I made this widget at MyFlashFetish.com.

28 Mei 2013

Niat Umrah & wajib Umrah.

Sebelum menunaikan umrah, para jemaah disunatkan menyempurnakan perkara-perkara berikut:

1. Mengerat kuku.

2. Mengandam/ merapikan janggut, menggunting rambut dan mengemas misai.

3. Menanggalkan bulu-bulu ketiak, ari-ari dan sebagainya.

4. Mandi sunat Ihram.

5. Selesai mandi, sebaik-baiknya ambil wudu'

6. Mamakai wangi-wangian pada badan

7. Memakai kain ihram warna putih.

8. Mendirikan solat sunat ihram.

Lafaz niat mandi sunat ihram: 

نَوَيْتُ غُسْلَ سُنَّةِ الْإِحْرَامِ لِلَّهِ تَعَالَى
"Sahaja aku mandi sunat ihram kerana Allah Taala"

Selepas mandi, pakailah pakaian ihram dan dirikanlah solat sunat ihram 2 rakaat. Lafaz niatnya adalah :

أُصَلِّي سُنَّةَ الْإِحْرَامِ رَكْعَتَيْنِ لِلَّهِ تَعَالَى
"Sahaja aku solat sunat ihram 2 rakaat kerana Allah Taala"

Pada rakaat pertama selepas baca fatihah, baca surah al-Kafirun dan pada rakaat kedua selepas baca fatihah, baca surah al-ikhlas.

Selepas solat sunat ihram, para jemaah boleh niat ihram umrah. Ketika ini para jemaah mesti mengadap kiblat dan mempunyai wudu'. Selepas itu, para jemaah boleh talbiah, doa serta zikir.

Ada beberapa tempat bagi jemaah boleh niat ihram umrah ini. Biasanya di Bir Ali.

Lafaz Niat Ihram Umrah:

نَوَيْتُ الْعُمْرَةَ وَأَحْرَمتُ بِهَا لِلَّهِ تَعَالَى
"Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah taala"

Niat Bersyarat

Niat ihram bersyarat adalah diharuskan bagi seseorang yang bimbang berlaku perkara yang menghalang dirinya daripada menyelesaikan pekerjaaan umrahnya. Contohnya kedatangan haid, ditimpa penyakit yang kritikaldan sebagainya. Niat ini mestilah dilakukan secara berterusan antara niat ihramnya dengan niat bersyarat.

Lafaz niat ihram bersyarat:

نَوَيْتُ الْعُمْرَةَ وَأَحْرَمْتُ بِهَا لِلَّهِ تَعَالَى فَإِنْ حَبَسَنِي حَبِسٌ فَتَحَلَلْتُ
"Sahaja aku mengerjakan umrah dan aku berihram dengannya kerana Allah taala, sekirannya aku terhalang oleh sesuatu, ketika itu aku menjadi halal"

Sekiranya jemaah yang melakukan niat bersyarat ini terhalang daripada menyelesaikan umrah, maka dengan sendirinya ia menjadi halal iaitu terlepas daripada ihramnya.

Jika tidak, jemaah akan dikenakan dam seperti yang berlaku ke atas adikku sendiri. Dam seekor kambing. Teori dan praktikal adalah dua perkara yang berbeza.

**************
Terdapat wajib umrah yang wajib bagi para jemaah lakukan ketika mengerjakan umrah. Jika tidak dikerjakan salah satu darinya, umrah tersebut tetap sah, tapi dikenakan dam menurut syara-syaratnya. Dia juga akan menanggung dosa jika meninggalkan perkara tersebut dengan sengaja. Wajib umrah adalah berniat ihram di miqat dan meninggalkan larangan ihram.

**Berniat ihram mestilah di miqat tertentu. 

Miqat bermaksud ketentuan tempat atau masa untuk berniat ihram umrah. Miqat terbahagi kepada 2 iaitu 

1. Miqat Zamani  : 

Miqat Zamani bagi umrah adalah sepanjang masa bagi seseorang untuk berniat ihram umrah selain daripada masa ia sedang ihram haji menurut syarat-syaratnya.

2. Miqat Makani : 

Miqat Makani umrah ialah ketentuan  tempat untuk seseorang berniat ihram umrah.

Miqat Makani Umrah bagi penduduk luar Makkah

Tempat Niat Ihram Umrah Bagi Penduduk Luar Makkah Dan Orang Yang Datang Dari Arahnya


1. Yalamlam (al-Sa'diyyah)

Ini adalah Miqat bagi penduduk Yaman atau orang yang datang dari arah Yaman. Yalamlam adalah nama sebuah bukit yang terletak berhampiran Laut Merah di Seneanjung Tanah Arab. Jaraknya lebih kurang 89 km dari Makkah.

2. Zulhulaifah ( Abyar  Ali/ Bir Ali):

Ini adalah Miqat bagi penduduk Madinah dan orang yang datang dari arah Madinah. Jaraknya lebih kurang 425km dari Makkah dan lebih kurang 10 km dari Masjid Nabawi.

3. Al-Juhfah:

Ini adalah Miqat bagi penduduk  Syam ( Jordan, Lubnan, Palestin dan Syria) dan orang yang datang dari arah Syam. Jaraknya lebih kurang 187 km dari Makkah. Pada masa sekarang, tempat berihram bagi miqat ini ialah di al-Rabigh.

