godek-godek *1100#
Langgan What's App send 211 to 1100
Topup taip *1400*(no kad)*ID# tekan call

Khidmat wifi ada di bahagian lobi hotel. Aku tinggal di Hotel Mubarak Silver Hot jika di Madinah. Hotel Nada Khalil di Mekah. Sekadar menyebut untuk ingatan aku pada masa akan datang. Terasa nak pergi lagi. Aku mula godek bila aku bercuti. Tak dapat nak pergi masjid, aku godek la. Banyak aktiviti aku berada di masjid.

Ketika di Madinah, aku sentiasa berdua dengan adik perempuanku. Jadi kami banyak minum air zam zam. Jadi kami banyak kalu mengunjungi tandas. Sebelum masuk waktu 2kali kami pergi. Jadi bila tiada wudu', kami banyak melepak di depan pintu masuk masjid. Ketika ini,kelihatan ramai orang beri sedekah kepada orang yang menunggu termasuk kami juga dapat pemberian itu . Ada Al-Quran, roti arab bersama susu masam (zabady). Kadang-kadang jadi lucu sebab kami nak tunggu hampir masuk waktu untuk ambil wudu' baru. Yang diminta tidak diberi, malah kami yang tunggu masuk waktu ini diberi. Makanan diberi kepada kami, tapi kami tak makan. Kami hulurkan kepada orang yang meminta tadi. Kami sangka itu kawan dia sebab berjalan seiring.

Setiap kali masuk masjid baca doa masuk masjid, minum air zam zam sepuasnya, solat sunat tahiyyatul masjid. Di Madinah, ada waktu tahrim. Haram solat ketika waktu tahrim. Di Masjidil Haram tiada waktu tahrim. Jadi setiap masa diisi dengan solat-solat sunat. Jika terasa ada yang tidak kena pada diri atau bersalah kepada seseorang, solat sunat taubat. Moga hati jadi tenang. Banyakkan selawat ketika di Madinah. Apatah lagi di masjidil Nabawi. Ziarah dalaman, kami buat sendiri sahaja kerana ibu dan makcik banyak pengalaman di sini. Masuk Raudhah sangat senang. Waktu nak masuk Raudhah, aku lihat jemaah Malaysia, sangat satuh arahan. Tunggu dan tunggu. Tapi kami tak tunggu. Masuk sekali dengan arab. Dengan mudah kami diizinkan masuk. Berada di belakang tiang. Solat dan berdoa lama. Berjurai-jurai air mata. Minta keampunan dan segala permintaan terlintas difikiran aku sebut. Mana-mana kawan-kawan yang kirim salam aku sebut. Aku sangat terasa Rasulullah menyambut kedatangan kami dengan mesra. Andai aku sempat bertemu Rasulullah dan berada pada zaman Rasulullah.

Aku nak kongsi video payung gergasi di Masjidil Nabawi ditutup. Ketika ini hampir masuk waktu maghrib.


'kubah ini akan bergerak ke tepi dan akan kelihatan langit dan cahaya matahari menerobos masuk ke kawasan dalam masjid'





'gambar dalam kawasan masjidil nabawi kawasan perempuan'

Komunikasi di tanah haram, tiada masalah bagi aku. Mereka banyak bertutur dalam bahasa arab pasar. Ramai dari Mesir. Pengalaman di Mesir, memudahkan komunikasi aku bersama jemaah lain. Tukang sapu yang bertugas, memberi khidmat yang terbaik. Bila ditanya, dijawab dengan baik. Tandas sangat bersih sebab selalu dibersihkan oleh petugas Indonesia. Tak sangka ramai orang Indonesia bermukim di sini.

Cuaca di Madinah paling sejuk 17 'C. Paling panas dalam 25'C. Nak ambil wudu' waktu pagi, sejuk sangat. Selepas wudu' terus kena lap dengan tuala. Dalam beg sentiasa ada 2 botol mineral. Isi air zam-zam dan guna ketika wudu'. Minum air zam zam sahaja di sini. Terasa kenikmatannya. 

Di sini, aku belikan 3 baju fit lengan panjang untuk perempuan dan sodry (baju lelaki yang biasa diletakkan diluar baju kemeja). 3 atau 4 lapis baju dipakai. Paling luar pakai jubah dan telekung solat. Itu dah cukup selesa bagi aku. Aku banyak ikut caraku di Mesir selama hampir 3 tahun di sana. Jadi, tak semua tindakan aku boleh dijadikan panduan. Jika aku berani berjalan seorang diri, orang lain jangan ikut. Aku masih boleh berkomunikasi dengan masyarakat sekitar. Jadi jangan tiru gayaku. Nasihat aku, sentiasa berjalan dengan kawan-kawan sekurang-kurangnya berdua. Semuanya terserah kepada Allah. Tawakal sangat perlu disini. Mulut perlu dijaga. Kerana mulut badan binasa. Perumpamaan ini perlu digunakan.

p/s: Selamat Tahun Baru Masihi 2014.

Kisah Penduduk Kampung dalam Surah Yasin

Assalamualaikum, Surah Yasin merupakan salah satu surah yang sentiasa aku ulang-ulang hampir setiap hari satu ketika dahulu. Sekarang aku na...