4. Qarn Al-Manazil ( Al-Sayl):

Miqat bagi penduduk Najd dan orang yang datang dari arahnya. Jaraknya lebih kurang 94km dari Makkah.

5. Zatu Irqin (al- Dharibah):

Miqat bagi penduduk Iraq dan orang yang datang dari arahnya. Jaraknya lebih kurang 94 km dari Makkah.

Tempat Niat Ihram Bagi Penduduk Mekah dan Orang Yang Berada di Mekah

'Sempadan Tanah Halal di Makkah'

Biasanya akan dilakukan bagi para jemaah Malaysia yang ingin mengulangi umrah. Mereka mesti berada Tanah Halal dan perlu mengikut turutan tempat tertentu iaitu:

1. Ji'ranah : terletak lebih kurang 22km dari Masjidil Haram.

2. Tan'im : terletak lebih kurang 5 km dari Masjidil Haram.

3. Hudaibiyyah (Shumaishiy) : Terletak lebih kurang 29 km dari Masjidil Haram.

************
Wajib Umrah yang kedua adalah meninggalkan larangan ihram dalam umrah.

1. Pakaian

2. Wangian.

3. Kecantikan

4. Alam Sekitar

5. Hubungan Kelamin.


27 Mei 2013

Renew Pasport.

2010 adalah tahun Pasport aku telah tamat tempoh. Sejak 2005 - 2007 aku tidak berada di Malaysia. Hampir  3 tahun di sana. Pelbagai suka duka aku lalui bersama teman seperjuangan. Jauh dari keluarga menyebabkan aku dan rakan-rakan menjadi rapat. Sangat rapat. Apa yang berkaitan dengan diri dan rakan-rakan kami kongsi bersama. Cabarannya tetap ada. Entri kali ini bukan untuk mengimbas kenangan lalu. Aku masih mencari kata-kata yang sesuai untuk menceritakan kisah itu.

27 Mei 2013, aku sekali lagi menjejak kaki ke Pejabat Imigresen. Kami berempat. Mencari parking hal merumitkan aku yang tidak mengenal jalan ini. Selesai parking, berhadapan dengan dengan pegawai yang mengatakan gambar pasport kami salah.

Semalam aku baru selesai menyiapkan foto-foto itu dikedai. Kedai yang buat. Aku hanya tunggu hampir setengah jam. Sekali dengan gambar visa. Ketika itu, yang aku tahu foto untuk pasport mempunyai latar belakang biru. Manakala gambar visa lebih besar saiznya dari foto pasport dan berlatar belakang putih.

"Kami nak foto berlatar belakang putih. Latar belakang biru ini kami tak gunakan. Berkuatkuasa semalam," kata pengawai imigresen dibahagian kaunter dan pemberi nombor angka giliran. Menyirap darahku. Sabar! Selepas bersoal jawab tentang ukuran dan warga tudung, kami bergegas turun ke bawah untuk mencari kedai foto yang berdekatan.

Ramainya!

Untung kedai ini. Pagi-pagi dah buka. Kedai melayu. Betullah hadis Rasulullah yang mengatakan keberkatan ada di pagi hari. Matan hadis aku belum jumpa. Kalau jumpa boleh masukkan dan entri kali ini.

CD yang dibeli di kedai foto semalam tertinggal di rumah. Sekali lagi aku berhadapan dengan kamera yang tidak aku sukai. Tudung mesti gelap. Tudung hitam juga aku tak suka pakai. Panas. Tudung kecil macam budak sekolah SMK. Mengomen kerjaku kali ini. Ruang muka luas. Keronsang atau pin tidak ada. Aku cari juga di sekitar tudung yang disediakan. Jumpa! Alhamdulillah...

"Dik, tanggalkan cermin mata," kata 'adik' lelaki juru foto ini. Panggil adik???! Tak kisah la. Asal aku nak panggil dia 'adik'. Bila 'power' mata tinggi sebelah, kepalaku mudah senget. Terpaksa ikut arahan 'adik' dengan mata yang kabur. Ketat juga peraturan imigresen kali ini. Fuh!

Hampir 3 jam menunggu giliran. Ramai betul orang kali ini. Ada yang buat paasport untuk sambung belajar ke luar negara. Ada yang nak melancong dan sebagainya. Ada juga yang terpaksa balik selepas tunggu giliran yang lama. Alasannya sebab ukuran saiz gambar salah. Semalam mak cik ini telah datang ke pejabat imigresen tapi pulang ke rumah dengan alasan salah gambar. Latar belakang mesti putih! Tapi beliau tetap sabar. Bekas guru. 2 tahun dah pencen. Esok pasti beliau datang lagi. Moga Allah permudahkan segala urusannya atas kesabaran menghadapi karenah birokrasi ini.


Kaunter khas untuk warga emas memang cepat. Siap awal. Untuk warga 60-an ke bawah termasuk aku kena tunggu giliran yang panjang. Selepas dapat resit pembayaran pasport 2 tahun RM 100, kami berempat ambil keputusan pulang ke rumah. Resit itu menunjukkan kami perlu tunggu jam 2.50 petang untuk ambil nombor giliran semula untuk mengambil pasport yang telah siap. Kawasan pejabat itu sangat padat dengan orang ramai. Esok kami perlu datang lagi.

Kaunter yang aku dapat dalah kaunter khas. Setelah selesai cop ibu jari, pegawai ini meminta aku menunggu untuk mendapatkan resit bayaran. "Saya tak perlu bayarkah?" tanyaku perasan special. Kaunter khas kan. "Oh, saya lupa," katanya sambil tersenyum. " ingatkan percuma," senyumannya menampakkan gigi. Manis! Aku juga ikut tersenyum sambil menyerahkan bayaran. Adakah ini sebab kelalaiannya menyerahkan dokumen ayahku? Ayahanda lebih awal membuat urusan dariku tapi aku dapat lebih cepat resit bayaran. Tanya...rupa-rupanya dokumen ayahku tertinggal dalam bilik tertentu. Bertanya lebih baik dari menunggu tanpa hasil. Alhamdulillah urusan selesai. Esok datang ambil pasport baru dan tidak boleh diwakilkan.

Ketika aku meninggalkan ruangan, masih ramai yang menunggu sehingga sempit laluan untuk keluar.

Tawaf.

Mengelilingi Kaabah sebanyak 7 kali mengikut arah lawan jam. Kebanyakan sistem orbit, sistem dalam badan serta sistem yang ada di sunia ini adalah mengikut arah lawan jam. Aku juga suka dengan angka tujuh. Walau apa pun anggapan orang lain, aku tetap suka angka ganjil ini.

Dimana permulaan tawaf ini? Tawaf ini mesti bermula pada sudut yang diletakkan batu Hajarul Aswad. Batu ini mempunyai kisah tersendiri. Saidina Umar Al-Khattab pernah berkata,"Andai aku tidak melihat Rasulullah mencium batu ini, aku tidak akan menciumnya". Jadi mencium Hajarul Aswad adalah sunat bagi lelaki dan harus bagi perempuan. Batu ini adalah salah satu yaqut dari syurga. Asalnya berwarna putih. Ada sesetengah orang mengatakan bahawa batu ini menjadi hitam akibat dosa manusia.

Di zaman Jahiliyyah, penduduk Mekah dan sekitarnya mengerjakan tawaf dalam keadaan berbogel iaitu tanpa mengenakan pakain pada badan mereka tak kira perempuan atau lelaki. Oleh itu, tawaf dalam Islam mempunyai syarat sahnya yang tersendiri.

***************

Ketika hendak memulakan tawaf berdirilah mengadap Kaabah di antara Rukun Yamani (nama penjuru Kaabah yang bersebelahan dengan penjuru yang mempunyai Hajarul Aswad)  dan Rukun Hajarul Aswad (nama penjuru Kaabah yang diletakkan batu Hajarul Aswad) . Kemudian berjalanlah secara mengkirikan Baitullah (Kaabah). Apabila telah berada di Rukun Hajarul Aswad, sunat berniat tawaf umrah. Lafaznya seperti berikut:

اللَّهُمَّ إِنِّي أُرِيْدُ طَوَافَ بَيْتِكَ الْحَرَامِ سَبْعَةَ أَشْوَاطٍ طَوَافَ العُمْرَةِ لِلَّهِ تَعَالَى
" Ya Allah! Sesungguhnya aku hendak mengerjakan tawaf Baitullah Al-Haram tujuh keliling Tawaf Umrah kerana Allah Taala"

Setelah itu, kucuplaj Hajarul Aswad jika mampu. Jika tidak mampu lakukan Istilam atau memadai sahaja dengan isyarat tangan ke arah Rukun Hajarul Aswad. Kemudian kucuplah tangan sebelum memulakan tawaf sambil membaca:

بِسْمِ اللَّهِ اَللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّه الْحَمْدُ
Kucup tapak tangan dan terus tawaf mengelilingi Kaabah. Dari rukun Hajarul Aswad ini tawaf dikira bermula dan berakhir di Rukun Hajarul Aswad juga.

Ketika melalui Rukun Yamani, sunat Istilam tetapi jika sukar memadai dengan isyarat tangan sambil membaca

بِسْمِ اللَّهِ اَللَّهُ أَكْبَرُ وَلِلَّه الْحَمْدُ
Setelah itu, terus doa dengan membaca :

رَبَّنَا آتِنَا فشي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي آخشرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ وَأَدْخِلْنَا الْجَنَّةَ مَعَ الْأًَبْرَارِ يَا عَزِيْزُ يَا غَفَّارُ يَا رَبَّ الْعَالَمِيْنَ
"Wahai Tuhan kami! berilah kami di dunia ini kebaikan, di akhirat juga kebaikan dan peliharakanlah kami dari azab neraka dan masukkanlah kami ke dalam syurga bersama-sama orang-orang yang berbakti (taat mengerjakan kebajikan), Wahai Tuhan Yang Maha Kuasa lagi Maha Pengampun, Wahai Tuhan Sekalian Alam"

Doa ini sunat dibaca tiap-tiap pusingan di antara  Rukun Yamani dan Rukun Hajarul Aswad. Selepas berakhir tawaf, solat sunat tawaf di belakang Maqam Ibrahim

Syarat Sah Tawaf

1. Menutup aurat.

2. Suci dari hadas besar dan kecil (ada wudu')

3. Suci badan, pakaian dan tempat tawaf dari sebarang najis.

4. Bermula dan berakhir di sudut Hajarul Aswad.

5. Menjadikan Kaabah disebelah kiri badan dan berjalan menghala ke hadapan.

6. Dilakukan dalam Masjidil Haram dan diluar binaan Kaabah, Hijr Ismail dan Syazarwan.

7. Mengekalkan niat tawaf.

8. Cukup 7 pusingan dengan yakin.

***Kemusykilan berkaitan tawaf:

Seseorang jemaah haji yang terbatak wudu'nya boleh menyambung tawafnya semula di tempat terbatal wadu'. Sebaik-baiknya di sudut Hajarul Aswad.

Tidak terbatak wudu' seseorang jika berlaku sentuhan antara lelaki dan perempuan ketika tawaf dan dalam keadaan musyaqqah (kesusahan dan kepayahn)  dengan syarat tanpa syahwat. Ini menurut mazhab Maliki.

Amalam Sunat Tawaf

1. Berjalan kaki.
***sah tawaf dilakukan diatas usungan atau kerusi roda dengan memenuhi syarat sah tawaf.

2. Beridtiba' ( اِضْطِبَاعٌ ) iaitu memakai ihram dalam keadaa bahu kanan dinampakkan bagi lelaki. Jika dalam solat makruh melakukan idtiba'

3. Mengucup Hajarul Aswab dipermulaan tawaf. Di sini perlu berhati-hati kerana anda mungkin terkena minyak wangi. Jika terkena, anda perlu hilangkannya secepat mungkin, dia tidak berdosa dan tidak dikenakan dam. Jika sengaja melengah-lengahkan (hilangkan wangian), dia berdoasa dan dikenakan dam ( Takhyir atau taqdir)

4. Istilam Hajarul Aswad dan kemudian mengucup tapak tangan atau isyarat dengan tapak tangan ke arahnya  sambil bertakbir lalu mengucup tapak tangan tersebut di permulaan tawaf.

5. Istilam rukun Yamani dan tidak mengucup rukun tersebut.

'contoh Istilam'

6. Melakukan ( رَمَلٌ ) iaitu berlari-lari anak pada 3 pusingan pertama bagi lelaki sahaja.

7. Mengelilingi Kaabah sebanyak 7 kali secara berturut-turut.
***sah tawaf dimana-mana tingkat dalam Masjidil Haram.

8. Melakukan tawaf dengan Tawadu' dan Khusyu'

9. Mendirikan solat sunat tawaf dua rakaat setelah mengerjakan tawaf. Paling afdhal atau paling baik adalah di belakang maqam Ibrahim. Jika mampu buatlah di dalam Hijr Ismail atau dalam kawasan Masjidil Haram.
*** Maqam Ibrahim adalah kesan tapak kaki Nabi Ibrahim ketika membina Kaabah. Tanah yang dipijak oleh Nabi Ibrahim menjadi lembut ketika itu. Maqam Ibrahim ini bukti mukjizat kenabian baginda)

10. Berdoa, berzikir dan membaca Al-Quran.

Rujukan Tambahan: Hasansagaf

25 Mei 2013

Umrah Secara Ringkas.

Umrah adalah ibadat wajib dilakukan oleh seseorang Muslim yang Mukallaf. Kalau pergi Haji, secara tak langsung akan buat umrah. Pergi umrah tak semestinya pergi haji. Adakah anda faham ayat terbalik dan memeningkan ini? Kita akan cuba selongkar tentang umrah sahaja dahulu kerana aku sedang memahami tentang ibadat ini.

Ganjaran mengerjakan umrah berdasarkan hadis riwayat Bukhari dan Muslim:

" اَلْعُمَرَةُ إِلَى العُمْرَةِ كَفَّارَةٌ لِمَا بَيْنَهُمَا وَالْحَجُّ مَبْرُوْرُ  لَيْسَ لَهُجَزَاءٌ إِلاّ الْجَنَّةُ "
"Diantara satu umrah ke satu umrah yang lain adalah penghapus dosa antara keduanya dan tidak ada balsan bagi haji yang mabrur (diterima) melainkan syurga" 

Sesiapa yang berada di Mekah mengerjakan Haji dan umrah dikira tetamu Allah berdasarkan hadis dari riwayat An-Nasa'i dan Ibnu Majah:

الْحُجَّاجُ والْعُمَّارُ وَفْدُ اللَّهِ إِنْ دَعَوْهُ أَجَابَهُمْ وَإِنِاسْتَغْفَرُوهُ غَفَرَ لَهُمْ

" Orang yang mengerjakan haji dan umrah adalah tetamu agung Allah SWT , sekiranya mereka momohon doa kepadaNya nescaya Allah perkenankan doa mereka. sekiranya mereka momohon keampunanNya, nescaya Allah ampunkan mereka"

Beruntungnya sesiapa yang dapat jemputan ke Baitullah. Moga adalah dikalangan mereka yang beruntung itu.


Umrah :  Mengunjungi Baitullah di Makkah pada bila-bila masa untuk mengerjakan ibadah tertentu dengan syarat tertentu. 

Syarat wajib Umrah = Islam + baligh + berakal + merdeka + istito'ah.

Rukun Umrah: Niat ---> tawaf ---> saei ---> cukur / gunting (tahlul) ---> tertib.

***beza haji dan umrah adalah wukuf. Haji ada wukuf. Manakala umrah tiada wukuf.

Wajib Umrah = niat ihram di Miqat + meninggalkan larangan ihram 

Sangat ringkas. Nanti akan disambungkan tentang penjelasan yang seterusnya. Moga ilmu ini mudah disampaikan secara tersusun. Andai ada penambahan dan kesilapan, harap diberitahu diruangan komen. Terima kasih.

SUMBER: IBADAT HAJI, UMRAH DAN ZIARAH. Terbitan Lembaga Tabung Haji.


24 Mei 2013

Selamat bercuti pertengahan 2013

2.30 pagi sampai ke kampung. Meredah jalan jem. Ramai yang dah mula balik kampung semalam. R & R temerloh tandas n surau ditutup untuk dinaik taraf. Kami berhenti di Shell.

Adikku banyak memandu. Aku memandu sekejap dari rumah ke tempat belajarnya dan selepas makan. Jadi pelesit jalan jap.hihihi...

Ada jumpa budak-budak rempit. Siap buat aksi meniarap atas motor. Ada aksi kayuhan walaupun motornya bergerak dengan kelajuan 100km/j. Macam-macam gaya.

Di trafik light ramai si rempit2 berpusu-pusu ke satu arah. Ramai sangat. Satu trafik light penuh dengan mat motor. Ketika itu jam dah menunjukkan pukul 2 pagi.

Aku pasti itu anak melayu. Kesian mak ayah mereka. Moga Islam kembali dalam jiwa pemuda2 pewaris generasi akan datang ini.

21 Mei 2013

Cuti Diluluskan?

Cuti sekolah pertengahan tahun. Pelajar tingkatan 3 akan ke resort untuk kelas tambahan. Jadi sekolah tak buat kelas tambahan. Moga mereka mendapat ilmu dari guru-guru yang berpengalaman.

Minggu ini juga, aku baru minta cuti untuk akhir Ramadhan nanti. Pengetua pula tiada dalam minggu ini. Apa akan jadi dengan permohonan cuti itu? Harap sangat cuti itu diluluskan walaupun terpaksa potong gaji. Cuti untuk apa? Jika lulus cuti, insya Allah aku akan ceritakan dalam blog ini pengganti diari. Dah lama tak cerita berkaitan diri ini. Sukar sangat nak kongsi.

Musim peperiksaan sudah tamat. Aku proses menanda kertas hingga habis dakwat pen. Jadi boleh guna pen merah yang diberi oleh pelajar ketika hari guru. Terima kasih daun keladi ;)

19 Mei 2013

Lawatan ke iium

Hari sabtu ke Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Program motivasi oleh pensyarah UIA kampus Gombak dan lawatan ke beberapa Kuliyyah atau Fakulti. Boleh tercabut kaki jika berjalan ke semua kuliyyah. Alhamdulillah semuanya dipermudahkan Allah dengan bantuan barisan fasilitator. 

Ini semua adalah gambar hiasan sekitar UIA yang boleh dikongsi ;)












16 Mei 2013

Kisah Solat Dhuha.

Hadiah hari guru sangat bermakna buat saya adalah buku novel Demi Dhuha. (cuba guna 'saya')

Ada banyak lagi hadiah lain, saya sangat menghargai pemberian anda semua terutama nasi lemak. Kenyang. Hadiah yang adil kerana semua guru dapat nasi lemak.

Terima kasih ayyuhattolabah!

Moga kalian mudah dapat ilmu dari semua guru. Allah pasti memberi kebaikan atas keikhlasan anda mengendalikan program sambutan hari guru 2013. Saya sangat terhibur. Hehe...

Kembali kepada Kisah dhuha. Teringin berkongsi. Aku harap kita semua dapat pengajarannya.

Jom layan...


Dalam Al-Quran, surah Ad-Dhuha:


بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ
وَالضُّحَىٰ [٩٣:١
Demi waktu dhuha,

وَاللَّيْلِ إِذَا سَجَىٰ [٩٣:٢]
Dan malam apabila ia sunyi-sepi - 

مَا وَدَّعَكَ رَبُّكَ وَمَا قَلَىٰ [٩٣:٣]
(Bahawa) Tuhanmu (wahai Muhammad) tidak meninggalkanmu, dan Ia tidak benci (kepadamu, sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik).

وَلَلْآخِرَةُ خَيْرٌ لَّكَ مِنَ الْأُولَىٰ [٩٣:٤]
Dan sesungguhnya kesudahan keaadaanmu adalah lebih baik bagimu daripada permulaannya. 

وَلَسَوْفَ يُعْطِيكَ رَبُّكَ فَتَرْضَىٰ [٩٣:٥]
Dan sesungguhnya Tuhanmu akan memberikanmu (kejayaan dan kebahagiaan di dunia dan di akhirat) sehingga engkau reda - berpuas hati.

أَلَمْ يَجِدْكَ يَتِيمًا فَآوَىٰ [٩٣:٦]
Bukankah dia mendapati engkau yatim piatu, lalu la memberikan perlindungan?

وَوَجَدَكَ ضَالًّا فَهَدَىٰ [٩٣:٧]
Dan didapatiNya engkau mencari-cari (jalan yang benar), lalu Ia memberikan hidayah petunjuk (dengan wahyu - Al-Quran)?

وَوَجَدَكَ عَائِلًا فَأَغْنَىٰ [٩٣:٨]
Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Ia memberikan kekayaan?

فَأَمَّا الْيَتِيمَ فَلَا تَقْهَرْ [٩٣:٩]
Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya,

وَأَمَّا السَّائِلَ فَلَا تَنْهَرْ [٩٣:١٠]
Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik;

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ [٩٣:١١]
Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya. 

***********


Pak Cik Hamdal, seorang pengutip barang terbuang sentiasa menunaikan solat dhuha. Solat ini bermula selepas matahari naik sepenggalah. Mengikut ilmu falak syarie, matahari naik 20 darjah dari ufuk bumi. Ketika itu dinamakan waktu Dhuha sehingga matahari berada di atas kepala.

Pakcik Hamda diujil dengan kemiskinan. Ketika mencari barang buangan, dia dicari oleh puak samseng yang menjadi pencuri, peragut dan sebagainya untuk mendapatkan wang dengan mudah. Dia dipukul, wang hasil jualan barang buangan diambil. Sedangkan wang itu untuk digunakan untuk keperluan hari esok dan yuran persekolahan anaknya.

Anaknya menjumpai dompet yang dicari oleh samseng itu. Ketika ini anak dan isterinya meminta Pakcik Hamdal menggunakan wang dalam dompet itu untuk kegunaan makanan mereka. Dengan keimanan, Pak Cik Hamdal tetap tidak akan menggunakan duit itu dan akan memulangkan kepada tuan punya dompet.

Encik Salleh pula adalah usahawan yang berjaya. Ketika senang dia solat Dhuha. Jika sibuk dengan urusan kerja, dia tinggalkan. Apabila ditanya tentang kejayaannya, dia kata:

"Saya sentiasa membangunkan keyakinan diri dengan mendirikan solat dhuha. Dengan mendirikan solat dhuha fikiran jadi jernuh dan hati akan tenang. Seseorang yang mengerjakan sesuatu dengan fikiran yang jernih dan hati tenang dapat meraih hasil sebanyak mungkin."

"Rasulullah pernah berpesan bahawa sesiapa yang mengerjakan solat dhuha enam rakaat pada hari itu, seluruh keperluannya akan dicukupkan oleh Allah. Oleh itu saya yakin jika seseorang melakukan solat dhuha, Allah akan memberikan rezeki kepadanya." kata Encik Salleh penuh yakin.

"Solat yang dilaksanakan ketika orang sedang sibuk  pada waktu matahari naik sepenggalah ialah solat dhuha. Ketika itu, ramai orang lupa dan lalai. Dalam keadaan seperti ini, jika seseorang melaksanakan solat dua rakaat atau lebih, maka dia akan dapat mengawal nafsunya. Seseorang yang tiada pekerjaan pula biasanya mengamalkan solat ini kerana mengharapkan sesuatu atau hajatnya termakbul, termasuk dimurakan rezeki," kata Encik Salleh semasa berbincang dengan Pakcik Hamdal.

"Adakah niat seperti itu salah?" tanya Encik Salleh.

"Menurut pemahaman saya, tidak. Lakukanlah solat dhuha agar mendapat rezeki, mendapat pekerjaan, dan dibentangkan jalan menuju kemudahan kerana solat dhuha memang rohnya rezeki. Apabila seseorang ditimpa kesusahan, dilanda kebingungan, maka jika dia melaksanakan solat sunat dhuha dengan benar dan khusyuk, insya Allah apa yang diingini akan dimakbulkan." Pakcik Hamdal berhenti seketika sebelum menyambung penjelasannya.

"Tetapi ia mesti berlandaskan usaha secara zahir, bukan hanya meminta dalam solat dhuha atau menunggu keajaiban dari langit," jelas Pakcik Hamdal.

Encik Salleh diuji dengan kejahatan anak perempuan tunggalnya. Ketika Encik Salleh dan isteri pergi menunaikan haji, gadis jahat ini membuat fitnah sehingga memenjarakan Pakcik Hamdal. Walaupun berada dalam penjara, Pakcik Hamdal tetap solat tahajut dan solat sunat Dhuha. Dia berusaha redha dan sabar.

Terlalu banyak kisah menjadi pengajaran. Begitu juga dengan kisah dua anak Pak Cik Hamdal. Mereka berdua merupakan anak yang taat, soleh dan solehah. Tidak pernah tinggalkan solat dhuha dan tahajut. Yang menakjubkan anak lelakinya yang menduduki peperiksaan menjawab soalan dengan betul da tepat. Hal ini mengejutkan gurunya. 

Nak perempuan Pakcik Hamdal pula, sanggup dipukul dan dicabuk dengan pintalan akar-akar kayu oleh anak Encik Salleh ketika sedang solat dhuha. Paling menakjubkan, dia tidak rasa sakit. Sebaliknya yang memukulnya keletihan kerana terlalu lama memukul.

Anda boleh membacanya dalam buku novel islami dari Indonesia yang telah diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.

SUMBER: DEMU DHUHA oleh Muhammad Makhdlori. PTS2011.

15 Mei 2013

Siapa larikan Cheese saya?

Watak tikus sebagai Sniff dan Scurry. Watak manusia kerdil dengan nama Hem dan Haw. Empat watak ini mewakili perangai manusia.

Keju merupakan metafora bagi perkara yang dimahukan dalam hidup seperti pekerjaan, perhubungan, wang,  rumah banglo, kebebasan , kesihatan, pengiktirafan, ketenangan dan segala aktiviti mereka.

Daerah 'Maze' adalah organisasi tempat kerja, komuniti tempat tinggal dan hubungan yang dimiliki.

Tikus akan mencari keju keras supaya mudah digigit dan manakala manusia kerdil mencari keju 'K'. Manusia ini mempunyai pemikiran kompleks dan mempunyai kepercayaan  serta mengikut perasaan.

gambar: pak google link

Setiap pagi, mereka akan memakai pakaian joging dan kasut sukan. Mereka akan keluar dari rumah menuju ke Daerah 'Maze'. Mereka mula mencari keju kegemaran masing-masing.

Daerah 'Maze' adalah sebuah tempat yang berliku dan berselirat. Keju yang lazat tersembunyi disebalik liku-liku ini. Namun, ada juga ceruk yang gelap serta jalan mati. Jika kita berada di sini, kita akan mudah sesat.

Bagi yang menemui jalannya, daerah ini memiliki rahsia yang membantu mereka menikmati kehidupan lebih baik.

Tikus-tikus ini menggunakan kaedah cuba-cuba ketika mencari keju. Mereka pergi ke satu lorong ke satu lorong. Jika mereka tidak menjumpai keju disitu, mereka akan mencari keju di lorong lain. Jika tiada juga, mereka akan mencari di daerah lain.

Sniff menghidu arah yang membawa kepada bau dengan menggunakan hidungnya yang peka. Manakala Scurry pula akan bergegas ke situ. Oleh itu, mereka kadang-kadang sesat  atau terlanggar dinding. Tidak lama kemudian mereka menemui jalan yang betul.

Manusia kerdil Hem dan Haw menggunakan kemahiran berfikir dan belajar dari peristiwa yang lalu. Walau bagaimanapun,  mereka bergantung kepada akal yang kompleks seterusnya menggunakan kaedah lebih canggih bagi mencari keju.

Kadang-kadang mereka berjaya tetapi pada masa lain, kepercayaan dan emosi kuat mempengaruhi pandangan mereka. Hal ini bertambah rumit dan mencabar.

Keempat-empat watak ini menemui keju idaman menerusi cara mereka yang tersendiri. Mereka menemui keju itu di Stesen Keju C.

Selepas menemui stesen keju ini, mereka bersiap setiap pagi untuk ke situ. Kemudian kehidupan itu menjadi rutin harian mereka.

Sniff dan Scurry tetap bangun pagi berkejaran di laluan yang sama dalam Daerah Maze.

Sampai di destinasi, mereka menanggalkan kasut. Kemudian mengikat kasut masing-masing ke leher mereka supaya mereka tidak perlu mencari-cari kasut itu di tempat lain. Selepas itu , baru mereka menikmati keju mereka.

Pada awalnya, Hem dan Haw turut berlari ke stesen itu setiap pagi bagi menikmati potongan-potongan keju yang baru mereka temui.

Tidak lama kemudian, rutin manusia berubah sedikit demi sedikit.

Hem dan Haw bangun semakin lewat setiap pagi. Mereka mengambil masa yang lama untuk bersiap dan berjalan menuju ke stesen keju itu.

Mereka sudah tahu tempat itu tanpa mengetahui dari mana keju itu datang. Mereka mengandaikan keju itu pasti berada di situ.

Sebaik sahaja mereka sampai ke Stesen Keju C, Hem dan Haw akan menanggalkan pakaian joging dan menyimpan  kasut mereka. Mereka hanya memakai selipar. Hem dan Haw merasa selesa selepas menemui keju.

"Hebat sungguh hidup ini. Keju ini tidak akan habis," kata Hem. Mereka menyangka hidup mereka dijamin selamat.

Mereka menyangka keju itu hak milik mereka. Mereka membina rumah dan hidup dalam masyarakat itu. Bagi meningkatkan keselesaan mereka, mereka menghiasi dinding dengan kata-kata dan gambar keju.

Pada suatu hari, Sniff dan Scurry mendapati keju tidak ditemui di Stesen Keju C. Mereka sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan. Kenyataan keju hilang atau tiada tidak mengejutkan mereka. Mereka tidak mengalisis persekitaran secara mendalam kerana mereka adalah dua ekor tikus. Oleh kerana Stesen Keju C telah berubah, mereka membuat keputusan untuk keluar dari stesen itu untuk mencari keju baru.

Tidak lama kemudian, Hem dan Haw sampai ke Stesen Keju C. Mereka masih lambat kerana memikirkan kedudukan mereka yang selamat. Mereka sangat terkejut. Haw hanya mendiamkan diri. Hem menjerit-jerit seolah-olah ada seseorang yang akan memberikan keju yang telah dicuri. Semua pekikan mereka sia-sia.

Hem dan Haw cuba mencari keju itu disekeliling Stesen Keju C. Usaha mereka tidak membuahkan hasil. Bahkan mereka bertambah penat kerana kelaparan. Jika sebelum ini, mereka pulang terkedek-kedek akibat kekenyangan tetapi kali ini mereka bertambah kusut dan hampir putus asa.

Mereka berulang alik dari rumah ke Stesen Keju C. Akhirnya pada suatu hari Haw mentertawakan diri sendiri kerana kebodohannya yang takut untuk berubah. Dia berusaha memujuk Hem untuk keluar ke Daerah Maze. Dia beranggapan biar berusaha daripada tidak bertindak langsung. Hem enggan mengikutinya dan menunggu sahaja Keju itu muncul.

Haw meninggalkan jejaknya dengan melakar kata-kata di dinding tempat yang dilalui. Tujuannya supaya Hem dapat menjumpai jejaknya dan tidak tersesat di Daerah Maze yang mencabar itu. Haw hanya menjumpai baki-baki keju dilaluan yang dilaluinya. Dia menyimpan dalam poket untuk dijadikan bekalan dalam perjalanan.

Haw menjumpai beberapa Stesen Keju. Stesen itu kosong. Haw meneruskan perjalanan dan akhirnya menemui Stesen Keju N. Usahanya tanpa jemu dan sentiasa  berfikiran positif membawanya ke tempat yang mempunyai timbunan keju yang banyak. Di situ, dia menjumpai Sniff dan Scurry. Mereka mengalu-alukan kedatangannya.

Kata-kata yang ditulis oleh Haw:

Perubahan Sentiasa Berlaku
Perubahan menyebabkan Keju beralih

Menjangka Perubahan Berlaku
Bersedia apabila Keju beralih

Memantau Perubahan
Jikalau kita sering menghidu Keju, kita tahu bila ia rosak

Beradaptasi dengan Perubahan Secepatnya.
Semakin cepat kita melepaskan Keju lama, semakin cepat juga kita menemukan Keju baru.

Berubah
Beralih seiring dengan Keju

Menikmati Perubahan
Nikmat proses perubahan dan rasa Keju baru

Bersedia untuk Berubah Secepatnya dan Nikmati Perubahan Tanpa Henti
Perubahan menyebabkan Keju beralih.

SUMBER: Who Moved My Cheese Edisi Melayu. Dr Spencer Johnson.

NOTA: Untuk semua rakan guru...Selamat Hari Guru...Guru Malaysia 1Aspirasi 1Agenda! Moga Allah membalas usaha anda dengan pahala yang berlipat kali ganda. Sedekahkan Al-Fatihah untuk guru masing-masing termasuk ibubapa kita.

09 Mei 2013

Lidah dan Hati

Khadam di rumah orang kaya diminta untuk menyembelih seekor kambing. Orang kaya itu meminta Luqman mengambil bahagian daging yang paling berkhasiat. Daging ini untuk hidangan keluarganya. Lalu Luqman memotong lidah dan hati. Luqman memasak dan dihidangkan kepada keluarga kaya itu.

Pada keesokannya, orang kaya itu meminta Luqman menyembelih seekor kambing lagi. Si kaya meminta Luqman mengambil bahagian daging yang paling menjijikkan.

Luqman melaksanakan perintah itu dengan senang hati. Lalu dipotong lidah dan hati buat kali kedua. Luqman masakkan dan hidangkan seperti biasa.

"Bagaimana kamu Luqman! Kemarin saya minta bawa daging yang paling berkhasiat, kamu bawa lidah dan hati. Sekarang saya minta daging paling menjijikkan, kamu bawa lidah dan hati juga. Apa maksud kamu?" tanya majikannya dengan penuh hairan.

Sambil tersenyum, Luqman jawab,"Memang hati dan lidah itulah bahagian daging dalam tubuh manusia yang paling besar khasiatnya jika seseorang itu pandai menjaganya".

"Lidah dan hati ini juga akan mencelakakan manusia apabila seseorang itu tidak dapat mengendalikannya".
"Hati dapat menimbulkan niat yang ikhlas dan dapat melalaikannya. Lidah dapat menuturkan kata-kata yang penuh budi bahasa sesama manusia. Disebabkan lidah juga manusia akan berperang", terang Luqman kepada majikannya yang kaya itu.

Luqman pernah memberi wasiat kepada anaknya berkaitan dengan lidah.

Gambar: dalam masjid negeri 

"Wahai anakku! Kata-kata yang mempunyai hikmah menjadikan orang miskin dimuliakan seperti raja," kemudian Luqman menyambung wasiatnya lagi.

"Hai anakku! Jika masuk ke suatu majlis, panahkanlah panah Islam. Iaitu salam, kemudian duduklah agak tepi dan jangan bercakap sebelum orang lain bercakap. Kalau orang yang bercakap itu tentang mengingati Allah, duduklah di majlis itu agak lama. Tetapi jika berkaitan dunia, tinggalkan majlis itu dan pergi ke tempat lain".

Ada hadis yang mengatakan tiga orang Sudan yang merupakan ahli syurga iaitu Luqman Al-Hakim, Najasyi dan Bilal al-Muazzin.

SUMBER: Tafsir Al-Azhar oleh Prof HAMKA. Surah Luqman.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Baju Muslimah